Sabtu, 1 Oktober 2011

Persoalan Agama: Adik-beradik lelaki suami mahram sementara haram bersalaman


Bersama Ustaz Zahazan

SOALAN:

UNTUK pengetahuan ustaz, keluarga suami saya adalah golongan yang tidak mengambil kisah pasal agama. Adik dan kakaknya yang perempuan berpakaian ketat dan tidak memakai tudung. Adik-adiknya yang lelaki pula suka bersalaman dengan saya terutama pada hari raya dan saya terpaksa bersalaman dengan mereka. Saya mahu mengelak tetapi bimbang mereka akan terasa. Apa pandangan ustaz? Kedua, kawan saya bertanya, apakah hukum seorang lelaki bersalaman dengan ibu tiri isteri? Adakah ibu tiri isteri termasuk muhrim? Harap dapat penjelasan. 

JAWAPAN:

Alhamdulillah wassolatu wassalam ala rasulillah wabad.
Hubungan antara seorang wanita dengan adik atau abang ipar adalah mahram yang sementara. Sekiranya suami wanita itu menceraikannya atau meninggal dunia, maka adik atau abang ipar boleh mengahwininya. Justeru, saudari tidak boleh bersalam dengan adik-beradik lelaki suami. Saudari hendaklah memelihara aurat depan mereka dan tidak boleh berjalan berdua-duaan bersama adik-beradik lelaki suami saudari. 

Saudari tidak perlu menjaga hati mereka dengan melanggar syariat. Sekiranya mereka terasa, saudari boleh menjalinkan hubungan silaturahim dengan menziarahi mereka bersama suami, memberi hadiah dan seumpamanya. Saudari hendaklah menjadikan mereka mengikut saudari iaitu dengan mengikut syariat Allah, jangan jadikan diri saudari mengikut mereka dengan melanggar syariat Allah. Justeru, kita hendaklah lebih melihat kemurkaan Allah berbanding kemurkaan manusia. 

Sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi menyebut (yang bermaksud): Sesiapa yang berusaha mencari reda Allah dengan kemurkaan manusia, Allah akan mencukupkannya dari pergantungan dengan manusia. Dan sesiapa yang berusaha mencari reda manusia dengan kemurkaan Allah, nescaya Allah akan menyerahkannya kepada manusia. 

Oleh itu, saudari tidak perlu mengikuti mereka dengan alasan menghormati dan menjaga perasaan mereka pada perkara yang jelas bertentangan dengan syariat. Namun, hendaklah menjadikan mereka menghormati pendirian saudari dengan membawa mereka mengikut syariat Allah. 

Untuk soalan kedua, sebelum itu saya hendak menjelaskan pengertian aurat. Aurat dari segi bahasa bererti kurang dan sesuatu yang dianggap buruk (an-Naqsu wassyaiul mustaqbahu). Dari segi istilah syarak bermaksud sesuatu yang wajib ditutup dalam sembahyang (ma yajibu satruhu fis solah) atau maksud kedua iaitu sesuatu yang haram dipandang (ma yahrumun nazru ilaih). Ada pembetulan pada pertanyaan saudari. Muhrim yang sebenarnya bermaksud orang yang berada dalam ihram haji atau umrah. 

Sekiranya maksud saudari muhrim itu adalah orang yang haram untuk kita nikahi, sebutan yang sebenarnya adalah mahram. 

Perlu diketahui bahawa ikatan mahram wujud dengan tiga sebab. Pertama kekeluargaan, kedua perkahwinan dan ketiga penyusuan. Allah SWT menyebut dalam surah an-Nisa ayat 23 dan 24 yang bermaksud: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita-wanita berikut iaitu) ibu-ibumu (dan nenek-nenekmu), anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibumu, anak-anak perempuan saudara lelaki, anak-anak perempuan saudara perempuan, ibu-ibu yang telah menyusukan kamu, saudara-saudara perempuan susuan, ibu-ibu isteri kamu, anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu (dan yang tidak dalam pemeliharaan kamu) dari isteri yang kamu telah campur, tetapi kalau kamu belum campur mereka, maka tiada salah kamu mengahwininya. Dan isteri-isteri anak-anak kamu yang berasal dari benih kamu. Dan menghimpunkan dua beradik (untuk dikahwini) kecuali yang berlaku pada masa lalu. 

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Justeru, ibu tiri isteri tidak termasuk dalam senarai wanita yang haram dinikahi. Kerana itu ia termasuk dalam wanita ajnabi. Antara suami dengan ibu tiri isteri halal berkahwin, maka haram bersalaman dengannya. 

Demikianlah, wallahualam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...