Isnin, 12 November 2012

SAYYIDAH NAFISAH DAN GABENOR ZALIM

SAYYIDAH NAFISAH DAN GABENOR ZALIM


Gambar hiasan
 ''Satu-satunya cara agar kita memperolehi kasih sayang ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan ''- Rabiatul Adawiyah

Diceritakan bahawa pada waktu hidupnya Sayyidah Nafisah ada seorang gabenor zalim yang suka menyeksa rakyatnya tanpa alasan yang munasabah. Suatu hari dia telah memerintahkan kepada beberapa orang pegawainya agar menangkap seorang yang dikehendaki untuk diseksanya.

Mendengar dirinya akan ditangkap, orang yang dikehendaki itu lari ke rumah Sayyidah Nafisah minta perlindungan dan jaminan. Bagaimanapun petugas gabenor dapat mengesannya. Orang yang dikehendaki ketakutan apabila petugas gabenor datang untuk menangkapnya.

“Insya Allah setelah engkau menghadapnya, engkau akan dibebaskan. Pergilah jangan takut, semoga Allah akan menghijab kamu dari penglihatan orang-orang yang zalim,” kata Sayyidah Nafisah kepada orang yang akan dizalimi.

Maka pergilah lelaki itu bersama orang-orang gabenor yang zalim sehingga sampai di istana. Para petugas yang mengawalnya membawa lelaki itu ke hadapan gabenor yang sedang duduk di balai penghadapan.

“Mana orang yang saya suruh tangkap itu?” tanya gabenor kepada para petugas.
“Yang berdiri di hadapanmu itulah,” jawab mereka.
“Di mana dia? Aku tidak nampak pun,” kata gabenor kebingungan.
“Ini dia tuan, takkan tuan tidak nampak,” kata mereka lagi.
“Sungguh aku tidak melihatnya,” kata si gabenor. “Pelik betul, apa yang terjadi dengan dia?”

Sebelum dibawa ke sini, dia telah pergi ke rumah Sayyidah Nafisah dan memohon doa. Lalu beliau berdoa: “Semoga Allah menghijab kamu dari penglihatan orang-orang yang zalim.” Kata para petugas memberikan keterangan.

“Masya Allah kalau begitu aku memang seorang yang zalim. Apa akan jadi kalau semua orang yang teraniaya dihijab oleh Allah dari penglihatanku?” kata gabenor. “Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu.”

Gabenor kelihatan sangat menyesal dan takut, lalu dibukanya tutup kepalanya. Kerana dia telah betul-betul bertaubat, tiba-tiba dia melihat lelaki yang dikehendakinya berdiri tegap di hadapannya. Dia meminta maaf dan mengucup kepala lelaki itu. Lalu dikeluarkannya beberapa helai baju yang cantik dan sejumlah wang dan diberikannya kepada lelaki itu sebagai rasa syukurnya. Selepas itu gabenor yang telah bertaubat itu mengeluarkan sejumlah hartanya lagi dan disedekahkannya kepada fakir miskin. Dia juga menghantar utusan kepada Sayyidah Nafisah dengan membawa wang seratus ribu dirham untuk diberikan kepada beliau.

Wang itu diterima oleh Sayyidah Nafisah lalu dibukanya ketika itu dan dibahagi-bahagikan kepada orang lain yang memerlukannya sehingga habis.

“Wahai Sayyidah Nafisah! seandainya engkau tinggalkan sedikit wang untuk membeli buka puasa kita, itu kan baik,” kata wanita-wanita sufi yang ada di sekitarnya.

“Ambillah benang yang telah kupintal dengan tanganku sendiri dan jual. Hasilnya belikan makanan untuk buka puasa kita,” kata Sayyidah.

Pergilah wanita itu menjual benang hasil pintalan tangan Sayyidah Nafisah yang mulia itu, dan hasilnya dibelikan makanan untuk berbuka puasa mereka. Dengan demikian, Sayyidah Nafisah tidak mengambil sedikit pun wang yang diberikan oleh gabenor.

Wallahua'lam

http://kisahteladan.info/kisah-mukminah/sayyidah-nafisah.html

MASYITAH MATI MEMPERTAHANKAN IMAN

MASYITAH MATI MEMPERTAHANKAN IMAN


RASULULLAH BERSABDA bermaksud - " Empat jenis, siapa yang diberi akan keempat-empat jenis ini bererti dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu bersyukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa yang selalu sabar dengan cubaan dan isteri yang tidak melakukan dosa dan tidak menzalimi suaminya."
( Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani )

Kita semua, sedia maklum bahawa Firaun mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata agar menyembah dan memperhambakan diri padanya. Barang siapa yang engkar dengan suruhannya akan diseksa atau dihukum bunuh. Begitulah kejamnya Firaun.

Walaupun hukuman diugut dengan hukuman bunuh, terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah. Di antaranya ialah Siti Asiah, isteri Firaun sendiri dan keluarga Masyitah.

Masyitah adalah pelayan raja yang paling lebih terkenal sebagai tukang sikat keluarga Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan keislaman mereka agar dengan itu mereka tidak diganggu oleh Firaun dan orang-orangnya.

Walau bagaimanapun suatu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan tanpa disengajakan dia melatah dan menyebut, “Allah!”

Puteri tersebut bertanya siapakah ‘Allah’ itu. Pada mulanya Masyitah enggan menjawab pertanyaan itu. Namun puteri itu terus mendesak Masyitah agar menjawab pertanyaannya. Akhirnya dengan tenang Masyitah berkata, “Allah Tuhanku dan Tuhan sekalian alam .”

Puteri tersebut dengan serta-merta mengadu kepada Firaun tentang Masyitah  Firaun terperanjat apabila mendengar Masyitah menyembah selain dari dirinya. Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintah menterinya bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan keluarganya yang telah menyembah Allah.

Jasa Masyitah yang begitu banyak terhadap keluarga Firaun langsung tidak dikenang oleh Firaun. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana.Tanpa usul periksa Firaun menjatuhkan hukuman berat kepada Masyitahdan keluarganya.

Begitulah zalim dan kejamnya Firaun yang tidak berhati perut langsung. Beginilah sikap manusia yang punya kuasa dan kedudukan, yang lupa bahawa dia juga hamba kepada Tuhan yang menciptakannya. Manusia yang lemah terus diseksa sesuka hatinya.

Di pihak Masyitah pula, dia sedar bahwa inilah masanya Tuhan hendak menguji keimanannya. Meskipun lemah fizikalnya namun Masyitah memiliki kekuatan jiwa yang sukar ditandingi oleh wanita lain. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia kufur, sombong dan bongkak itu terhadapnya.

Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya menyediakan kawah yang besar. Hamman ingin merebus Masyitah serta keluarganya yang terdiri dari suami dan empat orang anak termasuk seorang bayi yang masih kecil.

Masyitahdan keluarganya melihat air di dalam kawah yang dimasak sehingga mendidih namun itu sedikitpun tidak menggugat keyakinan mereka kepada Allah. Sebelum ditolak ke dalam kawah tersebut, Masyitah sekeluarga telah ditanya oleh Hamman sama ada mahu selamat dengan menyembah Firaun kembali atau masuk ke dalam kawah dengan beriman kepada Allah. Dengan tegas mereka berkata, “Kami akan terus beriman kepada Allah sekalipun terpaksa terjun ke dalam kawah yang menggelegak ini.”

Maka Hamman pun memaksa satu-persatu keluarga Masyitah terjun ke kawah tersebut dengan sombong dan ketawa terbahak-bahak sambil menyindir dan menghina mereka. Suami Masyitah dicampak dahulu dan diikuti dengan anak-anaknya. Masyitah melihat sendiri bagaimana suami dan anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang menggelegak itu. Akhirnya tinggal Masyitah bersama bayi yang sedang dikendongnya.

Di waktu itulah syaitan membisik ke telinganya, tidakkah dia rasa kasihan dan simpati pada bayinya yang masih merah dan tidak tahu apa-apa itu. Masyitah mula merasa ragu-ragu sama ada hendak membiarkan dirinya dicampak ke dalam kawah itu atau tidak. Ketika itu, dengan kuasa dan kehendak Allah, tiba-tiba anak yang masih kecil itu berkata-berkata kepada Masyitah  ibunya, “Wahai ibu marilah kita menyusuli ayah. Sesungguhnya syurga sedang menanti kita.”

Bila mendengar kata-kata itu, Masyitah dengan rasa kehambaan kepada Allah mencampakkan diri dan anaknya ke dalam kawah yang sedang menggelegak itu. Kawah itu dikacau oleh pengawal dengan menggunakan penyudip besi. Mereka dikacau seperti ikan yang direbus. Maka matilah Masyitah bersama keluarganya demi mempertahankan aqidah dan keimanan mereka.

Walaupun di dunia ini menerima seksa dan sengsara tetapi di Akhirat nanti, Allah telah menjamin syurga untuknya. Masyitah rela direbus hidup-hidup di dalam air menggelegak panas sehingga menyebabkan hancur dan masak kulit, isi dan seluruh badannya demi mempertahankan keyakinannya kepada Allah. Dia menerima segalanya dengan penuh keimanan, sabar dan redha kerana dia yakin Allah tidak akan mensia-siakan keyakinan itu.

Begitulah bagaimana hebatnya keyakinan Masyitah dan keluarganya kepada Allah. Keimanannya sungguh mendalam sehingga dia tidak takut dengan ancaman Firaun. Sememangnya Allah telah menjanjikan nikmat syurga yang kekal abadi untuk Masyitah dan keluarganya.

Subhanallah..Subhanallah.

http://kisahteladan.info

Ahad, 11 November 2012

UMMI MA’BAD DAN KAMBING KURUS

UMMI MA’BAD DAN KAMBING KURUS


Gambar hiasan 
Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tiga perkara yang apabila perkara ini terdapat di dalam diri seseorang, maka ia akan dapat merasakan manisnya iman, iaitu: 
  1. Orang yang menjadikan Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada yang lain, 
  2. mencintai seseorang hanya kerana Allah, 
  3. enggan kembali ke dalam kekufuran setelah diselamatkan oleh Allah sebagaimana keengganannya untuk dilemparkan ke dalam api neraka.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selama tiga hari menyembunyikan diri di Gua Hira’, bekalan makanan dihantar oleh anak Abu Bakar sendiri, iaitu Asma’. Selepas itu, Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Yathrib (Madinah). Perjalanan mereka disertai dua orang rakan lain iaitu Amir bin Fuhairah dan Abdullah bin Uraiqith. Mereka berjalan merentasi padang pasir, gunung-ganang serta merempuh ribut pasir untuk meneruskan usaha menyebarkan Islam kepada penduduk di sana.

Pada suatu hari, ketika merentasi padang pasir, Nabi Muhammad SAW ternampak sebuah khemah di tengah padang pasir. Mereka mendekatinya dengan niat mahu meminta bantuan atau membeli makanan. Kedatangan mereka di sambut oleh seorang gembala kambing yang pemurah bernama Ummi Ma’bad,. Wanita ini bersama suaminya, Abu Ma’bad memang sengaja memasang khemah di tengah padang pasir itu untuk membantu para kafilah yang lalu lalang. Selalunya pasangan suami isteri ini akan dibayar sedikit wang oleh para kafilah atas bantuan yang diberi.

Mereka tiba dalam keadaan letih, lapar dan dahaga. Mereka berhasrat untuk membeli daging dan kurma daripada wanita itu. Tetapi ketika itu suami Ummi Ma’bad sudah keluar mengembala kambing di samping mencari pelanggan dari kalangan kafilah yang lalu. Jadi, tiada apa-apa yang boleh Ummi Ma’bad jual kepada tetamunya yang sedang kelaparan itu. Ketika itu, Ummi Ma’bad tidak mengenali lelaki di hadapannya ialah seorang Nabi, lelaki mulia yang menjadi sebutan seluruh tanah Arab ketika itu. Sangkanya lelaki itu sama seperti lelaki dari kafilah lain yang singgah meminta bantuan. Seketika kemudian, Nabi Muhammad SAW terpandang seekor kambing kurus yang tertambat di tepi khemah.

“Apakah kambing itu mempunyai susu untuk diperah?” Nabi Muhammad SAW bertanya.

“Kambing itu terlalu lemah dan kurus, tuan. Tidak mungkin ia ada susu,” balas Ummi Ma’bad. Dia merasa hampa kerana gagal membantu tetamunya yang dalam kesusahan.

Sebaliknya Nabi membalas, “Tidak mengapa. Tetapi, bolehkah anda benarkan saya memerahnya?”

“Jika tuan fikir ia mempunyai susu, maka perahlah.” Ummi Ma’bad memberi kebenaran.

Rasulullah pilihan daripada seluruh rasul pilihan. Pilihan atas pilihan untuk rasul akhir zaman. Membawa Quran dari Tuhan. Untuk panduan umat kemudian. Hatinya bersih, sabarnya keras, Ulul Azmi tidak ada taranya. Berbagai-bagai rintangan, bermacam-macam cabaran. Menghadapi puluhan peperangan, hatinya tahan. Seluruh hidupnya di dalam penderitaan, tidak pernah surut di dalam perjuangan. Betullah Rasul contoh daripada segala contoh seluruh rasul pilihan. Hatinya dengan Tuhan tidak pernah putus hubungan.

Nabi Muhammad SAW mendekati kambing itu dan mengusapnya perlahan. Dia berdoa, membaca nama Allah dan mula memerah. Dengan izin Allah, susu kambing keluar dengan banyak. Lalu susu itu diisi ke dalam mangkuk. Kemudian, susu itu diberikan kepada Ummi Ma’bad dan tiga orang sahabatnya yang keletihan. Selepas tiga orang sahabatnya kenyang, barulah giliran Nabi meminumnya. Kemudian dia memerah semangkuk lagi dan menyerahkan kepada Ummi Ma’bad sebagai bekalan. Sejurus kemudian, rombongan itu mengucapkan terima kasih lalu meneruskan perjalanan ke kota Madinah.

Tidak lama kemudian, suaminya, Abu Ma’bad pulang bersama sekawan kambingnya yang kurus kerana tidak cukup makanan. Selepas melangkah masuk ke dalam khemah, dia terperanjat melihat ada semangkuk susu segar. Dia kehairanan kerana pada pengetahuannya, semua kambingnya kurus kering dan kekurangan makanan. Tidak mungkin kambingnya boleh mengeluarkan susu sesegar itu.

Ummi Ma’bad menceritakan mengenai kedatangan empat orang lelaki Quraisy ke khemah mereka tadi. Dia menyatakan kagumnya dengan lelaki itu. Katanya, lelaki itu punya sepasang tangan yang cukup berkat kerana berjaya memerah susu daripada kambing yang kurus itu.

“Ceritakan bagaimana paras orang itu, Ummi Ma’bad,” pinta Abu Ma’bad.

“Dia seorang yang pembersih. Mempunyai wajah yang bercahaya dan tingkah laku yang sangat baik,” kata Ummi Ma’bad.

Kemudian dia menyambung, “Rupanya sangat cantik. Matanya hitam, bulu keningnya lebat, suaranya garau manakala tengkuknya panjang. Dia mempunyai janggut yang lebat dan betis yang panjang. Kulitnya pula kemerah-merahan serta bercelak.” Dia berhenti berbicara. Abu Ma’bad pula diam mendengarnya.

Engkau laksana purnama di malam gelap-gelita. Cahayamu memenuhi alam buana. Semua makhluk bergembira dan ria.

“Dia sangat tenang jika berdiam diri. Apabila bercakap, dia kelihatan hebat. Jika dilihat dari jauh, dia seorang yang amat cantik dan kelihatan cerah, manis dan bagus. Dia seorang yang terlalu sempurna, serta mempunyai teman-teman yang sayang kepadanya. Jika dia bercakap mereka mendengar dan menurut perintahnya.” Ummi Ma’bad memperincikan sifat lelaki yang ditemuinya.

Abu Ma’bad kagum mendengarnya. “Demi Allah, itulah lelaki Quraisy yang disebut-sebut di Mekah. Aku memang bercita-cita hendak mengikutnya. Jika aku ada peluang, aku akan lakukan!”

Mendengar kata-kata suaminya, Ummi Ma’bad tidak berlengah lagi. Dia menyiapkan barang-barang keperluan lalu berangkat ke Madinah mengikut jejak tetamunya tadi. Di sana, mereka memberikan taat setia dan menjadi pengikut Islam yang sejati.

Sejak itu, nama Ummi Ma’bad atau nama asalnya Atikah binti Khalid al-Khuzaiyah tercatat dalam sejarah Islam kerana bijak dan fasih dalam menerangkan sifat Nabi. Ungkapan yang digunakannya begitu halus, lembut, terperinci dan penuh berperasaan sekaligus membuktikan ketajaman akalnya.

http://kisahteladan.info/category/kisah-mukminah/page/4

KISAH RABIAH AL ADAWIYAH

KISAH RABIAH AL ADAWIYAH
Gambar hiasan aje..la
 DOA RABIUL AL ADAWIYAH

Tuhanku, apa saja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa saja kebaikan yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat syurga atau neraka. Aku hendak pandangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada-Mu ialah sepanjang hayatku, berilah aku dapat mengingati-Mu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandang-Mu.

Rabiah ialah anak keempat dalam satu keluarga miskin dilahirkan pada kurun pertama Hijrah di kota Basrah, tebing Sungai Dajlah, Iraq. Bapanya bernama Ismail bin Muhammad Dawi. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat patuh dan taat pada agama, sukakan kebaikan dan sentiasa berdamping diri dengan Al Quran. Ayahnya seorang yang warak, sentiasa memenuhi masa dengan membaca Al Quran, memperbanyakkan sembahyang sunat, dan berpuasa serta hati tak lekang dari berzikir mengingati Allah.


Oleh kerana Rabiah anak yang bongsu, dia selalu mengikuti bapanya dan berdamping dengan segala program ayahnya. Sejak kecil lagi beliau telah dapat menghafaz Al Quran. Selain itu Al Quran juga menjadi penawar hatinya dan ubat bagi mengubati segala penyakitnya. Perangai Rabiah sangat berbeza dari adik beradiknya yang lain. Beliau sentiasa tenang dan tidak gopoh apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Bila waktu makan, beliau makan sedikit dan berhenti sebelum kenyang.

Rabiah selalu mengingatkan ayahnya supaya mengawasi dari memberi makanan yang syubhat lebih-lebih lagi yang haram kepadanya.

“Wahai ayah, lebih baik bersabar kerana lapar di dunia daripada bersabar terhadap azab Allah di akhirat.”

Dari keistimewaan yang terdapat padanya serta tingkah lakunya yang luar biasa sejak dari kecil itu, ternyata bahawa suatu hari nanti Rabiah Al Adawiyah akan menjadi salah seorang di antara kekasih-kekasih Allah. Bagaimanapun untuk mencapai darjat yang tinggi itu beliau terpaksa menghadapi berbagai ujian dan penderitaan hidup. Allah SWT tidak akan mengangkat darjat seseorang dengan semudah atau tanpa diuji terlebih dahulu.

Ujian pertama yang terpaksa ditempuhi ialah ayahnya meninggal dunia dalam usianya yang masih muda, ibunya pula menyusul tidak lama selepas itu. Ini membuatkan beliau terpaksa berpisah dengan adik beradiknya yang lain. Tinggallah Rabiah yatim piatu dan sebatang-kara tanpa saudara mara tempat mengadu dan bergantung hidup. Ketika itu ia hidup penuh dengan linangan air mata dan kesedihan memanjang. Ini membuatkan dia sedar dan insaf bahawa ujian yang Allah timpakan itu adalah untuk mengajarnya agar jangan bergantung dengan makhluk yang lain kecuali Allah. Allahlah tempat mengadu dan Allah jugalah yang menjadi hiburan dan tempat mengharap kasih sayang. Kini beliau menyerahkan dirinya bulat-bulat pada Allah.

Dalam keadaan demikian Rabiah telah bersua dengan seorang lelaki tua yang sedang bertasbih dan memuji Allah. Beliau menasihatkan Rabiah supaya bersabar kerana itu merupakan ujian Allah. Rabiah sentiasa diperlihatkan dengan mimpi-mimpi yang baik dalam tidurnya serta membuatkan beliau tenang dan sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran hidup.

Tidak berapa lama kemudian, bandar Basrah tempat tinggalnya telah dilanda musim kemarau yang sangat teruk dan berakhir dengan kebuluran dan kemusnahan. Ini membuatkan Rabiah terpaksa berhijrah ke tempat lain yang lebih selamat. Sewaktu menumpang dalam satu kafilah, tanpa disangka-sangka kafilah mereka telah diserang oleh perompak. Ketua perompak itu telah menangkap Rabiah untuk dijadikan barang rampasan dan beliau telah dijual di pasar sebagai hamba abdi.

Kini dia terikat dan berkhidmat pula dengan seorang tuan yang baru. Pada siang hari dia terpaksa bekerja kuat, membanting tulang empat keratnya mengangkat air, mengemas serta mengurus rumah. Namun begitu, walaupun keletihan, di malam hari, tetap digunakan untuk bermunajat dan beribadah kepada Allah. Dia sedar masa yang Allah kurniakan sangat berharga kepada hamba-hamba-Nya yang mahu berfikir.

Suatu hari, ketika beliau ke satu tempat atas suruhan tuannya, beliau telah dikejar oleh orang jahat. Rabiah terpaksa lari menyelamatkan diri tetapi malang, kakinya telah tergelincir lalu jatuh. Tangannya patah lantas beliau berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku ini anak yatim lagi abdi. Sekarang tanganku pula patah. Sungguh aku tidak peduli itu semua asalkan Engkau redha padaku, dan tunjukkanlah akan keredhaanMu itu.”

Tiba-tiba dia terdengar satu bisikan menyuruh ia bersabar dan mengingatkan ia akan janji-janji Allah di akhirat kelak. Selepas peristiwa itu pergantungan hatinya dengan Allah semakin teguh. Segala pengalaman yang dilalui dalam menempuh hidup ini yang penuh onak dan duri serta malapetaka dan bahaya menjadikan beliau seorang yang tahan diuji. Segala ujian yang ditimpakan itu semakin meneguh dan menguatkan keyakinannya terhadap Allah.

Pada suatu malam secara tidak sengaja tuannya telah terdengar suara rayuan dan munajat Rabiah kepada Allah. Ia bangun bertahajud di kala orang lain sedang enak tidur dibuai oleh mimpi-mimpi indah. Dengan penuh linangan air mata, Rabiah bercakap-cakap dengan Alllah, katanya: “Tuhanku, Engkau lebih mengetahui bagaimana aku cenderung benar hendak melakukan perintah-perintahMu dan menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku akan habiskan seluruh masa malamku dan siangku dengan melakukan ibadat padaMu. Tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia.”

Tiba-tiba bilik Rabiah diterangi eahaya yang terang-benderang sedangkan dalam bilik itu tidak ada pelita atau lampu. Ini membuatkan tuannya sedar dan insaf akan kesalahannya kerana tidak membebaskan orang yang begitu hampir dan cinta kepada Allah.

Keesokan harinya, pergilah tuannya berjumpa dengan Rabiah dan memberitahu bahawa ia menyesal kerana memperhambakan Rabiah selama ini bahkan dia pula bersedia untuk menjadi hamba kepada Rabiah. Mendengar itu Rabiah merasa terharu. Dia lebih rela meninggalkan rumah itu dan mengasingkan diri dengan beruzlah serta bertaqarub kepada Allah.

Akhirnya, Rabiah Al Adawiyah kembali menumpukan sepenuh perhatian untuk beribadah dan memuji-muji Allah, mencurahkan harapan dan isi hatinya kepada Allah. Dia cintakan Allah sepenuh jiwa dan perasaan kerana dia dapat melihat Allah dengan ‘ainul basyirah’. Dia sedar hanya Allah sahaja yang layak dicintai dan dirindui serta dipuja dan hanya Allah yang mempunvai sifat-sifat yang lengkap untuk dipuji.

Karamah
Berbagai karamah yang Allah kurniakan padanya dalam pengalaman kerohanian yang dilaluinya. Di antaranya, pada suatu ketika Hassan Al Basri mengajak Rabiah berbincang mengenai hal-hal kerohanian yang dilaluinya di atas air tasik. Beliau berkata begitu dengan niat hendak menunjukkan kelebihannya kepada orang lain yang ia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa boleh berjaian di atas air). Rabiah Al Adawiyah berkata, “Hassan, buanglah perkara yang sia-sia itu jika kamu benar-benar hendak memisahkan diri dari perhimpunan aulia’ Allah. Kenapa kita tidak terbang saja di udara?” Rabiah Al Adawiyah berkata sedemikian kerana dia boleh berbuat demikian dan itulah salah satu karamah yang Allah kurniakan kepada beliau tetapi Hassan tidak boleh berbuat seperti itu.

Rabiah berkata lagi, “Ketahuilah bahawa apa sahaja yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan inikan aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara luar biasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap Allah.”

Satu-satunya cara agar kita memperolehi kasih sayang ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan - Rabiatul Adawiyah.

Cintakan makhluk pada pendapat Rabiah Al Adawiyah tidak akan mewujudkan kebahagiaan yang abadi untuk seorang insan kerana ia tidak kekal. Cintakan makhluk seringkali membuatkan seseorang itu kecewa, merana, menderita dan terseksa. Oleh itu, tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada Pencipta makhluk itu sendiri. Bahkan Rabiatul Adawiyah sentiasa menangis. Air matanya terlalu mudah tumpah walaupun kesalahan yang dilakukan tidaklah seberat mana, cuma lalai atau lupa pada Allah sedetik sahaja tetapi dirasakan terlalu besar dosanya. Ada orang bertanya kenapa Rabiah Al Adawiyah mudah menangis? Rabiah menjawab, “Aku takut berpisah dengan Allah walau sedetik pun dan aku tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafasku yang terakhir, jauhkan dia dari-Ku kerana dia tidak layak berada di majlis-Ku.”

Kehidupan Rabiah Al Adawiyah terlalu miskin dan zuhud. Di dalam rumah beli¬au hanya terdapat sebuah balang yang mengandungi air minum dan wuduk, sebiji bata sebagai bantal dan sehelai tikar buruk sebagai alas tempat tidur. Melihatkan keadaan beliau yang terlalu dhaif, orang pun bertanya kepadanya, “Kenapa kamu hidup begini, sedangkan kamu mempunyai ramai teman yang hidup kaya raya dan mereka tentu boleh membantumu?”

Rabiah Al Adawiyah berkata, “Aku malu meminta perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan milik mereka kerana perkara-perkara itu adalah amanah Allah kepada mereka dan Allah jua memiliki segala-galanya. Bahkan aku lebih senang hidup dalam keadaan begini tanpa sibuk memikirkan soal-soal dunia yang bersifat sementara.”

Sungguhpun keadaan rumahnya begitu, ia tetap menjadi kunjungan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat dan secara tidak langsung merupakan sebuah sekolah untuk mempelajari “Al Hikmah” kerana orang ramai dapat menilai diri sendiri dari nasihat-nasihat beliau. Mereka juga datang untuk mempelajari ilmu-ilmu yang lain seperti feqah, tasawuf, ilmu jiwa dan lain-lain.

Antara doa Rabiah Al Adawiyah yang termasyhur ketika beliau bercakap-cakap dengan Tuhan dan tatkala merintih di waktu sunyi berbunyi:

“Tuhanku, apa saja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa saja kebaikan yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat syurga atau neraka. Aku hendak pandangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada-Mu ialah sepanjang hayatku, berilah aku dapat mengingati-Mu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandang-Mu.”

Subhanallah..Subhanallah.


http://kisahteladan.info/wali/rabiah-al-adawiyah.html

KISAH BAGAIMANA RASULULLAH BERKAHWIN DENGAN JUWAIRIYAH

KISAH BAGAIMANA RASULULLAH BERKAHWIN DENGAN JUWAIRIYAH


Gambar hiasan jee..
"Tiada siapa lagi yang aku cintai selepas Rasulullah hanya Allah jua yang akan mematikan aku bila-bila masa saja. Dan aku kini menanti kehadiranMu untuk membawa aku bersama ke alam yang lebih indah ini." - JUWAIRIYAH

Wanita yang paling bertuah di dunia ini ialah wanita yang menjadi isteri Rasulullah. Kerana bila seorang wanita itu berkahwin dengan Rasulullah maka dengan sendirinya Allah mengangkat darjat wanita tersebut. Sesiapa pun tidak boleh menandingi darjat itu sekalipun wanita solehah yang ibadahnya hebat, puasanya setiap hari, zikirnya banyak, akhlaknya cantik dan lain-lain ibadah yang termampu dilakukannya. 

Darjat Ummul Mukminin atau “Ibu orang-orang beriman” adalah darjat tertinggi dari Allah yang diberikan hanya kepada wanita yang bergelar isteri Rasulullah. Sudah selayaknya darjat itu diberikan kerana hanya wanita itu saja dapat bergaul, berhubung mesra seterusnya mengurus segala keperluan yang dihajati oleh Rasulullah. Rasulullah adalah insan yang paling sempurna dan sangat Allah cintai hingga kerana itu Allah SWT ada berfirman dalam hadis Qudsi yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan dunia ini melainkan kerana Muhammad.”

Bila menjadi isteri Rasulullah bermakna sanggup menghadapi berbagai kemungkinan. Dia juga terpaksa berkongsi apa saja yang dihadapi oleh Rasulullah sama ada kesusahan, penderitaan dan kata nista. Kerana Rasulutlah adalah seorang pejuang dan perjuangannya itu memerlukan pengorbanan yang besar. Itulah yang terpaksa dihadapi oleh kesemua isteri-isteri Rasulullah.

Mari kita menyingkap kisah salah seorang daripada isteri Rasulullah. Kalau dulunya (sebelum berkahwin dengan Rasulullah) adalah seorang yang sangat anti dengan Rasulullah dan perjuangan baginda menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, tetapi bila Allah menghendaki dengan mudah saja Allah boleh memutarkan hatinya dan akhirnya dia adalah salah seorang yang sangat-sangat mencintai baginda dan mencintai perjuangan baginda. Dia sanggup mengorbankan segala kemewahan dan keseronokan hidup demi cintanya pada baginda.

Juwairiyah. Begitulah indah namanya, sebagaimana cantiknya akhlak dan peribadinya. Rasulullah memberikan nama tersebut sebaik saja baginda mengahwininya. Sebelum ini nama beliau ialah Barrah binti Al Harris Ad Dirar, keluarganya berketurunan Yahudi iaitu dari Kabilah Bani Al Mustaliq. Ayahnya adalah pemimpin puak tersebut yang mana beliau juga sangat memusuhi Islam dan memusuhi Rasulullah sendiri. Tapi akhirnya ayah dan seluruh kaumnya semua memeluk Islam iaitu berkat perkahwinan Juwairiyah dengan Rasulullah. Inilah hikmahnya perkahwinan Rasulullah, Rasulullah tidak akan sekali-kali menikahi dengan seseorang melainkan ada strategi perjuangan di sebalik perkahwinan itu, walaupun sebenarnya juwairiyah adalah seorang janda.

Kisahnya bermula begini. Selepas berlakunya peperangan Khandaq yang mana setelah Rasulullah bermesyuarat bersama pihak Yahudi untuk bertahan di dalam kota Madinah untuk menentang musuh dari kafir Quraisy, di saat-saat akhir pihak Yahudi itu telah memungkiri janji. Kesan dari itu Rasulullah tidak lagi memberi peluang kepada kaum Yahudi itu dan akhirnya peperangan berlaku antara pihak Muslimin dengan kaum Yahudi Bani Mustaliq itu. Pihak Yahudi yang belot itu akhirnya kalah teruk, ramai di antara tentera mereka yang mati termasuklah suami Juwairiyah dan Juwairiyah sendiri menjadi tawanan perang. Beliau menjadi tawanan perang kepada seorang sahabat Rasulullah bernama Sabit bin Qias. Begitulah juga tawanan yang lain telah pun diagih-agihkan menjadi tawanan kepada umat Islam termasuklah harta ghanimah (harta rampasan perang).

Menyedari yang dirinya telah jatuh ke tangan musuhnya, maka Barrah (Juwairiyah) mengambil keputusan untuk menebus dirinya. Sabit bin Qais telah mengenakan tebusan yang tinggi kerana dia tahu Barrah adalah seorang puteri kepada orang yang ternama dan terkaya di kalangan kaumnya. Maka sudah tentu ayahnya tidak keberatan membayar berapa saja untuk menyelamatkan anaknya. Oleh kerana Sabit mengenakan tebusan yang terlalu tinggi, Barrah bimbang permintaan itu akan membawa akibat yang melampaui batas, ialu Barrah mengambii keputusan untuk berjumpa dengan Rasulullah sendiri untuk menyetesaikan masalahnya. Ketika itu Rasulullah berada di rumah Siti Aisyah. Apabila berhadapan dengan Rasulullah, beliau pun mengajukan masalahnya.

“Ya Rasulullah, saya adalah Barrah binti Al Harris bin Dirar, anak kepada penghulu kaumku.Tujuan kedatangan saya ini, sebagaimana tuan ketahui iaitu saya menjadi bahagian Sabit bin Qais. Tetapi saya telah diberinya kesempatan untuk menebus diri saya dengan bayaran sebanyak 9 uqiyyah (1 uqiyyah bersamaan 1 setengah tahil emas). Sekarang saya datang kepada tuan dan bermohon agar tuan membantu saya dalam hal ini agar dengan itu saya dapat melepaskan diri saya (dari perhambaan) ini,” katanya bersungguh-sungguh.

Rasulullah diam seketika. Baginda mengamat-amati ucapan Barrah itu, sambil baginda berfikir. Barrah, puteri pemimpin Bani Mustaliq itu juga diam bila lihat Rasulullah SAW menundukkan kepalanya. Apa yang difikir dan disedihkan oleh baginda. Hati Barrah tertanya-tanya.

Sebentar kemudian Rasulullah mengangkat kepalanya dan memandang kepada Barrah yang sedang diam membatu di hadapan baginda. Rasulullah dengan nada lembut berkata, “Adakah mahu bagimu yang lebih baik daripada yang kamu minta itu?” tanya Rasulullah SAW.

“Apalah lagi ya Rasulullah,” Barrah lantas bertanya.

“Begini,” ujar Rasulullah, “Biarlah aku bayarkan tebusan dirimu yang diwajibkan oleh Sabit bin Qais, kemudian aku mengahwini engkau,” Rasulullah berterus-terang.

Mengakhiri ucapan Rasulullah SAW itu spontan Barrah menjawab, “Baiklah, ya Rasulullah. Saya setuju.”

Rasuluilah menepati janjinya. Baginda membayar wang tebusan sebanyak yang dipinta oleh Sabit dan mengahwini Barrah. Kini, Barrah bukan lagi seorang hamba, tetapi darjatnya telah naik ke taraf Ummul Mukminin. Sejak itu namanya ditukar oleh Rasulullah kepada Juwairiyah.

Rasulullah SAW bersabda: Dunia adalah sebaik-baik tempat dan sebaik-baik tempat di dalam dunia adalah wanita yang solehah.

Berita perkahwinan Rasulullah SAW dengan Juwairiyah cepat tersebar kepada umum. Tidak ada seorang pun tidak tahu tentang perkahwinan itu. Ada yang dengar dengan perasaan gembira dan bersyukur dan ada mendengarnya dengan perasaan berbuku di hati dan dendam. Walau apa keadaan sekalipun ragam masyarakat mendengarkan berita itu, namun Allah SWT jua mengetahui dan tetap mengurniakan nikmat yang besar kepada perkahwinan Juwairiyah dengan Rasulullah itu. Masakan Juwairiyah tidak gembira berkahwin dengan seorang pemimpin umat yang dikasihi oleh Allah SWT. Kaum Muslimin yang ada menawan keturunan Bani Mustaliq sebagai hamba sahaya apabila mendengarkan berita itu, lantas mereka berkata, “Tidak layaklah kiranya biras atau ipar-ipar Rasulullah SAW dijadikan hamba sahaya.”

Lantaran itu para sahabat yang memiliki bekas tawanan perang Bani Mustaliq yang dijadikan sebagai hamba, memerdekakan hamba-hamba mereka tanpa wang tebusan. Inilah keberkatan yang Allah SWT limpahkan kepada Juwairiyah kerana perkahwinannya dengan Rasulullah SAW.

Khabar gembira ini disambut oleh kaum Bani Mustaliq dengan penuh kesyukuran. Dalam hal ini pemah Sayidatina Aisyah, Ummul Mukminin berbicara dengan katanya, “Sungguh telah dimerdekakan dengan sebab perkahwinan itu, seratus keluarga kaum Bani Mustaliq. Maka tidak pernah kuketahui seorang wanita yang banyak berkatnya atas kaumnya, lebih daripada Juwairiyah.”

Kerana itu jugalah ayahanda Juwairiyah iaitu Al-Haris bin Abi Dirar memeluk Islam di hadapan Rasulullah SAW. Dan ada di kalangan mereka tidak mahu kembali ke desa dan kaum mereka tapi lebih suka tinggal di Madinah saja bersama Rasulullah SAW.

Begitulah besarnya berkat perkahwinan Juwairiyah dengan Rasulullah SAW.

Sejak perkahwinannya, Juwairiyah tidak ke mana-mana, dia lebih suka menetap di rumah yang disediakan oleh Rasulullah SAW di sisi masjid Madinah. Dia juga seorang yang mempunyai paras wajah yang menawan dan ini juga menimbulkan perasaan cemburu pada isteri-isteri Rasululah SAW yang lain. Sikap cemburu itu hanya dapat dilihat dengan kerdipan mata antara satu sama lain, mengata-ngata di antara mereka, dan ada juga yang menyatakan rasa cemburunya itu dengan sikap dan kata-kata. Hal itu menimbulkan perasaan tidak senang di hati Juwairiyah dan segera diadukannya kepada baginda Rasulullah SAW.

“Wahai Rasulullah, isteri-isterimu yang lain terasa bangga dan lebih mulia daripadaku. Apalagi mereka mengatakan bahawa saya tidak tuan kahwini (maksudnya hanya sebagai hamba sahaya Rasulullah saja),” katanya.

Bila mendengar aduan itu, Rasulullah SAW tidak senang duduk melihat ragam isteri-isterinya. Yang lebih Baginda tersinggung biIa mengatakan Juwairiyah hanya sebagai hamba sahayanya.

Rasulullah SAW berkata, “Wahai Juwairiyah! Bukankah aku telah memberimu mahar yang mahal yang telah memerdekakan empat puluh orang daripada kaummu.”

Ucapan itu membuatkan hati Juwairiyah gembira, tidak jadi memberontak. Dia dapat menenteramkan hatinya dan membuat kebaikan terhadap isteri-isteri Rasulullah yang lainnya. Itulah sifat yang ada pada diri isteri yang barakah ini setelah diberi penawar oleh Rasulullah SAW.

Setelah Rasulullah SAW wafat, Juwairiyah tetap teguh imannya dan semakin hampir dia di sisi Allah SWT. Baki usianya yang sedikit itu sejak kewafatan Rasulullah SAW telah dihabiskannya untuk berdamping dengan Allah SWT.

“Tiada siapa lagi yang aku cintai selepas Rasulullah hanya Allah jua yang akan mematikan aku bila-bila masa saja. Dan aku kini menanti kehadiranMu untuk membawa aku bersama ke alam yang lebih indah ini,” Itulah bisikan hati Juwairiyah dalam menghabiskan hidupnya beribadah kepada Allah SWT.

Juwairiyah juga seorang perawi hadis selain daripada Aisyah Ummul Mukminin, terutama yang berhubung rapat dengan masalah hukum syariat. Di antara beberapa masalah yang diriwayatkannya dari Rasulullah iaitu: “Pernah Rasulullah masuk ke rumahku dan didapatinya aku sedang berpuasa  ( puasa sunat). Kemudian Rasulullah bertanya kepadaku: “Adalah kelmarin engkau berpuasa?”

“Tidak,” jawabku. Kemudian Rasulullah bertanya lagi: “Apakah esok nanti engkau mahu berpuasa?”

“Tidak,” jawabku lagi. Lantas Rasulullah bersabda: “Kalau demikian berbukalah!”

Pada suatu masa yang lain Rasulullah datang ke rumahku, lalu bertanya kepadaku, “Apakah engkau punyai makanan?” Aku menjawab, “Tidak ada ya Rasulullah! Kecuali tulang kambing yang diberikan menantumu yang berasal dari sedekah.” Beliau bersabda, “Hidangkanlah kepadaku, kerana hukum sedekah telah hilang dan ia menjadi halal bagi kita.”

Dengan demikian jelaslah sudah bagi kita kedudukan Juwairiyah selaku Ummul Mukminin bukan saja menjadi ibu segala orang yang beriman, kuat ibadahnya kepada Allah dan guru kepada masyarakatnya selama kepergian Rasulullah SAW, tetapi dia juga muncul sebagai seorang perawi hadis yang luas pengetahuannya.

Juwairiyah meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun ke 50 Hijrah. Ketika itu di zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah. Dalam usianya menjangkau 65 tahun, Juwairiyaah telah ditakdirkan oleh Allah SWT untuk tamat masanya menjalani kehidupan di dunia dan kembali ke hadrat Allah SWT dengan membawa segugus hati yang merindui-Nya. Kerinduannya itu dapat dirasai oLeh sahabat-sahabat baginda dan wanita-wanita Mukmin dengan linangan air mata kerana Juwairiyah wanita yang banyak membawa barokah kepada orang-orang yang hidup sezaman dengannya.

http://kisahteladan.info/category/kisah-mukminah/page/5

SIAPA PINTU GERBANG ILMU?

Siapa  Pintu Gerbang Ilmu ?
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Aku ini kotanya ilmu pengetahuan, dan Ali adalah sebagai pintunya.”

Pada suatu hari, sepuluh orang dari kaum Khawarij bertemu dengan Sayidina Ali bin Abi Talib kwj untuk bertanyakan beberapa soalan. Walau bagaimanapun, mereka sebenarnya bertujuan untuk menguji kehebatan Sayidina Ali sama ada ia bertepatan dengan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Aku ini kotanya ilmu pengetahuan, dan Ali adalah sebagai pintunya.”

Sebaik sahaja bertemu Sayidina Ali, mereka dilayan dengan begitu baik. Salah seorang dari mereka kemudian membuka mulut dan berkata, “Wahai Ali, kami yang datang seramai sepuluh orang ini adalah dihantar oleh kaum kami untuk mengajukan pertanyaan kepadamu. Kami akan bertanya secara bergilir-gilir dan jawapan yang kamu berikan itu akan kami bawa pulang kepada kaum kami.”

“Baiklah, apakah soalannya?” jawab Sayidina Ali kwj.

“Wahai Ali, yang manakah lebih mulia, ilmu pengetahuan atau harta benda, dan apakah sebabnya?” tanya orang pertama.

Lalu Sayidina Ali menjawab, “Ilmu pengetahuan itu adalah warisan para nabi, sedangkan harta kekayaan adalah warisan daripada Qarun, Syadad dan lain-lain. Oleh kerana itu, ilmu pengetahuan lebih mulia daripada harta benda.”

Kemudian orang kedua pula bertanya, “Manakah yang lebih mulia, ilmu pengetahuan atau harta benda, dan jelaskan sebab-sebabnya?”

“Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmulah yang menjaga dan memelihara pemiliknya, sedangkan harta, si pemiliknya lah yang memelihara dan menjaganya,” jawab Sayidina Ali kwj.

Setelah Sayidina Ali berjaya menjawab soalan daripada orang pertama dan kedua, orang ketiga, keempat, kelima, hingga kesepuluh bergilir menanyakan soalan, sama seperti yang diajukan oleh orang pertama dan kedua.

Kepada orang yang ketiga, Sayidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana orang yang berilmu banyak sahabatnya, sedangkan orang yang banyak hartanya lebih banyak musuhnya.”

Kepada orang yang keempat, Sayidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu bila disebarkan atau diajarkan akan bertambah sedangkan harta kalau diberikan kepada orang lain akan berkurangan.”

Kepada orang yang kelima, Sayidna Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmu tidak dapat dicuri, sedangkan harta benda mudah dicuri dan dapat lenyap.”

Kepada orang yang keenam, Sayidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu tidak akan rosak binasa, sedangkan harta kekayaan boleh lenyap dan habis akibat masa dan usia.”

Kepada orang yang ketujuh Sayidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu tidak ada batasnya, sedangkan harta benda ada batasnya dan dapat dihitung jumlahnya.”

Kepada orang yang kelapan Sayidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu memberi dan memancarkan sinar kebaikan, menjernihkan fikiran dan hati serta menenangkan jiwa, sedangkan harta kekayaan pada umumnya dapat menggelapkan jiwa dan hati pemiliknya.”

Kepada orang yang kesembilan Sayidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta kerana orang yang berilmu mencintai kebajikan dan kata-katanya mulia seperti orang yang warak, sedangkan orang yang berharta boleh menjadi melarat dan lebih cenderung kepada sifat-sifat kikir dan bakhil.”

Akhirnya kepada orang yang kesepuluh Sayidina Ali menjawab: “Ilmu lebih mulia dan lebih utama daripada harta kekayaan kerana orang yang berilmu lebih terdorong untuk mencintai Allah, sedangkan harta benda hanya membangkitkan rasa sombong, bongkak dan takbur.”

Kemudian Sayidina Ali menyambung dengan membaca ayat Al-Quran dari Surah Al Mujaadilah (58:11) yangbermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Sepuluh orang kaum Khawarij itu menjadi kagum kerana satu pertanyaan mereka dapat dijawab oleh Sayidina Ali kwj dengan sepuluh jawapan yang berbeza. Selepas itu, mereka pulang menemui kaum mereka dengan perasaan puas serta bertambah yakin bahawa Khalifah Sayidina Ali kwj benar-benar seperti yang dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu sebagai pintu gerbang ilmu.

http://kisahteladan.info/sahabat/gerbang-ilmu.html

Sabtu, 10 November 2012

SEPOTONG ROTI PENEBUS DOSA

SEPOTONG ROTI PENEBUS DOSA
Roti bakaq pelangi
 Nabi SAW telah bersabda :
 " Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. 
Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. 

Dan engkau menolong seseorang menaiki tunggangannya atau pun engkau menolong mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. 

Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat solat adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah. " Diriwayatkan oleh Abu Hurairah.

Abu Burdah bin Musa Al-Asy’ari meriwayatkan, bahawa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya: “Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sepotong roti.”

Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun. Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga dia pun tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelimang di dalam dosa selama tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami-isteri. Setelah dia sedar, maka ia lalu bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian dia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan bersujud.

Akhirnya dalam pengembaraannya itu dia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya sudah terdapat dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu. Rupa-rupdnya berhampiran kedai tersebut hidup seorang Pendeta yang pada setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu, masing-masingnya mendapat sepotong roti.

Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membahagi-bahagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu juga dengan laki-laki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin.

SABDA RASULULLAH SAW: 
Berikanlah sedekah walaupun dengan sebiji tamar ataupun sebuku roti, atau sebuah senyuman yang manis. 
Rupa-rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu ia berkata: “Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku.”

Orang yang membahagikan roti itu menjawab: “Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bahagikan semuanya telah habis, dan aku tidak membahagikan kepada mereka lebih dari sepotong roti.”

Mendengar ungkapan dari orang yang membahagikan roti tersebut, maka laki-laki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia.

Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam.

Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang dengan sepotong roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya, ternyata amal sepotong roti tersebut lebih berat timbangannya dibanding dengan perbuatan dosanya selama tujuh malam itu.

Kepada anaknya Abu Musa berkata: “Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sepotong roti itu!”

Subhanallah, Subhanallah .

http://kisahteladan.info/iktibar/sepotong-rot.html

Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...