Jumaat, 16 November 2012

Ketelitian Luarbiasa IMAM BUKHARI

Ketelitian Luarbiasa  IMAM BUKHARI


Maqam Imam Bukhari di Samarkand

Imam Bukhari meriwayatkan Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Orang yang membantu janda dan orang miskin ibarat berjihad di jalan Allah dan ibarat orang yang solat malam. Ia tidak merasa lelah dan ia juga ibarat orang berpuasa yang tidak pernah berbuka”.

Mengembara beribu batu untuk menuntut ilmu, mempelajari dan mengumpul hadis-hadis Rasulullah SAW bukanlah satu kerja yang mudah. Tapi itulah minat dan kecintaan lelaki luar biasa ini. Kesungguhannya amat ketara walaupun umurnya masih muda remaja. Pernah Imam Bukhari bermusafir 8,000 kilometer untuk mendapatkan sepotong hadis sahaja.

Bagaimanapun, beliau sangat teliti dalam menyaring Hadis-hadis yang diterimanya sebelum mengklasifikasikannya sebagai Hadis sahih.

Satu ketika beliau pergi ke rumah seorang perawi Hadis. Beliau melihat orang berkenaan sedang menabur sesuatu kepada binatang ternakannya. Rupa-rupanya dia menabur pasir untuk mengumpan haiwan itu supaya mendekatinya.

Melihat perbuatan orang tersebut, terdetik di hati Imam Bukhari, “Kalau orang ini boleh berlaku tidak jujur dengan haiwan, dia juga boleh berlaku tidak jujur dengan ilmu.”

Lalu beliau sekadar berjumpa orang itu tetapi tidak mengambil Hadis daripadanya.

Bagaimanapun, sekiranya beliau tidak menerima Hadis-hadis yang diragui perawiannya, Imam Bukhari tidak akan menyebut atau menyatakan keaiban perawi-perawinya, apalagi mengumpat atau mencela mereka. Beliau hanya mengatakan, “Hadis ini tidak mencukupi syarat-syarat yang diperlukan untuk diakui sebagai Hadis yang sahib” atau “Hadis ini tidak dipakai orang.”

Pada waktu kecilnya, Imam Bukhari telah hilang penglihatannya. Ibunya tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar penglihatan anaknya itu pulih. Hinggalah pada satu malam si ibu yang berhati mulia itu telah bermimpi bertemu Nabi Ibrahim a.s.

Dalam mimpinya itu Nabi Ibrahim a.s. berkata, “Wahai ibu! Allah telah mengembalikan penglihatan anakmu disebabkan doamu yang tulus dan sepenuh hati.”

Keesokan harinya, ketika si ibu bangun dari tidur, beliau amat terkejut dan gembira melihat anaknya Muhammad (nama sebenar Imam Bukhari) pulih penglihatannya.

“Muhammad… kau telah dapat melihat semula?” tanya ibunya.

“Ya, ibu, berkat doa ibu,” jawab Imam Bukhari dengan wajah ceria. Berkat doa ibunya juga, Imam Bukhari terbuka hatinya untuk mendalami ilmu terutama ilmu tentang Hadis. Sebagai tanda kesyukuran, si ibu merelakan anaknya berpisah daripadanya dan merantau menuntut ilmu.

Imam Bukhari telah menghabiskan sebahagian umurnya mengembara ke pelbagai tempat untuk belajar dan mengumpul Hadis untuk dimuatkan di dalam kitabnya “Sahih Bukhari”.

Pada satu malam Imam Bukhari bangun menyalakan lampu lalu pergi menyucikan diri. Kedinginan malam langsung tidak menggoyahkan azam dan niatnya untuk bermunajat pada Tuhan, seolah dia sudah lali dengannya.

Setelah menunaikan beberapa rakaat sembahyang, dia mengambil masa menulis dan menyalin kembali Hadis-hadis yang baru diterimanya. Menjelang Subuh, beliau menyambung sembahyangnya sebanyak 13 rakaat lagi.

Pada masa yang lain pula beliau akan berwudhuk dan melakukan sembahyang dua rakaat setiap kali hendak menulis (menaqalkan) sesebuah Hadis di dalam kitabnya “Sahih Bukhari”. Bagi beliau, Hadis adalah wahyu Allah jua, maka kepada-Nya beliau mohon pertolongan untuk menyempurnakan kerja mengumpul dan menyaring Hadis-hadis yang dipusakakan oleh Rasul tercinta.

Beliau juga dikenali sebagai ahli khusyuk. Pernah Imam Bukhari meminta tolong kawan-kawannya membuang sesuatu di belakang badannya yang membuatkan dia rasa tidak selesa setelah bersembahyang tadi.

“Masya-Allah, kau disengat lebah,” seru kawan-kawannya dengan nada hairan. Di belakang badan Imam Bukhari terdapat kesan-kesan lebam bekas sengatan lebah. Kebiasaannya, orang yang kena sengat sampai begitu tentu akan menjerit dan mungkin jatuh pengsan. Pelik, serangan lebah-lebah itu tidak sedikit pun mengganggu sembahyangnya.

Namun tidak ada yang aneh bagi manusia besar seperti Imam Bukhari ini. Sejak ia mula mengangkat takbir yang pertama untuk sembahyang hinggalah selesai memberi salam tiada ruang di hatinya untuk yang lain mencelah selain dan bermunajat dengan Penciptanya Yang Maha Pengasih.


http://kisahteladan.info/ulama/imam-bukhari.html

Perindu Cinta ALLAH : Rabia'ah Al-Adawiyah

Perindu Cinta ALLAH : Rabia'ah Al-Adawiyah
Gambar hiasan saja
Rabi'ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara' serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafsu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabi'ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi'ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran.

Sejak kecil lagi Rabi'ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam. Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi'ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman.

Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabi'ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

"Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau! 

Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.

Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu. 

Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi'ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu." 

Rabi'ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

"Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa." 

Setiap malam begitulah keadaan Rabi'ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi'ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

"Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu." 

Seperkara menarik tentang diri Rabi'ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

"Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun."

Rabi'ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi'ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

"Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu."

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

"Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, 
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, 
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, 
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun." 

Rabi'ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

"Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?"

Kecintaan Rabi'ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

"Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! 
Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu." 

Begitulah keadaan kehidupan Rabi'ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi'ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar." 

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

"Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan."

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita. Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah.

Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

Wallahua'lam.

http://tekno-daie.blogspot.com/2010/12/perindu-cinta-allah-rabiaah-al-adawiyah.html

BIOGRAFI RABIAH ADAWIYAH DARI BERBAGAI SUDUT PANDANG

Gambar hiasan saja
BIOGRAFI RABIAH ADAWIYAH DARI BERBAGAI SUDUT PANDANG


Siti Rabiah Adawiyah lahir di Basra pada tahun 105 H dan meninggal pada tahun 185 H. Siti Rabiah Al Adawiyah adalah salah seorang  perempuan Sufi yang  mengabdikan seluruh hidupnya hanya untuk beribadah kepada Allah. 

Seorang wanita yang alur kehidupannya tidak seperti wanita pada umumnya, ia terpencil dalam dunia material jauh dari hal-hal duniawi. Tidak ada sesuatu  yang lebih dicintainya di dunia yang melebihi cintanya kepada Allah. 

Kehidupannya hanya untuk mendapatkan redha Allah, tidak ada suatu tujuan apapun selain itu. Rabiah pernah mengungkapkan bentuk penyerahan dirinya kepada Allah, ketulusan ibadahnya kepada Allah dalam syair berikut ini :

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut api Neraka-Mu 
maka bakarlah aku di dalamnya. 
Dan jika aku menyembah-Mu kerana mengharap Surga-Mu 
maka haramkanlah aku daripadanya. 
Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu 
maka berikanlah aku balasan yang besar, 
berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

الحب الذي لا تقيده رغبة سوى حب الله وحده
‘Cinta yang murni yang bukan hanya terbatas oleh keinginan adalah cinta kepada Allah semata’.

Siti Rabiah Al-adawiyah dilahirkan di tengah keluarga miskin. Seisi rumahnya hanya  dapat ditemukan barang yang memang benar-benar diperlukan saja. Bahkan konon mereka tidak memiliki setitis minyak (sejenis minyak telon) saja untuk menghangatkan perut anaknya. Mereka tidak memiliki lampu untuk menerangi rumahnya. Ayahnya  hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan. Ayah Rabiah Adawiyah tidak sesekali meminta-minta kepada orang lain walaupun keadaan keluarganya sangat miskin. 

Ayah Rabiah bernama Ismail, nama yang tidak begitu dikenal di wilayahnya, jauh dari kehidupan gemerlapan kota Basra yang pada ketika itu merupakan kota besar. Lebih baik mati daripada hidup meminta-minta kepada orang lain bagi Ayah Rabiah Adawiyah. Prinsip yang melekat dalam diri Ayah Rabiah selaku suami dari isteri yang memiliki empat anak ini begitu kuat.  Seorang suami yang selalu yakin bahwa pertolongan Allah akan segera datang,  Allah tidak pernah tidur, Allah selalu akan menjaga dan melindungi isteri dan anak-anaknya. 

Hinggalah pada suatu ketika isterinya yang malang menangis sedih atas keadaan keluarganya  yang serba daif itu. Dalam keadaan yang demikian itu isterinya mengeluh kepada  sisuami. Sisuami hanya dapat menundukkan kepala ke lutut  hingga akhirnya dia terlena dalam tidurnya. Di dalam tidurnya dia bermimpi melihat Nabi. Nabi memujuknya: “Janganlah engkau bersedih, kerana bayi perempuan yang baru dilahirkan itu adalah ratu kaum wanita dan akan menjadi penengah bagi 70 ribu orang di antara kaumku”.  Kemudian Nabi meneruskan; “Besok, pergilah engkau menghadap ‘ Gabenor Bashrah, Isa az-Zadan dan  tuliskan kata-kata berikut ini di atas sehelai kertas putih : ‘Setiap malam engkau mengirimkan shalawat seratus kali kepadaku, dan setiap malam Jumaat empat ratus kali. Kelmarin adalah malam Jumaat tetapi engkau lupa melakukannya. Sebagai penebus kelalaianmu itu berikanlah kepada orang ini empat ratus dinar yang telah engkau peroleh secara halal".

Ketika terjaga dari tidurnya, ayah Rabiah menangis seraya bersyukur kepada Allah kerana dia yakin bahawa mimpinya adalah benar dan merupakan petunjuk dari Allah bagi hambanya yang beriman. Dia pun segera menjalankan petunjuk sebagaimana yang diperintahkan Nabi dalam mimpinya, dia menulis  dan mengirimkannya  tulisannya kepada gabenor melalui pengurus rumah tangga istana. Tidak lama setelah Gabenor membaca surat tersebut, gabenor terus mengirim utusannya untuk membahagikan wang  masing-masing dua ribu dinar kepada orang-orang miskin.

Seolah terhanyut dalam kebahagiaan dan sebagai bentuk ungkapan rasa syukur kerana gabenor merasa bahawa dia adalah orang yang istimewa di mata nabi maka dia memberikan hadiah wang empat ribu dinar kepada ayah Rabiah Adawiyah pada awalnya. Namun, setelah beberapa saat gabenor  merasa tidak sewajarnya hanya menghadiahkan wang dalam jumlah tersebut kepada kekasih Allah. Gabenor pun berjanji akan memberikan apapun yang  diperlukan opeh ayah Rabiah Adawiyah. Kemudian  gabenor pergi menemui ayah Rabiah Adawiyah di rumahnya dan menyatakan semua yang telah beliau janjikan kepada ayah Rabiah Adawiyah. Sebagaimana yang penulis baca dan  kutip dari http://cerekaduniaakhirat.blogspot.com yang menceritakan  “Amir itu meminta supaya bapa Rabi’atul-adawiyyah selalu mengunjungi beliau apabila hendakkan sesuatu kerana beliau sungguh berasa bertuah dengan kedatangan orang yang hampir dengan Allah. Selepas bapanya meninggal dunia, Basrah dilanda oleh kebuluran. Rabi’atul-adawiyyah berpisah dari adik-beradiknya. Suatu ketika kafilah yang beliau tumpangi itu telah diserang oleh penyamun. Ketua penyamun itu menangkap Rabi’atul-adawiyyah untuk dijadikan barang rampasan untuk dijual ke pasar sebagai abdi. Maka lepaslah ia ke tangan tuan yang baru.

Suatu hari, tatkala beliau pergi ke satu tempat atas suruhan tuannya, beliau telah dikejar oleh orang jahat. beliau lari. Tetapi malang, kakinya tergelincir dan jatuh. Tangannya patah. Beliau berdoa kepada Allah, “Ya Allah! Aku ini orang yatim dan abdi. Sekarang tanganku pula patah. tetapi aku tidak peduli segala itu asalkan Kau redha denganku. tetapi nyatakanlah keredhaan-Mu itu padaku.” Tatkala itu terdengarlah suatu suara malaikat, “Tak mengapa semua penderitaanmu itu. Di hari akhirat kelak kamu akan ditempatkan di peringkat yang tinggi hinggakan Malaikat pun kehairanan melihatmu.” 

Kemudian pergilah Rabi’atul-adawiyyah kepada tuannya. Selepas peristiwa itu, tiap-tiap malam dia menghabiskan masa dengan beribadat kepada Allah, selepas melakukan kerja-kerjanya. Beliau berpuasa berhari-hari. Suatu hari, tuannya terdengar suara rayuan Rabi’atul-adawiyyah di tengah malam yang berdoa kepada Allah :

“Tuhanku! Engkau lebih tahu bagaimana aku cenderung benar hendak melakukan perintah-perintah-Mu dan menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa, wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku habiskan seluruh masa malam dan siang dengan melakukan ibadat kepadaMu. Tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia.”

Dilihat oleh tuannya itu suatu pelita yang bercahaya terang tergantung di awang-awangan, dalam bilik Rabi’atul-adawiyyah itu, dan cahaya itu meliputi seluruh biliknya. Sebentar itu juga tuannya berasa adalah berdosa jika tidak membebaskan orang yang begitu hampir dengan Tuhannya. sebaliknya tuan itu pula ingin menjadi khadam kepada Rabi’atul-adawiyyah. Esoknya, Rabi’atul-adawiyyah pun dipanggil oleh tuannya dan diberitahunya tentang keputusannya hendak menjadi khadam itu dan Rabi’atul-Adawiyyah bolehlah menjadi tuan rumah atau pun jika ia tidak sudi bolehlah ia meninggalkan rumah itu. 

Rabi’atul-adawiyyah berkata bahawa dia ingin mengasingkan dirinya dan meninggalkan rumah itu. Tuannya bersetuju. Rabi’atul-adawiyyah pun pergi. Suatu masa Rabi’atul-adawiyyah pergi mengerjakan haji ke Mekkah. Dibawanya barang-barangnya atas seekor keldai yang telah tua. Keldai itu mati di tengah jalan. Rakan-rakannya bersetuju hendak membawa barang-barangnya itu tetapi beliau enggan kerana katanya dia naik haji bukan di bawah perlindungan sesiapa. Hanya perlindungan Allah S.W.T. Beliau pun tinggal seorang diri di situ. Rabi’atul-adawiyyah terus berdoa, “Oh Tuhan sekalian alam, aku ini keseorangan, lemah dan tidak berdaya. Engkau juga yang menyuruhku pergi mengunjungi Ka’abah dan sekarang Engkau matikan keldaiku dan membiarkan aku keseorangan di tengah jalan.” 

Serta-merta dengan tidak disangka-sangka keldai itu pun hidup semula. Diletaknya barang-barangnya di atas keldai itu dan terus menuju Mekkah. Apabila hampir ke Ka’abah, beliau pun duduk dan berdoa, “Aku ini hanya sekepal tanah dan Ka’abah itu rumah yang kuat. Maksudku ialah Engkau temui aku sebarang perantaraan.” Terdengar suara berkata, “Rabi’atul-adawiyyah, patutkah Aku tunggangbalikkan dunia ini kerana mu agar darah semua makhluk ini direkodkan dalam namamu dalam suratan takdir? Tidakkah kamu tahu Nabi Musa pun ada hendak melihatKu? Aku sinarkan cahayaKu sedikit sahaja dan dia jatuh pengsan dan Gunung Sinai runtuh menjadi tanah hitam.”

Suatu ketika yang lain, semasa Rabi’atul-adawiyyah menuju Ka’abah dan sedang melalui hutan, dilihatnya Ka’abah datang mempelawanya. Melihatkan itu, beliau berkata, “Apa hendakku buat dengan Ka’abah ini; aku hendak bertemu dengan tuan Ka’abah (Allah) itu sendiri. Bukankah Allah juga berfirman iaitu orang yang selangkah menuju Dia, maka Dia akan menuju orang itu dengan tujuh langkah? Aku tidak mahu hanya melihat Ka’abah, aku mahu Allah.” 

Pada masa itu juga, Ibrahim Adham sedang dalam perjalanan ke Ka’abah. Sudah menjadi amalan beliau mengerjakan sembahyang pada setiap langkah dalam perjalanan itu. Maka oleh itu, beliau mengambil masa empat belas tahun baru sampai ke Ka’bah. Apabila sampai didapatinya Ka’abah tidak ada. Beliau sangat merasa hampa. 

Terdengar olehnya satu suara yang berkata, “Ka’abah itu telah pergi melawat Rabi’atul -adawiyyah.” Apabila Ka’bah itu telah kembali ke tempatnya dan Rabi’atul-adawiyyah sedang menongkat badannya yang tua itu kepada kepada tongkatnya, maka Ibrahim Adham pun pergi bertemu dengan Rabi’atul-adawiyyah dan berkata “Rabi’atul-adawiyyah, kenapa kamu dengan perbuatanmu yang yang ganjil itu membuat haru-biru di dunia ini?” 

Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Saya tidak membuat satu apa pun sedemikian itu, tetapi kamu dengan sikap ria (untuk mendapat publisiti) pergi ke Ka’abah mengambil masa empat belas tahun.” Ibrahim mengaku yang dia sembahyang setiap langkah dalam perjalanannya. Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Kamu isi perjalananmu itu dengan sembahyang, tetapi aku mengisinya dengan perasaan tawaduk dan khusyuk.” 

Tahun kemudiannya, lagi sekali Rabi’atul-adawiyyah pergi ke Ka’abah. beliau berdoa, “Oh Tuhan! perlihatkanlah diriMu padaku.” Beliau pun berguling-guling di atas tanah dalam perjalanan itu. Terdengar suara, “Rabi’atul-adawiyyah, hati-hatilah, jika Aku perlihatkan diriKu kepadamu, kamu akan jadi abu.” Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Aku tidak berdaya memandang keagungan dan kebesaranMu, kurniakanlah kepadaku kefakiran (zahid) yang mulia di sisiMu.” 

Terdengar lagi suara berkata, “Kamu tidak sesuai dengan itu. Kemuliaan seperti itu dikhaskan untuk lelaki yang memfanakan diri mereka semasa hidup mereka kerana Aku dan antara mereka dan Aku tidak ada regang walau sebesar rambut pun, Aku bawa orang-orang demikian sangat hampir kepadaKu dan kemudian Aku jauhkan mereka, apabila mereka berusaha untuk mencapai Aku. Rabi’atul-adawiyyah, antara kamu dan Aku ada lagi tujuh puluh hijab atau tirai. Hijab ini mestilah dibuang dulu dan kemudian dengan hati yang suci berhadaplah kepadaKu. Sia-sia sahaja kamu meminta pangkat fakir dari Aku.” 

Kemudian suara itu menyuruh Rabi’atul-adawiyyah melihat ke hadapan. Dilihatnya semua pandangan telah berubah. Dilihatnya perkara yang luar biasa. Di awang-awangan ternampak lautan darah yang berombak kencang. Terdengar suara lagi, “Rabi’atul-adawiyyah, inilah darah yang mengalir dari mata mereka yang mencintai Kami (Tuhan) dan tidak mahu berpisah dengan Kami. Meskipun mereka dicuba dan diduga, namun mereka tidak berganjak seinci pun dari jalan Kami dan tidak pula meminta sesuatu dari Kami.

Dalam langkah permulaan dalam perjalanan itu, mereka mengatasi semua nafsu dan cita-cita yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Mereka beruzlah (memencilkan diri) dari dunia hingga tidak ada sesiapa yang mengetahui mereka. Begitulah mereka itu tidak mahu publisiti (disebarkan kepada umum) dalam dunia ini.” Mendengar itu, Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Tuhanku! Biarkan aku tinggal di Ka’abah.” Ini pun tidak diberi kepada beliau. Beliau dibenarkan kembali ke Basrah dan menghabiskan umurnya di situ dengan sembahyang dan memencilkan diri dari orang ramai.

Suatu hari Rabi’atul-adawiyyah sedang duduk di rumahnya menunggu ketibaan seorang darwisy untuk makan bersamanya dengan maksud untuk melayan darwisy itu, Rabi’atul-adawiyyah meletakkan dua buku roti yang dibuatnya itu di hadapan darwisy itu. Darwisy itu terkejut kerana tidak ada lagi makanan untuk Rabi’atul-adawiyyah. Tidak lama kemudian, dilihatnya seorang perempuan membawa sehidang roti dan memberinya kepada Rabi’atul-adawiyyah menyatakan tuannya menyuruh dia membawa roti itu kepada Rabi’atul-adawiyyah, Rabi’atul-adawiyyah bertanya berapa ketul roti yang dibawanya itu. Perempuan itu menjawab, “Lapan belas.” Rabi’atul-adawiyyah tidak mahu menerima roti itu dan disuruhnya kembalikan kepada tuannya. Perempuan itu pergi. 

Kemudian datang semula. Rabi’atul-adawiyyah menerima roti itu selepas diberitahu bahawa ada dua puluh ketul roti dibawa perempuan itu. Darwisy itu bertanya kenapa Rabi’atul-adawiyyah enggan menerima dan kemudian menerima pula. Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Allah berfirman dalam Al-Quran iaitu : “Orang yang memberi dengan nama Allah maka Dia akan beri ganjaran sepuluh kali ganda. Oleh itu, saya terima hadiah apabila suruhan dalam Al-Quran itu dilaksanakan.” 

Suatu hari Rabi’atul-adawiyyah sedang menyediakan makanan. Beliau teringat yang beliau tidak ada sayur. Tiba-tiba jatuh bawang dari bumbung. Disepaknya bawang itu sambil berkata, “Syaitan! Pergi jahanam dengan tipu-helahmu. Adakah Allah mempunyai kedai bawang?” Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Aku tidak pernah meminta dari sesiapa kecuali dari Allah dan aku tidak terima sesuatu melainkan dari Allah.”

Suatu hari, Hassan Al-Basri melihat Rabi’atul-adawiyyah dikelilingi oleh binatang liar yang memandangnya dengan kasih sayang. Bila Hassan Al-Basri pergi menujunya, binatang itu lari. Hassan bertanya, “Kenapa binatang itu lari?” Sebagai jawaban, Rabi’atul-adawiyyah bertanya, “Apa kamu makan hari ini?” Hassan menjawab, “Daging.” Rabi’atul- adawiyyah berkata, Oleh kerana kamu makan daging, mereka pun lari, aku hanya memakan roti kering.”

Suatu hari Rabi’atul-adawiyyah pergi berjumpa Hassan Al-Basri. Beliau sedang menangis terisak-isak kerana bercerai (lupa) kepada Allah. Oleh kerana hebatnya tangisan beliau itu, hingga air matanya mengalir di longkang rumahnya. Melihatkan itu, Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Janganlah tunjukkan perasaan sedemikian ini supaya batinmu penuh dengan cinta Allah dan hatimu tenggelam dalamnya dan kamu tidak akan mendapati di mana tempatnya.” 

Dengan penuh kehendak untuk mendapat publisiti, suatu hari, Hassan yang sedang melihat Rabi’atul-adawiyyah dalam satu perhimpunan Aulia’ Allah, terus pergi bertemu dengan Rabi’atul-adawiyyah dan berkata, “Rabi’atul-adawiyyah, marilah kita meninggalkan perhimpunan ini dan marilah kita duduk di atas air tasik sana dan berbincang hal-hal keruhanian di sana.” Beliau berkata dengan niat hendak menunjukkan keramatnya kepada orang lain yang dia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa a.s. boleh berjalan di atas air). 

Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Hassan, buangkanlah perkara yang sia-sia itu. Jika kamu hendak benar memisahkan diri dari perhimpunan Aulia’ Allah, maka kenapa kita tidak terbang sahaja dan berbincang di udara?” Rabi’atul-adawiyyah berkata begini kerana beliau ada kuasa berbuat demikian tetapi Hassan tidak ada berkuasa seperti itu. Hassan meminta maaf. Rabi’atul-adawiyyah berkata, “Ketahuilah bahawa apa yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan jika aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara yang luarbiasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan-santun terhadap Allah.” Seorang hamba Allah bertanya kepada Rabi’atul-adawiyyah tentang perkara kahwin. Beliau menjawab, “Orang yang berkahwin itu ialah orang yang ada dirinya. Tetapi aku bukan menguasai badan dan nyawaku sendiri. Aku ini kepunyaan Tuhanku. Pintalah kepada Allah jika mahu mengahwini aku.”

Hassan Al-Basri bertanya kepada Rabi’atul-adawiyyah bagaiman beliau mencapai taraf keruhanian yang tinggi itu. Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Aku hilang (fana) dalam mengenang Allah.” Beliau ditanya, “Dari mana kamu datang?” Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Aku datang dari Allah dan kembali kepada Allah.” 

Rabi’atul-adawiyyah pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. dan baginda bertanya kepadanya sama ada beliau pernah mengingatnya sebagai sahabat. Rabi’atul-adawiyyah menjawab, “Siapa yang tidak kenal kepada tuan? Tetapi apakan dayaku. Cinta kepada Allah telah memenuhi seluruhku, hinggakan tidak ada ruang untuk cinta kepadamu atau benci kepada syaitan.” Demikian petikan dari cerita Rabiah adwiyah versia melayu yang menggambarkan betapa besar kecintaan Rabiah Adawiyah kepada Allah saat ia masih kecil hingga ia dewasa.

Rabi’ah adalah puteri yang keempat dari empat bersaudara. Itulah sebabnya mengapa ia dinamakan Rabiah. Keberadaan cerita Rabiah sebagai cerita yang menarik dan popular pada zamannya banyak disadur dalam berbagai bahasa  yakni cerita rabiah Adawiyah versi Arab, cerita rabiah Adawiyah versi Melayu, termasuk bahasa-bahasa di Nusantara salah satunya adalah cerita Rabiah Adawiyah yang ditulis dalam bahasa Bugis.

Berikut akan disajikan cerita Rabiah Adawiyah dari ketiga versi tersebut iaitu versi Arab, Versi Melayu, dan Versi Bugis berdasar kepada Tesis tentang “Suntingan Teks Kisah Sitti Rabiatul Adawiyah dan Pengangkatan Muatan Lokal” oleh Sitti Gomo Attas mahasiswa pascasarjana, program studi Ilmu Susastra, Fakultas Ilmu Pengetahuan Budaya, Universitas Indonesia.

Ringkasan Cerita Versi Arab
Ketika usianya hampir remaja Rabiah dijadikan budak. Namun, hal ini tidak membuatnya putus harapan untuk tetap mendekatkan diri kepada Allah. Setelah Rabiah dibebaskan dari perbudakan, dia terus menjalankan ibadah kepada Allah.

Beberapa kali orang laki-laki datang melamar Rabiah, tetapi selalu ditolak. Di antara laki-laki yang dating melamar Rabiah ada seorang yang berpengaruh di Basrah, namun ditolak Rabiah dengan alasan bahwa dia hanya ingin beribadah kepada Allah . Alasan lain Rabiah menolak lamaran laki-laki yang datang padanya kerana mereka tidak ada yang mampu menjawab masalah kehidupan sesudah mati, yang dipertanyakan oleh Rabiah. Kehidupan sufi Rabiah yang mengabdikan dirinya kepada Tuhan  sampai akhir hidupnya, tanpa pernah menikah.

Ringkasan Cerita Versi Melayu
Cerita ini dimulai tatkala Rabiah berguru kepada Syekh Junaidi bin Saman farj. Gurunya melamar Rabiah, namun ditolak oleh Rabiah. Akhirnya Rabiah menerima lamaran gurunya kerana takut durhaka. Lamaran itu diterimanya hanya dengan khutbah nikah, tetapi Rabiah meminta suaminya agar tidak menyentuhnya.

Setelah suaminya wafat, Rabiah didatangi oleh empat syeikh, iaitu Syeikh Syari`at, Syeikh Tarikat, Syeikh Hakikat, dan Syeikh Makrifat. Keempat syeikh datang melamar Rabiah. Namun, ditolak kerana tidak dapat menjawab masalah tasawuf yang diajukan oleh raja kepada keempat-empat syeikh itu. Hanya Rabiah yang mampu menjawab semua pertanyaan itu. Raja Sa`id yang mengajukan pertanyaan tersebut kagum kepada Rabiah dan melamarnya, tetapi sebelum Rabiah menerima lamaran Raja Sa`id. Rabiah telah berpulang ke rahmatullah yang diikuti oleh Raja Sa`id.

Ringkasan Cerita Versi Bugis
Kisah ini dimulai ketika Sitti Rabiatul Adawiyah berguru kepada seorang syeikh yang bernama Zainul Arifin. Kerana takut durhaka kepada gurunya, Rabiah pun menerima lamaran yang diajukan oleh Zainul Arifin. Setelah gurunya yang sekaligus menjadi suaminya meninggal dunia, Rabiah dilamar oleh empat bersaudara. Namun, kerana alasan bahawa suaminya baru meninggal maka Rabiah menolak lamaran tersebut.

Setelah itu, Rabiah didatangi oleh empat saudagar kaya yang ingin melamarnya. Namun, kerana empat saudagar itu tidak mampu menjawab pertanyaan Rabiah tentang isi dunia iaitu laki-laki dan wanita, maka lamaran empat saudagar pun ditolak.

Selanjutnya, datanglah seorang raja bernama Raja Akbar yang mempunyai pengetahuan agama yang cukup tinggi dan mampu menjawab pertanyaan Rabiah tentang makna sholat di hari kemudian. Raja Akbar dengan lancart menjawab semua pertanyaan Rabiah. Akhirnya, Rabiah dinikahkan dengan Raja Akbar sesuai dengan hukum yang berlaku dalam perkawinan.

Setelah mereka menikah, tidak lama kemudian Raja akbar dan Rabiah dikaruniai seorang puteri yang diberi nama I Daramatasia. Raja Akbar pernah bernazar jika ia dapat berjodoh dengan Rabiah dan memiliki seorang anaka perempuan, maka ia akan mengawinkan dengan seorang ahli agama yang mengabdikan diri di jalana Allah. Nazar itu dilaksanakan mereka (Raja Akbar dan Rabiah) untuk menikahkan puterinya yang telah selesai belajar agama kepada ulama yang sholeh.

Selanjutnya cerita ini menceritakan rumah tangga puteri Rabiah, I Daramatasia dengan suaminya.
Di bawah ini penulis sertakan kutipan Cerita Rabiah dalam versi Bugis yang diambil dari iriantosyahkasim.multiply.com sebagai berikut : Cerita Rabiah dalam versi Bugis mengungkap alur yang sarat dengan nilai-nilai budaya yang dianggap sebagai penyemangat tokoh dalam menjalankan kehidupan. Nilai budaya itu, yakni Siri’ dalam sistem perkawinan yang digambarkan dalam cerita Rabiah. Selain itu, juga Siri dalam semangat merantau dan semangat belajar ilmu agama.

Kisah Rabiah Al Adawiyah dalam versi ini, memberikan penjelasan sistem adat dalam budaya Bugis yang dikenal dengan istilah ‘Pangaderreng’. Panggaderreng dapat diertikan sebagai keseluruhan norma yang meliputi bagaimana seseorang harus bertingkah laku terhadap sesama manusia dan terhadap persekitaran sosialnya secara timbal balik, dan yang menyebabkan adanya gerak (dinamis) masyarakat.

Unsur terakhir dalam ‘Panggaderreng’ adalah sistem adat yang berasal dari ajaran Islam dan masuk ke dalam “Panggaderreng’ setelah masuknya pengaruh Islam ke dalam masyarakat Bugis sekitar Abad ke-17. Sistem adat masyarakat Bugis terdiri dari lima unsur, yakni Ade’ (adat atau perlakuan budaya), Bicara (pertimbangan), Rapang (Undang-Undang), Wari’ (klasifikasi atas segala peristiwa), dan Sara’ (hukum syariah). Kelima unsur tersebut terjalin satu sama lain sebagai satu kesatuan organisasi dalam alam fikiran orang Bugis, yang memberi dasar sentimen kewargaan masyarakat dan rasa harga diri yang semuanya terkandung dalam konsep siri’. 

Selanjutnya, kata Sitti Gomo, konsep siri ini adalah nilai budaya yang mengintegrasikan secara organisasi semua unsur ‘Panggaderreng’. Ertinya konsep Siri meliputi banyak aspek dalam kehidupan masyarakat dan kebudayaan orang Bugis seperti yang tercermin dalam naskah Rabiah Al-Adawiyah versi Bugis. “C.H. Salambasyah dan kawan-kawan memberikan batasan kata Siri dengan tiga golongan pengertian, yakni Siri itu sama ertinya dengan malu, Siri sebagai daya pendorong untuk melenyapkan (membunuh), mengasingkan, dan mengusir terhadap barang siapa atau apa yang menyinggung perasaan mereka, dan Siri itu sebagai semangat (Summange) untuk membanting tulang, bekerja mati-matian untuk suatu usaha.


Wallahua'lam

http://assurur-duniasantri.blogspot.com

MENGENANG WANITA-WANITA SOLEHAH

MENGENANG WANITA-WANITA SOLEHAH

Gambar hiasan saja
 Isteri yang solehah sentiasa taat dengan Allah dan patuh dengan suami. Suami yang tersalah sentiasa diberi maaf. Cemburu dengan suami tidak ada di dalam hati dan sikap lahiriah. Kepulangan suami disambut dengan senyum dan penuh hormat.

Sejarah hidup para wanita solehah dalam Islam sudah tercatat dalam Al Quran dan Hadis, marilah kita sama-sama menghayati sejarah hidup mereka agar kita termasuk dalam golongan penyumbang perjuangan Islam.

Siti Hajar duduk setahun dua tahun di padang pasir, di tinggalkan suami, suami datang sesekali, kemudian namanya dicipta untuk al-Quran sepanjang zaman.Tidak mungkin kita tidak mahu seperti cerita Siti Hajar ini. Tidak mahukah kita dengan apa yang dikatakan di dalam al Quran? Apakah kita masih mahukan suami kita ada bersama tiap-tiap hari dengan kita. Tidak sanggup kalau suami kita setahun sekali baru datang. Siti Hajar sanggup menciptakan keajaiban, menjadi wanita yang ditinggalkan oleh suami hanya berjumpa setahun sekali. Tetapi ditangannyalah keluar air zam-zam, dialah menghidupkan bandar Kaa’bah Makatulmukarromah. Mukjizat kepimpinan dan didikan dari suaminya iaitu Nabi Ibrahim.

Ramai manusia sudah melupakan Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid. Dialah yang digelar Afifah Solehah (wanita suci). Seorang wanita yang sanggup berkorban segala kekayaannya untuk membantu dakwah Rasulullah SAW. Dialah yang paling pertama beriman, tanpa meragukan seruan Rasulullah SAW. Dialah wanita, yang menenangkan suaminya yang ketakutan tanpa memperlekehkan. Dialah wanita, yang tegar bertahan susah senang bersama suaminya, sehingga nyawa ditarik Allah SWT. Bayangkan, dia adalah seorang yang kaya raya, hartawan, tetapi sanggup dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan dan makan pucuk kayu sahaja hingga pecah-pecah mulut.

Ramai juga terlupa dengan Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan.

Ramai yang telah terlupa akan seorang wanita bernama Asiah. Dia adalah isteri kepada Firaun yang menentang Musa. Allah telah menjadikan bicara lembutnya menyelamatkan Musa AS dari dibunuh Firaun. Allah juga menjadikan dia antara yang beriman dengan seruan Musa AS. Malah, Allah telah merakamkan namanya di dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya syurga atas balasan ketabahannya dalam mengharungi hidup bersama Firaun dan menerima segala seksaannya dalam mengekalkan iman dan Islam dalam dirinya.

Ramai yang tidak mengetahui sejarah seorang wanita bernama Mutiah yang tinggi taatnya kepada suami tercinta. Acapkali menyediakan tongkat, air dan berhias diri demi untuk suami dan menunggu suaminya pulang dari berjihad tanpa sekelumit rasa bosan dan patah semangat. Menjaga kehormatan diri dan maruah keluarga dengan seteguhnya. Dialah wanita yang akan memimpin dan memegang tali kenderaan tunggangan Fatimah az-Zahra ketika masuk ke syurga.

Ramai pula yang tidak tahu berkenaan Masyitah. Dia adalah tukang penyisir rambut anak Firaun. Beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa, kemudian keimanannya diketahui oleh Firaun. Akhirnya dia bersama suami, serta anaknya yang masih bayi telah dicampakkan ke dalam kuali (kawah) penuh minyak mendidih. Walaupun nyawa di hujung tanduk, imannya tidak tergadai, malah terjun dengan penuh keyakinan. Masyitah mati syahid mempertahankan imannya dari digadai.

Ramai juga yang telah terlupa kepada Si Suci Maryam, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, Allah memuliakannya dengan memilih Zakaria as sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih Allah untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada Allah, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia semenjak buaian.

Siapakah yang hendak mencontohi Ummu Imarah (Nusaibah r.a.h)? Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari diserang musuh. Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah SAW begitu hebat, hinggakan Rasulullah SAW berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang dihadapanku.”

Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh. Rasulullah SAW yang melihat peristiwa itu bersabda. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” 

Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang. “Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah SAW sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah hatta Rasulullah SAW pun bersorak untuknya. Siapakah yang mengingati Ummu Imarah ini?

Siapakah pula yang hendak menjadi seperti Ummu Sulaim? Dia berkahwin dengan Abu Talhah dengan mahar iman. Abu Talhah seorang kafir ketika itu, jatuh hati kepada Ummu Sulaim yang masih muslim. Ummu Sulaim berkata: “Jika hendak mengahwiniku, maka maharnya adalah iman”. Maka Islamlah Abu Talhah. Sehingga ada sahabat yang berkata, “Aku belum pernah melihat seorang wanita sama sekali yang lebih mulia maskawinnya dibandingkan dengan maskawin Ummu Sulaim.” Malah, dia mentarbiyyah suaminya, sehingga suaminya menjadi seorang sahabat yang komited. Siapa yang tidak kenal dengan Abu Talhah? Dialah yang menyambut semua panahan yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, pada hari Uhud dengan belakang tubuhnya. Lihatlah bagaimana Ummu Sulaim mentarbiyyah suaminya? Adakah lagi isteri yang sebegitu hari ini?

Siapakah pula yang mengingati isteri kedua Rasulullah SAW, Ummu Salamah? Bagaimana cerdiknya dia, bijaknya dia sehinggakan dia menjadi penasihat yang baik kepada Rasulullah SAW. Ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua sahabat-sahabatnya menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun yang bangkit menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke khemah, lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, “Kenapakah berlaku begitu?” Ummu Salamah berkata, “Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan sembelihlah haiwanmu” Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat mengikuti.

Siapakah pula yang hendak mencontohi isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA? Ketika peristiwa Hadith Ifki (kisah rekaan) berlaku, menumpahkan fitnah ke atasnya, mengotorkan namanya, dia tetap teguh, yakin kepada Allah SWT. Tiada sebentar pun dia bersangka buruk kepada Allah SWT bila ditimpa dugaan.

Siapakah pula yang mengingati Asma’ binti Abu Bakr? Dia digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Sayidina Abu Bakar RA ketika persembunyian di Gua Thur. Dialah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah. Dialah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani.

Siapakah pula yang ingat kepada Khansa? Dia mempunyai empat orang anak. Dia mentarbiyyah empat orang anaknya dengan baik. Apabila mendapat seruan jihad, dihantarnya anaknya yang sulung. Anak sulungnya syahid. Dihantar pula yang kedua. Yang kedua juga syahid. Dihantar pula yang ketiga. Yang ketiga juga syahid. Begitu jugalah juga dia menghantar anaknya yang keempat, dan yang keempat itu pun syahid. Akhirnya dia menangis. Orang berkata, “Khansa kesedihan kerana kehilangan semua anaknya” Tetapi tahukah kalian apakah jawapannya? “Diamlah kalian, sesungguhnya aku bersedih kerana aku tidak punya anak lagi untuk dihantar berjihad di jalan Allah”

Wahai muslimah, siapakah antara kamu yang mengingati mereka? Wahai lelaki hari ini, siapakah antara kamu yang mengenang mereka? Wahai ummah, hari ini wanita mana yang kamu puja dan puji? Oh masyarakat, hari ini wanita bagaimana yang kamu sanjungi? Oh wanita, hari ini wanita mana yang kamu ikuti dan contohi? Oh lelaki, hari ini wanita ang bagaimana kamu gilakan untuk jadikan isteri? Siapa? Sesungguhnya wanita-wanita dalam lipatan sejarah ini telah dilupakan. Mereka sememangnya wanita-wanita ang telah dilupakan. Sedangkan pada diri mereka, terdapat kemuliaan yang tiada tandingan.


http://kisahteladan.info/kisah-mukminah/mengenang-wanita-solehah.html

Khamis, 15 November 2012

Syarat Menggapai Ilmu yang Bermanfaat


Syarat Menggapai Ilmu yang Bermanfaat
Gambar hiasan
Mencari ilmu yang bermanfaat merupakan hal yang sudah diketahui oleh kebanyakan kaum muslimin, terlebih lagi oleh para penuntut ilmu agama, keutamaan besar yang Allah sediakan bagi orang-orang yang mempelajari ilmu agama. Keutamaan tersebut disebutkan dalam banyak ayat Al Quran dan hadits Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, serta keterangan dari para ulama salaf. 

Imam Ibnul Qayyim dalam juz pertama dari kitab beliau “Miftahu daaris sa’adah” memuat pembahasan khusus tentang keutamaan dan kemuliaan mempelajari ilmu agama, dalam bab yang berjudul: Keutamaan dan kemuliaan (mempelajari) ilmu (agama), penjelasan tentang besarnya tuntutan untuk (mempelajari) ilmu ini, serta tergantungnya kesempurnaan (iman) dan keselamatan seorang hamba di dunia dan akhirat kepada ilmu (agama) ini .

Dalam bab tersebut Ibnul Qayyim menyebutkan lebih dari seratus lima puluh perkara mengenai  keutamaan ilmu, berdasarkan dalil-dalil dari Al Quran dan Sunnah Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam serta keterangan para ulama salaf rahimahumullah, sehingga pembahasan tentang keutamaan ilmu yang beliau sebutkan dalam kitab ttersebut adalah pembahasan yang sangat lengkap dan menyeluruh, yang mungkin tidak kita dapati di kitab-kitab para ulama lainnya.

Namun sayangnya, kebanyakan dari kita – termasuk para penuntut ilmu sendiri – seringkali lalai dan kurang menyedari bahawa ilmu yang dimaksud dalam ayat-ayat Al Quran dan hadits-hadits Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam tersebut bukanlah sekedar teori belaka, yang hanya terlihat dalam bentuk hafalan yang kuat, atau kemampuan yang mengagumkan dalam berceramah dan menyampaikan hasil kajian, atau gelaran yang disandang, tanpa adanya wujud nyata dan pengaruh dari kemanfaatan ilmu tersebut bagi orang yang mempelajarinya.

Semoga Allah  meredhai dan merahmati sahabat yang mulia Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu yang berkata: “Bukanlah ilmu itu (hanya) dengan banyak (menghafal) hadits, akan tetapi ilmu (yang bermanfaat) itu (timbul) dari besarnya rasa takut (kepada Allah)”([1]).

Dalam atsar shahih lainnya Abdullah bin Mas’ud juga berkata di hadapan sahabat-sahabatnya: “Sesungguhnya kalian (sekarang) berada di zaman yang banyak terdapat orang-orang yang berilmu tapi sedikit  yang suka berceramah, dan akan datang setelah kalian nanti suatu zaman yang (pada waktu itu) banyak orang yang pandai berceramah tapi sedikit orang yang berilmu”([2]).

Definisi Ilmu Yang Bermanfaat (Al ‘Ilmu An Naafi’)

Imam Ibnu Rajab Al Hambali menyebutkan definisi Ilmu yang bermanfaat dengan dua penjelasan yang lafazhnya berbeda, akan tetapi kedua-duanya saling melengkapi dan sama sekali tidak bertentangan.

Dalam kitab beliau “Fadhlu ‘ilmis salaf ‘ala ‘ilmil khalaf” (hal. 6) beliau berkata: “Ilmu yang bermanfaat dari semua ilmu adalah mempelajari dengan seksama dalil-dalil dari Al Quran dan Sunnah Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, serta (berusaha) memahami kandungan maknanya, dengan mendasari pemahaman tersebut dari penjelasan para sahabat Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, para Tabi’in (orang-orang yang mengikuti petunjuk para sahabat), dan orang-orang yang mengikuti (petunjuk) mereka dalam memahami kandungan Al Qur-an dan Hadits.

(Begitu pula) dalam (memahami penjelasan) mereka dalam masalah halal dan haram, pengertian zuhud, amalan hati (pensucian jiwa), pengenalan (tentang nama-nama dan sifat-sifat Allah subhaanahu wa ta’ala) dan pembahasan-pembahasan ilmu lainnya, dengan terlebih dahulu berusaha untuk memisahkan dan memilih (riwayat-riwayat) yang shahih (benar) dan (meninggalkan riwayat-riwayat) yang tidak benar, kemudian berupaya untuk memahami dan menghayati kandungan maknanya. Semua ini sangat cukup (untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat) bagi orang yang berakal dan merupakan kesibukkan (yang bermanfaat) bagi orang yang memberi perhatian dan berkeinginan besar (untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat)”.

Adapun dalam kitab beliau yang lain “Al Khusyuu’ fish shalaah” (hal. 16) beliau berkata: “Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang masuk (dan menetap) ke dalam relung hati (manusia), yang kemudian melahirkan rasa tenang, takut, tunduk, merendahkan dan mengakui kelemahan diri di hadapan Allah ”.

Kedua-dua penjelasan Imam Ibnu Rajab ini sepintas kelihatannya berbeza dan tidak berhubungan, akan tetapi kalau diamati dengan saksama kita akan dapati bahawa kedua-dua penjelasan tersebut sangat bersesuaian dan bahkan saling melengkapi. Ini kerana pada penjelasan definisi yang pertama, beliau ingin menjelaskan sumber ilmu yang bermanfaat, iaitu ayat-ayat Al Quran dan hadits-hadits yang shahih (benar periwayatannya) dari Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, yang difahami berdasarkan penjelasan dari para sahabat Nabi, Tabi’in (orang-orang yang mengikuti petunjuk para sahabat), dan orang-orang yang mengikuti (petunjuk) mereka. Ini bererti, seseorang tidak akan mungkin sama sekali boleh mendapatkan ilmu yang bermanfaat tanpa mengambilnya dari sumber Al ‘Ilmu An Naafi’ yang satu-satunya ini.

Adapun dalam penjelasan definisi yang kedua, beliau ingin menjelaskan hasil dan pengaruh dari ilmu yang bermanfaat, iaitu menumbuhkan dalam hati orang yang memilikinya rasa tenang, takut dan ketundukan yang sempurna kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Ini bererti bahawa ilmu yang hanya pandai diucapkan dan dihafalkan oleh lidah, tapi tidak menyentuh – apalagi masuk ke dalam hati manusia, maka ini sama sekali bukanlah ilmu yang bermanfaat, dan ilmu seperti ini justru akan menjadi bencana bagi orang yang memilikinya, bahkan  menjadikan pemiliknya terkena ancaman besar – semoga Allah Subhaanahu wa Ta’ala melindungi kita semua – termasuk ke dalam tiga golongan manusia yang pertama kali menjadi bahan bakar api neraka, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam dalam hadits yang shahih([3]).

Jenis ilmu inilah yang dimiliki oleh orang-orang Khawarij([4]) dan kelompok-kelompok bid’ah lainnya yang menjadikan mereka menyimpang sangat jauh dari pemahaman Islam yang benar, sebagaimana yang digambarkan oleh Nabi  shallallaahu ‘alaihi wa sallam ketika beliau menerangkan sifat-sifat Khawarij dalam sabda beliau : “Mereka selalu mengucapkan kata-kata yang baik (dan indah kedengarannya), mereka (mahir) dalam membaca (dan menghafal) Al Quran, akan tetapi bacaan tersebut tidak melampaui tenggorokan mereka (tidak masuk ke dalam hati mereka), mereka keluar dengan cepat dari agama ini seperti anak panah yang (menembus dan) keluar dengan cepat dari sasarannya…”([5]).

Sebaliknya, Allah  memuji orang-orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat dan meneguhkan keimanan mereka dengan menjadikan Al Quran sebagai sumber petunjuk yang menetap di dalam hati mereka, Allah berfirman:

{بل هو آيات بينات في صدور الذين أوتوا العلم}

“Sebenarnya, Al Qur-an itu adalah ayat-ayat yang jelas (yang terdapat) di dalam dada (hati) orang-orang yang diberi ilmu. (QS Al ‘Ankabuut:49).

Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan ayat di atas berkata: “Maknanya: Al Quran adalah ayat-ayat yang nyata dan jelas sebagai petunjuk kepada (jalan) yang benar, dalam perintah, larangan maupun berita (yang dikandung)nya, dan Allah memudahkan bagi orang-orang yang berilmu untuk menghafal, membaca dan memahami (kandungan)nya”([6]).

Syarat Mendapatkan Ilmu Yang Bermanfaat

Setelah kita memahami definisi ilmu yang bermanfaat, dan bahwasanya hafalan yang kuat, atau kemampuan yang mengagumkan dalam berceramah dan menyampaikan hasil kajian, mahupun gelaran yang disandang seseorang, tidaklah menjadi jaminan bahawa ilmu yang dimilikinya adalah ilmu yang bermanfaat yang akan selalu membimbingnya dalam menuju redha Allah , apalagi dengan melihat kenyataan pada zaman sekarang banyak orang yang dipuji kerana hal-hal di atas, tapi sama sekali tidak terlihat pengaruh dan manfaat ilmu yang dipelajarinya dalam akhlak dan tingkah lakunya.

Maka setelah itu, timbul pertanyaan, bagaimanakah cara untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat itu? Atau mungkin pertanyaan yang lebih tepat: bagaimanakah cara untuk menjadikan ilmu yang kita pelajari bermanfaat bagi kita dalam membimbing kita untuk semakin dekat kepada Allah , sehingga semakin banyak ilmu yang kita pelajari semakin kuat pula keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah?

Untuk menjawab pertanyaan penting di atas, dengan memohon taufik dari Allah, kami akan menyampaikan kesimpulan dari tulisan Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah -rahimahullah- tentang cara mengambil manfaat dari Al Qur-an (termasuk ilmu agama lainnya secara keseluruhan) dan syarat-syaratnya, dalam kitab beliau “Al Fawaaid” (hal. 9-10), dengan tambahan penjelasan dari kami untuk mempermudah dalam memahaminya.

Dalam pembahasan tersebut Ibnul Qayyim menyebutkan bahawa secara umum untuk membolehkan mengambil pengaruh dan manfaat yang maksima dari segala sesuatu yang ingin kita ambil pengaruh darinya, maka ada empat faktor yang harus diwujudkan, semakin sempurna keempat faktor ini terwujud maka semakin maksima pula pengaruh yang kita dapatkan daripadanya.

Keempat-empat faktor itu adalah: sumber pengaruh yang baik, media untuk menerima pengaruh, upaya untuk mendapatkan pengaruh tersebut, dan upaya untuk menghilangkan penghalang dan penghambat yang menghalangi sampainya pengaruh tersebut.

Dalam hubungannya dengan mengambil manfaat dan pengaruh yang baik dari ilmu agama yang kita pelajari, keempat-empat faktor tersebut terangkum dalam kalimat yang ringkas tapi sarat makna dalam firman Allah Ta’ala:

{إن في ذلك لذكرى لمن كان له قلبٌ أو ألقى السمع وهو شهيد}

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan (pelajaran) bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang mengkonsentrasikan pendengarannya, sedang dia menghadirkan (hati)nya” (QS Qaaf: 37).

Penjelasan tentang keempat faktor tersebut adalah sebagai berikut:

- Faktor pertama: sumber pengaruh (ilmu) yang baik, ini diisyaratkan dalam potongan ayat di atas: (“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan (pelajaran)”), artinya, kalau kita ingin mendapatkan pengaruh yang baik dan manfaat dari ilmu yang kita pelajari, maka kita benar-benar harus memilih sumber rujukan ilmu yang terjamin kebaikannya.

Kerana tujuan kita mempelajari ilmu agama tentu saja bukan hanya untuk sekadar menambah wawasan atau sekedar teori yang hanya berupa hafalan yang kuat atau kemampuan yang mengagumkan dalam berceramah, tapi tujuan kita adalah agar ilmu tersebut memberikan manfaat dalam membimbing kita untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Ta’ala. Sehingga sumber ilmu yang kita jadikan rujukan benar-benar harus terbukti bisa mewujudkan tujuan tersebut.

Oleh karena itulah, Al Quran dan hadits-hadits yang shahih dari Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam adalah sumber ilmu bermanfaat yang paling utama kerana kedua-duanya adalah wahyu dari Allah Ta’ala yang memiliki sifat-sifat yang Maha Sempurna. Demikian pula kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama salaf dan para ulama yang mengikuti petunjuk mereka, karena kitab-kitab ditulis oleh orang-orang yang benar-benar memiliki keikhlasan, ilmu dan ketakwaan, sehingga manfaatnya dalam menyalurkan kebaikan dan ketakwaan kepada orang yang mengkajinya jelas lebih besar dari pada kitab-kitab yang ditulis oleh orang-orang yang tidak memiliki sifat-sifat tersebut.

Imam Ibnul Jauzi dalam kitab beliau “Shifatush shafwah” (4/122)([7]) menukil ucapan Hamdun bin Ahmad Al Qashshar([8]) ketika beliau ditanya: Apa sebabnya ucapan para ulama salaf lebih besar manfaatnya dibandingkan ucapan kita? Beliau menjawab: kerana mereka berbicara (dengan niat) untuk kemuliaan Islam, keselamatan diri (dari azab Allah Ta’ala), dan mencari redha AllahTa’ala, adapun kita berbicara (dengan niat untuk) kemuliaan diri (mencari populariti), kepentingan dunia (material), dan mencari keredhaan manusia”.

Demikian pula termasuk dalam posisi sebagai sumber pengaruh dalam hal ini adalah seorang da’i dan ustadz yang menyampaikan ceramah atau kajian ilmu agama. Oleh kerana itu, memilih pendidik ilmu agama yang baik dalam ilmu dan ketakwaannya adalah kewajiban yang selalu ditekankan oleh para ulama ahlus sunnah bagi para penuntut ilmu. Ini kerana kalau seorang da’i atau ustadz tidak memiliki ketakwaan dalam dirinya, maka bagaimana mungkin dia berupaya menjadikan muridnya memiliki ketakwaan sedangkan dia sendiri tidak memilikinya? Salah satu ungkapan Arab yang terkenal mengatakan:

فاقِِدُ الشيء لا يُعْطِيه

“Sesuatu yang tidak punya tidak mampu memberikan apa-apa” ([9]).

Dalam sebuah ucapannya yang terkenal Imam Muhammad bin Sirin berkata: “Sesungguhnya ilmu (yang kamu pelajari) adalah agamamu (yang akan membimbingmu mencapai ketakwaan), maka telitilah dari siapa kamu mengambil (ilmu) agamamu”([10]).

Faktor penting inilah yang merupakan salah satu sebab utama yang menjadikan para sahabat Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam menjadi generasi terbaik umat ini dalam pemahaman dan pengamalan agama mereka. Bagaimana tidak? Da’i dan pendidik mereka adalah Nabi yang terbaik dan manusia yang paling mulia di sisi Allah Ta’ala, iaitu Nabi kita Muhammad bin Abdillah shallallaahu ‘alaihi wa sallam. Makna inilah yang diisyaratkan oleh Allah Ta’ala dalam firman-Nya:

{وكيف تكفرون وأنتم تتلى عليكم آيات الله وفيكم رسوله}

“Bagaimana mungkin (tidak mungkin) kalian (wahai para sahabat Nabi), (sampai) menjadi kafir, kerana ayat-ayat Allah dibacakan kepada kalian, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kalian (sebagai pembimbing)” (QS Ali ‘Imraan:101).

Imam Ibnu Katsir berkata: “Makna ayat di atas: sesungguhnya kekafiran itu sangat jauh dan tidak akan mungkin terjadi pada diri kalian (wahai para sahabat Nabi), kerana ayat-ayat Allah turun kepada Rasul-Nya shallallaahu ‘alaihi wa sallam di waktu siang dan malam, yang kemudian beliau membacakan dan menyampaikan ayat-ayat tersebut kepada kalian”([11]).

Contoh lain tentang peranan seorang pendidik yang baik adalah apa yang disebutkan dalam biografi salah seorang Imam besar dari kalangan tabi’in, Hasan bin Abil Hasan Al Bashri([12]) dalam kitab “Siyaru a’laamin nubala’” (2/576), ketika Khalid bin Shafwan([13]) menerangkan sifat-sifat Hasan Al Bashri kepada Maslamah bin Abdul Malik([14]) dengan berkata: “Dia adalah orang yang paling sesuai antara apa yang disembunyikannya dengan apa yang ditampakkannya, paling sesuai ucapan dengan perbuatannya, kalau dia duduk di atas suatu urusan maka diapun berdiri di atas urusan tersebut…dan seterusnya”, setelah mendengar penjelasan tersebut Maslamah bin Abdul Malik berkata: “Cukuplah (keteranganmu), bagaimana mungkin suatu kaum akan tersesat (dalam agama mereka) kalau orang seperti ini (sifat-sifatnya) ada di tengah-tengah mereka?”

Oleh kerana itulah, ketika seorang penceramah mengadu kepada Imam Muhammad bin Waasi’([15]) tentang sedikitnya pengaruh ceramah yang disampaikannya dalam merubah akhlak orang-orang yang mendengar ceramahnya, maka Muhammad bin Waasi’ berkata: “Wahai Fulan, menurut pandanganku, mereka ditimpa keadaan demikian (tidak terpengaruh dengan ceramah yang kamu sampaikan) tidak lain sebabnya adalah dari dirimu sendiri, sesungguhnya peringatan (nasihat) itu jika keluarnya (ikhlas) dari dalam hati  maka (akan mudah) masuk ke dalam hati (orang yang mendengarnya)” ([16]).

- Faktor kedua: Media untuk menerima pengaruh dan manfaat dari ilmu, dalam hal ini adalah hati yang bersih, ini yang diisyaratkan dalam potongan ayat di atas: (“bagi orang-orang yang mempunyai hati”). Ertinya, kalau kita ingin mendapatkan pengaruh yang baik dan manfaat dari ilmu yang kita pelajari, maka kita benar-benar harus membersihkan dan menyiapkan hati kita, kerana ilmu yang bermanfaat tidak akan masuk dan menetap ke dalam hati yang kotor dan dipenuhi noda syahwat atau syubhat.

Imam Ibnul Qayyim berkata: “Yang dimaksud dengan hati (sebagai media untuk menerima manfaat dan pengaruh dari ilmu di sini) adalah hati yang hidup (bersih dari noda syahwat atau syubhat) yang berupaya memahami (peringatan) dari Allah, sebagaimana (yang disebutkan dalam) firman-Nya:

{إن هو إلا ذكرٌ وقرآنٌ مبينٌ لينذر من كان حياً}

“Al Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan, supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya)” (QS Yaasiin: 69)([17]).

Oleh kerana itu, upaya untuk melakukan tazkiyatun nufus (pembersihan hati dan pensucian jiwa) adalah hal yang wajib dan harus mendapat perhatian besar bagi para penuntut ilmu yang menginginkan manfaat yang baik dari ilmu yang dipelajarinya.

Secara ringkas, berdasarkan pengamatan terhadap ayat-ayat Al Quran dan hadits-hadits Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, Ibnul Qayyim menyebutkan bahawa untuk mengupayakan pembersihan dan pensucian jiwa, serta mengubati penyakit-penyakit hati yang menghalangi masuknya ilmu yang bermanfaat, maka ada tiga macam terapi penyembuhan yang harus ditempuh, yang beliau istilahkan dengan “madaarush shihhah” (ruang lingkup penyembuhan), dan ketiga macam cara inilah yang  diterapkan oleh para dokter dalam mengobati pasien mereka. Tiga macam cara penyembuhan tersebut adalah:

1). Hifzhul quwwah (memelihara kekuatan dan keadaan hati), iaitu dengan memperbanyak melakukan ibadah dan amalan shaleh untuk meningkatkan keimanan, seperti membaca Al Quran dengan menghayati kandungan maknanya, berzikir, mempelajari ilmu agama yang bermanfaat, utamanya ilmu tauhid, dan lain-lain.

2). Al Himyatu ‘anil mu’dzi (menjaga hati dari penyakit-penyakit lain), iaitu dengan cara menjauhkan diri dari perbuatan-perbuatan dosa, maksiat dan penyimpangan-penyimpangan syariat lainnya, kerana dosa-dosa tersebut akan semakin memperparah dan menambah penyakit hati.

3). Istifragul mawaaddil faasidah (menghilangkan/membersihkan bekas-bekas jelek/noda-noda hitam dalam hati yang merusak, sebagai akibat dari perbuatan dosa dan maksiat yang pernah dilakukan), iaitu dengan cara beristigfar (meminta pengampunan) dan bertaubat dengan taubat yang nashuh (ikhlas dan bersungguh-sungguh) kepada Allah I([18]).

- Faktor ketiga: upaya untuk mendapatkan pengaruh baik dan manfaat dari ilmu, yaitu dengan cara mengkonsentrasikan pendengaran kita terhadap nasehat dan peringatan yang disampaikan di hadapan kita. Ini yang diisyaratkan dalam potongan ayat di atas: (“Atau orang yang mengkonsentrasikan pendengarannya”).

Maksud dari faktor yang ketiga ini adalah, setelah kita mengupayakan sumber pengaruh ilmu yang baik, demikian pula media untuk menerima pengaruh baik tersebut, maka mestinya pengaruh baik dan manfaat dari ilmu tetap tidak akan didapat tanpa ada penghubung yang menghubungkan antara sumber dan media tersebut. Maka dalam hal ini, banyak membaca Al Quran dengan berusaha menghayati kandungan maknanya, menghadiri majlis ilmu yang bermanfaat, mendengarkan ceramah dan menelaah buku-buku sumber ilmu yang bermanfaat adalah usaha yang harus kita lakukan dan terus ditingkatkan agar manfaat dan pengaruh baik dari ilmu tersebut akan kita perolehi semaksima mungkin.

- Faktor keempat: Usaha untuk menghilangkan penghalang dan penghambat yang menghalangi sampainya pengaruh baik dari ilmu yang bermanfaat. Ini diisyaratkan dalam potongan ayat di atas: (“Sedang dia menghadirkan (hati)nya”). Ini bererti bahawa kelalaian dan berpalingnya hati dari memahami dan menghayati kandungan ilmu ketika ketika kita membaca Al Quran, menghadiri majlis ilmu, atau mendengarkan ceramah, ini adalah penghambat ( penghalang ) utama yang mengahalangi sampainya pengaruh dan manfaat dari ilmu yang sedang kita baca atau dengarkan.

Penutup
Selain mengusahakan keempat-empat faktor di atas, yang tidak kurang pentingnya adalah faktor do’a, kerana bagaimanapun taufik untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat ada di tangan Allah Ta’ala semata-mata. Oleh kerana itulah, di antara do’a Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam adalah meminta perlindungan kepada Allah Ta’ala dari ilmu yang tidak bermanfaat, yaitu ucapan baginda:

اللهم إني أعوذ بك من علم لا ينفع ومن قلب لا يخشع ومن نفس لا تشبع ومن دعوة لا يستجاب لها

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak mahu tunduk (kepada-Mu), dari  jiwa yang tidak pernah puas (dengan pemberian-Mu), dan dari do’a yang tidak dikabulkan”([19]).

Yang terakhir, perlu kita ingat bahawa kesungguhan dan usaha maksima kita dalam mengusahakan semua faktor di atas sangat menentukan – dengan taufik dari Allah Ta’ala – dalam berhasil atau tidaknya kita mendapatkan manfaat dan pengaruh baik  dari ilmu yang kita pelajari itu. Ini kerana Allah ‘Azza wa Jalla akan memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada seseorang sesuai dengan kesungguhan dan usaha bersungguh-sungguh seseorang itu dalam melakukan sesuatu perkara demi untuk mencapai kebaikan dalam agama ini.

Allah Ta’ala berfirman:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ))

“Dan orang-orang yang berjuang dengan sungguh-sungguh (dalam menundukkan hawa nafsu) untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami berikan hidayah kepada mereka (dalam menempuh) jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik”
(QS. Al ‘Ankabuut:69).

Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah -rahimahullah- ketika mengulas ayat di atas berkata: “(Dalam ayat ini) Allah  menghubungkan hidayah (dari-Nya) dengan perjuangan dan kesungguhan (manusia), maka orang yang paling sempurna (mendapatkan) hidayah (dari Allah ‘Azza wa Jalla) adalah orang yang paling besar perjuangan dan kesungguhannya”([20]).

Akhirnya, kami menutup tulisan ini dengan berdo’a dan memohon kepada Allah Subhaanahu wa Ta’ala dengan nama-nama-Nya yang Maha Indah dan Agung, serta sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dan Sempurna agar Dia menganugerahkan kepada kita semua taufik dan hidayah-Nya untuk berupaya mendapatkan manfaat dan pengaruh yang baik daripada ilmu yang kita pelajari, serta menjadikan kita semua tetap istiqamah di jalan-Nya yang lurus sampai kita menghadap-Nya nanti, Aamiin.

وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين

Kota Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam, 10 Rabi’ul awwal 1429 H

Abdullah bin Taslim Al Buthoni
Artikel: ibnuabbaskendari.wordpress.com dengan judul asli: Ilmu yang Bermanfaat

Nota kaki:
([1]) Tafsir Ibnu Katsir (3/729), Ibnu katsir membawakan ucapan beliau ini dalam menafsirkan firman Allah ‘Azza wa Jalla :

{إنما يخشى الله من عباده العلماء إن الله عزيز غفور}

“Sesungguhnya yang memiliki rasa takut kepada Allah diantara hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (tentang agama Allah). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (QS Faathir:28).

([2]) Atsar riwayat Imam Al Bukhari dalam “Al Adabul Mufrad” (no 789) dan Abdurrazzak dalam “Al Mushannaf” (no 3787), dishahihkan oleh Ibnu hajar dalam “Fathul Baari” (10/510) dan dihasankan olah Syaikh Al Albani dalam “Ash Shahihah” (no 3189), juga diriwayatkan dari ucapan Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam dan dishahihkan olah Syaikh Al Albani dalam “Ash Shahihah” (no 2510).
([3]) HR At Tirmidzi (no. 2382), Ibnu Khuzaimah (no. 2482), Ibnu Hibban (no. 408) dan Al Hakim (no. 1527) dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, dishahihkan oleh Al Hakim, disepakati oleh Adz Dzahabi dan Syaikh Al Albani dalam “Shahih at targiib wat tarhiib” (no. 22), Imam muslim juga meriwayatkan hadits ini dalam “Shahih Muslim” (n0 1905) tanpa lafazh yang kami sebutkan di atas. Perawi hadits di atas menyebutkan bahwa Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu sebelum menyampaikan hadits tersebut sampai pingsan tiga kali berturut-turut karena dasyatnya ancaman dalam hadits tersebut dan ketakutan beliau akan kemungkinan tertimpa ancaman tersebut, maka apakah setelah ini masih ada di antara para penuntut ilmu yang merasa aman dari kemungkinan terkena ancaman ini ??!!!
([4]) Kelompok bid’ah yang pertama kali menyempal dari petunjuk Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya radhiyallaahu ‘anhum, kelompok ini terkenal dengan pemahaman sesat mereka yang mudah mengkafirkan kaum muslimin berdasarkan hawa nafsu.
([5]) HSR Muslim dalam “Shahih Muslim” (no. 1066).
([6]) Tafsir Ibnu Katsir (3/552).
([7]) Ucapan ini juga dinukil oleh Abu nu’aim Al Ashbahani dalam kitab beliau “Hilyatul Auliya’” (10/231) dan Al Baihaqi dalam kitab beliau “Syu’abul iimaan” (no. 1842).
([8]) Beliau adalah Abu Shaleh Hamdun bin ahmad bin ‘Umaarah An Naisaabuuri (wafat 271 H), biografi beliau dalam kitab “Siyaru a’laamin Nubala’” (13/50) karya Imam Adz Dzahabi.
([9]) Dinukil oleh syaikh al-Albani dalam kitab “at-Tawassul, ‘anwaa’uhu wa ahkaamuhu” (hal. 74).
([10]) Muqaddimah shahih Muslim (1/12).
([11]) Tafsir Ibnu Katsir (1/514).
([12]) Beliau adalah Imam besar dan terkenal dari kalangan Tabi’in ‘senior’ (wafat 110 H), memiliki banyak keutamaan sehingga sebagian dari para ulama menobatkannya sebagai tabi’in yang paling utama, biografi beliau dalam kitab “Tahdziibul kamaal” (6/95) dan “Siyaru a’laamin nubala’” (4/563).
([13]) Beliau adalah Abu Bakr Khalid bin Shafwan bin Al Ahtam Al Minqari Al Bashri, seorang yang sangat fasih dalam bahasa Arab, biografi beliau dalam kitab “Siyaru a’laamin nubala’” (6/226).
([14]) Beliau adalah Maslamah bin Abdil Malik bin Marwan bin Al Hakam (wafat 120 H), seorang gubernur dari Bani Umayyah, saudara sepupu Umar bin Abdul Aziz dan meriwayatkan hadits darinya, biografi beliau dalam kitab “Tahdziibul kamaal” (27/562) dan “Siyaru a’laamin Nubala’” (5/241).
([15]) Beliau adalah Muhammad bin Waasi’ bin Jabir bin Al Akhnas Al Azdi Al Bashri (wafat 123 H), seorang Imam dari kalangan Tabi’in ‘junior’ yang tat beribadah dan terpercaya dalam meriwayatkan hadits, Imam Muslim mengeluarkan hadits beliau dalam kitab “Shahih Muslim” , biografi beliau dalam kitab “Tahdziibul kamaal” (26/576) dan “Siyaru a’laamin nubala’” (6/119).
([16]) Kitab “Siyaru a’laamin nubala’” (6/122).
([17]) Al Fawaaid (hal. 9).
([18]) Lihat kitab “Igatsatul lahfan” (1/16-17).
([19]) HSR Muslim dalam “Shahih Muslim” (no. 2722).
([20]) Al Fawaaid (hal. 83).

http://syababpetarukan.wordpress.com/2011/02/12/syarat-menggapai-ilmu-yang-bermanfaat/

MASYITAH DAN BAYINYA YANG CINTAKAN TUHAN

MASYITAH DAN BAYINYA YANG CINTAKAN TUHAN

Gambar hiasan saja
Dalam perjalanan Rasulullah ke Masjidil Al-Aqsa, Baginda melihat beberapa gambaran antara langit dan bumi. Antara pelajaran yang dapat diambil dari peristiwa itu ialah mengenai wanita. Rasulullah s.a.w melewati satu daerah yang mana baunya sangat harum seperti bau kasturi. Baginda bertanya kepada Jibril, daerah apakah yang sedang mereka lewati. Jibril menjawab: ''Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga.''

Kita semua, sedia maklum bahawa Firaun mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata agar menyembah dan memperhambakan diri padanya. Barang siapa yang engkar dengan suruhannya akan diseksa atau dihukum bunuh. Begitulah kejamnya Firaun.

Walaupun hukuman diugut dengan hukuman bunuh, terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah. Diantaranya ialah Siti Asiah, isteri Firaun sendiri dan keluarga Masyitah.

Masyitah adalah pelayan raja yang paling lebih terkenal sebagai tukang sikat keluarga Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan keislaman mereka agar dengan itu mereka tidak diganggu oleh Firaun dan orang-orangnya.

Walau bagaimanapun suatu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan tanpa disengajakan dia melatah dan menyebut, “Allah!”

Puteri tersebut bertanya siapakah `Allah` itu. Pada mulanya Masyitah enggan menjawab pertanyaan itu. Namun puteri itu terus mendesak Masyitah agar menjawab pertanyaannya. Akhirnya dengan tenang Masyitah berkata, “Allah Tuhanku dan Tuhan sekalian alam .”

Puteri tersebut dengan serta-merta mengadu kepada Firaun tentang Masyitah. Firaun terperanjat apabila mendengar Masyitah menyembah selain dari dirinya. Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintah menterinya bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan keluarganya yang telah menyembah Allah.

Jasa Masyitah yang begitu banyak terhadap keluarga Firaun langsung tidak dikenang oleh Firaun. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana. Tanpa usul periksa Firaun menjatuhkan hukuman berat kepada Masyitah dan keluarganya.

Begitulah zalim dan kejamnya Firaun yang tidak berhati perut langsung. Beginilah sikap manusia yang punya kuasa dan kedudukan, yang lupa bahawa dia juga hamba kepada Tuhan yang menciptakannya. Manusia yang lemah terus diseksa sesuka hatinya.

Di pihak Masyitah pula, dia sedar bahwa inilah masanya Tuhan hendak menguji keimanannya. Meskipun lemah fizikalnya namun Masyitah memiliki kekuatan jiwa yang sukar ditandingi oleh wanita lain. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia kufur, sombong dan bongkak itu terhadapnya.

Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya menyediakan kawah yang besar. Hamman ingin merebus Masyitah serta keluarganya yang terdiri dari suami dan empat orang anak termasuk seorang bayi yang masih kecil.

Masyitah dan keluarganya melihat air di dalam kawah yang dimasak sehingga mendidih namun itu sedikitpun tidak menggugat keyakinan mereka kepada Allah. Sebelum ditolak ke dalam kawah tersebut, Masyitah sekeluarga telah ditanya oleh Hamman samada mahu selamat dengan menyembah Firaun kembali atau masuk ke dalam kawah dengan beriman kepada Allah. Dengan tegas mereka berkata, “Kami akan terus beriman kepada Allah sekalipun terpaksa terjun ke dalam kawah yang menggelegak ini.”

Maka Hamman pun memaksa satu-persatu keluarga Masyitah terjun ke kawah tersebut dengan sombong dan ketawa terbahak-bahak sambil menyindir dan menghina mereka. Suami Masyitah dicampak dahulu dan diikuti dengan anak-anaknya. Masyitah melihat sendiri bagaimana suami dan anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang menggelegak itu. Akhirnya tinggal Masyitah bersama bayi yang sedang dikendongnya.

Di waktu itulah syaitan membisik ke telinganya, tidakkah dia rasa kasihan dan simpati pada bayinya yang masih merah dan tidak tahu apa-apa itu. Masyitah mula merasa ragu-ragu sama ada hendak membiarkan dirinya dicampak ke dalam kawah itu atau tidak. Ketika itu, dengan kuasa dan kehendak Allah, tiba-tiba anak yang masih kecil itu berkatakata berkata kepada Masyitah, ibunya, “Wahai ibu marilah kita menyusuli ayah. Sesungguhnya syurga sedang menanti kita.”

Bila mendengar kata-kata itu, Masyitah dengan rasa kehambaan kepada Allah mencampakkan diri dan anaknya ke dalam kawah yang sedang menggelegak itu. Kawah itu dikacau oleh pengawal dengan menggunakan penyudip besi. Mereka dikacau seperti ikan yang direbus. Maka matilah Masyitah bersama keluarganya demi mempertahankan aqidah dan keimanan mereka.

Walaupun di dunia ini menerima seksa dan sengsara tetapi di akhirat nanti, Allah telah menjamin syurga untuknya. Masyitah rela direbus hidup-hidup di dalam air menggelegak panas sehingga menyebabkan hancur dan masak kulit, isi dan seluruh badannya demi mempertahankan keyakinannya kepada Allah. Dia menerima segalanya dengan penuh keimanan, sabar dan redha kerana dia yakin Allah tidak akan mensia-siakan keyakinan itu.

Begitulah hebatnya keyakinan Masyitah dan keluarganya kepada Allah. Keimanannya sungguh mendalam sehingga dia tidak takut dengan ancaman Firaun. Sememangnya Allah telah menjanjikan nikmat syurga yang kekal abadi untuk Masyitah dan keluarganya.


http://kisahteladan.info/kisah-mukminah/masyitah-dan-bayinya-yang-cintakan-tuhan.html

Rabu, 14 November 2012

BAGAIMANA NABI IBRAHIM MEMBINA KAABAH

BAGAIMANA NABI IBRAHIM MEMBINA KAABAH


Telaga Zam Zam semakin dikunjungi manusia, sehingga itu terbangun sebuah masyarakat baru. Perkembangan secara mendadak ini telah sampai pada pengetahuan beberapa suku kaum yang menetap di bahagian pendalaman kota Makkah. Ini menarik perhatian mereka dan dengan itu mereka mengambil kesempatan untuk sama-sama menyertai serta mendapatkan manfaat dari telaga suci Zam-Zam.

Hajar, ibu Nabi Ismail tidak keberatan menerima penghijrahan mereka. Malah Hajar menyambut mereka sebagai tetamu-tetamu terhormat dengan diberi layanan yang sebaik-baiknya. Keadaan ini mereka menghormati dan memuliakan lagi keluarga Nabi Ibrahim. Juga mereka bersedia mematuhi peraturan-peraturan yang telah diatur dan ditetapkan oleh Hajar. Justeru itu keadaan ini membawa mereka hidup dalam suasana berkasih sayang dan saling bertolong bantu.

Nabi Ismail yang kian dewasa, hidup di tengah-tengah kelompok masyarakat itu, turut melaksanakan tugas suci seperti Nabi Ibrahim. Menyebar dan menyampaikan risalah Allah serta membawa masyarakat sekelilingnya kepada jalan yang benar, sehingga akhirnya bangsa Arab yang terkenal dengan sikap kasar dan bengis itu mengubah sikap mereka.

Nabi Ismail seterusnya membina sebuah keluarga dengan menikahi seorang gadis dari bangsa Jurhum. Namun dengan gadis pertama ini, kehidupan mereka tidak kekal lama. Melalui isteri keduanya, kebahagiaan hidup dapat dirasai oleh Nabi Ismail di samping anak-anak yang dikurniakan sebagai keturunannya. Dan dari keturunan itu lahirnya Nabi Muhammad SAW.

Kerinduan Nabi Ibrahim yang sekian lama berpisah dengan puteranya Ismail kian menebal di dadanya. Namun kerana tugasnya sebagai Nabi Allah, menyampaikan dakwah dan risalah Allah, keinginannya untuk bertemu itu ditangguhkan pada suatu masa yang belum pasti.

Nabi Ibrahim terpaksa mengembara ke seluruh pelusuk padang pasir yang amat luas, bagi menemui rombongan-rombongan atau kafilah-kafilah manusia, menyeru dan mengajak mereka pada agama yang benar menyembah dan mengEsakan Allah. Inilah suatu tugas berat yang mesti dilaksanakan oleh baginda sebagai utusan Allah.

Sementara Nabi Ismail pula tetap berada di sekitar telaga Zam Zam, yang terus menerus mengeluarkan airnya dan sentiasa dikunjungi manusia, sehingga pertambahan mereka menyebabkan keadaan di sekitar Zam Zam berubah kepada sebuah kota, iaitu yang selalu disebut-sebut mereka sebagai kota Makkah.

Ketika Nabi Ibrahim sibuk dengan tugasnya mengajak dan menyeru manusia menyembah Allah, maka Allah SWT telah menurunkan wahyu memerintahnya mendirikan Rumah Allah (Baitillahil Haram) iaitu Kaabah berhampiran telaga Zam Zam. Tugas suci ini mesti dilakukan bersama-sama anaknya Nabi Ismail.

Dengan itu Nabi Ibrahim segera menuju ke Makkah, mendapatkan Ismail. Tiba di Mekah mereka bertemu di telaga Zam Zam. Di dalam kemuncak kegembiraan atas pertemuan itu Nabi Ibrahim memberitahu Nabi Ismail akan wahyu Allah yang diterimanya, “Wahai anakku Allah telah memerintahkan kepadaku untuk mendirikan sebuah rumah di atas dataran yang tinggi itu.” Binaan Rumah Allah akan dibina berhampiran telaga Zam-Zam.

Mendengarkan perintah itu Nabi Ismail yang sangat taat pada Allah dan kedua orang tuanya, hanya menundukkan kepalanya tanpa sebarang kata. Setelah itu kedua Nabi Suci Allah segera menuju pada tempat yang telah ditetapkan oleh Nabi Ibrahim secara tapak pembinaan Baitillahil Haram. Dengan dibantu oleh beberapa alat dan dengan tulang empat kerat yang ada, mereka membuat kerja-kerja mendatarkan tanah, mengangkut, mengumpulkan pasir dan seterusnya sedikit demi sedikit meninggikan beberapa tiang dan benteng Kaabah.

Dalam pada mereka bekerja keras berhempas pulas mengerjakan pembinaan Rumah Allah, kedua Nabi suci itu memanjatkan doa kepada Allah dengan berkata, “Ya Allah. Terimalah persembahan kami, Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Wahai Tuhan Jadikanlah kami muslimin untuk Engkau, begitu pula anak dan keturunan kami semua menjadi umat yang Islam. Tunjukkanlan kepada kami akan cara peribadatan kami, berilah ampun terhadap kami, kerana Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

Doa Nabi Ibrahim ini Allah SWT rakamkam dalam Al Quran dalam surah Al Baqarah ayat 128.

Nabi Ibrahim ketika berdoa, baginda telah berdiri pada satu tempat yang berhampiran dengan bangunan Kaabah yang sedang dalam pembinaan. Dan tempat berdiri baginda itulah yang dinamakan Maqam Ibrahim yang sekarang ini sesiapa yang mengadakan tawaf di rumah suci Allah itu disunnahkan melakukan sembahyang sunat dua rakaat dan berdoa. Maqam NaD Ibrahim ini adalah merupakan di antara tempat-tempat berdoa yang dimakbulkan Allah. Sehinggalah di saat ini tempat itu sentiasa menjadi rebutan ribuan manusia setiap tahun yang tidak pernah kosong dari dahulu dan sekarang.

Doa yang telah diucapkan oleh Nabi Ibrahim itu mengandungi dua makna terpenting. Pertamanya, merupakan persembahan kepada Allah terhadap apa yang telah mereka kerjakan. Bergantung kepada sejauh mana penilaian Allah terhadap usaha-usaha mereka. Sementara yang keduanya, mengandungi permohonan atau pengharapan. Mengharap agar Allah menjadikan Ibrahim dan Ismail serta keturunan mereka menjadi manusia yang beragama Islam dan dipilih menjadi orang-orang yang beriman serta yang menyerah diri semata-mata kepada Allah. Dan juga agar Allah menunjukkan kepada mereka cara-cara beribadah yang sebenarnya.

Nabi Ibrahim dan Ismail kembali meneruskan pekerjaan yang belum selesai. Setelah binaan Kaabah hampir siap, mereka dapati masih ada kekurangan yang perlu ditambah. Waktu itulah Allah SWT dengan kekuasaan-Nya menghantarkan kepada mereka seketul batu hitam dari syurga. Batu yang luar biasa keadaannya, berwarna hitam (asal berwarna putih) serta berkilat.

Oleh kerana gembiranya mereka mendapatkan pemberian besar dari Allah itu, mereka mengucapkan syukur berulang-ulang kali sambil mengucup batu tersebut dan di waktu yang sama mereka membawanya mengelilingi Rumah Allah dan sama-sama meletakkan pada tempatnya, yang sekarang ini dinamakan Hajar Aswad.

Peristiwa ini dijadikan salah satu dari ibadah- ibadah sunat yang digalakkan melakukannya semasa mengerjakan haji. Kerana itu pada setiap kali musim haji, mereka yang tawaf keliling Kaabah berebut-rebut untuk mengucup batu hitam tersebut. Sementara mereka yang tidak berpeluang berbuat demikian memadailah dengan mengangkat tangannya sebagai syarat ke arah batu hitam dan mencium tangannya. Seolah-olah ia juga turut menciumi Hajar Aswad.

Sekalipun ibadah ini bukan ibadah yang wajib, tetapi setiap muslimin yang datang ke situ berhabis tenaga untuk mendapatkannya, kerana ia memberi kesan mendalam bagi seseorang yang dapat berbuat demikian seperti mencium Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail. Merekalah orang yang pertama sekali melakukan begitu pada Hajar Aswad. Begitu juga seakan-akan mencium Nabi Muhammad, para sahabat, orang-orang soleh yang pernah datang ke situ.

Pengaruh ini dibawa oleh seorang yang bernama Amar bin Lahyin. Seorang yang terkenal dengan hartawan dan juga dermawan. Kedermawanan Amar pernah satu ketika menyumbangkan 10,000 ekor unta dan membahagi-bahagikan makanan dan pakaian kepada berpuluh-puluh ribu jemaah haji. Oleh kerana kebanyakan jemaah haji yang datang itu terdiri dari mereka yang kurang pengetahuan dan kefahaman tentang ajaran Ibrahim, mereka menganggap perbuatan Amar itu sebagai satu perbuatan yang suci. Mereka juga menganggap Amar seorang yang mulia dan suci sehingga menyama tarafkan Amar dengan Tuhan. Segala apa yang dikatakan oleh Amar dianggap wahyu dan syariat. Akhirnya berubah dan terbubar keseluruhan ajaran Nabi Ibrahim. Dan manusia kembali kufur dan derhaka kepada Allah.

Mereka kembali kepada ajaran umat manusia sebelum kedatangan Nabi dan Rasul. Mereka menyembah berhala dan memuliakan binatang (unta). Menyembah Al Manat, Yaghut, Nasr dan lain-lain berhala yang sengaja mereka bawa masuk ke kota suci Makkah dan memenuhi Kaabah dengan patung-patung berhala mereka. Hingga Kota Makkah dan seluruh Tanah Arab dipenuhi berhala dan cara penyembahan yang karut itu. Demikianlah besarnya pengaruh manusia kepada ajaran Amar.

Namun demikian Allah SWT tidak akan membiarkan bumi-Nya dipenuhi oleh kejahilan, kederhakaan dan kekurafatan manusia. Maka Allah mengutuskan Nabi Muhammad dari keturunan Ismail dan Ibrahim, untuk seluruh umat manusia. Kedatangan bagindaadalah membersih dan mengembalikan manusia kepada menyembah dan mengesakan Allah SWT.

Demikianlah Allah telah menerima permohonan dan doa Nabi Ibrahim dan Ismail. Sementara perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah, para sahbat serta orang-orang soleh, juga para ulama menegakkan kembali ajaran Allah, bukan sahaja terpikul di atas bahu mereka, malah inilah juga perjuangan bagi seluruh umat muslimin, dalam mengajak manusia kepada kebenaran.

Firman Allah pada akhir surah Al Haj yang bermaksud: “Berjuanglah kamu di jalan Allah dengan sebenar-benar kesungguhan (jiwa, raga dan harta). Ia (Allah) sudah memilih kamu dan tidaklah ia menjadikan satu perkara yang amat berat atas kamu dalam agama ini, iaitu agama yang diajarkan oleh bapa kamu Ibrahim, lalah yang menamakan kamu Muslimin sebelum ini dan juga dalam Al Quran, agar Rasul itu menjadi penyampai (berita) kepada kamu. Maka dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat, dan berpeganglah dengan agama Allah. Ia Tuhan kamu, adalah sebaik- baik Tuhan dan sebaik-baik penolong.”

Tindakan ini melambangkan rasa cinta-iaitu cinta seorang hamba terhadap kekasih-kekasih Allah. Ini juga bererti mencintai Allah. Kerana kecintaan inilah yang menarik jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia untuk datang mengerjakan haji dan tawaf di Kaabah atau Baitul Atiq atau Baitul Makmur iaitu rumah yang selalu dikunjungi manusia, sebagaimana Baitul Makmur yang ada di langit tempat tumpuan para Malaikat.

Setelah pembinaan rumah Allah itu selesai, maka Allah mengajarkan kepada Nabi Ibrahim dan Ismail bagaimana untuk mengerjakan ibadah haji iaitu cara penyembahan terhadap Allah SWT. Dengan ibadah ini jugalah Nabi Ibrahim dan Ismail menyampai dan menunjuk ajar kepada semua para nabi dan rasul yang kemudiannya hinggalah ibadah haji ini sampai kepada Nabi terakhir dan penutu segala nabi iaitu Nabi Muhammad SAW. Ibadah-ibadah yang termasuk sembahyang, puasa, zakat dan haji, kerana nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan kemudian hanya tinggal meneruskan saja ajaran Nabi Ibrahim.

Akhirnya Nabi Ibrahim berdoa lagi pada Allah, “Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya aku menempatkan anak turunanku di lembah yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dan manusia, di sekirat rumah Engkau yang suci (Kaabah). Ya Tuhan! Agar mereka mendirikan sembahyang. Jadikanlah tempat ini sebagai tempat bertawaf, iktikaf, rukuk dan sujud. Jadikanlah hati manusia tertarik dan simpati terhadap mereka. Berikanlah rezeki kepada mereka dari buah-buahan. Mudah-mudahan mereka menjadi orang yang bersyukur.”

“Wahai Tuhan! Bangkitkanlah seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah, serta yang akan membersihkan mereka, kerana sesungguhnya Engkau Maha Gagah, lagi Maha Bijaksana.”

Berabad-abad telah berlalu, setelah kewatatan Nabi Ibrahim dan Ismail, Makkah Baitillahil Haram semakin menjadi tumpuan dan kunjungan manusia dari seluruh dunia untuk melakukan ibadah haji dan umrah. Yang dikerjakan dalam bulan-bulan tertentu dalam bulan Islam. Namun demikian, lama kelamaan, mereka mulai lupa kepada ajaran Nabi Ibrahim. Syariat yang diwahyukan Allah kepada Nabi Ibrahim satu demi satu mereka tinggalkan. Mereka mereka dan menokok tambah cara-cara ibadah yang sedia ada dengan cara dan kehendak mereka sendiri. Mereka bukan lagi menyembah Allah tetapi menyembah Rumah Allah iaitu Kaabah dan berhala.

http://kisahteladan.info/kisah-nabi/nabi-ibrahim-membina-kaabah.html

Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...