|
Gambar hiasan |
ALLAH SWT memerintahkan kepada Rasul-Nya supaya mengatakan kepada manusia bahawa baginda tidak mengetahui bila akan berlakunya hari Kiamat sama ada waktunya sudah hampir atau masih jauh.
Baginda juga tidak mengetahui sedikit pun daripada yang ghaib, kecuali jika baginda diberitahu oleh Allah SWT. Dia sangat mengetahui para Rasul telah menyampaikan risalah Tuhan mereka sama ada secara umum mahupun yang terperinci.
Firman Allah SWT: (Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: Aku tidak mengetahui, apakah azab yang diancamkan kepadamu itu dekat ataukah Tuhanku menjadikan bagi (kedatangan) azab itu masa yang panjang? (Dia adalah Tuhan) yang mengetahui yang ghaib, maka dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredai-Nya, maka sesungguhnya dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya. (al-Jin: 25-27)
Al-Mawardi berkata: Perkataan yang mengetahui yang ghaib ada empat pendapat:
* Mengetahui yang rahsia seperti pendapat Ibn Abbas.
* Apa yang kamu tidak nampak yang menjadi ghaib bagimu seperti pendapat al-Hasan.
* Iaitu yang ghaib adalah al-Quran seperti pendapat Ibn Zaid
* Yang ghaib adalah hari Kiamat dan peristiwa yang akan berlaku seperti pendapat Ibn Abi Hatim.
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya supaya mengatakan kepada mereka dia tidak mengetahui tentang hari Kiamat, begitu juga waktu ketika mana ia berlaku.
Al-Maraghi berkata: Dia mengetahui apa yang ghaib daripada penglihatan makhluk-Nya sehingga mereka tidak melihatnya. Dan yang demikian ini tidak diketahui oleh seorang pun kecuali para rasul AS yang diredai-Nya. Dia memberitahu kepada mereka apa yang dikehendaki-Nya daripada yang ghaib itu.
Ayat ini menunjukkan perbuatan melakukan ramalan, nujum dan sihir adalah sesuatu yang batil.
Ar-Razi berkata: Ayat yang mulia ini bermaksud, Dia tidak memberitahu kesediaan peristiwa ghaib yang diketahui-Nya tentang kedatangan hari Kiamat. Terdapat beberapa alasan yang menunjukkan perkara itu;
* Para penganut agama dan kepercayaan telah membuktikan kebenaran ilmu takwil dan tafsir mimpi. Orang yang mentafsirkan mimpi itu kadang-kadang memberitakan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang dan pentafsirannya itupun kadang-kadang benar.
* Tukang tilik dari negara Baghdad ini telah dipindahkan oleh Sultan Sinjar Ibnu Malik Shah dari Baghdad ke Khurasan dan telah ditanya tentang sesuatu perkara yang akan datang, lalu dia telah menyebut beberapa perkara yang kemudiannya berlaku bersesuaian dengan pembicaraannya.
* Kita menyaksikan di antara ahli mimpi (perkara itu tidak dikhususkan kepada para wali, tetapi kadang-kadang didapatkan juga oleh tukang-tukang sihir), dan orang yang benar dalam perkhabarannya. Termasuk juga ilmu yang berdasarkan bintang, seringkali sesuai dengan apa yang berlaku. Apabila perkara itu dapat disaksikan dan dialami, maka pendapat yang mendakwa al-Quran menunjukkan yang sebaliknya dapat menimbulkan celaan terhadap al-Quran al-Karim.
Ad-Dahak berkata: Tidak diutus seorang Nabi pun kecuali dia disertai oleh para malaikat yang menjaganya daripada syaitan-syaitan yang menyamar dalam bentuk malaikat. Apabila datang seorang syaitan dalam bentuk malaikat, maka para malaikat mengatakan kepada Nabi, berwaspadalah, ini adalah syaitan dan apabila datang kepada Nabi itu seorang malaikat, maka para malaikat penjaga mengatakan: "Ini adalah utusan Tuhanmu!"
Hamka berkata: Rasul-rasul yang diredai oleh-Nya akan dijagai dan dipelihara daripada sebarang ancaman musuh.
Al-Qasyani berkata: Penjagaan itu di sisi Allah SWT yang selalu menghadap wajah kepadanya sesudah itu ialah Ruhul Qudus dan berbagai Nur (cahaya) Malakut, iaitu alam Malaikat dan Rabbani. Ataupun penjagaan pada anggota tubuh dengan kesungguhan mengerjakan ibadah dan zikrullah, maka ia menjadi perisai dalam menghadapi apa sahaja cabaran dan rintangan dalam menyampaikan dakwah.
Firman Allah SWT: Supaya dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang (sebenarnya) ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan dia menghitung segala sesuatu satu persatu. (al-Jin: 28)
Ahli tafsir berbeza pendapat mengenai dhamir (kata ganti) yang terdapat dalam firman-Nya, kepada siapa kembalinya? Ada yang berpendapat kata itu kembali kepada Nabi SAW.
Al-Mawardi menyebut lima pendapat;
* Supaya Muhammad mengetahui yang Jibril menyampaikan risalah Allah dan memeliharanya. Inilah pendapat Ibn Jubair.
* Supaya Muhammad mengetahui rasul-rasul sebelumnya telah menyampaikan risalah Allah. Inilah pendapat Qatadah.
* Supaya Muhammad mengetahui siapa yang mendustakan rasul-rasul yang telah menyampaikan perintah Tuhan-Nya. Inilah pendapat Mujahid.
* Supaya jin mengetahui bahawa rasul-rasul telah menyampaikan wahyu Allah dan mereka bukanlah mencuri maklumat seperti pendapat Ibnu Qutaibah.
* Supaya Allah mengetahui yang rasul-rasul-Nya telah menyampaikan risalah daripada-Nya seperti pendapat al-Zajjaj.
Abdul Razaq mengatakan dari Ma'mar daripada Qatadah: Nabi mengetahui para Rasul menyampaikan tugas daripada Allah dan para Malaikat menjaganya.
Ibnu Jauzi dalam kitab Zadul Masir berkata: Allah SWT sentiasa menjaga rasul-rasul-Nya melalui para malaikat agar mereka boleh menyebarkan risalah-Nya serta menjaga wahyu yang diturunkan agar Dia mengetahui mereka telah menyampaikan risalah Tuhan.
Sayid Qutub berkata: Rasul-rasul yang dipilih dan diredai Allah SWT akan dibuka pengetahuan ghaib-Nya iaitu mengenai semua yang berkaitan dengan wahyu yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Serentak itu juga Allah menjaga para rasul-Nya daripada godaan dan bisikan syaitan. Gambaran kawalan dan pengawasan yang sempurna terhadap Rasullullah SAW sangat jelas dalam ayat tersebut. Allah SWT mengetahui semuanya untuk menjelaskan bahawa penyampaian dakwah sudah terlaksana kepada manusia di muka bumi.
Surah ini membincangkan dua perkara utama;
Menceritakan ungkapan-ungkapan yang keluar daripada kalangan bangsa jin ketika mendengar bacaan al-Quran. Di kalangan jin itu ada yang berkata al-Quran dianggap sebuah kitab yang menunjukkan kepada jalan yang lurus.
Maha Suci Allah SWT daripada mempunyai isteri dan anak, mereka menyangka bahawa tidak ada seorang pun yang mendustakan Allah SWT. Terdapat juga di kalangan manusia yang meminta pertolongan daripada golongan jin untuk menghilangkan kesempitan hidup mereka, para jin mencari berita dari alam atas tetapi mereka dihalang.
Dalam pada itu, para jin tidak mengetahui apa yang berlaku di bumi kerana halangan ini. Di kalangan jin pula ada yang baik dan ada yang jahat. Ada yang Islam dan ada yang kafir menyimpang daripada kebenaran.
Perintah yang disampaikan kepada Nabi SAW agar disebarkan kepada makhluk. Antara dilarang menyekutukan sesuatu dengan Tuhannya. Baginda juga tidak mampu mendatangkan manfaat atau bahaya.
Baginda juga tidak mampu menghalang seseorang daripada menderhaka kepada Allah SWT, andainya orang tersebut ingin menderhakai-Nya. Baginda juga tidak mengetahui bilakah saat mereka akan diseksa kerana hanya Allah SWT sahaja Yang Mengetahui.
Semoga Allah menempatkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh, sekali gus melayakkan kita untuk menghuni syurga-Nya. Amin.