Jumaat, 6 September 2013

MENGAPA ZUHUD ITU PERLU?


Seringkali apabila kita membicarakan tentang ZUHUD, kita sering beranggapan orang yang zuhud adalah orang yang meninggalkan segala kemewahan dunia dan hidup dengan keadaan yang sangat daif seperti kehidupan para suffah di zaman RASULULLAH SAW dahulu. Golongan suffah ini adalah satu golongan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kehidupan mereka hanya di dalam lingkungan masjid sahaja.

Mereka ini di zaman RASULULLAH SAW dahulu adalah golongan yang sangat cintakan ilmu dan berusaha mendapatkannya bukan untuk tujuan duniawi dan mencari kekayaan, pangkat atau glamor tetapi menyerahkan seluruh jiwa dan raganya untuk mewibawakan umat islam yang lain dengan menghafal al quran dan hadis serta ilmu-ilmu yang berkaitan bagi tujuan kepentingan ummah. Itulah antara pengorbanan para-para sahabat di zaman RSAW ini di dalam mewibawakan islam hingga islam menjadi gemilang di zaman mereka.

Bagaimanapun, adakah golongan ini sahaja yang boleh kita ambil sebagai contoh untuk menjalani hidup sebagai orang islam yang zuhud, apakah para-para sahabat RASULULLAH SAW yang lain tidak zuhud? Sebenarnya, RSAW telah mendidik sifat zuhud kepada semua para sahabat-sahabat beliau tetapi kezuhudan itu sebenarnya sangat mendalam maksudnya. Ia bukan menggambarkan hal yang tersurat sahaja tetapi sebenarnya yang lebih utama adalah kezuhudan hati itu. Sebab itu walaupun dunia ketika itu berada di tangan para sahabat tetapi dunia tidak menjadi keutamaan mereka. Bagaimanakah mereka dapat mengatasi penyakit cinta dunia ini walaupun segala-gala kenikmatan dunia berada dalam genggaman mereka. Mari kita sama-sama memahami apakah sebenarnya erti zuhud itu.

Memiskinkan diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada sesama manusia. Inilah sebenarnya erti zuhud. Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun Memiskinkan diri ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskin diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apa-apa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata.

Apabila orang kaya merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala. Tuhan jadikan miskin dan kaya supaya manusia kenal-mengenal, bantu-membantu dan berkasih sayang antara satu sama lain, kerana masing-masing saling memerlukan. Dunia ini Allah punya, segala-segala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan, kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita tidak memiliki apa-apa sebaliknya kita dimiliki.

Kalaupun kita ada mempunyai harta kekayaan, wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kita sendiri, ia juga adalah milik Tuhan. Kita sebagai manusia dalam keadaan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kita tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kita boleh ambil sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk masyarakat. Allah jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hambanya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah kurniakan itu cukup untuk hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.

Allah jadikan miskin kaya bukan secara kebetulan. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan ujud dan berkembang.

Manusia hanya akan sibuk mencari makanan sehari-hari untuk diri dan keluarga masing-masing. Semua manusia akan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak akan berlaku interaksi, usahasama, kerjasama, khidmat dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak akan ada kemajuan. Tidak akan terbangun masyarakat, tamadun dan peradaban. Semua manusia akan hidup macam orang asli atau kaum aborigin yang semuanya sama-sama miskin. Sebaliknya kalau dalam masyarakat manusia semuanya kaya-kaya belaka, maka kekayaan itu tidak ada apa-apa makna. Orang kaya akan menjadi susah juga.

Siapa yang akan menanam padi. Siapa yang akan ke laut menangkap ikan. Siapa yang akan menternak lembu, kambing dan ayam. Siapa yang akan menanam sayur dan pokok buah-buahan. Bukankah ini semua kerja orang miskin. Apa yang orang kaya hendak makan. Takkan hendak makan duit, emas, perak, intan dan berlian. Siapa yang akan bina rumah, buat jalan, angkut sampah, potong rumput, menjadi pekerja bekalan air dan elektrik dan beribu-ribu macam khidmat lagi.

Kalau hendak gerakkan industri dan ekonomi pula siapa yang akan jadi buruh. Siapa yang akan jadi pekerja. Siapa yang akan jadi penyelia. Akhirnya siapa yang akan jadi pembeli atau pengguna bagi barangan dan khidmat yang dikeluarkan.

Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenal-mengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.

Namun begitu, rezeki dan kekayaan yang Allah limpahkan ke bumi ini adalah untuk semua manusia walaupun pembahagiannya tidak sama banyak dan tidak sama rata. Justeru itu apabila ada orang atau pihak yang tidak menjaga dan tidak mentadbir harta dan kekayaan yang Allah amanahkan kepada mereka dengan baik, maka akan berlakulah bencana. Apabila orang kaya tidak menyama ratakan harta kekayaan mereka kepada fakir miskin dan yang memerlukan, maka akan datanglah malapetaka. Apabila orang kaya mula merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka sendiri dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala. Rezeki, harta dan kekayaan Allah itu adalah untuk semua manusia dan masyarakat bukan untuk manusia yang tertentu sahaja. Ia mesti disama ratakan. Kalau tidak akan timbul kelas dan kasta kaya miskin dalam masyarakat yang satu sama lain benci-membenci, curiga-mencurigai, hina-menghina dan dengki-mendengki. Masyarakat akan menjadi kucar-kacir, kacau-bilau, bergaduh dan berkelahi. Akan belaku berbagai bentuk jenayah dan penindasan. Hilang ukhwah dan kasih sayang. Manusia tidak kira kaya atau miskin akan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.

Oleh itu, semua manusia terutama yang kaya, perlu memiskinkan diri. Memiskinkan diri ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskin diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apa-apa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata. Kalau pun kita kaya dan berharta, kita tahu dan kita sedar bahawa kita sebenarnya miskin. Kekayaan yang ada itu adalah amanah dari Allah yang wajib kita jaga dan tadbirkan mengikut kehendak-Nya. Kita boleh ambil setakat mana yang perlu sahaja dan menggunakan yang selebihnya untuk golongan fakir miskin dan masyarakat. Memiskin diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada golongan miskin dan masyarakat.

Inilah sebenarnya erti zuhud. Zuhud bukan bermaksud tidak kaya atau tidak berharta. Zuhud ertinya tidak merasakan kekayaan dan harta ini kita punya.

Zuhud ertinya merasakan harta dan kekayaan itu kepunyaan Allah yang perlu diagihkan kepada yang berhak. Zuhud ertinya mempunyai kekayaan di tangan tapi tidak di hati. Orang yang zuhud ialah orang yang telah memiskin dirinya hingga mudah baginya menggunakan kekayaannya untuk masyarakat dan golongan yang memerlukan.

http://www.usahataqwa.com/akhlak/zuhudu.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...