Khamis, 23 Januari 2014

Menzahirkan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w

Menzahirkan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w - by epondok 

CINTA, sebuah kata yang mengasyikkan dan menggiurkan. Tidak dapat diungkap dengan sebuah kata, hanya yang pernah menikmati cinta tahu bagaimana indah dan pesona cinta itu.

Sungguh cinta  banyak mengubah watak manusia. Hinggakan pedang dihayun oleh Ibnu Muljam – seorang tokoh al-Quran – bagi membunuh Khalifah Ali sebagai syarat menikahi wanita yang dicintainya. Begitu juga Imran bin Khattan – seorang perekod hadis – mengikuti pemahaman isterinya yang merupakan seorang Khawarij.

Mereka antara tokoh yang tergelincir dalam jurang kesesatan ketika mencari lembah yang subur dengan benih-benih cinta kepada Nabi. Pada sangkaan mereka, kehidupan beragama yang mereka tempuh merupakan jalan meraih cinta Rasulullah SAW. Namun sayangnya, mereka telah menyelisihi ajaran Nabi.

Cinta yang didamba namun murka yang kunjung tiba. Pada hemat mereka, bentuk amalan yang akan merangkul cinta daripada Nabi boleh diilhamkan melalui akal fikiran, sangka-sangkaan, mimpi dan igauan: jika sebuah amal itu dirasakan indah dan molek, nampak padanya kebaikan dan ada unsur Islam, maka wajarlah amalan tersebut dilaksanakan.

Lalu lahirlah pelbagai ragam amalan yang dituju khusus buat Nabi SAW. Tetapi cinta itu bukanlah sebuah perasaan sehala. Cinta harus dibalas oleh yang dicintai agar sang pencinta berasa ‘asyik’.

Persembahan tersebut perlu memenuhi kehendak orang yang dicintai, kerana sering berlaku dalam kehidupan manusia tentang pinangan ditolak, pemberian dipulangkan, serta kasih tidak diterima. Cinta tidak berbalas, ibarat bertepuk sebelah tangan.

Pepatah Arab menyebutkan: “Tidak menghairankan perkataan mereka mencintai-Nya, namun yang dihairankan perkataan Dia mencintai mereka”. Begitulah betapa banyak manusia yang telah mengatakan cintanya kepada Rasulullah SAW, namun Rasulullah tidak menerima cinta yang mereka hulurkan kerana cinta yang mereka persembahkan tidak menepati kehendak Nabi.

Cinta yang berbalas

Sebenarnya jalan untuk melahirkan rasa cinta dan meraih cinta daripada Rasulullah SAW telah dibentangkan oleh Baginda; hingga tidak ada jejak ke syurga melainkan telah dinyatakan dan tidak ada denai ke neraka melainkan telah diperingatkan.

Jelas Rasulullah SAW; tanda cinta seorang manusia kepada dirinya adalah dengan menegakkan sunnahnya, bukan dengan berdansa, bukan juga dengan berarak, bukan juga dengan nyanyian dan bukan dengan temasya keramaian. Semua ini tidak pernah dilakukan oleh sahabat Baginda SAW.

Kata Nabi kepada Anas bin Malik: “Dan barang siapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mencintaiku. Dan barang siapa yang telah mencintaiku, maka aku bersamanya di syurga” (Riwayat Tirmidzi).

Lihatlah apa yang dibicarakan Anas, seorang kanak-kanak yang tumbuh membesar di rumah Nabi, di mana cintanya kepada Baginda tidak dapat dimungkiri lagi. Anas berkata:

“Sungguh aku mencintai ALLAH, Rasul-Nya, Abu Bakar dan Umar. Lalu aku berharap mampu bersama mereka walaupun aku belum beramal dengan amalan mereka” (Riwayat Bukhari)
Inilah pemahaman yang diajarkan oleh Rasul kepada muridnya sehinggakan Anas mengerti tanda cinta kepada Rasul adalah dengan melaksanakan ibadah dengan meniru cara amalan Baginda.

Perkara ini diperjelaskan lagi oleh Qadi ‘Iyadh: “Di antara bentuk kecintaan kepada Baginda adalah dengan menolong sunnahnya, membela syariatnya, berangan-angan untuk berjumpa Baginda semasa hidupnya, dan kemudian dia mengorbankan harta dan jiwanya demi membela Baginda ” (Syarh Shahih Muslim)

Sahabat menzahirkan cinta

Apa yang dikatakan oleh Qadi ‘Iyadh itu dijelmakan oleh para sahabat. Mereka mengikut setiap perintah yang diberikan dan menjauhi setiap larangan diingatkan. Mereka beribadah dengan apa Nabi contohkan, kerana pada hati mereka sesungguhnya pada diri Nabi itu telah ada suri tauladan.

Juga mereka beraqidah dengan segala yang diimani oleh Rasulullah SAW, kerana mereka tahu Nabi menerima wahyu dari langit yang ke tujuh. Bukan setakat itu, mereka buktikan kecintaan tersebut dengan air mata dan darah.

Dalam sebuah peperangan yang meragut nyawa Abu Jahal, seorang anak belia yang berumur 14 tahun bernama Muaz bin Amr al-Jamuh telah ditebas tangan kirinya sehingga hampir putus. Dia berlari menuju ke arah Rasulullah dengan dua tujuan; pertama adalah untuk mengkhabarkan di mana tempat Abu Jahal berada dan kedua adalah untuk memeluk Rasulullah buat kali terakhir.

Ada kisah yang menyayat hati tetapi menggambarkan teguhnya iman dan kecintaannya kepada Nabi. Sedang dia berlari, sejenak dia berhenti lalu dia bermonolog: “Wahai tangan, kamu mengganggu perjalananku untuk menemui Rasulullah”. Pedang ditangan kanannya, dia ambil lalu memotong tangan kirinya yang terbuai-buai hingga gugur ke bumi.

Begitu pula dengan Ibnu Umar, dia pasti akan mengejar ular jika terserempak kerana ingin melaksanakan hadis Nabi mengenai anjuran membunuh haiwan tersebut. Sementara Uthman Al Affan ditertawakan kaum Musyrikin kerana berjubah senteng lalu beliau membalas dengan berkata: “Beginilah sahabat kami berpakaian”.

Agungnya cinta seorang sahabat mengatasi seluruh cinta manusia hari ini. Mereka cinta untuk lakukan apa yang Nabi laksanakan. Dalam hati mereka telah berasa cukup sempurna segala bentuk amalan yang Nabi tunjukkan.

Juga mereka beriman bahawa melaksanakan apa yang dipraktikkan oleh Nabi dalam bentuk yang asli, merupakan makna kepada ‘menegakkan sunnah Nabi’ atau ‘berpegang teguh kepada sunnah’.

Makna pejuang sunnah

Tidak layak untuk menamakan seseorang sebagai ‘Pejuang Sunnah Nabi’ jika amalannya bukan mengikut bentuk asli daripada Rasulullah SAW. Hanya orang yang menjalankan seluruh amalnya mengikut bentuk Nabi ajarkan baharu layak dinobat sebagai ‘berpegang teguh kepada Sunnah’.

Tetapi pada zaman ini manusia menyangka seruan untuk beribadah persis sama dengan bentuk ibadah Nabi sebagai anasir jahat, ejen Yahudi, kelompok sesat dan pemecah belah umat.

Fenomena ini tidak menghairankan kerana Rasulullah SAW telah mengkhabarkan awal-awal lagi kepada para pejuang Sunnah: “Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari kesabaran, bagi orang yang berpegang teguh dengan sunnah pada saat itu seperti menggenggam bara api. Pada saat itu akan mendapatkan pahala 50 orang yang beramal seperti kalian.” (Riwayat Tirmizi)

Lihatlah Rasulullah SAW telah nyatakan, pada akhir zaman nanti akan terjadi keadaan di mana amal sunnah menjadi pelik di mata masyarakat kerana tidak diamalkan sehingga usaha mempraktikkan sunnah terasa sangat berat dan menyiksakan, sekali gus orang yang melaksanakan sunnah akan ditentang.

Namun sebagai galang gantinya ALLAH akan memberi pahala 50 orang sahabat kepadanya. Sungguh inilah zamannya. Segugus soal: mengapa kita menganggap seruan untuk menegakkan sunnah Nabi sebagai ajaran yang menyeleweng?

Walhal hadis di atas jelas menunjukkan keutamaan menggenggam sunnah pada zaman ini. Kemudian mengapa kita enggan untuk beramal dengan bentuk ibadah yang Nabi laksanakan? Apakah kita menganggap ibadah yang Nabi ajarkan tidak sesuai atau kurang sempurna? Sehingga meruntun kita ubahsuai amalan tersebut, sambil kita berteriak “inilah  ahlul sunnah”. Terakhir, bagaimana disebut sunni walhal kita tidak pernah beramal dengan sunnah?

Istilah ahl al-sunnah digunakan oleh Ibnu Abbas ketika mentafsir ayat 106 surah Ali ‘Imran. Terdiri dari dua kata iaitu ahli dan al-sunnah. Kata ahli merujuk kepada orang yang menjadi sebahagian daripada sesuatu kelompok atau bidang, atau seseorang yang memiliki ilmu atau mahir dalam sesebuah disiplin.

Justeru ahlul sunnah adalah seseorang yang mengetahui tentang jalan Nabi dan sahabat, lalu mengamalkannya serta berpegang teguh dengan jalan tersebut sehingga dia dianggap bergabung dengan sunnah.

Jelas upaya untuk mencintai Nabi adalah dengan mengikuti sunnah Baginda dan meniti pada mazhab ahlul sunnah, iaitu satu-satunya jalan yang selamat. Ibnu Umar berkata: “Manusia akan senantiasa berada di atas jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi.” (Riwayat al-Baihaqi)

Ingatlah golongan sahabat lebih mencintai Nabi daripada kita dan telah mengikut jejak Nabi secara sempurna. Ikutilah cara para sahabat menzahirkan rasa cinta kepada Baginda. Mereka tertawa, menangis, bersentuhan dan bernafas secara bersama hingga mereka tahu erti cinta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...