Sabtu, 25 Januari 2014

Nabi Muhammad S.A.W. Teladan Sepanjang Zaman

Nabi Muhammad s.a.w Teladan sepanjang zaman - by epondok -Dr. Aminudin Mansor

KALANGAN remaja Islam pada masa kini seharusnya memiliki sifat-sifat terpuji yang selaras dengan tuntutan agama Islam. Dalam hal ini setiap remaja Muslim mestilah melengkapkan diri mereka dengan ciri-ciri akhlak dan budi bahasa yang cemerlang. Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari kiamat) selain daripada akhlak yang baik.

Pembentukan budi pekerti yang baik dan juga akhlak yang baik mestilah dilakukan di peringkat awal iaitu bermula di rumah oleh ibu bapa dan kemudiannya diperkukuhkan di sekolah oleh guru-guru. Pendidikan akhlak dan budi pekerti mestilah dilakukan secara berterusan hingga dewasa melalui percakapan dan perbuatan atau tingkah laku.

Contohi sifat-sifat Nabi SAW sebagai insan teladan sepanjang zaman. Tiada teladan yang lebih bermakna melainkan bimbingan yang dipraktikkan oleh baginda dalam segala tindakan dan keperibadian. Hanya generasi cemerlang pandai menghargai perjuangan gemilang yang Rasulullah SAW ajarkan daripada wahyu Ilahi dalam realiti kehidupan.

Kekuatan keimanan tertanam teguh dalam sanubari umat, terukir indah dalam memori merupakan sumbangan daripada insan teladan sepanjang zaman.

Kesayangan Allah

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku kesayangan Allah (dan tidak congkak). Aku membawa panji ‘Pujian’ pada hari kiamat, dibawanya Adam dan yang sesudahnya (dan tidak congkak). Aku yang pertama memberi syafaat dan yang diterima syafaatnya pada hari kiamat (dan tidak congkak). Aku yang pertama yang menggerakkan pintu syurga dan Allah membukanya untukku dan aku dimasukkan-Nya bersama orang-orang beriman yang fakir (yang tidak congkak). Dan Akulah paling mulia daripada kalangan terdahulu dan terkebelakang di sisi Allah (dan tidak congkak). (riwayat al-Tirmizi)

Berkaitan dengan akhlak Nabi SAW ketika ditanya Aisyah r.a, menjawab: Akhlaknya adalah al-Quran. (riwayat Abu Daud dan Muslim)

Begitulah tingginya dan mulianya akhlak Nabi SAW yang tidak congkak atau tidak sombong dalam setiap gerak-geri dan perbuatan, sepatutnya menjadi ikutan kita semua, terutama oleh remaja masa kini. Pada umumnya, tidak ada kebaikan yang lebih baik daripada akhlak yang mulia, sifat yang baik dan bersopan santun. Manusia terbaik adalah yang mempunyai sifat-sifat terpuji. Sementara manusia yang paling buruk adalah mereka yang bersifat keji.

Sesungguhnya, sebaik-baik yang ada di dunia ini adalah keimanan yang benar, akhlak yang terpuji, akal yang sihat, fizikal yang kuat dan rezeki yang halal mencukupi dan memuaskan. Adapun semua yang lain adalah kesibukan yang sia-sia.

http://epondok.wordpress.com/2014/01/14/nabi-muhammad-s-a-w-teladan-sepanjang-zaman/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SIFAT KEMURAHAN ALLAH

D i antara nama dan sifat Allah SWT adalah “Rahman”, “Rahim”, "Hannan", "Mannan", "Kareem" yang menunjukkan pa...