Ahad, 5 Jun 2016

TIPS UnTuK KHATAM AL-QUR'AN DI BULAN RAMADHAN



Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri Group

*UNTUK SATU KALI KHATAM* : Baca 4 Halaman Seusai Solat 5 Waktu.
*UNTUK DUA KALI KHATAM* : Baca 8 Halaman Seusai Solat 5 Waktu.
*UNTUK TIGA KALI KHATAM* : Baca 12 Halaman Seusai Solat 5 Waktu.

#‎Sebarkan_kebaikan , Rasulullah shalallahu 'alaihi wa sallam bersabda,*_"Barang siapa menunjukkan satu kebaikan, maka baginya pahala semisal orang yang mengikuti KEBAIKAN tersebut."_* (HR. Muslim, no. 1893)

QADHA’ ATAU FIDYAH PUASA
1. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Jika cuai dan tidak mengqadha’nya sehingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia berdosa dan wajib mengqadha’ puasanya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat, dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkauinya. Secupak bersamaan seraup atau 1 1/3 kati Baghdad, iaitu kira-kira 600 gram.

2. Kalau orang yang wajib membayar fidyah tersebut tidak mampu membayarnya kerana miskin, terhapus kewajipan membayar fidyah, seperti terhapusnya kewajipan membayar zakat fitrah. Pendapat ini yang disokong oleh Syeikh Ibn Hajar di dalam kitabnya, Tuhfah. Namun, menurut Syeikh Ramli dan juga Khatib al-Syarbini, tidak terhapus kewajipan membayar fidyah kerana miskin dan fidyah yang belum terbayar itu menjadi hutang.

3. Orang yang sakit berterusan hingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia wajib mengqadha’ puasanya sahaja tanpa membayar fidyah.

4. Orang yang meninggal dunia sebelum mampu mengqadha’ puasanya, tidak berdosa dan puasanya tidak perlu diganti disebabkan bukan kecuaiannya.

5. Sementara orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia telah mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Yang dimaksudkan dengan wali berpuasa untuk si mati bagi puasa yang ditinggalkannya ialah kaum kerabat atau waris si mati sama ada yang berhak menerima pusaka atau tidak. Ini adalah pendapat Imam al-Nawawi yang terpilih dalam Tashih al-Tanbih.

6. Mengikut pendapat al-Syafie pada qaul yang baru, wajib mengambil harta daripada tarikahnya (pusaka) dengan setiap hari secupak daripada makanan asasi dan tidak sah puasa oleh walinya. Ini juga pendapat kebanyakan ulama, ahli hadis, Abi Thaur dan al-Auza’ie.

7. Sah puasa bagi pihak si mati oleh orang yang bukan daripada kalangan keluarganya apabila diizinkan oleh seorang daripada ahli keluarga tersebut. Sebaliknya, jika tidak diizinkan oleh ahli keluarga si mati atau tanpa wasiatnya, puasa tersebut tidak sah.

8. Jika tiada sesiapa yang menggantikan puasanya, hendaklah disedekahkan makanan bagi pihaknya sehari secupak yang wajib diambil daripada harta peninggalannya, sebagaimana penyelesaian hutang.

9. Orang yang sangat tua dan tidak berupaya berpuasa, wajib bersedekah setiap hari secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya sebanyak hari yang dia tidak berpuasa dan tidak wajib ke atasnya dan ahli keluarganya selain daripada itu.

10. Begitu juga kepada orang sakit, yang tiada harapan untuk sembuh, harus berbuka dan wajib bersedekah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari yang dia tidak berpuasa, sebagaimana orang tua yang tidak terdaya berpuasa tersebut.

11. Perempuan yang mengandung dan yang menyusui bayi, berbuka sama ada kerana bimbangkan kesihatan dirinya atau kesihatan bayinya. Jika berbuka kerana bimbang akan kesihatan dirinya, maka dia wajib qadha’ sahaja sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

12. Jika berbuka kerana bimbang akan kesihatan kandungan, iaitu perempuan yang mengandung bimbang akan keguguran ataupun ibu yang menyusukan bayinya, bimbang akan susunya berkurangan dan menjejaskan kesihatan bayi tersebut, wajib mengqadha’ puasanya dan membayar fidyah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari yang mereka tidak berpuasa.

13. Begitu jugalah sesiapa yang berbuka kerana menyelamatkan orang yang dalam bahaya, maka dia wajib qadha’ puasanya dan memberi sedekah tersebut.

14. Qadha’ Ramadhan tidaklah wajib disegerakan, tetapi waktunya sebelum menjelangnya Ramadhan yang berikut. Ini kerana Sayidatina Aisyah R.Anha mengqadha’ puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban.

15. Orang yang mati dan masih menanggung qadha’ puasa hendaklah walinya berpuasa untuknya mengikut pendapat yang terpilih di sisi Syafieyyah. Inilah pendapat Imam al-Nawawi berdasarkan kepada ahli Tahqiq. Walaupun begitu, boleh diberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan secupak makanan asasi negeri tersebut.

16. Adakah harus bersedekah untuk menggantikan puasanya yang ditinggalkan kerana sakit? Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata: Pada pendapat kami, sakit itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Sakit sementara yang ada harapan untuk sembuh. Hukumnya tidak harus membayar fidyah atau bersedekah. Ia wajib diqadha’ sahaja.
Kedua: Sakit yang lama dan tidak ada harapan untuk sembuh. Hukumnya seperti hukum ke atas lelaki dan wanita tua. Penyakit ini hendaklah disahkan oleh doktor yang pakar atau melalui pemeriksaan. Ia dikenakan fidyah. Mengikut sesetengah imam, seperti Abu Hanifah, harus kita membayar fidyah dengan duit kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukannya.

17. Orang yang haidh dan nifas, haram dan tidak boleh berpuasa dan hendaklah baginya berbuka dan qadha’ pada hari yang mereka uzur itu.

18. Qadha’ puasa Ramadhan adalah wajib kecuali bagi yang tua dan sakit, yang tiada harapan sembuh, maka hendaklah diberi makan bagi setiap hari yang ditinggalkannya secupak makanan kepada orang miskin.

19. Petani tidak harus berbuka di siang hari dengan sebab pekerjaannya kecuali adanya syarat-syarat yang ketat, seperti kata Syeikh Ba Alawi.

20. Musafir yang mengharuskan untuk berbuka puasa ialah jarak yang melebihi 89 kilometer dan musafir tersebut sebelum terbitnya fajar, tetapi Mazhab Hanbali mengharuskan berbuka bagi yang musafir walaupun di siang hari. Mengikut Mazhab Syafie, menambah syarat yang lain orang yang musafir tersebut bukan sentiasa dalam perjalanan, seperti pemandu kecuali membawa kepada masyaqqah.

21. Mati membatalkan puasa dan hendaklah diberi makan atau diberi ganti oleh warisnya bagi puasa nazar dan kifarah sahaja.

22. Tafsiran hadis Nabi berkenaan dengan ikatan syaitan pada bulan Ramadhan ialah melemahkan kecergasannya berbanding dengan bulan yang lain. Syeikh Atiyah Saqr berkata: Walaupun begitu, di sana ada faktor lain yang mendorong ke arah dosa. Antaranya nafsu syahwat, begitu juga dengan perangai dan akhlak buruk yang sudah menjadi sebati pada diri seseorang.

2 ulasan:

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...