✐ Selepas Malaikat Israfil
meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga,
seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas
itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati,
Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?"
Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya
"Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan
kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup,
tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat
Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas
seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama
padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui
benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang
belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari
biji benih.
✐ Semua manusia dan jin
dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana
pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa
depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan
dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat
perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak
amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi
yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan
isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk
dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam
kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal
pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada
Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan
suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul
semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari
berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di
bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar,
bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan
bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam
mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan
sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan
Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat
diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat
yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini
berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini
lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih
sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah
cahaya matahari yang terik kecuali 7
golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat
kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat
hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu
kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut
pada Allah".
ⅵ- Lelaki yang bersedekah
dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka
bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan
Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama
menunggu di Padang Mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan
mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa
dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali
kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana
Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT.
Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s.,
Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam
a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi
dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi
Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
✐ Selepas itu, terdengar bunyi
pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka
sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul
oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun)
sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba di bumi.
✐ 'Arasy ialah jisim nurani yang
amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang
sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia
seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di
dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
✐ Kursi iaitu jisim nurani yang
terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz
kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa
mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk pun
menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu
berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke
leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil
untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib
& 'Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur dalam saf
mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur
bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri
untuk dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali dihisab
adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah
solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan
darah.
✐ Apabila tiba giliran seseorang
hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan,
lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan
tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan dihisab
amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai
satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang
pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi
Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing
dihisab.
✐ Perkara pertama yang diminta
ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang
bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐ Ketika dihisab, mulut manusia
akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada
dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha
Bijaksana.
✐ Setelah amalan ditimbang,
mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing
dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan
dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat:
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan
mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah
dari neraka.
(Semua syafaat ini
tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta
golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada
para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka
akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya dihisab,
manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul
Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar
jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih
tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh berkata
perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun
mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat,
seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak
dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu
mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di kanan
dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang
meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan
terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin
Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu
ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:❝
Sampaikanlah pesananku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan