Ahad, 5 Februari 2017

MAULANA ILYAS KANDHLAWI : ULAMA SUFI, DAIE & MUJADID LUAR BIASA

Muhammad Dzahir: 
Maulana Ilyas Kandhlawi (1885- 1944), Badi’uzzaman Said Nursi (1877- 1960), Syeikh Umar Mukhtar (1858- 1931) & Syeikh Izzuddin Al Qassam (1882- 1934) adalah ulama sufi yang hidup sezaman. Persamaan keempat-empat mereka adalah berakidah Asya’irah wal Maturidiyah, bermazhab dengan salah satu mazhab fiqh yang empat & bertasawuf dengan tarekat-tarekat muktabar.

Keempat-empat mereka hidup di ambang kejatuhan Daulah Uthmaniyah, satu zaman yang sangat mencabar bagi umat Islam. Jika Syeikh Umar Mukhtar & Syeikh Izzuddin Al Qassam bergelumang di medan jihad, Maulana Ilyas & Said Nursi pula bergelumang di medan tarbiah & islah umat. Inilah kemuliaan hidup yang Allah kurniakan pada mereka.

Maulana Ilyas Kandhlawi adalah seorang ulama besar India. Beliau lahir dalam keluarga ulama. Beliau juga seorang ulama bertarekat Chistiyah, satu tarekat yang masyhur di kalangan para ulama India. Beliau sangat warak & tawaduk. Akhlaknya dipuji oleh semua orang yang pernah bertemu dengannya.

Sejak dari usia mudanya, keilmuan beliau dalam pelbagai bidang diakui oleh para ulama India. Ketika dianjurkan perhimpunan para ulama besar India di Kandahla, mereka meminta Maulana Ilyas untuk mengimamkan solat mereka. Antara ulama besar yang hadir pada ketika itu ialah Maulana Asyraf Ali At Tanwi, Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri & Maulana Abdur Rahim Ar Raipuri.

Di India pada ketika itu, umat Islam di bandar sangat teruja & mengagungkan cara hidup British. Manakala umat Islam di kampung pula mencampur adukkan amalan Hindu dalam kehidupan mereka. Keadaan ini sangat menyedihkan Maulana Ilyas. Maka beliau meninggalkan madrasahnya di Nizamuddin lalu pergi ke Mewat & membina madrasah (maktab) di sana.

Mewat adalah sebuah daerah yang dihuni oleh suku Meo. Major Powlett pernah menulis tentang keadaan suku Meo di Mewat sebelum kedatangan Maulana Ilyas seperti berikut:-
“Orang Meo semuanya Islam, tetapi hanya pada nama…Mereka menyambut hari kebesaran Hindu di samping hari kebesaran Islam..Ketika berkahwin, Brahmin Hindu akan melaksanakan upacara perkahwinan. Manakala majlis akad nikah pula dilaksanakan oleh Kadi. Sangat sedikit yang melaksanakan solat di kalangan mereka…Masjid-masjid juga jarang kelihatan…Hanya terdapat 8 buah masjid dalam 50 buah kampung…Mereka benar-benar jahil terhadap agama mereka…”
Di Mewat, Maulana Ilyas menawarkan pengajian percuma di madrasahnya berserta wang saku kepada orang-orang Meo. Namun usaha Maulana Ilyas ini gagal menarik minat mereka untuk mendalami ilmu agama. Maulana Ilyas berasa sangat sedih.

Pada tahun 1931, ketika mengerjakan haji di Mekah, Maulana Ilyas mendapat ilham bahawa untuk menarik manusia kepada Allah, mestilah dengan cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad pada permulaan dakwah Islam iaitu berjumpa manusia dari pintu ke pintu & dari hati ke hati.

Apabila pulang ke Mewat, Maulana Ilyas bersama anak-anak muridnya memulakan dakwah dengan jaulah dari rumah ke rumah. Setiap hari berpuluh-puluh batu lembah Mewat dilalui oleh Maulana Ilyas. Tidak sedikit ancaman & kecederaan yang dialami oleh Maulana Ilyas. Namun beliau tetap sabar & istiqamah. Ketika berhadapan dengan orang-orang Mewat, beliau menunjukkan akhlak yang sangat baik hatta kepada para samseng.

Lama-kelamaan, usaha dakwah beliau mula diterima. Penduduk Mewat sangat terkesan dengan akhlak & kesungguhan Maulana Ilyas. Mereka mula minat pada agama. Masjid-masjid mula didatangi & mereka mula menghantar anak-anak mereka belajar di madrasah.

Suasana Mewat bertukar. Dari masyarakat yang meninggalkan amalan-amalan agama kepada msyarakat yang taat beragama. Maulana Ilyas mula mengutuskan jemaah dakwah dari Mewat ke tempat-tempat lain di India. Dari sinilah bermulanya gerakan jemaah tabligh.

Berapa ramai yang begitu jauh dari agama, berubah menjadi seorang yang sangat mencintai Islam. Setelah itu, ulama-ulama besar India juga turut melibatkan diri dalam usaha dakwah ini.

Sebagai seorang ulama sufi, beliau sangat menitik beratkan ilmu, zikir, ibadat & khidmat pada karkun-karkun jemaah Tabligh. Pada beliau, amalan-amalan tersebut tidak boleh dipisahkan dari dakwah, begitu juga sebaliknya. Berkat usaha yang dijalankan oleh Maulana Ilyas, hari ini jutaan umat Islam dapat diislahkan. Tidak sedikit juga orang-orang bukan Islam yang mendapat hidayah dari usaha dakwah yang dijalankan oleh Jemaah Tabligh.

Kini, jutaan Jemaah Tabligh bergerak di seluruh dunia atas maksud dakwah. Selain dari gerakan Islam yang bersifat antarabangsa, perhimpunan tahunan Jemaah Tabligh diiktiraf sebagai perhimpunan kedua terbesar umat Islam selepas perhimpunan Haji di Mekah. Maulana Ilyas Kandhalwi memang layak digelar “Mujadid yang Luar Biasa’.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Islam Nusantara

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=763045317180587&id=226389644179493


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...