HUKUM ANGGOTA WUDUK TERDAPAT PELEMBAB DAN KRIM
PELINDUNG MATAHARI
Soalan
Assalamualaikum, saya
mempunyai kemusykilan apakah hukum mengambil wuduk dalam keadaan memakai produk
penjagaan muka seperti pelembab dan krim pelindung matahari.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji
bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad ﷺ, keluarga dan
para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.
Kami mulakan dengan
petikan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/55):
“Wajib meratakan basuhan kesemua bulu dan kulit. Sekiranya terdapat kotoran di
bawah kuku atau memakai cincin yang menghalang air sampai ke kulit maka wuduk
tidak sah.
Hal ini berdasarkan
hadith, daripada Abdullah bin `Amr R.Anhuma berkata:
رَجَعْنَا
مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى
الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ
الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ
وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى
الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ
Maksudnya: “Kami pulang bersama-sama Rasulullah ﷺ dari
Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan,
sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu mereka berwuduk secara
tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak
dibasahi air. Lantas Rasulullah ﷺ bersabda: Celakalah
buku lali mereka disebabkan oleh neraka! Oleh itu, berwuduk’lah kamu dengan
sempurna.”
Riwayat al-Bukhari (161)
dan Muslim (241)
Hadith seterusnya:
أَنَّ
رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ
النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ
وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى
Maksudnya: “Seorang lelaki berwuduk’ dan telah
tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah ﷺ,
lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu
dia terus mengulanginya dengan sempurna dan mendirikan solat.”
Riwayat Muslim (243)
Kedua-dua hadith di atas
menunjukkan bahawa wuduk tidak sah sekiranya terdapat anggota yang wajib
dibasuh tetapi tidak berbasuh walaupun sedikit.”
Pertamanya, setiap
suatu yang menghalang air daripada sampai kepada kulit menjadikan wuduk itu
tidak sah. Contohnya, kekotoran yang berada di bawah kuku,
seperti sisa makanan dan tepung mengikut pendapat yang muktamad. Namun jika ia
terhasil daripada peluh, maka dimaafkan.
Kedua, antara syarat sah
wuduk yang lain ialah hendaklah tiada suatu pada anggota wuduk yang
mengubah air yang sampai kepadanya, seperti minyak wangi dan
dakwat. Ini tidak termasuk peluh sendiri dan athar (kesan) minyak wangi seperti
baunya sahaja kerana kedua-dua itu kebiasaan pada manusia yang sukar dijaga. Rujuk Nail al-Raja (ms.75); Kasyifah
al-Saja (ms.108)
Justeru, jika terdapat
pada anggota wuduk suatu bahan kosmetik yang menghalang air wuduk daripada
sampai ke kulit, atau yang mengubah air wuduk itu, maka wajib
ditanggalkan dengan sempurna sebelum basuhan wuduk. Kegagalan
berbuat demikian akan menyebabkan wuduk itu tidak sah. Namun begitu dimaafkan
jika kesan bahan kosmetik itu, sama ada pelembab atau krim pelindung matahari,
terlalu nipis sehingga tidak menghalang air daripada kulit dan terlalu sedikit
sehingga tidak mengubah sifat air mutlak tersebut.
Kami telah menghuraikan
dengan panjang lebar isu kosmetik mesra wuduk dalam artikel Bayan
Linnas Siri Ke-88.
Semoga penjelasan di atas
memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Kami berdoa kepada Allah
agar kita sentiasa diberi kefahaman dan dapat melaksanakan segala tuntutan
Islam dalam mencari keredhaan Allah. Amin.
·
Al Kafi li al-Fatawi
·
Sumber: https://www.muftiwp.gov.my/ms/