Rabu, 3 Julai 2024

HUKUM ANGGOTA WUDUK TERDAPAT PELEMBAB DAN KRIM PELINDUNG MATAHARI

Soalan

Assalamualaikum, saya mempunyai kemusykilan apakah hukum mengambil wuduk dalam keadaan memakai produk penjagaan muka seperti pelembab dan krim pelindung matahari.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad ﷺ, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.

Kami mulakan dengan petikan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/55): “Wajib meratakan basuhan kesemua bulu dan kulit. Sekiranya terdapat kotoran di bawah kuku atau memakai cincin yang menghalang air sampai ke kulit maka wuduk tidak sah.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abdullah bin `Amr R.Anhuma berkata:

رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ

Maksudnya: Kami pulang bersama-sama Rasulullah ﷺ dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah ﷺ bersabda: Celakalah buku lali mereka disebabkan oleh neraka! Oleh itu, berwuduk’lah kamu dengan sempurna.

Riwayat al-Bukhari (161) dan Muslim (241)

Hadith seterusnya:

أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Maksudnya: Seorang lelaki berwuduk’ dan telah tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah , lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan mendirikan solat.    

Riwayat Muslim (243)

Kedua-dua hadith di atas menunjukkan bahawa wuduk tidak sah sekiranya terdapat anggota yang wajib dibasuh tetapi tidak berbasuh walaupun sedikit.”

Pertamanyasetiap suatu yang menghalang air daripada sampai kepada kulit menjadikan wuduk itu tidak sah. Contohnya, kekotoran yang berada di bawah kuku, seperti sisa makanan dan tepung mengikut pendapat yang muktamad. Namun jika ia terhasil daripada peluh, maka dimaafkan.

Kedua, antara syarat sah wuduk yang lain ialah hendaklah tiada suatu pada anggota wuduk yang mengubah air yang sampai kepadanya, seperti minyak wangi dan dakwat. Ini tidak termasuk peluh sendiri dan athar (kesan) minyak wangi seperti baunya sahaja kerana kedua-dua itu kebiasaan pada manusia yang sukar dijaga. Rujuk Nail al-Raja (ms.75); Kasyifah al-Saja (ms.108)

Justeru, jika terdapat pada anggota wuduk suatu bahan kosmetik yang menghalang air wuduk daripada sampai ke kulit, atau yang mengubah air wuduk itu, maka wajib ditanggalkan dengan sempurna sebelum basuhan wuduk. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan wuduk itu tidak sah. Namun begitu dimaafkan jika kesan bahan kosmetik itu, sama ada pelembab atau krim pelindung matahari, terlalu nipis sehingga tidak menghalang air daripada kulit dan terlalu sedikit sehingga tidak mengubah sifat air mutlak tersebut.

Kami telah menghuraikan dengan panjang lebar isu kosmetik mesra wuduk dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-88.

Semoga penjelasan di atas memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Kami berdoa kepada Allah agar kita sentiasa diberi kefahaman dan dapat melaksanakan segala tuntutan Islam dalam mencari keredhaan Allah. Amin.

·       Al Kafi li al-Fatawi

·       Sumber: https://www.muftiwp.gov.my/ms/

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...