Sabtu, 17 Ogos 2024

ADI BIN HATIM

  Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Adi bin Hatim, saksi kepada tiga kebenaran janji Rasulullah SAW. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat yang yakin akan janji dan perkataan Rasulullah SAW. 

·       Siapakah Adi Bin Hatim?

·       Adi bin Hatim al-Tha’i merupakan raja kepada suku kaum Tha’i, sebuah kabilah Arab yang tinggal di utara Semenanjung Arab. Ayahnya merupakan penguasa suku kaum Tha’i sebelumnya dan terkenal dengan sifat kedermawanannya. Beliau menggantikan kedudukan ayahnya sebagai raja selepas ayahnya meninggal dunia. Beliau menganut agama Nasrani.  

·       Bagi mengekalkan kekuasaan dan kekayaannya, Adi bin Hatim mewajibkan rakyatnya untuk membayar mirba’ (cukai) dan menerima seperempat hasil kekayaan mereka, yang merupakan hasil dari pampasan perang. Beliau juga sangat memusuhi Rasulullah SAW kerana beliau melihat baginda sebagai sosok yang dapat merebut kekayaan dan kekuasaannya, walaupun beliau tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW. 

·       Kisah Pengislaman Adi Bin Hatim

·       Sikap Adi bin Hatim yang memusuhi Rasulullah SAW berlanjutan selama hampir 20 tahun. Pada tahun ke 9 Hijrah, pasukan yang dikirim oleh Rasulullah SAW telah sampai ke perkampungan kabilah Tha’i untuk menghancurkan berhala dan mengajak mereka beriman kepada Allah SWT. Rentetan peristiwa itu, Adi membawa kaum kerabatnya untuk melarikan diri ke Syam, negeri di mana berkumpulnya penganut agama Nasrani. Namun, beliau tidak sempat membawa adik perempuannya, Safanah binti Hatim.

·       Safanah binti Hatim, bersama beberapa penduduk Tha’i yang tidak sempat melarikan diri ditangkap oleh kaum muslimin dan dibawa ke  Madinah. Ketika berada di Madinah, Safanah telah meminta keizinan Rasulullah SAW untuk pergi ke Syam menemui keluarganya. Setelah beberapa kali bertanya, baginda mengabulkan permintaannya. Baginda juga meminta agar Safanah menunggu sehingga muncul orang yang boleh dipercayai dalam kalangan kaumnya untuk menghantarnya ke Syam.

·       Maka, Safanah tetap tinggal di Madinah untuk beberapa tempoh. Sepanjang beliau menetap di Madinah, beliau menyaksikan kemuliaan dan kebaikan akhlak kaum muslimin dan memutuskan untuk memeluk Islam. Apabila tiba rombongan dari Baliyy di Madinah, terdapat kenalan Safanah yang boleh dipercayai untuk menghantarnya ke Syam. Maka, Rasulullah SAW memberi keizinan kepadanya dan membekalkannya dengan pakaian baru, seekor unta yang kuat dan bekal yang cukup.

·       Setibanya Safanah di Syam, beliau menemui abangnya, Adi bin Hatim dan menceritakan segala perkara yang berlaku kepadanya di Madinah. Mendengar saranan adiknya untuk bertemu sendiri dengan Rasulullah SAW, Adi menyiapkan bekalan perjalanan dan menuju ke Madinah tanpa jaminan perlindungan atau perjanjian. Setibanya di Madinah, Adi pergi bertemu Rasulullah SAW di dalam masjid. Setelah memperkenalkan diri sebagai Adi bin Hatim, Rasulullah SAW menarik tangannya untuk menuju ke rumah baginda.

·       Dalam perjalanan menuju ke rumah baginda, terdapat seorang wanita tua yang lemah dan membawa anak kecil, yang ingin berjumpa dengan Rasulullah SAW. Maka, baginda berhenti dan melayan permintaan wanita tua tersebut sehingga selesai. Melihat keadaan tersebut, Adi berkata dalam hati, “Demi Allah, ini bukan kebiasaan seorang raja”. Selepas itu, mereka melanjutkan perjalanan menuju ke rumah Rasulullah SAW. Setibanya di rumah, baginda menawarkan bantal untuk Adi duduk di atasnya. Manakala Rasulullah SAW duduk di atas tanah kerana hanya terdapat satu bantal sahaja di rumah baginda. Maka, Adi berkata di dalam hati, “Demi Allah, ini bukan kebiasaan seorang raja”.

·       Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada Adi, “Bukankah engkau seorang Rakusyi, yang menganut dua agama sekaligus iaitu Nasrani dan Saba’iy?” Adi menjawab, “Benar”. Rasulullah SAW bertanya lagi, “Bukankah engkau mewajibkan rakyatmu mirba’ (cukai) sehingga engkau mengambil sesuatu yang tidak dibenarkan oleh agamamu sendiri?” Maka Adi menjawab, “Benar”. Pada ketika itu, Adi yakin bahawa Rasulullah SAW benar-benar seorang Nabi kerana baginda mengetahui perkara yang tidak diketahui oleh manusia biasa.

·       Kemudian baginda berkata, “Wahai Adi, barangkali alasan yang menghalangimu masuk Islam adalah kerana engkau melihat keadaan kaum muslimin yang lemah dan miskin. Demi Allah, tidak lama lagi engkau akan menyaksikan bagaimana mereka memiliki kekayaan yang melimpah ruah sehingga tiada sesiapa akan mengambil harta jika diberi.

·       Atau barangkali alasan yang menghalangimu memeluk Islam adalah kerana engkau melihat bilangan kaum muslimin yang sedikit, sedangkan bilangan musuh ramai. Demi Allah, tidak lama lagi engkau akan mendengar seorang wanita dari Qadisiyyah pergi menuju Ka’bah sendirian tanpa berasa takut kepada sesiapapun kecuali Allah.

·       Atau barangkali alasan yang menghalangimu memeluk Islam adalah kerana engkau melihat kekuasaan dan kekuatan dunia berada pada tangan musuh. Demi Allah, tidak lama lagi engkau akan mendengar istana-istana putih di negeri Babil jatuh ke tangan kaum muslimin dan harta-harta khazanah Kisra bin Hurmuz menjadi milik mereka”.

·       Mendengar ucapan Rasulullah SAW tersebut, Adi bin Hatim mengucapkan syahadah dan memeluk Islam.

·       Adi Bin Hatim Selepas Memeluk Islam

·       Selepas memeluk Islam, Adi mewarisi sifat kedermawanan ayahnya, tetapi dengan tujuan meraih keredhaan Allah SWT. Beliau juga dikenali dengan peribadi yang sangat mencintai solat dan sentiasa berada di masjid sebelum azan dilaungkan.

·       Setelah Rasulullah SAW wafat, ramai dari kalangan kaumnya murtad tetapi beliau kekal beriman. Malah, beliau juga menyeru kaumnya dan kaum Bani Jadilah untuk kembali beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Diriwayatkan bahawa seramai 1500 orang kembali ke pangkuan Islam dan bergabung dengan pasukan kaum muslimin yang dipimpin oleh Khalid al-Walid untuk memerangi golongan murtad.

·       Wafatnya Adi Bin Hatim

·       Adi Bin Hatim dikurniakan umur yang panjang. Beliau wafat ketika berusia 120 tahun pada tahun 67 Hijrah di Kufah. 

·       Dalil Yang Berkaitan Dengan Adi Bin Hatim

·       Dalam peristiwa pengislaman Adi Bin Hatim, Rasulullah SAW telah mengucapkan tiga janji berkenaan keadaan kaum muslimin. 

·       قَالَ عَدِيٌّ فَرَأَيْتُ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الْحِيرَةِ حَتَّى تَطُوفَ بِالْكَعْبَةِ، لاَ تَخَافُ إِلاَّ اللَّهَ، وَكُنْتُ فِيمَنِ افْتَتَحَ كُنُوزَ كِسْرَى بْنِ هُرْمُزَ، وَلَئِنْ طَالَتْ بِكُمْ حَيَاةٌ لَتَرَوُنَّ مَا قَالَ النَّبِيُّ أَبُو الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم‏”‏ يُخْرِجُ مِلْءَ كَفِّهِ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ فِضَّةٍ، يَطْلُبُ مَنْ يَقْبَلُهُ مِنْهُ، فَلاَ يَجِدُ أَحَدًا يَقْبَلُهُ مِنْهُ”‏‏.‏ 

·       Maksudnya: Berkata Adi, “Aku telah melihat seorang wanita menunggang untanya dari Al-Hira sehingga dia melakukan tawaf di Ka’bah tanpa merasa takut kepada sesiapa melainkan Allah. Dan aku termasuk orang yang membuka (menakluk) khazanah Kisra bin Hurmuz. Jika umurmu panjang, kamu akan melihat apa yang Nabi Abu al-Qasim (Rasulullah SAW) telah bersabda, (iaitu) seseorang akan keluar dengan segenggam daripada emas atau perak dan pergi mencari orang untuk menerimanya, tetapi tidak akan mendapati seorang pun yang menerima daripadanya”.(Hadith Riwayat Bukhari)

·       Hadith tersebut menunjukkan bahawa dua daripada tiga janji Rasulullah SAW telah terjadi dan disaksikan sendiri oleh Adi bin Hatim, berkat umurnya yang panjang. Adi juga menunjukkan keyakinannya yang kuat terhadap kebenaran janji yang ketiga. Diriwayatkan bahawa janji Rasulullah SAW yang ketiga berlaku pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Pada zaman tersebut, kekayaan kaum muslimin melimpah ruah sehingga umat Islam tidak dibenarkan membayar zakat, kerana sukarnya untuk mencari penerima zakat.

·       Kisah ini mengajarkan kepada kita agar sentiasa yakin dengan janji Allah SWT dan RasulNya. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Rum ayat 47 yang bemaksud, “Dan merupakan hak kami untuk menolong orang-orang yang beriman”. Justeru, tidak kira betapa peritnya kehidupan kita di dunia, pasti akan ada pertolongan dariNya.

Adi Bin Hatim: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

JABIR BIN ABDULLAH

  Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Jabir bin Abdullah, sang perawi hadith. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang kehidupannya didedikasikan untuk menegakkan kalimah Allah SWT dan hadith Rasulullah SAW. 

·       Siapakah Jabir Bin Abdullah?

·       Jabir bin Abdullah al-Ansari merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW dari kaum Ansar. Beliau juga dikenali dengan nama julukan Abu Abdullah. Beliau dilahirkan di Madinah. Ayahnya bernama Abdullah bin ‘Amr bin Haram dan merupakan pemimpin suku Khazraj. Ibunya pula bernama Nasiba Binti Uqba bin Uddi.

Jabir Bin Abdullah Memeluk Islam

Jabir bin Abdullah memeluk Islam ketika beliau masih muda, iaitu sebelum mencapai umur 14 tahun. Kisah pengislaman Jabir bermula apabila beliau mengikuti ayahnya, Abdullah bin ‘Amr untuk menyertai rombongan penduduk Madinah yang ingin pergi memberi bai’ah kepada Rasulullah SAW dalam bai’ah al-Aqabah yang kedua.

Pada awalnya, ayahnya Abdullah bin ‘Amr hanya berniat untuk menunaikan haji. Namun, mendengar perkataan yang baik dari rombongan yang ingin berbai’ah kepada Rasulullah SAW, hati Abdullah terkesan dan beliau memutuskan untuk memeluk Islam. Maka Abdullah bersama anaknya, Jabir mengikuti rombongan tersebut dan berbai’ah kepada Rasulullah SAW. Abdullah juga telah dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai salah seorang dari 12 orang pemimpin untuk mewakili kabilah mereka.

Jabir Bin Abdullah Selepas Memeluk Islam

Apabila turun perintah hijrah ke Madinah oleh Allah SWT, Jabir merupakan antara orang-orang yang menyambut kedatangan Rasulullah SAW dengan gembira. Setelah itu, beliau menyertai semua peperangan bersama Rasulullah SAW kecuali Perang Badar lantaran umurnya yang masih muda. Beliau juga tidak menyertai Perang  Uhud untuk menunaikan perintah ayahnya, Abdullah untuk menjaga tujuh orang saudara perempuannya sepanjang ketiadaan ayahnya yang pergi menyertai perang tersebut. 

Beliau juga sentiasa menyertai Rasulullah SAW untuk menimba ilmu, petunjuk dan akhlak baginda. Beliau melihat, mendengar dan merasakan pembelajaran kenabian (al-Madrasah an-Nabawiyah) daripada Rasulullah SAW dalam pelbagai permasalahan kehidupan merangkumi masalah ibadah, muamalah sosial, jihad di jalan Allah SWT mahupun masalah-masalah yang berkaitan dengan ritual keagamaan. Dedikasinya dalam menuntut ilmu menjadikan beliau sebagai seorang hafiz, imam besar, mujtahid, mufti dan termasuk antara sahabat yang paling banyak hafalannya terhadap  al-Quran serta paling banyak meriwayatkan hadith Nabi SAW.

Keutamaan Dan Kelebihan Jabir Bin Abdullah

Jabir bin Abdullah dikenali dengan sikap itsar, iaitu lebih mementingkan orang lain daripada dirinya sendiri. Setelah ayahnya, Abdullah syahid dalam Perang  Uhud, Jabir menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk menjaga saudara-saudara perempuannya. Justeru, beliau rela mengahwini seorang janda daripada seorang gadis, agar isterinya dapat menjaga dan mendidik saudara-saudara perempuannya.

Selain itu, beliau juga memiliki sifat yang murah hati. Hal ini dapat dilihat semasa Perang Khandaq. Ketika Rasulullah SAW bersama kaum muslimin sedang menggali parit untuk mempertahankan Madinah dalam Perang Khandaq, Jabir melihat baginda sangat kelelahan kerana menahan rasa lapar. Maka, beliau pergi menyembelih ternakannya yang masih kecil dan menyuruh isterinya untuk menggiling gandum yang ada di rumahnya untuk diberikan kepada Rasululullah SAW. 

Kerana bilangan makanan yang sedikit, isterinya berpesan agar Jabir menjemput Rasulullah SAW serta sebilangan kaum muslimin sahaja. Setelah menyampaikan pesanan tersebut, Rasulullah SAW memanggil seluruh kaum muslimin yang bersama baginda untuk pergi makan ke rumah Jabir. Kemudian, baginda SAW meludahi dan mendoakan adunan roti serta makanan yang telah disediakan oleh isteri Jabir. Kesannya, 1000 orang kaum muslimin yang makan di rumah Jabir pulang dalam keadaan yang kenyang serta makanan dan adunan roti di rumahnya masih dalam keadaan sedia kala tanpa berkurang sedikitpun. Demikianlah berkat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hambanya yang pemurah.

Seterusnya, beliau juga merupakan sosok peribadi yang sangat berdedikasi dalam meriwayatkan hadith. Beliau sentiasa mendampingi Rasulullah SAW semasa hayatnya untuk menuntut ilmu dan menjadi rujukan bagi para sahabat dan tabi’in selepas kewafatan baginda. Diriwayatkan juga bahawa beliau sanggup mengembara dari Madinah ke Syam untuk memperoleh satu hadith daripada Abdullah bin Unais. Dedikasi tersebut menyebabkan beliau berjaya meriwayatkan sebanyak 1540 hadith secara keseluruhannya dan menduduki tempat keenam antara tujuh sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith.

Dalam perjalanan jihad ke negeri Rom, Jabir berjalan kaki sambil memegang tali keldainya. Ketua pasukan kaum muslimin pada ketika itu, Malik bin Abdillah Khath’ami bertanya sebab beliau tidak menunggang keldainya dan rela berjalan kaki. Maka, Jabir menjawab pertanyaan tersebut dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa kedua kakinya berdebu di jalan Allah, nescaya Allah mengharamkan neraka ke atasnya”. Mendengar jawapan Jabir, kaum muslimin yang lain melompat turun dari kenderaan mereka untuk meraih pahala besar tersebut. Begitulah kelebihan Jabir, sahabat yang mendedikasikan hidupnya untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW.

Wafatnya Jabir Bin Abdullah

Jabir bin Abdullah dikurniakan umur yang panjang dan hidup sehingga zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin dan seterusnya pemerintahan Bani Umayyah. Pada akhir hayatnya, beliau telah kehilangan penglihatannya. Diriwayatkan bahawa beliau wafat ketika menghampiri usia 90 tahun di Madinah. 

Dalil Yang Berkaitan Dengan Jabir Bin Abdullah

Riwayat sahih menceritakan bahawa Rasulullah SAW pergi menziarahi Jabir setelah mendengar berita bahawa beliau telah jatuh sakit. Kemudian, Jabir meminta keizinan Rasulullah SAW untuk berwasiat dan memberi hartanya untuk saudara perempuannya. Berikutan pertanyaan Jabir, Allah SWT telah menurunkan firmanNya yang berbunyi:

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلاَلَةِ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ وَهُوَ يَرِثُهَآ إِن لَّمْ يَكُن لَّهَا وَلَدٌ فَإِن كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ وَإِن كَانُواْ إِخْوَةً رِّجَالاً وَنِسَاء فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الأُنثَيَيْنِ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ أَن تَضِلُّواْ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿١٧٦﴾

Maksudnya: Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (yaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara-saudara laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara laki-laki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.(Surah al-Nisa’: 176)

Setelah turunnya ayat tersebut, Rasulullah SAW pergi ke rumah Jabir dan bersabda, “Aku jangka kamu tidak akan mati kerana penyakitmu ini. Dan Allah SWT telah menurunkan wahyuNya kepadaku, yang menjelaskan pembahagian waris bagi saudara-saudara perempuanmu, iaitu dua pertiga”.

Jangkaan Rasulullah SAW ternyata benar kerana Jabir dikurniakan umur yang panjang. Kehidupannya yang panjang dihabiskan dengan ketaatan, ilmu, dakwah, pengorbanan dan jihad selayaknya seorang mukmin yang mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT.

Jabir Bin Abdullah: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

SUHAIB BIN SINAN

  Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

·       Suhaib bin Sinan, peniaga yang untung. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat yang rela membuang hartanya demi mencapai keredhaan Allah SWT.

·       Siapakah Suhaib Bin Sinan?

·       Suhaib bin Sinan lebih dikenali dengan nama Suhaib al-Rumi. Gelaran al-Rumi (orang Rom) diberikan kerana beliau telah menetap di Rom pada waktu yang lama. Namun, beliau merupakan orang Arab asli. Ayahnya, Sinan bin Malik al-Numari berasal dari Bani Numair dan merupakan gabenor di daerah al-Ubullah (Basrah) yang mewakili Kisra, Raja Parsi. Ibunya pula berasal dari Bani Tamim. Suhaib dilahirkan di Mosul pada tahun 32 sebelum Hijrah.

·       Suhaib Bin Sinan Mendapat Gelaran Al-Rumi

·       Semasa berusia lebih kurang 5 tahun, Suhaib bersama ibunya dan beberapa kaum kerabat serta pembantunya pergi ke sebuah kampung bernama ats-Tsany di negeri Iraq. Ketika berada di sana, kampung tersebut diserang oleh tentera Rom. Tentera Rom membunuh para pengawal, merampas harta dan menawan penduduk kampung termasuk Suhaib.

·       Suhaib kemudian dijual sebagai hamba sahaya di Rom. Beliau berpindah dari satu majikan kepada majikan yang lain. Ketika menjadi hamba, beliau mendengar seorang pendeta Nasrani berkata kepada majikannya tentang ramalan kemunculan seorang Nabi di Mekah pada waktu yang terdekat. Oleh itu, beliau terus menuju ke Mekah apabila berpeluang melarikan diri daripada menjadi hamba sahaya di Rom. Gelaran al-Rumi diberikan kepada beliau oleh penduduk Mekah kerana lidahnya yang pelat untuk berbahasa Arab dan rambutnya yang berwarna merah.

·       Suhaib Bin Sinan Memeluk Islam

·       Ketika berada di Mekah, Suhaib bekerja untuk membawa barang dagangan Abdullah bin Jud’an, seorang pembesar Mekah ke pasar-pasar tertentu. Beliau memperoleh pendapatan yang banyak hasil daripada pekerjaan tersebut. Kesibukannya bekerja tidak menghalang beliau untuk menanti utusan kenabian yang diucapkan oleh pendeta Nasrani di Rom.

·       Pada suatu hari, semasa pulang dari perjalanan perdagangannya, seseorang memberitahu Suhaib tentang kenabian Muhammad SAW dan dakwahnya untuk menyembah Allah Yang Esa. Mendengar khabar yang sering dinantikan olehnya, Suhaib bergegas untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW yang ketika itu berada di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam.

·       Setibanya di rumah al-Arqam, beliau bertemu dengan Ammar bin Yasir yang juga memiliki tujuan yang sama dengannya. Kemudian, mereka berdua bersama-sama bertemu dengan Rasulullah SAW dan mendengar dakwah yang disampaikan oleh baginda. Cahaya keimanan terpancar dalam hati mereka dan mereka mengucap syahadah di hadapan Rasulullah SAW tanpa sebarang keraguan. Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Suhaib termasuk antara tujuh orang yang paling awal memeluk Islam.

·       Kisah Perniagaan Yang Sangat Menguntungkan

·       Selepas memeluk Islam, Suhaib tidak terlepas dari seksaan kafir Quraisy. Semua seksaan dan penderitaan dihadapi olehnya dengan jiwa yang sabar dan tenang kerana mengetahui ada ganjaran syurga yang menanti. Ketika muncul perintah hijrah, Suhaib ingin bertolak ke Madinah bersama Rasulullah SAW dan Abu Bakar namun dihalang oleh kaum Quraisy.

·       Kaum Quraisy mengawasi pergerakan Suhaib dengan ketat dan merampas segala emas dan perak hasil perdagangan beliau. Pada suatu malam, Suhaib berpura-pura ke tandas untuk membuang air. Ketika para pengawal terlelap tidur, beliau melarikan diri untuk menyusul Rasulullah SAW ke Madinah, namun perkara tersebut disedari oleh para pengawal yang telah terbangun.

·       Menyedari kaum Quraisy berjaya menjejakinya, Suhaib mengeluarkan anak panah dan mengancam untuk membunuh mereka. Namun, orang Quraisy tidak ingin membiarkan beliau lari membawa hartanya. Maka, Suhaib menunjukkan tempat penyimpanan harta di rumahnya di Mekah. Orang Quraisy merampas harta tersebut lalu membiarkan Suhaib berhijrah ke Madinah.

·       Suhaib bertolak ke Madinah memenuhi seruan hijrah tanpa berasa menyesal sedikitpun apabila kehilangan harta yang telah dikumpul sepanjang umurnya. Apabila beliau tiba di Quba’, Rasulullah SAW menyambut kedatangannya dengan gembira dan bersabda, “Perniagaan yang sangat menguntungkan wahai Abu Yahya (gelaran kepada Suhaib)”. Rasulullah SAW mengulangi ucapan tersebut sebanyak tiga kali.

·       Mendengar ucapan Rasulullah SAW, kegembiraan terpancar pada wajah Suhaib dan beliau berkata, “Demi Allah! Tidak ada yang mendahuluiku dalam perjalanan ini ya Rasulullah. Tiada yang memberi khabar kepadamu tentang kedatanganku selain Jibril”. Demikianlah perniagaan Suhaib kepada Allah SWT, paling menguntungkan serta tidak akan mengalami kerugian. 

·       Keutamaan Dan Kelebihan Suhaib Bin Sinan

·       Suhaib merupakan antara orang terawal yang memeluk Islam serta mendapat seksaan daripada kaum Quraisy di Mekah. Selepas hijrah, beliau antara sahabat yang menyertai Perang Badar dan sentiasa mendampingi Rasulullah SAW. Suhaib pernah berkata, “Tidaklah Rasulullah ikut dalam peperangan sama sekali kecuali aku hadir. Baginda juga tidak membaiahkan seseorang kecuali aku hadir. Baginda tidak mengirimkan sesuatu misi penyerangan pasukan kecuali aku ada di dalamnya. Tidaklah baginda memimpin peperangan secara langsung kecuali aku berada di kanan atau kiri baginda. Tidaklah orang takut di hadapan mereka kecuali aku berada di hadapan mereka dan tidak pula di belakang mereka kecuali aku di belakang mereka. Aku tidak pernah membiarkan Rasulullah berada antara diriku dan musuh sama sekali sehingga baginda wafat. 

·       Selain terkenal dengan keberaniannya, Suhaib juga ialah seorang yang dermawan dan murah hati. Umar bin Khattab pernah menegur beliau kerana terlalu banyak mendermakan makanan sehingga melampaui batas.

·       Beliau membalas teguran Umar dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah orang yang suka memberi makanan”. Umar juga sangat menyanjungi Suhaib dan mengetahui keutamaannya sebagai sahabat yang sentiasa beruntung. Ketika Umar dibunuh oleh Abu Lu’lu’, beliau memilih Suhaib sebagai imam kaum muslimin menggantikan beliau sebelum khalifah baru dilantik, walaupun menyedari ketidakfasihannya berbahasa Arab.

·       Wafatnya Suhaib Bin Sinan

·       Suhaib hidup sehingga zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin. Beliau wafat di Madinah pada bulan Syawal tahun 38 Hijrah. Terdapat riwayat lain yang menyatakan bahawa beliau wafat pada tahun 39 Hijrah ketika berusia 73 tahun. Beliau dikebumikan di Madinah.

·        

·       Dalil Yang Berkait Dengan Suhaib Bin Sinan

·       Kisah Suhaib yang sanggup mengorbankan semua hartanya demi memenuhi perintah hijrah dan menyusul kaum muslimin ke Madinah telah diceritakan sebelum ini. Berikutan peristiwa tersebut, Allah SWT telah menurunkan firmanNya yang berbunyi:

·       وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَّشْرِيْ نَفْسَهُ ابْتِغَاۤءَ مَرْضَاتِ اللّٰهِ ۗوَاللّٰهُ رَءُوْفٌۢ بِالْعِبَادِ

·       Maksudnya: Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata. Dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hambaNya. (Surah al-Baqarah: 207)

·       Pengorbanan Suhaib yang memberi seluruh harta kekayaannya kepada orang Quraisy agar dapat berhijrah ke Madinah untuk meraih keredhaan Allah SWT menguntungkan dirinya kerana beliau mendapat kemuliaan yang tinggi apabila kisahnya diceritakan di dalam al-Quran. Justeru, perniagaan yang paling bernilai adalah apabila keuntungannya dibelanjakan pada jalan Allah SWT.

·       Suhaib Bin Sinan: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

HASAN BIN ALI

 Biodata dan Kisah Hidupnya

·       by Nabilah Rumainor

 

Saidina Hasan Bin Ali, pemimpin yang mencintai kedamaian. Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang cucu Rasulullah SAW yang rela meninggalkan kuasa bagi menjamin perdamaian kaum muslimin.

Siapakah Hasan Bin Ali?

Hasan Bin Ali merupakan cucu Rasulullah SAW. Beliau merupakan putera sulung kepada puteri Rasulullah SAW Sayyidatina Fatimah az-Zahra’ dengan suaminya, Sayyidina Ali bin Abu Talib. Beliau lahir pada bulan Ramadhan tahun ke-3 Hijrah. Pada waktu kelahirannya, Rasulullah SAW sendiri mengalunkan azan ke telinganya dan kemudian menyembelih akikah untuknya. Malah, nama Hasan juga diberikan oleh Rasulullah SAW pada hari ketujuh selepas kelahirannya.

Sifat-sifat Hasan Bin Ali

Sifat fizikal Hasan lebih menyerupai datuknya Rasulullah SAW berbanding ayahnya, Sayyidina Ali. Dalam menggambarkan paras rupa Hasan, Anas bin Malik berkata, “Hasan serupa dengan Rasulullah SAW daripada dada sampai ke kepala”.

Abdullah at-Tabari turut menggambarkan bahawa Hasan mempunyai bibir yang merah, mata yang hitam, janggut yang lebat, berwajah indah, bahu yang lebar, badan yang tidak tinggi dan tidak rendah dan rambut yang ikal, serta tiada yang lebih menyerupai Rasulullah SAW selain darinya. 

Disebabkan oleh kemiripannya dengan Rasulullah SAW, para sahabat akan pergi kepadanya apabila mereka rindu untuk melihat wajah Rasulullah SAW setelah baginda wafat. Selain dari sifat fizikal, Hasan turut mewarisi sifat derwaman dan kewibawaan Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Hasan mewarisi kewibawaan dan kedermawananku”.

Keutamaan dan Kelebihan Hasan Bin Ali

Rasulullah SAW sangat menyayangi Hasan bin Ali. Kasih sayang baginda dapat dilihat daripada riwayat Abu Bakar as-Siddiq yang menceritakan bahawa Hasan sewaktu kecil pernah memanjat ke belakang Rasulullah SAW ketika baginda sedang sujud dalam solat. Maka, Rasulullah SAW bangun dari sujud secara perlahan dan lembut. Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Yang paling aku cintai dari kalangan Ahli Baitku ialah (kedua-dua cucuku) Hasan dan Husain”.

Rasulullah SAW menjanjikan syurga kepada kedua-dua cucunya Hasan bin Ali dan Husain bin Ali. Baginda pernah bersabda, “Sesungguhnya Hasan dan Husain termasuk nama-nama yang terdapat di dalam syurga dan kedua-dua nama tersebut tidak terdapat pada zaman Jahiliyah”. Jabir bin Abdullah yang turut menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barangsiapa yang ingin melihat penghulu penghuni syurga, maka lihatlah kepada Hasan bin Ali”.

Kisah Hasan Bin Ali Yang Menyerahkan Jawatan Khalifah Demi Maslahah Umat

Setelah Sayyidina Ali wafat dibunuh oleh seorang Khawarij, orang-orang Iraq khasnya penduduk Kota Kufah bersepakat melantik Hasan untuk menjadi khalifah yang kelima untuk menggantikan ayahnya. Maka, beliau telah dilantik menjadi khalifah umat Islam yang kelima pada 25 Ramadhan tahun ke-40 Hijrah dan menjadikan Kota Kufah sebagai pusat pemerintahannya.

Pada zaman pemerintahan beliau, kaum muslimin telah berpecah-belah menjadi empat golongan; golongan pertama taat kepada Khalifah Ali bin Abu Talib, golongan kedua menyokong perjuangan Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah, golongan ketiga menyokong perjuangan Mu’awiyah Abu Sufyan, manakala golongan keempat ialah umat Islam yang menjadi kaum Khawarij. 

Pelantikannya sebagai khalifah mendatangkan rasa tidak senang kepada Mu’awiyah Abu Sufyan. Mu’awiyah merupakan pasukan musuh yang terlibat dalam Perang Siffin menentang pasukan Sayyidina Ali. Setelah menjadi khalifah, Hasan cuba untuk memujuk Mu’awiyah untuk memberi baiat kepadanya bagi menyatukan semula kaum muslimin yang telah berpecah-belah. Namun, pujukan tersebut tidak dihiraukan oleh Mu’awiyah, malah beliau cuba memujuk Khalifah Hasan untuk menyerahkan jawatan khalifah kepadanya dengan menjanjikan kekayaan kepadanya. Namun, Khalifah Hasan menolak tawaran tersebut.

Penolakan Khalifah Hasan terhadap tawaran tersebut menyebabkan Mu’awiyah mengambil keputusan untuk menyerang Kota Kufah dari negeri Syam. Maka, Khalifah Hasan juga menyiapkan pasukan tenteranya dan melantik Panglima Ubaidullah bin Abbas untuk memimpin pasukan induk tersebut, dengan dibantu oleh Panglima Qais bin Saad. Manakala, Khalifah Hasan pula mengetuai pasukan bantuan. Apabila pasukan induk di bawah pimpinan Panglima Ubaidullah tiba di Maskin, pasukan Mu’awiyah tidak berani untuk memulakan peperangan kerana gentar akan kegagahan Panglima Ubaidullah dan pembantunya, Panglima Qais. Oleh itu, Mu’awiyah berusaha memujuk Panglima Ubaidullah untuk belot kepada Khalifah Hasan dan pasukannya dengan menawarkan harta kekayaan kepadanya. Panglima Ubaidullah termakan tawaran lumayan tersebut dan mengkhianati Khalifah Hasan.

Pengkhianatan Panglima Ubaidullah telah melemahkan semangat juang pasukan tentera induk yang kini dipimpin oleh Panglima Qais dan pasukan bantuan yang dipimpin oleh Khalifah Hasan. Bagi melemahkan lagi semangat juang tentera Kufah, Mu’awiyah menyebarkan berita palsu yang menyatakan Panglima Qais telah terbunuh. Pasukan bantuan di bawah pimpinan Khalifah Hasan yang tidak mengetahui situasi sebenar menjadi porak-peranda dan berputus asa selepas mendengar berita tersebut. Malah, sesetengah daripada tentera tersebut menceroboh khemah Khalifah Hasan dan merampas barang-barang yang ada di dalamnya serta melukai Khalifah Hasan.

Kesan daripada peristiwa tersebut, Khalifah Hasan memutuskan untuk memilih jalan perdamaian bersama Mu’awiyah Abu Sufyan kerana merasa jalan tersebut merupakan jalan yang terbaik untuk menyatukan semula umat Islam yang telah berpecah-belah dan berperang sesama sendiri sehingga umat menjadi semakin lemah. Mendengar keputusan Khalifah Hasan untuk berdamai dan menyerahkan jawatan khalifah kepadanya, Mu’awiyah meminta Khalifah Hasan untuk menyenaraikan semua tuntutan dan hasratnya sebagai isi perjanjian penyerahan jawatan khalifah kepada Mu’awiyah. Tuntutan Khalifah Hasan dilihat berfokus untuk menjamin keselamatan penyokong Sayyidina Ali di bawah pemerintahan Mu’awiyah.

Antara tuntutannya termasuklah;

  1. Pentadbiran yang dijalankan hendaklah berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
  2. Mu’awiyah tidak akan melakukan sebarang kekerasan kepada penyokong Khalifah Ali bin Abu Talib dan para pencinta Ahlu al-Bait.
  3. Mu’awiyah dikehendaki memberi pengampunan umum kepada semua orang yang pernah memusuhinya dan tidak akan melakukan perbuatan balas dendam.

 

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Khalifah Hasan dan Mu’awiyah pada bulan Jamadilawal tahun ke-41 Hijrah. Tahun tersebut dikenali sebagai ‘Am al-Jama’ah yang bermaksud Tahun Perdamaian. Selepas mendapat baiat dari umat Islam di Kufah, bermulalah pemerintahan kerajaan Umayyah di bawah pimpinan Khalifah Mu’awiyah dan Kota Damascus di Syam menjadi pusat pemerintahan kerajaan tersebut.

Wafatnya Hasan Bin Ali

Setelah Mu’awiyah memegang jawatan sebagai khalifah kaum muslimin, Hasan tidak terlibat dalam politik dan menghabiskan masanya kepada ilmu dan amal ibadat. Beliau wafat pada tahun ke-50 Hijrah ketika berusia 45 tahun. Jasadnya dimandikan oleh adiknya, Husain bin Ali dan jenazahnya disolatkan oleh Gabenor Madinah pada ketika itu, iaitu Sa’id bin al-‘As. Jenazahnya kemudian dikebumikan di perkuburan al-Baqi’ di Madinah.

Dalil Yang Berkaitan Dengan Hasan Bin Ali

Rasulullah SAW menyifati Hasan sebagai seorang yang sayyid, dengan sabda baginda yang berbunyi:

عن أبي بكرة، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: للحسن بن علي: “إن ابني هذا سيد، وإني أرجو أن يصلح الله به بين فئتين، من أمتي”.

Maksudnya: Abu Bakrah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang Hasan Bin Ali, “Sesungguhnya anakku ini sayyid (pemimpin), dengannya Allah akan mendamaikan dua kelompok yang bertikai dari umatku”. (Hadith Riwayat Abu Daud)

Hadith tersebut meramalkan penyatuan umat Islam yang terdiri daripada penyokong Sayyidina Ali dan penyokong Mu’awiyah, hasil daripada kemuliaan Hasan bin Ali yang rela menyerahkan kuasa dan jawatannya sebagai khalifah. Hal ini mengajarkan kepada kita bahawa kehebatan seseorang pemimpin tidak hanya ditentukan oleh kekukuhan kuasa dan autoritinya, tetapi juga ditentukan dengan kesanggupannya bertoleransi bagi menghasilkan kebaikan dan maslahah untuk umat. 

·       Hasan Bin Ali: Biodata dan Kisah Hidupnya - Aku Muslim

SURAQAH BIN MALIK

 Biodata & Kisah Hidupnya

·       by Umar Abu Hafs

·       Siapakah Suraqah bin Malik? Artikel ini akan membincangkan salah seorang sahabat nabi SAW yang anda perlu ketahui.

·       Siapakah Suraqah Bin Malik?

·       Pada masa jahiliyahnya, Suraqah merupakan seorang tokoh yang terkenal dikalangan masyarakat Arab dan juga merupakan salah seorang pemimpin di sebuah kabilah yang bernama Kinanah. Masyarakat Arab pada saat itu memandang beliau sebagai seorang yang berwibawa dan juga sangat dihormati serta disayangi oleh mereka disebabkan kebiasaan beliau yang selalu memberi makan orang-orang fakir dan miskin yang sedang kelaparan, suka memberikan perlindungan keamanan kepada orang-orang yang sedang ditindas, dan selalu menjaga siapa pun yang memerlukan penjagaan dari beliau.

·       Nasab Dan Keturunan

·       Nama lengkap beliau adalah Suraqah bin Malik bin Ju’syum bin Malik bin ‘Amr bin Taim bin Mudlij bin Murrah bin Abdi Manat bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan yang berada pada garis keturunan Isma’il bin Ibrahim ‘alaihimas salam. Suraqah juga biasa dipanggil dengan panggilan  Abu Sufyan.

·       Masuknya Suraqah Kedalam Islam

·       Pada waktu kemenangan serta keberhasilan umat Islam dalam pembukaan kota  Mekah di bulan Ramadan pada tahun ke 8 hijriah dan tidak lama setelah itu pada bulan Syawal 8 Hijrah berakhirnya peperangan Hunain , Suraqah bin Malik dengan membawa surat jaminan keamanan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya pergi untuk bertemu dengan baginda. Suraqah bertemu dengan Rasulullah SAW di sebuah tempat yang bernama Ji’ranah, tempat tersebut terletak di bahagian timur laut kota Mekah dengan jarak sekitar 20 kilometer. Pada saat itu Rasulullah SAW sedang membahagikan ghanimah hasil daripada peperangan Hunain.

·       Suraqah diam-diam menyelinap masuk ke pasukan berkuda kaum Anshar namun pada akhirnya kaum Anshar menyadarinya. Mereka pun mengepungnya serta mengacung tombak kepadanya lalu salah seorang dari mereka mengatakan, “Pergilah! Apa yang kau mahukan di sini?” Hinggalah beliau datang mendekati Rasulullah SAW yang sedang berada di atas untanya. Suraqah menunjukkan semula kepada Rasulullah SAW surat jaminan keamanan yang pernah baginda berikan kepadanya seraya berkata, “Wahai Rasulullah! Ini adalah surat  yang anda berikan padaku dulu. Aku adalah Suraqah bin Malik bin Ju’syum.” Rasulullah SAW pun menjawab, “Ini adalah hari membalas semula budi dan memenuhi janjiku padamu. Mendekatlah!” Suraqah pun mendekat dan menyatakan dirinya sebagai seorang muslim.

·       Kisah Suraqah Memburu Rasulullah Saw Pada Saat Baginda Hijrah

·       Ketika kaum Quraisy mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah berjaya meninggalkan kota  Mekah untuk berhijrah ke  Madinah, mereka pun mengeluarkan surat perintah untuk memburu Rasulullah SAW dan bagi yang berjaya membunuh atau menangkap Rasulullah SAW akan diberi ganjaran yang besar. Ganjarannya adalah hadiah sebanyak seratus ekor unta. Ramai kaum musyrik yang terpesona dengan ganjaran yang akan diberikan tersebut, sehingga ramai di antara mereka yang ikut serta dalam pemburuan tersebut dan salah satu diantara mereka adalah Suraqah bin Malik.

·       Sebelum Suraqah pergi untuk memburu Rasulullah SAW beliau sedang duduk di sebuah majlis yang diadakan kaumnya iaitu Bani Mudlij, tiba-tiba datang salah seorang menghampiri majlis tersebut lalu berkata, “Wahai Suraqah! Sungguh waktu perjalanan aku menuju ke sini aku melihat beberapa orang sedang melakukan perjalanan jauh. Aku merasa bahawa itu adalah Muhammad bersama sahabatnya.’ Suraqah meyakini benar bahawa apa yang dikatakan orang tersebut. Namun dia menjawab sebaliknya, “Mereka bukan Muhammad dan sahabatnya. Tapi mereka adalah Fulan dan Fulan, kami melihat mereka keluar untuk mencari harta mereka yang hilang.’ Kemudian Suraqah diam sesaat dan bergegas menuju ke rumahnya. Beliau perintahkan hamba perempuannya untuk keluar dan membawa kudanya ke belakang sebuah bukit kecil lalu menahannya . Suraqah pun mengambil tombaknya dan keluar secara sembunyi-sembunyi menuju ke tempat di mana kudanya disiapkan lalu segera memulakan pemburuannya.

·       Suraqah dengan cepat mengekori perjalan Rasulullah SAW sehingga pada suatu ketika beliau pun berjaya mendekati baginda bersama sahabatnya, namun tiba-tiba kuda yang ditunggangi Suraqah pun tersandung lalu beliau pun terjatuh dari kudanya. Kemudian Suraqah berniat untuk mengambil anak panah dan menembakkannya, dan serta merta pada saat itu muncul bisikan dalam hatinya yang mengatakan “Apakah aku akan terus berusaha mencelakakan mereka ataukah tidak.” Lalu dia memutuskan untuk membatalkan tindakannya.

·       Suraqah menunggang kudanya kembali dan segera mengejar Rasulullah SAW. Pada saat itu kudanya berlari dengan cepat sehingga pada saat itu Suraqah dapat mendengar apa yang sedang dibaca oleh Rasulullah SAW, baginda tidak menoleh sama sekali ke arah Suraqah hanya Abu Bakar sahaja yang banyak menoleh, tiba-tiba kedua kaki depan kuda yang ditunggangi Suraqah terjerumus ke dalam tanah sehingga mencapai kedua lututnya lalu beliau pun tercampak darinya. Kemudian beliau memaksa kudanya untuk berdiri. Kudanya berusaha bangkit namun sama sekali tidak dapat mengeluarkan kedua kakinya.

·       Lalu pada akhirnya Suraqah pun memanggil Rasulullah SAW dengan mengatakan, “Aku adalah Suraqah bin Malik bin Ju’syum. Tunggulah aku wahai Muhammad. Aku mahu berbicara dengan kalian. Demi Allah, aku tidak akan melakukan apa pun yang dibenci kalian.” Kemudian Rasulullah pun berhenti.

·       Suraqah kembali menaiki kudanya dan mendatangi Rasulullah SAW. Lalu Suraqah pun berkata kepada baginda, “Sungguh kaummu telah menjanjikan atas dirimu sebuah hadiah sebesar diyat.” Suraqah memberitakan kepada Rasulullah SAW apa yang kaum musyrikin lakukan terhadap mereka dan Suraqah menawarkan bekal makanannya kepada baginda. Namun Rasulullah SAW tidak menerima dan tidak pula meminta sesuatu pun kepadanya, baginda hanya mengatakan, “Rahasiakanlah tentang kami!” Lalu Suraqah pun meminta kepada baginda untuk menuliskan kepadanya sesuatu yang dapat menjadi tanda perdamaian antaranya dengan Rasulullah SAW. Kemudian baginda memerintahkan ‘Amir bin Fuhairah untuk menuliskannya di atas sebuah lembaran dari kulit. Setelah itu Rasulullah SAW pergi melanjutkan perjalanannya.

·       Suraqah memenuhi permintaan Rasulullah SAW untuk merahsiakan perjalanannya. Tidaklah Suaraqah menjumpai sesiapa pun yang sedang mencari baginda kecuali beliau mengajaknya  untuk membatalkan pemburuannya, beliau mengatakan kepada mereka, “Aku telah mencukupkan untuk kalian pencarian di arah sini.”

·       Janji Rasulullah Saw Kepada Suraqah

·       Terdapat hadis yang meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW pernah berkata kepada Suraqah, “Bagaimanakah perasaanmu ketika engkau memakai dua gelang milik Kisra, tali pinggangnya, dan mahkotanya?”

·       Kemudian pada zaman kehalifahan Umar bin Al Khaththab, dikirimlah kepada Umar dua gelang milik Kisra, tali pinggangnya, dan mahkotanya. Lalu Umar pun memanggil Suraqah untuk menghadapnya. Kemudian Umar pun memakaikannya kepada Suraqah lalu mengatakan kepadanya, “Angkatlah kedua tanganmu! Dan ucapkanlah: Allahu akbar! Segala puji hanya bagi Allah yang telah mengambilnya dari Kisra bin Hurmuz yang menyatakan dia adalah tuhan manusia, lalu Allah pakaikan kepada Suraqah bin Malik seorang Arab Badui dari Bani Mudlij.” Maka terbuktilah apa yang dikatakan oleh baginda Rasulullah SAW kepada Suraqah.

·       Wafatnya Suraqah Bin Malik

·       Suraqah bin malik wafat tahun ke-24 Hijrah dan pada saat itu kekhalifahan berada diba wah kepimimpinan sahabat Utsman bin Affan.

·       Suraqah Bin Malik: Biodata & Kisah Hidupnya - Aku Muslim

Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...