Isnin, 22 Oktober 2012

KeISTIMEWAan SURAH YASIN

Surah Yasin Ayat 1 hingga 9
Keistimewaan surah Yasin
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED ALBAKRI

Sebahagian ulama berpendapat bahawa sentiasa membaca surah Yasin pada semua waktu boleh memudahkan sebarang urusan.

ALHAMDULILLAH, selepas kita selesai membincangkan Juzuk 29, maka kali ini penulis ingin menumpukan kepada surah-surah pilihan untuk ditafsirkan. Ia bermula dengan surah Yasin yang sentiasa dibaca dan dilazimi oleh masyarakat Islam, khususnya di Malaysia.

Surah ini termasuk dalam golongan surah Makiyyah, kecuali ayat: Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka daripada keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (Yasin: 46) yang termasuk dalam ayat Madaniyyah.

Surah Yasin ini mengandungi 83 ayat dan ia turun selepas surah al-Jin. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya, Allah SWT berfirman: …….Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul (Kami) yang memberi amaran….. (Fatir: 37), dan juga dalam ayat lain: Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh sumpahnya. Demi sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran… (Fatir: 42)

Namun, tatkala pemberi peringatan itu datang kepada mereka, mereka mendustakannya dan tidak mahu mengikutnya. Dengan demikian, Allah SWT pun memulakan surah ini dengan sumpah tentang kebenaran kerasulan Muhammad SAW dan menjelaskan bahawa Baginda berada di jalan kebenaran. Penjelasan ini adalah untuk memberi peringatan kepada suatu kaum yang sebelumnya belum pernah diberi peringatan.

Dalam surah yang lepas, Allah SWT berfirman: …dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)? Tiap-tiap satu daripada kedua-duanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan… (Luqman: 29), sedangkan dalam surah ini Allah S.W.T. berfirman: Dan (sebahagian daripada dalil yang tersebut ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya… (Yasin: 38), dan firman-Nya juga: Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat… (Yasin: 39)

Sebahagian ulama berkata: Antara keistimewaan surah Yasin ini, di mana tidak dibaca dalam keadaan sukar kecuali Allah mempermudahkannya. Begitu juga bacaan surah Yasin ketika berada dalam sakaratul maut, akan diturunkan rahmat dan berkat serta dipermudahkan keluarnya roh.

Memudahkan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa sentiasa membaca surah Yasin pada semua waktu boleh memudahkan sebarang urusan tetapi mereka berpendapat sunat dibaca pada hari Khamis kerana keluasan rezeki, hari Selasa menolak daripada kezaliman dan selamat daripada musuh seterusnya hari Ahad untuk mencapai kedudukan yang terpuji.

Walaupun begitu, ramai ulama telah mengamal bacaan Yasin dan didapati cukup mujarab berkenaan dengan permintaan dan hajat yang diajukan kepada Allah Rabb al-Alamin.

Firman Allah SWT: Yaa, siin. Demi al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh. Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) daripada Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (Yasin: 1-4)

Firman Allah SWT: Yaa, siin. (Yasin: 1)

Ibnu Kathir berkata: Huruf yang terputus telah dibicarakan pada permulaan surah al-Baqarah dengan panjang lebar. Pendapat yang paling kuat bahawa Allah sahaja yang mengetahui maksudnya.

Justeru, wajib kita beriman dan ini juga sebagai bukti kalam Allah sehingga lemah manusia untuk menafsirkannya.

Firman Allah SWT: Demi al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh. Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (Yasin: 2-4)

Syed Qutub berkata: Al-Quran yang amat bijaksana mendidik manusia dengan penuh kebijaksanaan mengikut metodologi akal dan psikologi yang membebaskan seluruh tenaga manusia serta membimbingnya ke arah jalan yang baik dan lurus. Allah SWT bersumpah dengan Yasin dan dengan al-Quran untuk menegaskan wahyu dan kebenaran risalah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Al-Maraghi berkata: Allah SWT bersumpah dengan al-Quran yang penuh hikmah dan tidak mengandungi unsur kebatilan sama ada dari depannya ataupun dari belakang. Wahai Rasul! Sebenarnya engkau benar-benar tergolong bersama orang yang diutus untuk menyampaikan agama yang lurus. Al-Quran menegakkan satu sistem hidup yang membenarkan manusia melakukan segala aktiviti yang berkait dengan matlamat kehidupan.

Penutup

Sebenarnya ayat-ayat yang dibincangkan jelas menunjukkan betapa mulianya surah Yasin dan hubungan antara al-Quran dengan rasul amat kukuh, begitu juga kedua-duanya memandu dan memimpin ummah ke arah jalan yang benar-benar lurus dengan manusia akan mendapat hidayat serta petunjuk selama mana berpegang kepada kedua-duanya tanpa berpaling kepada yang lain.

Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang mendapat keredaan-Nya. Amin

Ahad, 21 Oktober 2012

DaKwAh MeNeRuSi FaCEBooK SeSuAi IkUt ZaMaN


Gambar hiasan...
Dakwah menerusi Facebook sesuai ikut zaman
Ahmad Kamaludin Taib

Peranan dakwah Islam melalui alam maya adalah antara cabang dakwah moden atau alternatif terkini yang memainkan peranan penting menggerakkan kempen dakwah Islam di seluruh dunia.

Di sisi agama, cara terbaik untuk mengajak manusia mendekati syariat Islam adalah saranan menegur manusia dengan lemah-lembut, berhemah serta nasihat yang berhikmah dan bijaksana.
Hal ini bertepatan firman Allah Taala: “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan dengan tutur kata yang baik.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Pendekatan dakwah yang terbaik ialah menegur dan nasihat dengan berhikmah serta bijaksana. Pendekatan sama sesuai diguna pakai untuk berdakwah di alam maya seperti laman Facebook yang popular dalam masyarakat hari ini.

Tegur secara berhikmah

Oleh itu, pendekatan dakwah yang terbaik ialah menegur dan nasihat dengan berhikmah serta bijaksana. Pendekatan sama sesuai diguna pakai untuk berdakwah di alam maya seperti laman Facebook yang popular dalam masyarakat hari ini.

Antara perkara yang boleh diterapkan dalam dakwah melalui laman Facebook ialah mengingatkan rakan muslimah menjaga aurat mereka supaya tidak menjadi tontonan bukan muhrim yang akhirnya menimbulkan fitnah kepada dirinya nanti.

Tuntutan menutup aurat dengan sempurna dijelaskan dalam firman Allah Taala: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Ahzab, ayat 59).
Menggunakan kemudahan yang dapat mencapai lebih ramai kumpulan sasaran adalah pendekatan dakwah yang baik, lagipun mereka yang melayari laman Facebook terdiri daripada semua lapisan masyarakat.

Bina komuniti

Saranan kempen menutup aurat ini dijalankan dengan membina komuniti dalam talian melalui Facebook Groups dan Facebook Pages. Kedua-dua interaktif ini mempunyai kelebihannya tersendiri dalam berkongsi isi maklumat mengenai saranan menutup aurat.

Contohnya, kumpulan ‘Aku Benci Dedah Aurat di Facebook’ akan berjaya dalam kempen mengajak orang ramai menutup aurat apabila menerima banyak penyertaan atau sokongan mereka yang sukakan kempen itu.

Kempen ini penting kerana adanya pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan atau cuba mengeksploitasi kemudahan laman sosial bertujuan menyebarluaskan gambar atau video lucah bagi pelbagai tujuan negatif atau kepentingan tertentu.

Kempen menutup aurat di laman sosial dapat mencegah pendedahan aurat daripada terus berleluasa di samping mengubah pemikiran anak muda pada masa kini yang menyalahgunakan Facebook untuk melayari gambar dan video tidak bermoral.

Kempen menutup aurat di Facebook adalah satu tuntutan dakwah moden yang dapat mengajak manusia untuk mendekati keindahan syariat agama Islam yang hakiki.

KELEBIHAN HARI ARAFAH

Arafah

Kelebihan Hari Arafah

Hari Arafah adalah hari yang kesembilan dari bulan Zulhijjah yang mana bagi jemaah haji mereka diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana. Bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadat haji , disunatkan berpuasa.

Pada hari ini juga disunatkan untuk mengumandangkan takbir. Di sini akan disebutkan beberapa hadis yang menyatakan kepada kita mengenai kelebihan hari Arafah sebagai suntikan semangat dalam menambahkan amalan sebagai bekal di hari akhirat nanti.Ingatlah dunia ini hanya sementara dan mestilah digunakan untuk mencari sebanyak mungkin bekal sebelum tibanya hari kematian sebagai tiket utama menuju negeri akhirat yang kekal abadi.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Tiada daripada hari yang lebih ramai daripada membebaskan Allah padanya hamba daripada neraka daripada hari Arafah. Dan sesungguhNya akan mengasihani, kemudian Dia bangga depan malaikat maka Dia bertanya : Apakah yang dikehendaki oleh mereka itu?
- Hadis isnadnya sohih dikeluarkan oleh imam Muslim, Nasai’e, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Darqatni, Hakim dan al-Baihaqi –

Daripada Jabir telah berkata : telah bersabda Rasulullah S.A.W yang artinya : Apabila tiba hari Arafah maka sesungguhnya Allah telah memuji dengan mereka para malaikat maka kataNya : 

Lihatlah kepada hamba-hambaKu yang telah datang padaKu dengan berdebu dalam keadaan berduyun-duyun daripada setiap pelusuk, Aku bersaksi depan kamu (malaikat) bahawa Aku telah mengampuni mereka. 

Maka kata malaikat : Sesungguhnya ada di kalangan mereka pulan telah baligh dan pulan.
Sabda baginda lagi : Allah berfirman: Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka. 
Sabda Rasulullah S.A.W : maka tiada daripada hari lebih ramai orang yang bebas daripada neraka daripada hari Arafah.
(  Hadis isnadnya sohih dikeluarkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi )

Hadis-hadis ini menunjukkan kepada kita mengenai kelebihan hari Arafah samada kepada mereka yang mrenunaikan fardhu haji atau pun tidak. Allah mengampuni dosa hambaNya yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat serta mengabulkan segala doa dan permintaan daripada hamba-hambaNya. Allah begitu bangga dengan hamba-hambaNya yang beramal soleh dan sentiasa bertaubat. 

Oleh itu, muhasabahkanlah diri kita sama ada kita termasuk dalam golongan yang sentiasa beramal soleh dan bertaubat atau pun hanya melakukan amalan sambil lewa dan penuh kemalasan. Ingatlah kepada hari mati dan hari pembalasan yang mana setiap amalan samada baik atau pun buruk walau sekecil zarah pun akan ditayangkan oleh Allah di depan khalayak ramai. 

ika amalan baik tidaklah perlu dipersoalkan tetapi jika amalan buruk dan maksiat ditayangkan bagaimana perasaan kita ketika itu?. Kita tidak boleh menafikan lagi segala perbuatan maksiat yang dilakukan malah setiap angggota kita akan menjadi saksi kepada segala perbuatan yang dilakukan di dunia ini. Insaflah wahai sahabat-sahabatku!

Rujukan

1. Kitab Fadahailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah.


Sabtu, 20 Oktober 2012

MAtA AiR SaLSaBiL

Gambar Hiasan jeee

Mata air salsabil
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI

Pemandangan alam akhirat pastinya jauh lebih hebat daripada apa juga keindahan yang ada di atas muka bumi ini. - Gambar hiasan

SELEPAS Allah SWT menyebut tentang makanan penghuni syurga dan pakaian mereka, maka Allah SWT menambahkan pula gambaran tentang tempat tinggal serta minuman mereka, bekas minuman dan pelayan-pelayannya. Lalu Allah SWT mengulang sekali lagi perbincangan tentang pakaian mahal dan perhiasan yang diberikan kepada mereka.

Kemudian Allah SWT menunjukkan semua ini sebagai balasan terhadap mereka yang melakukan amal kebajikan dan pembersihan yang dilakukan terhadap diri mereka dalam bentuk akhlak yang terpuji dan budi pekerti yang baik.

Firman Allah SWT: Dan Diedarkan kepada mereka bejana-bejana daripada perak dan piala-piala yang bening laksana kaca. (iaitu) kaca-kaca (yang terbuat) dari perak yang Telah diukur mereka dengan sebaik-baiknya. (al-Insaan: 15-16)

Al-Maraghi berkata: Pelayan-pelayan menyajikan gelas-gelas minuman dan piala-piala daripada perak kepada mereka. Pelayan-pelayan yang menyajikan minuman tersebut kepada mereka, telah menurut kadar keperluan dan kesegaran.

Yang demikian akan lebih terasa nikmat dan ringan buat mereka kerana bekas-bekas itu tidak terlalu penuh hingga melimpah dan tidak pula kurang hingga bergoncang. Bekas-bekas minuman penghuni syurga itu dibuat daripada perak yang putih sejernih kaca sehingga apa yang ada di dalamnya jelas kelihatan dari luar.

Ibnu Kathir berkata: Mereka dikelilingi oleh pembantu-pembantu dengan membawa bejana makanan yang dibuat daripada perak dan juga gelas-gelas minuman.

Sayid Qutub berkata: Mereka diedarkan dengan minuman-minuman di dalam bejana-bejana dan gelas-gelas perak yang nipis seperti kaca yang belum pernah dilihat pada bejana perak di dunia. Gelas-gelas itu dibentuk dengan ukuran-ukuran yang memberi keindahan dan kenikmatan.

Firman Allah SWT: Di dalam syurga itu mereka diberi minum segelas (minuman) yang campurannya adalah zanjabil. (al-Insaan: 16)

Al-Maraghi berkata: Di dalam syurga orang yang berbakti itu meminum arak yang dicampur dengan zanjabil. Mereka begitu menyukai dan menyenangi minuman itu.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, orang-orang yang melakukan kebaikan juga akan diberi minum dengan gelas-gelas yang mana kadang-kadang mereka diberi minum minuman yang dicampur dengan kapur yang dingin dan pada saat lain diberi minuman yang bercampur dengan zanjabil yang panas supaya ada keseimbangan bagi mereka.

Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu kadang-kadang dicampur dengan zanjabildan kadang-kadang dicampur dengan haruman kapur.

Firman Allah SWT: (yang didatangkan dari) sebuah mata air syurga yang dinamakan salsabil. (al-Insaan: 18)
Ibnu Arabi berkata: Aku belum pernah mendengar Salsabil kecuali di dalam al-Quran. Seolah-olah sumber itu dinamakan Salsabil kerana jernih dan mudahnya mengalir dikerongkong.

Hasan ibnu Sabit berkata: Mereka memberi minum arak yang bercampur arak bersih yang penuh nikmat kepada orang yang pada mereka terdapat kilauan.

Muqatil berkata: Ia adalah sumber yang airnya mengalir kepada mereka di majlis-majlis mereka seperti yang mereka suka.

Ibnu Kathir berkata: Zanjabil ini merupakan sebuah mata air di syurga yang bernama Salsabila.

Ikrimah berkata: Ia merupakan nama sumber air di syurga.

Mujahid mengatakan: Disebut demikian kerana alirannya yang lembut dan tajam.

Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu juga dipenuhkan di dalam gelas-gelas dari sebuah mata air yang sentiasa mengalir bernama Salsabil yang amat cita rasa.

Firman Allah SWT: Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda. Apabila kamu melihat mereka, kamu akan mengira mereka, mutiara yang bertaburan. (al-Insaan: 19)

Al-Maraghi berkata: Para penghuni syurga itu dikelilingi oleh para pelayan yang cekap. Para pelayan itu terdiri daripada kalangan yang muda, menarik dan menyenangkan. Mereka tidak tua, tidak beruban dan badan mereka tidak penat untuk memberikan layanan. Mereka umpama permata-permata yang bertebaran.

Permata-permata yang bertebaran itu lebih indah daripada permata-permata yang diikat. Apabila para penghuni syurga melihat mereka akan dikhayalkan dengan keindahan warna, kecerahan wajah dan kecekapan mereka ketika melayani setiap keperluan tuan-tuan mereka. Bertebarannya mereka bererti mereka itu segera memberi layanan.

Sayid Qutub berkata: Yang menambahkan kenikmatan ialah pelayan-pelayan yang menghidangkan gelas-gelas minuman itu adalah terdiri daripada pemuda-pemuda remaja yang berwajah tampan, yang kekal muda, tidak dimakan zaman dan dilusuhkan usia. Mereka selama-lamanya muda belia dan berseri-seri serta mereka berada di sana sini di dalam syurga seolah-olah mutiara yang bertaburan.

Jumaat, 19 Oktober 2012

KECAMAN TERHADAP PARA PENDUSTA


Gambar hiasan - Volcano
Kecaman terhadap para pendusta
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALLAH SWT telah menjelaskan kehinaan dan seksaan yang dikenakan kepada orang kafir pada hari kiamat nanti. Kemudian Allah SWT menambah perbincangan dengan menyebut tentang kebahagiaan dan kemuliaan yang disediakan untuk orang Mukmin pada saat itu. Mereka berada di dalam kemewahan dan kenikmatan, mereka makan buah-buahan yang disukai. Dikatakan kepada mereka: “Makan dan minumlah kamu dengan penuh nikmat sebagai balasan terhadap apa yang kamu lakukan dahulu. Inilah balasan bagi setiap orang yang membaikkan amalannya.”

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. 
(al-Mursalat: 45)

Al-Maraghi berkata: Bagi orang yang mendustakan azab kehinaan, mereka akan menerima seperti apa yang diberitahukan Allah SWT iaitu penghormatan orang yang bertakwa dengan kehormatan yang diberikan Allah SWT kepada mereka pada hari kiamat.

Firman Allah SWT: (Dikatakan kepada orang-orang kafir): Makanlah dan bersenang-senanglah kamu 
(di dunia dalam waktu) yang pendek; Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berdosa. 
(al-Mursalat: 46)

Al-Maraghi berkata: Makan (bersenang-senanglah) dan nikmatilah sisa umurmu yang masih tinggal sedikit itu. Kami kenakan sunnah Kami yang berlaku kepada orang yang sebelum kamu terhadapmu, iaitu umat-umat yang terdahulu yang telah diberikan tempoh sebentar. Lalu Kami seksa mereka disebabkan kekafiran dan pendustaan mereka terhadap para rasul Kami.

Ibnu Kathir berkata: Yakni makan dan bersenang-senang dalam tempoh waktu yang sebentar dan kemudian kamu akan diheret ke neraka Jahanam yang telah disebutkan sebelumnya. Ucapan ini ditujukan kepada orang-orang yang mendustakan hari kiamat. Dan perintah yang diberikan kepada mereka itu merupakan ancaman sekali gus intimidasi.

Sayid Qutub berkata: Ketika pelawaan Allah SWT disampaikan kepada orang-orang yang bertakwa di akhirat, maka satu pelawaan yang sama dihadapkan kepada orang-orang kafir yang berdosa di dunia, seolah-olah Allah SWT berfirman kepada mereka: “Lihatlah perbezaan di antara dua kehidupan ini, makanlah dan nikmatilah kesenangan dunia yang sementara ini supaya kamu diharamkan daripada kenikmatan abadi dan diazab sepanjang zaman di negeri akhirat.”

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. 
(al-Mursalat: 47)

Al-Maraghi berkata: Orang yang melemparkan diri mereka ke jurang seksaan yang abadi, disebabkan kesenangan yang bersifat sementara dan mendustakan apa yang telah diberitahukan Allah SWT kepada mereka, bahawa Allah SWT akan menyeksa mereka.

Firman Allah SWT: Dan apabila dikatakan kepada mereka: Rukuklah, nescaya mereka tidak mahu rukuk. (al-Mursalat: 48)

Al-Maraghi berkata: Apabila diseru kepada para pendusta supaya beribadat dan taat kepada Allah SWT, namun mereka menyombongkan diri dan bersikap keras dengan keingkaran mereka. Terdapat di dalam sebuah hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW memerintahkan kepada Thaqif agar mengerjakan solat, maka mereka menjawab: “Kami tidak akan rukuk kerana ia merupakan celaan kepada kami.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Agama yang terbaik adalah agama yang mempunyai ibadah rukuk dan sujud.”

Ibnu Abbas berkata: Ungkapan di atas diajukan kepada mereka di akhirat kelak sewaktu mereka diseru supaya sujud tetapi mereka tidak berdaya melakukannya kerana mereka tidak pernah sujud di dunia, 
(orang yang mendustakan segala perintah Allah SWT dan larangan-Nya).

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, sekiranya orang-orang kafir yang bodoh itu diperintahkan untuk mengikuti orang-orang yang mengerjakan solat dengan berjemaah, maka mereka menolak perkara tersebut dan bahkan menyombongkan diri di atas hal tersebut.

Sayid Qutub berkata: Ayat ini mengisahkan keadaan-keadaan orang-orang kafir yang berdosa itu dan melahirkan takjubnya terhadap sikap mereka iaitu apabila mereka diseru mengikut hidayah Allah, mereka tidak menyahutinya.

Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. Maka kepada perkataan apakah sesudah al-Quran ini mereka akan beriman? (al-Mursalat: 49-50)

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya al-Quran itu merangkumi keterangan yang cukup sempurna dan kebenaran yang jelas. Akan tetapi mengapa mereka masih menolak untuk beriman kepada Allah SWT dengan seberapa segera. Oleh sebab itu mereka akan menghadapi kematian dan kata-kata seperti, semoga, mudah-mudahan dan seandainya tidak bermanfaat lagi.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, jika mereka tidak mahu juga beriman dengan al-Quran ini, lalu kepada perkataan siapa lagi mereka akan beriman?

Sayid Qutub berkata: Orang-orang yang tidak beriman kepada penjelasan al-Quran yang menggegarkan bukit-bakau dan gunung-ganang itu tidak akan beriman buat selama-lamanya dengan mana-mana penjelasan yang lain daripadanya. Tiada lain melainkan hanya kecelakaan, kesialan dan kesudahan yang malang yang disediakan kepada golongan manusia yang celaka ini.

Semoga kita menjadi hamba-Nya yang soleh. Amin.

SYEIKH HASAN MUHAMMAD AL MASYSYAT -Penyeri Kota Mekah

Manuskrip Syeikh Hasan al Masysyat

MANUSKRIP tulisan tangan Syeikh Hasan al Masysyat pada 1393 Hijrah iaitu lebih kurang enam tahun sebelum kewafatannya.

MASJID al Haram pada dekad-dekad yang silam tidak pernah sunyi daripada ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan jaguh ilmuan daripada mazhab yang empat. Mereka menyampaikan ilmu dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan demi berkhidmat kepada syariat Nabi Muhammad SAW. Ilmu dan keberkatan yang dititipkan akhirnya dibawa pulang oleh para guru dari Tanah Melayu untuk disebarkan kepada masyarakat Islam di rantau ini.

Di antara mereka yang menjadi nadi memakmurkan Masjid al Haram dengan ilmu, hikmah dan amal, tulus, ikhlas lagi suci hatinya ialah al ‘Alim al ‘Allamah Syeikh Hasan bin Muhammad al Masysyat al Maliki al Manafi al Qurasyi.

Dilahirkan pada 3 Syawal 1317 Hijrah bersamaan 4 Februari 1900 Masihi di Mekah al Mukarramah dengan salasilah nenek moyang sampai kepada Abdu Manaf bin Qusay bin Kilab, iaitu datuk ketiga bagi Rasulullah.

Semenjak kecil, beliau telah dihantar oleh bapanya Syeikh Muhammad al Masysyat menghafaz al Quran di pusat penghafazan al-Quran kemudian menyambung pembelajarannya di Madrasah Saulatiyyah yang masyhur di Mekah pada zaman itu. Di sana, beliau telah menghabiskan waktu dengan menghafaz segala matan-matan ilmu Islam baik yang berbentuk nazam mahupun prosa.

Setelah menamatkan pengajian awal di Madrasah Saulatiyyah, beliau dilantik sebagai tenaga pengajar di situ dan berkhidmat dalam tempoh yang agak lama.

Pada masa yang sama juga beliau memenuhkan waktunya menuntut ilmu di halaqah-halaqah ilmu di Masjid al Haram daripada para ulama yang masyhur, seperti Syeikh Muhammad Ali al Maliki, Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Sayyid Umar Bajunaid, Syeikh Muhammad Habibullah al Syanqiti dan ramai lagi.

Disebabkan kebijaksanaan dan penguasaan yang cepat terhadap ilmu-ilmu Islam, beliau telah ditauliahkan sebagai salah seorang tenaga pengajar di Masjid al Haram dan mengajar di sana sepanjang hayatnya tanpa mengambil sebarang gaji atau upah.

Kemahiran beliau dalam ilmu Islam dan kedudukannya yang tinggi juga menyebabkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Syura, Ketua Mahkamah Syariah kemudiannya sebagai Kadi di Mekah.

Keilmuan Syeikh Hasan juga mendapat pengiktirafan luar apabila beliau turut ditauliahkan sebagai tenaga pengajar di Masjid Nabawi, Masjid Sayyiduna Husain di Mesir dan Masjid Umawi di Syria dalam siri ziarahnya ke sana. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu Islam terutama dalam bidang fiqh dan usul, hadis dan ulum hadis, tafsir, sirah dan tasawuf, terutamanya kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Hikam Syeikh Ata’illah al Sakandari.

Syeikh Hasan al Masysyat
Bermusafir

Bermusafir atas tujuan ilmu adalah menjadi satu kemestian bagi seorang ulama. Syeikh Hasan al Masysyat juga tidak terkecuali daripada itu apabila melakukan kunjungan ke beberapa negara Islam seperti Sudan, Mesir dan Syria.

Di Mesir beliau telah bertemu dengan jaguh-jaguh ulama di sana seperti Syeikh Muhammad Zahid al Kauthari, Syeikh Salamah al Qudha’i dan ramai lagi. Dalam musafirnya ke Sudan, beliau telah bertemu dengan Syeikh al Fatih Qaribullah dan Sayyid Ali al Mirghani di mana dalam pemusafiran ini, matlamatnya tidak lari daripada urusan dakwah, perbincangan ilmiah, penyampaian ilmu dan permohonan ijazah.

Sepanjang bergelar ahli ilmu, beliau telah memperoleh faedah ilmu dan ijazah daripada ramai ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah terkemuka, sama ada yang berada di Mekah dan Madinah mahupun selainnya.

Antara mereka yang telah membina personaliti ilmu dan mengijazahkannya ialah Syeikh Muhammad Ali al Sannari, Syeikh Abdullah Hamaduh, Syeikh Abdurrahman Ahmad al Dahhan, Syeikh Jamal Amir al Maliki, Sayyid Umar ibn Abu Bakr Bajunaid, Syeikh Muhammad al Syanqiti, Syeikh Khalifah al Nabhani, Syeikh Isa Rawwas, Syeikh Muhammad Ali al Maliki yang digelar Sibawaih pada zamannya lantaran kehebatannya dalam ilmu Nahu, Muhaddith al Haramain Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Sayyid ‘Aidarus ibn Salim al Bar, Sayyid ‘Alawi ibn Tahir al Haddad bekas Mufti Kerajaan Johor, Sayyid Abdul Hayy al Kattani, Syeikh Najib al Muti’i dan ramai lagi. Senarai gurunya itu boleh dirujuk di dalam kitab al Thabat al Kabir fi Masyyakhah wa Asanid wa Ijazaat al Syeikh Hasan al Masysyat al Makki.

Ketika menjadi tenaga pengajar di Mekah, beliau dan beberapa ulama di sana telah mengasaskan Jam’iyyah al Khairiyyah Li Tahfiz al Quran al Karim iaitu sebuah badan kebajikan yang menyelenggara dan menguruskan halaqah-halaqah penghafazan al-Quran di sana yang dipengerusikan oleh al Imam al Allamah Sayyid Alawi ibn Abbas al Maliki. Selepas kewafatan Sayyid Alawi pada tahun 1391 Hijrah, beliau telah dilantik pula memikul amanah menyelia dan mempengerusikan badan tersebut sehingga ke akhir hayatnya.

Setelah mencurahkan ilmu dan bakti kepada umat manusia, Syeikh Hasan al Masysyat dipanggil bertemu Allah pada 7 Syawal 1399 Hijrah bersamaan 31 Ogos 1979 dan disemadikan di Mekah al Mukarramah. Ingatan terhadapnya kekal berbaki dan jasa baktinya kekal dalam ingatan dan doa insan-insan yang mencintainya selagi mana manusia berpegang dengan al Quran dan Sunnah dalam menempuh jalan yang lurus. Semoga Allah merahmatinya dan menjadikan tempat persemadiannya sebagai salah satu dari taman-taman syurga-Nya.

KEHIDUPAN RASULULLAH SAW...baca..dan tatapi ini..

Kehidupan Nabi SAW
Capal Rasulullah SAW
Sesungguhnya Nabi amat mengetahui hakikat dunia, bahawa ia cepat hilang dan berlalu pergi. Maka baginda hidup di dunia seperti kehidupan orang-orang miskin, bukan seperti kehidupan orang-orang kaya yang hartanya melimpah ruah. Lapar di suatu hari, baginda bersabar, dan kenyang di suatu hari maka baginda bersyukur.

Rasulullah saw telah menjelaskan kepada umatnya akan bahayanya fitnah dunia dengan tenggelam dalam kesenangan dan keindahannya, Baginda saw bersabda :

"إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ, وَإِنَّ اللهَ مُسْتَخِلَفُكُمْ فِيهَا، فَنَاظِر مَا تَعْمَلُونَ, فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ, فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ" [رواه مس.

"Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau, sesungguhnya Allah mejadikan kamu sebagai khalifahnya di situ lalu Dia akan melihat apa yang kalian lakukan di dalamnya. Maka hati-hatilah kalian terhadap dunia dan hati-hatilah kalian terhadap godaan kaum wanita. kerana sesungguhnya fitnah pertama yang terjadi pada kaum bani israil adalah fitnah wanita." (HR. Muslim)

Baginda mengetahui bahawa sesungguhnya dunia adalah tempat tinggal bagi orang yang tidak punya rumah dan syurga bagi orang yang tidak punya bahagian di akhirat kelak. Baginda saw bersabda: "Ya Allah sesungguhnya tidak ada kehidupan yang hakiki- kecuali kehidupan di akhirat" (Muttafaq 'alaih) .

Oleh kerana itu baginda menjadikan semua keinginan dan cita-citanya hanya untuk akhirat dan mengosongkan hatinya dari kesibukan dunia, sehingga dunia mengejar baginda pada hal baginda saw menghindarinya. Baginda saw bersabda:

"Perumpamaanku dengan dunia adalah seperti seorang musafir yang berteduh dibawah sebuah pohon kemudian dia pergi meninggalkannya (HR. Tirmidzi dan ia berkata hadits ini hasan shahih).

'Amr bin Harits saudara lelaki Juwairiyah isteri Rasulullah saw, berkata: "Ketika Rasulullah saw. meninggal baginda tidak meninggalkan harta warisan berupa dinar dan dirham, juga tidak meninggalkan hamba sahaya baik laki-laki mahupun perempuan, Baginda hanya meninggalkan seekor keldai putih yang dulu menjadi kenderaan baginda dan sebilah senjata, serta sebidang tanah yang disedekahkan di jalan Allah" 
(HR. Buhkari).

Inilah harta peninggalan orang yang paling mulia di alam semesta ini. Semoga Allah selalu melimpahkan salawat dan salam kepada baginda yang menolak untuk menjadi raja dan rasul tapi memilih untuk menjadi hamba dan rasul. 

Diriwayakan oleh Abu Hurairah ra. bahwa dia berkata: " Jibril pernah duduk di hadapan baginda kemudian ia mendongak ke langit tiba-tiba ada seorang malaikat yang turun lalu Jibril berkata pada baginda: Ini adalah malaikat yang belum pernah turun ke dunia sejak dia diciptakan kecuali pada saat ini, ketika telah sampai dia berkata: wahai Muhammad! Aku diutus oleh Tuhan-Ku untuk memberikan pilihan untukmu; Apakah kamu ingin dijadikan sebagai seorang raja ataukah sebagai hamba dan Rasul? Maka baginda menjawab: "Bahkan aku ingin menjadi seorang hamba dan rasul" (HR. Ibnu Hibban dan disahihkan oleh Al Abani).

Begitulah kehidupan baginda yang didasarkan atas tawadhu' dan zuhud serta merasa cukup dengan yang ada. 'Aisyah ra. Berkata: " Ketika Rasulullah saw. wafat di rumah baginda saw tidak ada makanan yang boleh dimakan kecuali sedikit gandum yang aku makan dalam waktu yang cukup lama sehingga menjadi menjadi rosak" (Muttafaq alaih).

Ketika Umar bin Khatab ra. menyebutkan tentang kemegahan yang diperolehi oleh manusia, dia berkata: " Pada hari ini aku melihat Rasulullah saw. kelaparan kerana tidak mendapati kurma lama yang boleh mengisi perutnya" (HR. Muslim).

Dari ibnu Abbas ra , diriwayatkan Rasulullah saw dan keluarganya pernah beberapa malam kelaparan tidak punya sesuatu yang disantap di malam hari dan paling banyak yang mereka miliki adalah roti gandum 
(HR. Tirmizi dan ia berkat hadis ini hasan sahih).

Baginda terbiasa duduk dan tidur di atas tikar kasar, Umar bin Khatab pernah masuk ke rumah baginda dan baginda sedang duduk di atas tikar kasar, lalu aku duduk dan baginda hanya mengenakan kain sarung dan tikar tersebut memberi bekas di pinggang baginda, dan aku melihat sebungkus gandum dan kacang qardh (sejenis kacang ) yang ada di penjuru kamar baginda serta belulang yang tergantung, lalu aku menangis.

Baginda bertanya, "Wahai Ibnu Khatab kenapa engkau menangis?" aku menjawab: Wahai Nabi Allah, bagaimana saya tidak menangis sungguh tikar ini telah meningglakan bekas di tubuhmu, dan tempat penyimpanan barangmu tidak berisi kecuali sangat sedikit, sedangkan raja Rom dan Parsi bergelumang dengan khazanah harta. Padahal engkau adalah Nabi pilhan Allah, dan hanya ini yang engkau miliki!

Maka Nabi r bersabda:

يَا ابْنَ الخَطَّابِ! أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ لَنَا الْآخِرَةُ وَلَهُمُ الدُّنْيَا؟

'Wahai Ibn Khathab, apakah engkau tidak redha bahawa akhirat untuk kita dan dunia untuk mereka?'
(HR. Ibnu Majah dan dishahihkan oleh al-Mundziri).

http://manaratulhuda.blogspot.com/2010/03/kehidupan-nabi-saw.html

Kisah Juha Dan Setengah Cambukan

Suatu hari, Juha berhasil menangkap seekor ikan besar yang sangat langka. Ia pun berniat untuk mempersembahkan ikan tersebut kepada sultan d...