Jumaat, 19 Oktober 2012

SYEIKH HASAN MUHAMMAD AL MASYSYAT -Penyeri Kota Mekah

Manuskrip Syeikh Hasan al Masysyat

MANUSKRIP tulisan tangan Syeikh Hasan al Masysyat pada 1393 Hijrah iaitu lebih kurang enam tahun sebelum kewafatannya.

MASJID al Haram pada dekad-dekad yang silam tidak pernah sunyi daripada ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan jaguh ilmuan daripada mazhab yang empat. Mereka menyampaikan ilmu dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan demi berkhidmat kepada syariat Nabi Muhammad SAW. Ilmu dan keberkatan yang dititipkan akhirnya dibawa pulang oleh para guru dari Tanah Melayu untuk disebarkan kepada masyarakat Islam di rantau ini.

Di antara mereka yang menjadi nadi memakmurkan Masjid al Haram dengan ilmu, hikmah dan amal, tulus, ikhlas lagi suci hatinya ialah al ‘Alim al ‘Allamah Syeikh Hasan bin Muhammad al Masysyat al Maliki al Manafi al Qurasyi.

Dilahirkan pada 3 Syawal 1317 Hijrah bersamaan 4 Februari 1900 Masihi di Mekah al Mukarramah dengan salasilah nenek moyang sampai kepada Abdu Manaf bin Qusay bin Kilab, iaitu datuk ketiga bagi Rasulullah.

Semenjak kecil, beliau telah dihantar oleh bapanya Syeikh Muhammad al Masysyat menghafaz al Quran di pusat penghafazan al-Quran kemudian menyambung pembelajarannya di Madrasah Saulatiyyah yang masyhur di Mekah pada zaman itu. Di sana, beliau telah menghabiskan waktu dengan menghafaz segala matan-matan ilmu Islam baik yang berbentuk nazam mahupun prosa.

Setelah menamatkan pengajian awal di Madrasah Saulatiyyah, beliau dilantik sebagai tenaga pengajar di situ dan berkhidmat dalam tempoh yang agak lama.

Pada masa yang sama juga beliau memenuhkan waktunya menuntut ilmu di halaqah-halaqah ilmu di Masjid al Haram daripada para ulama yang masyhur, seperti Syeikh Muhammad Ali al Maliki, Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Sayyid Umar Bajunaid, Syeikh Muhammad Habibullah al Syanqiti dan ramai lagi.

Disebabkan kebijaksanaan dan penguasaan yang cepat terhadap ilmu-ilmu Islam, beliau telah ditauliahkan sebagai salah seorang tenaga pengajar di Masjid al Haram dan mengajar di sana sepanjang hayatnya tanpa mengambil sebarang gaji atau upah.

Kemahiran beliau dalam ilmu Islam dan kedudukannya yang tinggi juga menyebabkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Syura, Ketua Mahkamah Syariah kemudiannya sebagai Kadi di Mekah.

Keilmuan Syeikh Hasan juga mendapat pengiktirafan luar apabila beliau turut ditauliahkan sebagai tenaga pengajar di Masjid Nabawi, Masjid Sayyiduna Husain di Mesir dan Masjid Umawi di Syria dalam siri ziarahnya ke sana. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu Islam terutama dalam bidang fiqh dan usul, hadis dan ulum hadis, tafsir, sirah dan tasawuf, terutamanya kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Hikam Syeikh Ata’illah al Sakandari.

Syeikh Hasan al Masysyat
Bermusafir

Bermusafir atas tujuan ilmu adalah menjadi satu kemestian bagi seorang ulama. Syeikh Hasan al Masysyat juga tidak terkecuali daripada itu apabila melakukan kunjungan ke beberapa negara Islam seperti Sudan, Mesir dan Syria.

Di Mesir beliau telah bertemu dengan jaguh-jaguh ulama di sana seperti Syeikh Muhammad Zahid al Kauthari, Syeikh Salamah al Qudha’i dan ramai lagi. Dalam musafirnya ke Sudan, beliau telah bertemu dengan Syeikh al Fatih Qaribullah dan Sayyid Ali al Mirghani di mana dalam pemusafiran ini, matlamatnya tidak lari daripada urusan dakwah, perbincangan ilmiah, penyampaian ilmu dan permohonan ijazah.

Sepanjang bergelar ahli ilmu, beliau telah memperoleh faedah ilmu dan ijazah daripada ramai ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah terkemuka, sama ada yang berada di Mekah dan Madinah mahupun selainnya.

Antara mereka yang telah membina personaliti ilmu dan mengijazahkannya ialah Syeikh Muhammad Ali al Sannari, Syeikh Abdullah Hamaduh, Syeikh Abdurrahman Ahmad al Dahhan, Syeikh Jamal Amir al Maliki, Sayyid Umar ibn Abu Bakr Bajunaid, Syeikh Muhammad al Syanqiti, Syeikh Khalifah al Nabhani, Syeikh Isa Rawwas, Syeikh Muhammad Ali al Maliki yang digelar Sibawaih pada zamannya lantaran kehebatannya dalam ilmu Nahu, Muhaddith al Haramain Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Sayyid ‘Aidarus ibn Salim al Bar, Sayyid ‘Alawi ibn Tahir al Haddad bekas Mufti Kerajaan Johor, Sayyid Abdul Hayy al Kattani, Syeikh Najib al Muti’i dan ramai lagi. Senarai gurunya itu boleh dirujuk di dalam kitab al Thabat al Kabir fi Masyyakhah wa Asanid wa Ijazaat al Syeikh Hasan al Masysyat al Makki.

Ketika menjadi tenaga pengajar di Mekah, beliau dan beberapa ulama di sana telah mengasaskan Jam’iyyah al Khairiyyah Li Tahfiz al Quran al Karim iaitu sebuah badan kebajikan yang menyelenggara dan menguruskan halaqah-halaqah penghafazan al-Quran di sana yang dipengerusikan oleh al Imam al Allamah Sayyid Alawi ibn Abbas al Maliki. Selepas kewafatan Sayyid Alawi pada tahun 1391 Hijrah, beliau telah dilantik pula memikul amanah menyelia dan mempengerusikan badan tersebut sehingga ke akhir hayatnya.

Setelah mencurahkan ilmu dan bakti kepada umat manusia, Syeikh Hasan al Masysyat dipanggil bertemu Allah pada 7 Syawal 1399 Hijrah bersamaan 31 Ogos 1979 dan disemadikan di Mekah al Mukarramah. Ingatan terhadapnya kekal berbaki dan jasa baktinya kekal dalam ingatan dan doa insan-insan yang mencintainya selagi mana manusia berpegang dengan al Quran dan Sunnah dalam menempuh jalan yang lurus. Semoga Allah merahmatinya dan menjadikan tempat persemadiannya sebagai salah satu dari taman-taman syurga-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...