Gambar hiasan |
Kisah Zun
NUn AL Misri (Sahabat Allah)
Zun Nun Al-Misri mendengar bahawa
ada seorang yang sangat alim dan zuhud, maka pergilah dia ke sana untuk
belajar. Sesampainya di sana dia menjumpai seorang lelaki menggantungkan
dirinya pada sebatang pokok dengan kepala ke bawah.
Orang itu berkata: “Wahai diri!
Tolonglah aku dalam mentaati Allah. Kalau tidak nescaya aku akan hukum engkau
dalam keadaan seperti ini sampai engkau mati kelaparan.”
Zun Nun mendekati orang itu lalu
memberi salam dan dia menjawab.
“Apa yang telah terjadi dengan
engkau ini?” tanya Zun Nun.
“Tubuhku ini telah menghalangi
aku untuk berseronok dengan Allah, kerana ingin bersuka-suka dengan manusia.”
Jawab orang itu.
Dengan jawapan itu, Zun Nun
menyangka bahawa orang itu telah menumpahkan darah sesama Muslim atau telah
berbuat dosa besar lainnya.
“Apa yang telah engkau lakukan?”
Tanya Zun Nun.
“Tahukah engkau bahawa jika
seseorang itu bercampur baur dengan orang lain, banyak perkara yang boleh
berlaku?”
“Kalau begitu, engkau ini
betul-betul orang warak dan alim,” kata Zun Nun.
“Mahukah aku tunjukkan kamu orang
yang lebih alim dariku?” kata orang itu.
“Boleh juga,” kata Zun Nun.
“Nah, sekarang pergilah engkau
agak ke atas bukit ini. Insya Allah, engkau akan berjumpa dengan wali Allah
yang saya maksudkan itu,” kata lelaki itu.
Maka segeralah Zun Nun mendaki
agak sedikit ke atas lagi sehingga akhirnya ia berjumpa dengan satu tempat
pertapaan yang di dalamnya ada seorang pemuda sedang duduk bersila, sementara
di hadapan pintu pertapaan itu ada sebelah kaki yang terpotong membusuk dan
dimakan ulat. Zun Nun sangat ngeri dan tidak faham apa yang dilihatnya itu.
Maka diapun bertanya kepada pemuda tersebut apa ertinya semuanya itu.
Pemuda itu menerangkan bahawa
pada suatu hari dia sedang duduk di dalam beribadahnya, tiba-tiba ada seorang
perempuan yang melintas di luar. Apabila dia terpandang kepadanya, timbul
keinginannya kepada wanita cantik itu dan cuba untuk mengejarnya dari belakang.
Akan tetapi, baru saja dia
melangkahkan sebelah kakinya ke luar dari tempatnya, tiba-tiba dia mendengar
suara: “Wahai manusia, apakah engkau tidak merasa malu? Setelah tiga puluh
tahun engkau menghadapkan hati kepada Tuhan, tiba-tiba sekarang engkau telah
mahu ditipu oleh syaitan dan akan mengejar perempuan jahat itu.”
Disebabkan kerana kesalahannya
itulah, pemuda itu telah memotong sebelah kakinya yang telah terlanjur keluar
dari tempat ibadahnya.
“Jadi aku ini sebenarnya orang
berdosa,” kata lelaki itu. “Maka dari itu engkau tidak patut menemuiku yang
sedang dalam penantian keputusan ini. Jika engkau ingin menjumpai seorang yang
betul-betul wali, pergilah engkau ke puncak bukit ini.”
Sayang puncak bukit tersebut
terlalu tinggi dan sukar untuk didaki sehingga Zun Nun tidak sanggup
mencapainya. Sebaliknya dia hanya mendengarkan saja cerita si pertapa dari
orang-orang yang mengetahuinya.
Katanya ada seorang lelaki yang
telah bertahun-tahun mengabdikan dirinya kepada Allah. Dia telah bersumpah
untuk tidak makan selain dari usahanya sendiri dan tidak akan makan makanan
yang telah diproses.
Dengan izin Allah, sekumpulan
lebah telah membuat sarang di dekat tempat ibadahnya, dengan madu lebah itulah
wali tersebut mengalas perutnya.
Lebah-lebah itu datang kepadanya
menggugurkan madunya untuk dia itulah yang dimakannya dan menghilangkan lapar
dan dahaga."
Dzu'n-Nun sungguh terpesona
mendengar cerita ganjil itu. Semasa beliau turun bukit tersebut, Dzu'n-Nun melihat
seekor burung buta bertenggek atas dahan pokok. Terlintas di hatinya hendak
tahu bagaimana burung itu dapat makan.
Tiba-tiba burung itu terbang
turun ke tanah dan mematuk tanah itu dengan muncungnya. Setelah tanah itu digalinya
maka di situ dilihatnya ada jagung dan besin emas mengandungi air. Itulah yang
dimakan burung itu.
Kemudian tanah itu balik seperti biasa
semula. Burung itupun terbang balik ke atas pokok itu.
Selepas peristiwa itu, Dzu'n-Nun
pun bertambah yakin bahawa siapa yang mengenang Allah, dia akan diberikan Allah
rezeki dan di pelihara oleh Allah, dan dia tidak akan berlindung daripada yang
lain selain Allah.
Semenjak itu Dzu'n-Nun tidak
menghiraukan lagi hal-hal keduniaan, dan seterusnya menyebut nama Allah
sentiasa dan menjalankan amalan-amalan keruhanian.
Dipetik
Dari Buku: 2002 Keinsafan - Kisah-kisah Insan Bertaubat (Siri 2)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan