Rabu, 17 Oktober 2012

Allah Kasih SayangMu



RAHMAH : KASIH SAYANG ALLAH KEPADA HAMBANYA
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :

بينا رجل يمشي فى الطريق اشتدّ عليه العطش فوجد بئرا فنزل بها فشرب ثمّ خرج فإذا كلب يلهث فهو يأكل الثرى من العطش. فقال الرجل : لقد بلغ هذا الكلب من العطش مثل الذى كان بلغ منّى فنزل البئر فملأ خفّه ماءً ثمّ أمسكه بفيه حتى رقي فسقى الكلب، فشكر الله تعالى له فغفر له. قالوا يا رسول الله، إنّ لنا فى البهائم لأجراً ؟ قال : فى كل ذات كبد رطبة أجرٌ..

Ertinya : Suatu ketika, seorang lelaki yang dalam keadaan yang sangat haus, bertemu dengan sebuah telaga lalu turun ke dalamnya dan meminum airnya. Apabila lelaki itu keluar dari telaga, dilihatnya seekor anjing sedang menjilat-jilat tanah di sekeliling telaga kerana terlalu dahaga. Berkata lelaki itu : "Anjing ini sedang kehausan sama seperti aku tadi." Lelaki itu pun kembali turun ke dalam telaga, memasukkan air ke dalam kasutnya, menggigitnya dengan giginya lalu dibawa air itu naik dan diberikan kepada anjing tadi. ALlah SWT memuji kebaikan lelaki tersebut lalu mengampuni dosa-dosanya. Sahabat bertanya : "Wahai RasuluLLah, apakah berbuat baik pada binatang pun ada ganjarannya?" Jawab Nabi SAW : "Setiap kebaikan yang kamu lakukan kepada makhluk ALlah yang bernyawa ada ganjarannya"

Salah satu daripada nama ALlah yang mulia ialah RAHIM. Rahim bererti ‘Allah yang Maha Penyayang’. Orang yang mengamalkan sifat penyayang/kasih terhadap sesama makhluk ALlah pasti akan disayangi oleh ALlah yang bersifat Ar-Rahim.

Demikianlah juga dengan mereka yang mengaku dirinya sebagai hamba ALlah. Selagi tidak ada perasaan kasih sayang di dalam hati mereka, selagi itulah mereka belum lagi layak untuk memakai gelaran tersebut.

Orang mukmin hidupnya saling berkasih-sayang antara satu sama lain. ALlah SWT dan nabinya SAW memerintahkan kita supaya sentiasa mengamalkan hidup berkasih sayang, tidak kira sama ada sesama mukmin mahu pun dengan orang-orang kafir (lebih-lebih lagi orang kafir yang ada harapan untuk memeluk Islam)

Sabda Nabi SAW : “Sayangilah/Kasihilah sekalian makhluk ALlah di muka bumi ini, nescaya kamu akan disayangi oleh makhlukNya yang berada di langit (para malaikat)”.

Dan sabdanya lagi SAW : “Tidak akan dapat masuk syurga kecuali orang yang berperasan belas kasih sayang..”

Lagi sabdanya : “Barangsiapa yang tidak mengasihi (makhluk ALlah), dia tidak akan dikasihi (oleh ALlah)”.

Qatadah berkata : Di dalam injil ada tertulis :

يا إبن آدم، كما ترحم فكذلك تُرحم، وكيف ترجو أن يرحمك الله وأنت لا ترحم عباده..

Ertinya : Wahai anak Adam, sebagaimana engkau mengasihi orang lain, demikianlah engkau dikasihi. Maka bagaimana engkau mengharapkan kasih sayang ALlah sedangkan engkau tidak pernah mengasihi hamba-hambaNya?

Diriwayatkan daripada Abu Ubaidah bahawa Abdullah berkata : “Jika kamu melihat saudaramu terkena hukum kerana dosanya, maka janganlah kamu kutuk, dan janganlah kamu membantu syaitan untuk membinasakan saudaramu itu, sebaliknya berdoalah :

اللهمّ ارحمه، اللهمّ تب عليه ..

Ertinya : Ya ALlah, kasihanilah dia, ya ALlah, terimalah taubatnya..”

Saidina Umar Al-Khattab, walaupun terkenal dengan sifat keras, ganas dan bengis, tetapi jauh di sudut hatinya, beliau sangat mengasihi orang-orang yang berada di sekelilingnya.

Di antara bukti kasih sayang seseorang mukmin terhadap sesama saudaranya, ialah dengan banyak memberikan nasihat-nasihat yang baik agar dia menjadi orang yang baik dan disukai oleh orang ramai. Dalam hal ini, ianya termasuklah kewajipan menjalankan konsep amar makruf dan nahi mungkar di kalangan sesama sendiri.

Nabi SAW pernah bersabda : “Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran berlaku di hadapannya, maka wajiblah dia mengubahnya dengan tangannya..

Lagi sabda Nabi SAW : “Bantulah saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi. Sahabat bertanya : Wahai RasuluLlah, kami tidak ada masalah untuk membantu saudara kami yang dizalimi, tetapi bagaimana caranya kami dikehendaki membantu saudara kami yang zalim? Jawab Nabi : Hendaklah kamu berusaha menghalang dia daripada melakukan kezaliman”

Orang-orang mukmin juga wajib memelihara maruah saudaranya yang seagama. Haram sama sekali kita mendedahkan keburukan atau aib saudara sendiri sama ada ianya masih hidup mahu pun telah meninggal dunia.

RasuluLlah SAW bersabda :

من ستر أخاه مسلما فى الدنيا، ستره الله فى الدنيا والآخرة، ومن نفّس عن أخيه كربة من كرب الدنيا، نفّس الله عنه كربته يوم القيامة . والله فى عون العبد ما دام العبد فى عون أخيه المسلم.

UST HAJI KAMAL BIN ISMAIL 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KALAM ULAMA - HABIB ALI ALHABSYI

Part 1 1. Ibu saya membiasakan saya dari kecil untuk berdoa sebelum tidur , " ya Allah... ampunilah kesalahan orang-orang yang hari ini...