Jumaat, 5 Oktober 2012

TUNTUTAN SEIMBANG AMALAN DUNIA AKHIRAT

Gambar hiasan

Tuntutan seimbang amalan dunia, akhirat

Mohd Shukri Hanapi

Dalam al-Quran ada beberapa ayat yang mengingatkan manusia supaya menyeimbangkan antara amalan bagi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas ayat 77).

Menurut al-Tabariy dalam tafsirnya Jami‘ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, ayat ini menggesa umat manusia supaya menggunakan harta dan nikmat dikurniakan Allah SWT di dunia untuk kebahagiaan di akhirat.

Dengan kata lain, menggunakan harta kekayaan untuk mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebenarnya cara ini dapat menghasilkan pahala di dunia untuk dihisab dan diadili di akhirat.

Meskipun begitu, segala habuan dan keperluan kehidupan dunia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, perkahwinan tidak boleh ditinggalkan.

Seseorang manusia perlu menunaikan hak Allah SWT, hak diri sendiri, hak ahli keluarga dan hak sesama manusia ketika hidup di dunia.

Selagi semua perkara yang dilakukan di dunia ini masih menepati syariat Islam, ia termasuk dalam melakukan amalan untuk mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Tafsiran al-Tabariy sebelum ini diperkuatkan lagi tafsiran al-Qurtubiy di dalam tafsirnya al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an yang mengatakan manusia hendaklah menggunakan segala harta kekayaan di dunia untuk mendapatkan habuan syurga di akhirat kelak.

Menjadi hak seseorang Mukmin itu memanfaatkan harta kekayaan dunia untuk kebahagiaan akhirat. Penggunaan harta dunia bagi tujuan membesar-besarkan diri dan menindas orang lain adalah sesuatu yang menyimpang daripada perintah Allah SWT.

Untuk menguatkan tafsirannya ini, al-Qurtubiy memetik pandangan Ibn Abbas ra (pandangan jumhur ulama) yang melarang seseorang itu menghabiskan usia dengan tidak mengerjakan sebarang amal soleh di dunia kerana ia sangat diperlukan di akhirat kelak.

Nasib manusia ketika itu bergantung pada amalan kebajikan yang dilakukan ketika hidup di dunia ini.

Sebenarnya tafsiran al-Qurtubiy ini terungkap dalam kata Ibn Umar ra yang bermaksud: “Berusahalah untuk kebahagiaan dunia seakan-akan kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk kebahagiaan akhirat seakan-akan kamu akan mati keesokan hari.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...