Rabu, 3 Oktober 2012

PERBUATAN MUDHARAT DIRI WAJAR DIJAUHI

Gambar hiasan
by epondok

Islam menolak sebarang perbuatan mendatangkan mudarat termasuk merokok yang boleh membahayakan perokok serta orang lain. Maka, merokok telah disepakati oleh ulama sebagai perbuatan haram di sisi agama.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia mencatatkan kira-kira 10,000 kematian setahun akibat pelbagai serangan penyakit berkaitan amalan merokok. Fakta itu jelas membuktikan merokok membahayakan kesihatan.
 Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan seperti firman Allah SWT: Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk. (Surah an-Nisa, ayat 2)

Justeru, tidak ada alasan untuk mengharuskan perbuatan merokok. Dakwaan merokok untuk mencari ketenangan dan pencetus perasaan positif tidak boleh dijadikan alasan menghalalkan merokok. Banyak amalan lain boleh dilakukan untuk mencari ketenangan. Firman Allah SWT: Dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang buruk-buruk. (Surah al-Aaraf, ayat 157)

Kesan ketagih rokok samalah dengan kesan ketagih dadah, bezanya hanya dari segi tahapnya. Nikotin dalam rokok menyebabkan ketagih seperti dadah.

Islam tidak membenarkan sebarang perbuatan mendatangkan keburukan kerana ingin mendapat sedikit kebaikan. Jika perkara mendatangkan sedikit kebaikan, sedangkan kesan buruknya lebih besar, dibenarkan dilakukan, sudah tentu arak juga akan dibenarkan. Firman Allah SWT: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya. (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Jika Allah SWT membenarkan manusia melakukan sesuka hati, sudah pasti kehidupan manusia menuju kehancuran. Nafsu mudah tertarik kenikmatan sementara tanpa memikirkan kesan jangkamasa panjang.
 Rasulullah SAW menjelaskan bahawa dalam kalangan umatnya ada yang akan menyalahgunakan sesuatu yang memabukkan dengan menukar nama atau istilah untuk menghalalkan penggunaan benda-benda itu.

Rasulullah SAW bersabda: Setiap sesuatu yang memabukkan maka bahan itu adalah haram. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Asas hukum ini menjadi pegangan kepada ulama usul fikah yang menghukum perbuatan merokok sebagai haram. Perkara utama dikaji dan dinilai ialah kesan buruk akibat merokok yang membahayakan kesihatan dan menimbulkan masalah sosial.

Rokok adalah racun yang telah membunuh berjuta-juta manusia setiap tahun di seluruh dunia. Racun yang dihisap sedikit demi sedikit memberi kesan buruk setelah jumlahnya bertambah banyak hingga mengganggu sistem fungsi organ badan.

Mengapakah manusia perlu mencari sumber mendatangkan keburukan sedangkan Allah SWT telah menyediakan banyak pilihan yang baik-baik. Allah SWT mengharamkan setiap perkara mendatangkan keburukan dan melimpahkan rahmat-Nya untuk manusia menikmati dari sumber yang baik.

Sumber : http://us.mg2.mail.yahoo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...