Khamis, 4 Oktober 2012

RAHMAT BERDEPAN CABARAN KERJA

Gambar hiasan
Rahmat berdepan cabaran kerja

Posted by epondok 
Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Ujian beri kita peluang meraih kemuliaan, kecemerlangan

Cabaran adalah hakikat dan lumrah kehidupan. Bagi kehidupan umat Islam destinasi terakhirnya adalah hari akhirat dan keredaan Allah SWT. Begitulah juga dengan hakikat ‘pelayaran kerja’ yang membawa kepada ‘destinasi matlamat’ ditetapkan oleh organisasi atau diri sendiri.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.” (Surah al-Balad, ayat 4)

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Maksudnya, kesusahan dunia dan akhirat. Secara mudahnya, kehidupan adalah ibarat pelayaran yang menuju ke suatu destinasi. Justeru, dalam pelayaran ini sudah tentu ada kalanya ditiup malah dilanda oleh badai, ombak, angin, ribut dan taufan.

Cabaran dalam kerja

Begitulah juga cabaran dalam bekerja. Seseorang pekerja itu pasti berdepan masalah dan kesukaran sama ada daripada manusia seperti pihak atasan, rakan sejawat, masyarakat sebagai pelanggan, pengguna atau kerana kelemahan dirinya sendiri.

Ataupun masalah yang disebabkan faktor peralatan, kemudahan teknikal dan kewangan sehingga ada yang menghadapi cabaran diberhentikan kerja atau diberi tawaran penamatan perkhidmatan.
Walaupun cabaran dalam ‘pelayaran kerja’ adalah lumrah, namun, dalam Islam ia mengandungi sejuta rahmat yang boleh memuliakan dan memperkasakan manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Banyak pengajaran dan pelajaran yang boleh diperoleh sepanjang ‘pelayaran kerja’. Cabarannya mengundang lima bentuk rahmat. Pertama, kejayaan melatih dan mengasah kesabaran serta kecekalan.

Tugas ikut kemampuan

Menurut al-Maraghi dalam tafsirnya, kesabaran ada pendidikan watak iaitu watak menanggung kepayahan tanpa putus asa dan berkeluh-kesah sehingga hati menjadi teguh, jiwa menjadi kuat. Allah memberi cabaran, dugaan dan tanggungjawab sesuai dengan laras kemampuan manusia.

Firman-Nya bemaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Kedua, mendekatkan diri dengan Allah SWT. Menurut al-Maraghi, kerana sedikit cabaran atau ujian, manusia akan mengingati, mensyukuri nikmat yang ada padanya dan memohon keampunan atas kelalaian diri.

Raih balasan lebih baik

Ketiga, meraih pahala dan balasan kejayaan yang lebih baik, hasil daripada kekuatan jiwa, pengalaman dan kemahiran dalam mengharungi kesukaran.

Daripada Ummu Salamah, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorangpun hamba yang ditimpa bencana, lalu dia berkata: Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun (sesungguhnya kami adalah milik Allah SWT dan sesungguhnya kepada-Nyalah kami kembali) Wahai Tuhan kami, berilah pahala kepadaku dengan musibah padaku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripada ini kepadaku. Melainkan Allah memberi pahala dalam musibah itu dan memberi ganti kepadanya dengan sesuatu yang lebih baik daripada itu.” (Riwayat Muslim)

Keempat, meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan kelima, memperoleh pahala, pujian, keampunan Allah serta mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Justeru, marilah kita membina kekuatan untuk menghadapi cabaran kerja termasuklah menggunakan ‘strategi kerja’ seperti meletakkan standard prestasi dengan sasaran betul dan pelan yang realistik untuk dicapai.

Allah mendatangkan cabaran sebagai ujian untuk memberi kita peluang meraih kemuliaan dan kecemerlangan, bukan berserah pada kelemahan atau kegagalan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT mencela kelemahan. Sebaliknya kamu harus terus berusaha. Apabila kamu ditimpa dengan sesuatu yang tidak kamu sukai, maka ucapkanlah “Cukuplah Allah bagiku dan Dia adalah sebaik-baik penolong.” (Riwayat Abu Daud)

Apabila kekuatan menghadapi cabaran dalam ‘pelayaran kerja’ ini dapat kita depani dengan watak, perspektif dan strategi yang betul, jika diizinkan Allah, rezeki dan organisasi kita akan terjaga.

http://www.blogger.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...