Khamis, 11 Oktober 2012

GANJARAN JIHAD TAATI SUAMI

Gambar hiasan

Wasiat Baginda Rasulullah SAW kepada puterinya Saidatina Fatimah az-Zahra’ berkaitan peranan dan ganjaran bagi seorang isteri yang solehah. Wasiat Baginda bukan khusus kepada puterinya saja bahkan ditujukan kepada semua wanita yang bergelar isteri.

Kata Baginda: “Ya Fatimah, tidaklah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang serta ikhlas, melainkan Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebaikan. Allah memberikan kepadanya pahala 100 kali beribadah haji dan umrah.”

Alangkah besarnya pahala yang disediakan oleh Allah SWT kepada isteri yang mengamalkan apa yang disarankan Rasulullah SAW sehingga Allah SWT mengurniakan pahala 100 kali menunaikan haji dan umrah.

Justeru, semua Muslimah sepatutnya berlumba-lumba mengejar tawaran pahala yang disediakan ini. Natijahnya akan terbentuklah sebuah rumah tangga yang aman sejahtera serta dilimpahi mawaddah dan rahmat daripada Allah SWT.

Seorang sahabat wanita bernama Zainab telah menemui Baginda Nabi SAW lalu berkata: “Aku telah diutuskan oleh kaum wanita kepada Engkau Ya Rasulullah. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka mati pula, mereka akan hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Bagi kami kaum perempuan yang sering membantu mereka, apakah pula balasan kepada kami? Sabda Rasulullah SAW: Sampaikan kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya.” (Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani)

Kewajipan isteri melayani suaminya yang sah meliputi semua keperluan selagi tidak menyalahi hukum syarak. Baginda Rasulullah SAW mengajar isteri tindakan yang perlu dilakukan apabila si suami mahukan layanan termasuk dalam hubungan kelamin.

Panduan diberikan Baginda membuktikan Islam berusaha menutup pintu kejahatan dan mengutamakan naluri fitrah manusia, pada masa sama mengutamakan kebahagiaan rumah tangga. Apabila rumah tangga yang dibina bahagia, akan menangislah syaitan.

Sabda Baginda SAW: “Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk melakukan hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan melaknatnya hingga waktu pagi.” (Riwayat Bukhari)

Sabda baginda SAW lagi: “Jika seorang suami memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti.” (Riwayat ath-Thabrani)

Isteri perlu bersabar dengan kerenah suami, patuhilah dan taatilah segala permintaan suami selagi dia tidak menyuruh kepada kemungkaran. Suami perlu mempertimbangkan aspek kemanusiaan dalam mengeluarkan arahan kepada isteri.

Dikisahkan seorang sahabat wanita yang memiliki nilai kesabaran tinggi iaitu Ummu Sulaim. Menurut hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik, hasil perkahwinan Ummu Sulaim dengan Abu Talhah, beliau di kurniakan seorang anak bernama Abu Umair.

Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita kematian anakku ini kepada suamiku.”

Sekembalinya Abu Talhah dari bermusafir, beliau bertanyakan khabar anaknya itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab: Anak kita berada dalam keadaan aman. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim: Wahai suamiku, andai kata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian tuan empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya? Jawab suaminya: Tidak. Kemudian Ummu Sulaim berkata: Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali.”

Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia reda dengan takdir Allah. Subuh keesokannya, Abu Talhah pergi menemui Rasulullah SAW dan menceritakan peristiwa yang berlaku itu.

Kemudian Rasulullah SAW berdoa semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik. Tidak lama selepas itu, Ummu Sulaim telah dikurniakan 10 orang anak yang mana kesemuanya di kalangan ulama yang terpilih.

Lihatlah betapa tabahnya hati seorang ibu menghadapi detik kematian anaknya yang dicintai dan betapa bijaknya Ummu Sulaim menyampaikan berita duka itu kepada suami tercinta. Hebatnya nilai kesabaran isteri berdepan dengan situasi yang sedih dan getir.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mencontohi watak Abu Talhah dan meneladani watak Ummu Sulaim dalam melayari kehidupan rumah tangga pada zaman yang penuh pancaroba ini.

Firman Allah SWT: “…perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (Surah an-Nisa’, ayat 34)

SUMBER: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ganjaranjihadtaatsuami/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...