Isnin, 15 Oktober 2012

MAJLIS AKAD NIKAH DI MASJID : Berwaspada Bagi Orang Yang Tidak Suci



MAJLIS AKAD NIKAH DI MASJID : Berwaspada Bagi Orang Yang Tidak Suci
Oleh : Mufti Brunei

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Masjid merupakan tempat di mana orang-orang Islam mengerjakan ibadat seperti mengerjakan sembahyang, beri‘tikâf, membaca AlQur’an, mengaji ilmu dan sebagainya. Di samping itu masjid juga merupakan syiar agama Islam dan merupakan semulia-mulia tempat di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala di muka bumi ini. Abu
Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “(Tempat-tempat) setiap negeri yang paling disukai Allah ialah masjid-masjidnya.
(Hadits riwayat Muslim)

Antara perkara yang sunat dilakukan di masjid ialah mengadakan majlis akad nikah. Sabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa dia berkata, Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Kamu umumkanlah pernikahan ini, dan buatlah (di mana-mana) masjid, serta pukullah rebana-rebana (tanda meraikannya).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Namun dalam kita mengikut sunnah ini kita perlu berhati-hati, kerana mengadakan majlis akad nikah di masjid ini tidaklah sama dengan mengadakannya di rumah sendiri atau di mana-mana tempat lain, memandangkan masjid mempunyai hukum dan adabnya yang tersendiri. Oleh sebab masjid mempunyai hukum dan adabnya yang tersendiri maka bukan sahaja orang yang hendak bernikah malahan juga orang ramai yang dijemput hadir perlu menjaga akan hukum dan adab yang berhubungkait dengan masjid
supaya terselamat dari melakukan sesuatu yang ditegah atau tidak diingini oleh syara‘.

Salah satu isu yang perlu diberi perhatian dalam hal ini ialah mengenai hukum yang berkaitan dengan masuk ke dalam masjid terutama bagi orang yang berhadas besar. Bagi orang yang dalam keadaan suci dan bersih tidaklah menjadi masalah masuk ke dalam masjid. Tetapi bagi orang yang dalam keadaan berhadas besar, sama ada orang yang dalam keadaan junub atau perempuan yang sedang haidh atau nifas mempunyai hukum tertentu yang perlu diketahui. Apa yang dikhuatiri berlaku ialah jika hukum mengenai orang berhadas besar masuk ke masjid ini tidak diketahui oleh orang-orang yang menghadiri majlis akad nikah di dalam masjid, maka bukan pula pahala diperolehi bahkan mendapat dosa kerana melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum syara‘.

Orang-Orang Yang Dilarang Masuk Ke Masjid

Terdapat beberapa golongan tertentu yang dilarang menurut hukum syara‘ daripada memasuki masjid. Mereka ialah:

• Orang yang dalam keadaan junub

Orang yang dalam keadaan junub haram berhenti atau duduk diam dalam masjid tanpa keuzuran. Perkara ini disebutkan dalam alQur’an dalam surah an-Nisa’ ayat 43:

Tafsirnya: “Janganlah kamu menghampiri (mengerjakan) sembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingggalah kamu (sedar dan) mengetahui apa yang kamu katakan. Dan (janganlah kamu masuk ke dalam masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar), kecuali sekadar melintas sahaja.”
(Surah an-Nisa’: ayat 43)

Tetapi tidak haram dan tidak makruh baginya melintas di dalam masjid jika ada tujuan seperti lalu di masjid untuk mengambil jalan dekat. Namun jika tidak ada sebarang tujuan maka hukumnya adalah makruh. •

Perempuan haidh dan nifas

Perempuan yang sedang dalam haidh dan nifas adalah haram berhenti dalam masjid. Walau bagaimanapun perbuatan masuk masjid tanpa berhenti di dalamnya tidaklah diharamkan. Bahkan memasuki masjid dengan hanya sekadar melintas dari satu pintu ke pintu yang lain adalah diharuskan jika mempunyai tujuan atau
sebab tertentu seperti melintas dalam masjid itu merupakan jalan pintas bagi seseorang itu menuju ke tempat tujuannya. Namun jika tidak mempunyai tujuan, bahkan hanya sekadar untuk melintas semata-mata, maka perbuatannya itu adalah makruh. Manakala jika takut akan mengotori atau mencemarkan kebersihan
masjid tersebut, maka melintas di dalamnya adalah haram. ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi perempuan haidh mahupun juga orang yang berjunub.” (Hadis riwayat Abu Daud)

• Orang-orang yang terdapat padanya najis dan dikhuatiri akan mengotori masjid

Larangan masuk ke masjid ini tidaklah dikhususkan ke atas orang yang sedang mengalami hadas besar sahaja seperti orang yang berjunub, perempuan haidh dan nifas sahaja, tetapi merangkumi sesiapa saja yang membawa najis dan dikhuatiri boleh mengotori kebersihan masjid, seperti orang yang mengalami salasul baul
(iaitu masalah air kencing selalu keluar) tidak kira sama ada lelaki atau perempuan dan perempuan yang mengalami istihadhah.

Majlis Akad Nikah Dalam Masjid

Apabila menyentuh mengenai melangsungkan akad nikah di dalam masjid, sebaiknya imam masjid berkenaan hendaklah peka mengenai perkara ini dengan menulis notis peringatan seperti di pintu masjid, dan notis itu tidaklah khusus kepada bakal pengantin malah kepada semua tetamu yang akan menghadiri majlis akad
nikah itu nanti termasuklah ahli keluarga pengantin dengan menyatakan dalam notis itu orang yang dalam keadaan berhadas besar tidak boleh atau haram masuk ke masjid, misalnya perempuan yang ‘datang bulan’ dan seumpamanya.

Bakal pengantin perempuan juga hendaklah berterus terang akan keadaannya jika ‘datang bulan’ supaya pihak keluarga pengantin boleh mencari alternatif lain dengan membuat persiapan tertentu supaya majlis akad nikah itu diteruskan juga dalam masjid tanpa kehadiran bakal pengantin perempuan, kerana ibadah sunnah untuk bernikah dalam masjid masih tercapai tanpa kehadiran pengantin perempuan.

Kepekaan akan perkara sebegini boleh mengelak bakal pengantin perempuan dari melakukan perkara yang bertentangan dengan syara‘ kerana dikhuatiri ada di kalangan ahli keluarga mahupun tetamu yang hadir itu nanti tidak mengetahui akan hukum masuk ke masjid ini.

Selain daripada menjaga batas-batas hukum masuk ke masjid yang telah digariskan oleh syara‘, kita juga dituntut menjaga adab-adab berada di masjid. Antara adab itu ialah seperti sembahyang tahiyyat al-masjid, berniat ‘itikaf ketika dalam masjid, dan membaca doa ketika masuk masjid dan begitu juga doa ketika
keluar masjid, tidak bercakap tentang perkara-perkara dunia yang tidak berfaedah dan tidak membuat bising sehingga menimbulkan ketidak selesaan ke atas orang lain.

Maka sebagai kesimpulan, bahawa jika membuat apapun jua majlis dalam masjid bukan sahaja majlis pernikahan, maka semua orang hendaklah menjaga kemuliaan dan kesucian masjid itu dengan menjaga hukum dan adab-adab ketika berada dalam masjid. Ini sesuai dengan kemuliaan masjid itu sebagai tempat beribadat seperti mengerjakan sembahyang, beri‘tikâf, membaca Al-Qur’an, mengaji ilmu dan sebagainya.

http://pondokhabib.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...