Jumaat, 26 Oktober 2012

IBADAH KORBAN TANDA TAAT , TAKWA


Ibadah korban tanda taat, takwa
Zabidi Hitam
Gambar hiasan

Sembelihan terhadap binatang kena ikut kaedah syarak ditetapkan

Pada setiap 10 Zulhijjah, umat Islam akan menyambut kedatangan hari kebesaran Islam Aidiladha atau hari raya korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya dan menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing untuk dikorbankan.
Penyembelihan korban dilakukan selepas selesai solat Aidiladha dan masih dapat dilakukan pada hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beramal seseorang anak Adam pada Aidiladha melainkan menyembelih binatang korban yang menjadi amalan disukai oleh Allah. Sesungguhnya pada hari kiamat nanti binatang korban itu akan datang bersama tanduknya, kukunya dan bulunya dan sesungguhnya darah yang tumpah di suatu tempat akan diterima oleh Allah sebelum tumpah di atas tanah, maka perelokanlah korban kamu.” (Riwayat al-Hakim, Ibn Majah dan al-Tarmizi)

Ibadah korban dibahagikan kepada dua iaitu korban khusus membabitkan penyembelihan binatang tertentu pada Aidiladha dan tiga hari selepasnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, manakala korban umum ialah pengorbanan yang memberi manfaat serta kebaikan kepada orang lain.

Amalan Nabi dan Rasul

Korban disyariatkan oleh Allah SWT bukanlah amalan sia-sia melainkan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Harta benda membabitkan wang ringgit dan binatang ternakan yang dikorbankan tetap dinilai oleh Allah dan diganti dengan ganjaran pahala.

Sesungguhnya, ibadat korban menjadi amalan sebahagian nabi dan rasul yang bermula pada zaman Nabi Allah Adam apabila kedua-dua puteranya Habil dan Qabil mempersembahkan korban masing-masing kepada Allah.
Kedua-duanya diperintah Nabi Allah Adam melakukan korban kepada Allah sebagai syarat memperisterikan saudara perempuan mereka bernama Iqlimiah yang juga saudara kembar Qabil yang cantik sedangkan saudara kembar Habil bernama Layuza tidaklah sejelita Iqlimiah.

Kedua-duanya akur dengan kehendak Nabi Allah Adam dan melakukan korban seperti yang diminta. Habil mengorbankan seekor kibas gemuk berbanding Qabil yang mempersembahkan hasil tanaman berupa gandum yang sedikit serta busuk.

Ternyata korban Habil diterima Allah SWT berikutan keikhlasan dan ketakwaannya sekali gus berhak mengahwini Iqlimiah manakala korban Qabil ditolak. Kisah pengorbanan dua bersaudara ini dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: “Ceritakanlah kepada mereka kisah yang berlaku sebenarnya terhadap kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil), iaitu ketika kedua-duanya mempersembahkan korban masing-masing. Lalu Allah menerima korban salah seorang daripadanya mereka berdua (Habil) dan tidak diterima yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)

Pengorbanan yang agung dan besar berlaku kepada Nabi Allah Ibrahim yang diperintah Allah menyembelih anak kesayangannya Nabi Allah Ismail. Ketaatan dan ketakwaan kepada Allah mendorong Nabi Ibrahim melaksanakan korban walaupun terpaksa menyembelih anak kesayangan.

Pengorbanan Nabi Ibrahim

Pengorbanan itu membuktikan Nabi Allah Ibrahim berjaya diuji Allah SWT yang diwahyukan melalui mimpi dan Nabi Allah Ismail diganti dengan seekor kibas gemuk yang disifatkan Allah sebagai sembelihan agung.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beramal seseorang anak Adam pada Aidiladha melainkan menyembelih binatang korban yang menjadi amalan disukai oleh Allah. Sesungguhnya pada hari kiamat nanti binatang korban itu akan datang bersama tanduknya, kukunya dan bulunya dan sesungguhnya darah yang tumpah di suatu tempat akan diterima oleh Allah sebelum tumpah di atas tanah, maka perelokanlah korban kamu.” (Riwayat al-Hakim, Ibn Majah dan al-Tarmizi)

Tanda Kesyukuran

Melakukan sembilan korban adalah tanda kesyukuran kepada Allah terhadap segala nikmat yang dikurniakan selain berperanan mengkifaratkan dosa serta menunjukkan simpati dan belas kasihan kepada golongan fakir miskin sekali gus mengeratkan silaturahim sesama manusia.

Penulis yang berpeluang menyertai kursus penyembelihan dan berpengalaman menyembelih korban di sekitar Gombak sejak 1997 meminta penyembelih sama ada ketika ibadah korban atau penyembelihan industri melakukannya berdasarkan hukum syarak.

Haiwan yang disembelih tidak mengikut kaedah syarak adalah bangkai dan najis. Oleh itu, syarat ditetapkan seperti putus urat yang wajib iaitu urat halkum (salur pernafasan) dan marih (saluran pemakanan) perlu diperhatikan dengan betul.

Haiwan sembelihan yang diproses hendaklah mematuhi kehendak kebersihan dan piawaian pengendalian. Justeru, penting bagi individu Muslim dan syarikat pengurusan penyembelihan mematuhi kehendak ditetapkan Islam.

Bekas Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM), Allahyarham Prof Dr Yaakob Che Man, pernah menyatakan penyembelihan bukan sekadar memutuskan urat leher haiwan supaya daging haiwan halal dimakan tetapi merangkumi konsep pengurusan penyembelihan lebih luas dan menyeluruh membabitkan seluruh rantaian makanan bermula dari ladang hingga kepada pengguna

http://epondok.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...