Khamis, 11 Oktober 2012

MENGAPA ARAK DIHARAMKAN DI DUNIA DIHALALKAN DI SYURGA

Gambar hiasan aje...lah

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, memuliakan manusia dengan semulia-mulianya, melebihkannya daripada sekalian ciptaan yang lain, mempermudahkan kepada mereka segala benda di bumi dan di langit  (taskhir) dan menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi.

Al-`Izz bin Abd al-Salam berkata: 

“Ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mensyariatkan satu hukumpun melainkan untuk maslahah dunia, maslahah akhirat atau untuk maslahah dunia dan maslahah akhirat sekaligus sebagai limpahan kurniaan-Nya kepada manusia. Bukanlah termasuk dalam tanda-tanda limpahan, rahmat, hikmat dan kemudahan daripada Allah, jika dibebankan manusia dengan kesukaran yang tidak mempunyai faedah dunia dan akhirat”. 
( Syajarah al-Ma’arif Wa al-Ahwal, hal. 401)

Syariat dibina di atas prinsip menjaga lima kepentingan dharuri iaitu agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Imam al-Ghazzali berkata: Ada lima maksud Syariat terhadap para makhluk iaitu menjaga agama mereka, nyawa mereka, akal mereka, keturunan mereka dan harta mereka. Oleh itu setiap perkara yang mengandungi penjagaan terhadap lima asas ini dikatakan maslahah dan setiap menghilang lima asas ini disebut sebagai mafsadah dan menghindarinya adalah maslahah. (Al-Mustasfa, jil 1 hal. 289)

Merujuk kepada arak dan pergaulan bebas, tidak dinafikan bahawa sememangnya manusia mahu hidup dalam kenikmatan dan keseronokan. Bagi seorang mukmin, alam dunia dan alam syurga amat jauh perbezaannya. Sifat hidup di dunia adalah terbatas, terikat dengan hukum syarak, penuh dengan ujian. Kenikmatan yang dikecapi tidak diperolehi dengan senang tetapi memerlukan pengorbanan dan perjuangan.

Arak diharamkan kerana ‘illah atau sifat yang ada padanya iaitu memabukkan. Sifat memabukkan ini relevan dengan penjagaan akal. Mengambil arak bererti menutup kewarasan akal untuk berfikir sehingga diri sendiri dan masyarakat terdedah kepada bahaya dan mudarat. Objektif pengharaman arak dilihat kepada kesan daripada arak yang membawa kepada kemudaratan. Pengambilan arak akan menjejaskan kesihatan terutamanya kerosakan hati. Selain itu, arak menyebabkan ketagihan sehingga peminumnya sanggup membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk mendapatkannya. Di sini berlaku pemborosan dan pembaziran sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.

Arak yang ada di akhirat lain pula sifatnya yakni tiada sifat memabukkan. Oleh kerana sifatnya yang berbeza di dua alam itu, maka dibenarkan arak di syurga sebagai suatu nikmat bukan minuman yang menyakitkan.

Sementara zina pula, persetubuhan yang tidak berdasarkan kepada aqad perkahwinan yang sah tetapi semata-mata memenuhi hawa nafsu. Ia merosakkan akhlak, meruntuhkan maruah (keperibadian) dan sistem kekeluargaan. Ia menjejaskan kesihatan manusia dan mendedahkannya dengan pelbagai penyakit. Keturunan menjadi celaru sehingga tiada diketahui siapa ayahnya yang sebenar sehingga anak mengalami gangguan emosi dan psikologi.

Oleh sebab itu, Islam mensyraiatkan perkahwinan supaya seseorang itu ada jalan untuk memenuhi tuntutan seksualnya dengan cara yang halal, selamat, suci, beradab dan terhormat. Mencari keseronokan di luar perkahwinan akan menafikan nilai-nilai ketamadunan dan peradaban. Perkahwinan lebih bersifat membina sistem kekeluargaan seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera.

Bidadari di syurga umpama isteri yang menjadi milik mutlak penghuni, tidak berkongsi dengan sesiapa, tiada yang pernah menjeling kepadanya. Hanya menanti kedatangan orang mukmin. Dia tidak melahirkan anak, tidak mengalami haidh dan segala macam yang dialami oleh manusia. Kenikmatan bersamanya tidak mengakibatkan sebarang risiko. Hal ini berbeza sama sekali dengan pergaulan bebas.

Ringkas kata, pengambilan arak dan pergaulan bebas hanya membawa kepada porak peranda, kekacauan dalam kehidupan manusia baik pada tingkat indivdu mahupun masyarakat.

Sewajarnya, manusia itu mengetahui bahawasanya dia diikat dengan hukum supaya mengetahui bahawa ada kehidupan satu lagi yang lebih utama, lebih kekal (Surah al-Dhuha, Surah al-A’la). Jikalau dunia ini berjalan tanpa ada peraturan dan undang-undang bahkan yang ada undang-undang rimba, kelangsungan hanya untuk orang yang kuat maka hancur dan musnah kebahagiaan manusia.

Di syurga tiada lagi keterikatan dengan  hukum kerana, perjalanan hidup di sana atas sifat sejahtera tidak memudaratkan, aman dan penuh kenikmatan.

Allah s.w.t. berfirman:

إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا (60) جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَنُ عِبَادَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا (61) لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا (62) تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا (63)

Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, - (Iaitu) syurga " ‘Adn " yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hamba-Nya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; Sesungguhnya Tuhan itu, janjinya tetap berlaku. Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa). Itulah taman syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba kami. (Surah Maryam: 60-63)

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, terutamanya yang sering interaksi dengan masyarakat sewajarnya dia mengetahui matlamat pensyariatan hukum atau falsafah di sebalik perintah dan larangan serta hikmat syariah supaya dakwahnya itu lebih berkesan dan menyakinkan.

والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya

http://my.mg61.mail.yahoo.com/neo/launch?.rand=8l0rs6248lhtt

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...