Jumaat, 5 Oktober 2012

NABI MUHAMMAD S.A.W. MAKSUM SEJAK KECIL



Nabi Muhammad s.a.w maksum sejak kecil
Posted by epondok 

RUANGAN kali ini mengajak pembaca fokus kepada beberapa perbahasan penting mengenai Rasulullah yang akan menenangkan hati dan mengikat keyakinan bahawa baginda adalah maksum semenjak kecil dan berpegang dengan ajaran Islam.

Sekiranya ada yang berpendapat agama yang dipegangnya adalah agama Nabi Ibrahim, maknanya itu adalah agama Islam kerana semua nabi dan rasul diutuskan untuk menyampaikan ajaran Islam.

Kebingungan dan kecelaruan fikiran umat Islam mengenai Rasulullah sebelum dilantik menjadi Rasul terbit daripada salah faham terhadap firman Allah: Apabila Dia mendapati engkau sesat, lalu Dia mengurniakan engkau hidayah petunjuk. (al-Dhuha: 7)

Melafazkan ungkapan Rasulullah tidak beragama sebelum usia 40 tahun adalah satu penyimpangan yang nyata. Jika berkata demikian, seolah-olah kita membuka ruang kepada masyarakat umum menilai baginda dengan akal cetek dan andaian semata-mata.

Barangkali ungkapan ‘tidak beragama’ itu ada yang tersasar memaksudkannya sebagai atheis atau tidak menganut agama yang benar iaitu seorang musyrik.

Apabila kita menyatakan bahawa baginda tidak beragama sebelum dilantik menjadi nabi, itu akan membawa maksud baginda terdedah melakukan apa sahaja perbuatan maksiat yang mencacatkan maruah dan meruntuhkan moral kerana tiada pegangan yang menjadi benteng daripada melakukan perkara yang keji dan garis panduan bagi membezakan antara dosa dan pahala.

Mengulas mengenai salah faham terhadap ayat ini, Prof Dr. Sayyid Muhammad Alawi al Maliki menyatakan di dalam bukunya al Zakhair al Muhammadiyyah: “Ayat ini sering dieksploitasi oleh sebahagian ahli fitnah yang buta basirah dan tertutup pintu hati sehingga mereka tidak dapat melihat hakikat kedudukan Nabi dan Rasul yang sebenar.

“Mereka hanya melihat Nabi Muhammad SAW sebagai manusia biasa semata-mata yang berjalan di muka bumi, berjalan-jalan di pasar, memikul dosa, melakukan dosa dan kesalahan, pernah hidup dalam kesesatan lalu Allah memberi hidayah kepadanya, pernah hidup dalam kemiskinan lalu Allah memberikannya kekayaan dan dilahirkan dalam keadaan yatim lalu Allah memberi perlindungan kepadanya. Sehinggalah ke akhir perbicaraan yang hanya membangkitkan kekeliruan orang awam kerana ia berdasarkan kepada maksud zahir nas-nas yang terdapat di dalam al Quran dan Sunnah.”

Al ‘Allamah al Qadhi ‘Iyadh pula menyatakan dalam kitabnya al Syifa bi Ta’rif Huquq al Mustafa: “Apa yang pasti, para nabi adalah maksum (terpelihara) sebelum dilantik menjadi nabi dan terhindar dari kejahilan tentang Allah dan sifat-sifat-Nya, dan terpelihara daripada merasa ragu walau sedikitpun mengenai perkara ini.

“Terdapat banyak khabar dan athar yang saling mendukung di antara satu sama lain yang mensucikan para nabi daripada kekurangan ini semenjak mereka dilahirkan dan mereka membesar di atas tauhid dan iman.”

Beliau menambah lagi: “Tidak pernah seorang pun ahli hadis menaqalkan terdapat seorang daripada mereka yang dipilih menjadi nabi daripada kalangan orang yang dikenali dengan kekufuran dan kesyirikannya sebelum itu.”

Oleh itu kita tidak pernah mendengar para nabi dan rasul terdahulu menganut agama yang sesat yang dianuti oleh kaum mereka.

Kemuliaan ini adalah terlebih utama dianugerahkan ke atas Rasulullah dan tiada satu sebab atau dalil yang menghalang baginda daripada mengecapi nikmat dan keistimewaan itu kerana baginda adalah penghulu segala nabi dan rasul.

Jangan sekali-kali kita berpaling kepada pendapat bahawa Rasulullah SAW berada di atas agama kaumnya sebelum Nubuwwah, lalu Allah menghidayahkan Islam kepada baginda kerana Nabi Muhammad SAW dan para nabi yang lain sejak dilahirkan membesar atas ketauhidan dan keimanan.

Sesungguhnya mereka maksum sebelum Nubuwwah daripada jahil tentang sifat-sifat Allah dan mentauhidkan-Nya.

Pendapat ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa Rasulullah bermusafir bersama bapa saudaranya ke Syam, di mana Buhaira melihat tanda kenabiannya. Sedangkan ketika itu baginda masih kecil.

Buhaira mengujinya agar bersumpah dengan berhala al Laata dan al Uzza, lalu baginda menjawab: “Janganlah kamu meminta saya bersumpah dengan kedua-duanya. Demi Allah! Saya tidak pernah membenci sesuatu seperti kebencian saya terhadap kedua-duanya.”

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan peristiwa Jibril mengeluarkan seketul daging dari hati baginda dengan katanya: “Ini adalah bahagian syaitan dari dalam dirimu.” Kemudian dada baginda diisi dengan hikmah dan iman.

Demikianlah seperti yang dinaqalkan daripada al Imam Fakhr al Din al Razi di dalam tafsirnya Mafatih al Ghaib.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...