Isnin, 23 Mei 2011

JENIS JENIS TANGISAN DALAM ISLAM

Petikan dari blog...

Tangisan menurut perspektif Islam, boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu tangisan yang berbentuk negatif dan tangisan yang berbentuk positif. Tangisan yang dilarang ialah seperti meraung dan melolong dengan sekuat hati apabila menerima atau meratapi kematian. Tangisan seperti ini bukan sahaja dipandang negatif kepada orang yang melakukannya tetapi juga mayat yang diratapinya itu turut terseksa kerana perbuatannya. Ini berbeza dengan tangisan positif iaitu tangisan yang terjadi kerana cinta dan takut kepada Allah. Malah Nabi Muhammad pun menangis bila mengenangkan kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh umatnya serta tatkala baginda memohon ampun dari Allah.

Antara jenis-jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam Islam ialah:

1. Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah.

Orang-orang yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Golongan ini sama sekali tidak pernah mengeluh malah sentiasa reda dengan apa yang mereka terima.

Maka dengan sebab itu, orang-orang sebegini adakalanya menitiskan air mata apabila menerima rahmat dan nikmat-nikmat tersebut.

Sebagai contoh, dalam satu riwayat oleh Anas bahawa Rasulullah berkata kepada Ubay bin Ka’ab : “Allah menyuruh membacakan kepadamu Surah Al-Bayyinah ayat 1, “Orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,”

Ubay bertanya : “Apakah Allah menyebut namaku?” “Nabi menjawab ya, lalu menangislah Ubay (kerana mendengar berita gembira itu).

Ayat tersebut menyatakan tentang pendirian kaum Yahudi dan Nasrani terhadap seruan Nabi Muhammad sebagai Rasul yang telah menerangkan kepada mereka agama yang telah dibawa olehnya iaitu agama Islam. Mereka (Yahudi dan Nasrani) kenal Nabi Muhammad yang diutus sebagai rasul kepada umat akhir zaman, tetapi setelah baginda dibangkitkan mereka tidak percaya malah tidak mahu beriman kepada apa yang dibawa oleh baginda.

2. Kerana menyesali perbuatan dan dosa yang dilakukan.
Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang telah melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan bersungguh-sungguh.

Ekoran daripada penyesalan itu maka timbul rasa sedih yang mendalam yang akhirnya akan menitiskan air mata. Tangisan yang sedemikian itu timbul akibat wujudnya rasa kesedaran yang mendalam dan rasa takut yang amat sangat kepada Allah. Keadaan sebegini akhirnya akan mendorong seseorang itu bertaubat dan seterusnya kembali ke jalan yang benar.

Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam ayat 82 Surah al-Taubah, “Maka hendaklah mereka sedikit tertawa dan banyak menangis sebagai pembalasan dari apa yang mereka telah kerjakan.”

3. Apabila bertambah keimanan kepada Allah.
Iman yang tertanam dalam hati akan terus subur dan mekar apabila disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca dengan penuh penghayatan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata.

Tangisan sebegini merupakan tangisan yang tinggi nilainya kerana ia merupakan campuran antara rasa kesedaran dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Justeru tanpa disedari akan bercucuran tangisan akibat rasa keimanan yang begitu mendalam sebagaimana firman Allah dalam ayat 58, Surah Maryam; “Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Pemurah, mereka segera sujud serta dan menangis.”

4. Timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk.

Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam beribadat. Air mata yang menitis itu bukan kerana perasaan sedih tetapi kerana menyedari betapa diri yang begitu kerdil ketika berhadapan dengan pencipta-Nya.

Bahkan, orang yang mencapai tahap kekhusyukan itu termasuk salah satu dari tujuh golongan yang memperoleh keistimewaan pada hari kiamat seperti sabda Rasulullah:
“Tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya (iaitu) :
Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang dibesarkan dalam beribadat kepada Allah, orang yang hatinya selalu rindu pada masjid, dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah iaitu bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan lalu ditolaknya dengan berkata, “Aku takut kepada Allah”, seorang yang bersedekah dalam keadaan rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan menyendiri lalu menitis air matanya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Bimbang terputusnya rahmat Allah.
Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang yang beriman ialah terputusnya kebajikan dan rahmat Allah. Apabila keadaan ini berlaku, ia boleh mengubah suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu.

Sebagai contoh, pada suatu hari sesudah Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar mengajak Saidina Umar ke rumah Ummu Aiman seperti mana Rasulullah semasa hayatnya sering menziarahinya.

Sebaik sampai di rumah Ummu Aiman, tiba-tiba Ummu Aiman menangis. Kedua-dua tetamunya itu lantas bertanya, “Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Tidakkah engkau tahu bahawa yang tersedia di sisi Allah untuk Rasulullah jauh lebih baik?” Ummu Aiman menjawab, “Aku tidak menangis kerana itu melainkan kerana wahyu dari langit telah terputus (terhenti).” Kata-kata Ummu Aiman itu ternyata mengharukan Abu Bakar dan Umar, lalu kedua-duanya turut menangis.

6. Apabila terselamat dari kesesatan dan menemui kebenaran.
Adakalanya air mata seseorang itu akan menitis apabila ditunjukkan oleh Allah jalan yang benar setelah sekian lama hanyut dalam kelalaian atau kesesatan. Bagi yang berada dalam situasi sedemikian, akan terus menangis dan tangisannya bukan kerana merasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan hidayah yang diterima itu.

Hal ini pernah terjadi kepada segolongan pendeta apabila mengetahui al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah merupakan kebenaran dari Allah seperti firman-Nya: “Dan apabila mereka itu (segolongan pendeta) mendengar apa-apa yang diturunkan kepada Rasul, engkau akan melihat mereka akan menitiskan air matanya, lantaran mengetahui kebenaran (seraya) mereka berkata; “Hai Tuhan kami! Kami telah beriman. Oleh kerana itu, catatlah kami dalam golongan orang-orang yang menyaksikan. Dan tidak patut kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, pada hal kami ingin supaya Tuhan memasukkan kami bersama kaum yang soleh.”
(Surah al-Maidah:83-84)

Daripada maksud firman Allah tersebut, jelaslah bahawa tangisan yang positif mempunyai keutamaan di sisi Islam sehingga tangisan seumpama itu boleh mendatangkan manfaat yang besar.

Ini kerana, orang yang menitiskan air mata kerana Allah sebenarnya merupakan orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan taqwanya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam satu riwayat dari Abu Daud dan Tirmizi bermaksud: “Kami datang kepada Rasulullah sedang baginda menunaikan solat. Maka terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam bejana.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...