Khamis, 29 Ogos 2013

Gopoh itu kerja syaitan

Gopoh itu kerja syaitan -Oleh MAHAINI MUHAMMAD
Gambar hiasan
BERGOPOH-GAPAH atau dalam bahasa Arab disebut sebagai isti’jal dikira sebagai satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya. Lawan bagi sikap gopoh-gapah ialah ana-ah, iaitu sifat tenang, berhati-hati serta berhemah dalam melaksanakan sesuatu urusan hidup.

Sikap gopoh-gapah boleh menjatuhkan seseorang ke lembah maksiat serta meluputkan pahala bagi segala kebajikan yang dikerjakan.

Imam al-Ghazali mentafsirkan gopoh-gapah sebagai sejenis penyakit kalbu yang merentap hati agar melakukan sesuatu secara tergesa-gesa atau segera sebaik ia terlintas di benak fikiran tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dahulu. Ia dilaksanakan mengikut apa yang diperibahasakan sebagai ‘terburu nafsu.’

Dalam Islam, hanya lima perkara dibenarkan bergopoh-gapah atau melaksanakannya tanpa bertangguh, manakala yang lain, anda dikira melakukan ‘tindakan syaitan’ jika melakukannya tanpa perancangan dan berhati-hati.

Ini selaras hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan, kecuali dalam lima perkara, iaitu mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan jenazah, melayan tetamu dan bertaubat daripada dosa.” (riwayat Muslim)

Di manakah bahayanya tindakan gopoh-gapah? Contoh pertama mengenai gopoh-gapah ialah melakukan amal ibadat dalam keadaan tergesa-gesa, kononnya untuk mencapai makam atau martabat tertinggi dalam tempoh cepat.

Individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah seperti itu biasanya akan melakukan banyak kesilapan dalam ibadatnya. Malah mungkin menyeleweng daripada syariat.

Individu berkenaan juga mungkin terkena penyakit hati yang lain, iaitu riak dan takbur. Lidahnya juga mungkin akan menuturkan perkataan dan pengucapan keji serta sia-sia, malah menggelincirkan akidahnya.

Dalam hal ini, akhlak lisan yang ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW patut dijadikan teladan.

Allah SWT berfirman bermaksud: Dan dia (Muhammad) tidak bercakap mengikut nafsunya. Tiada yang dicakapnya melainkan apa yang diwahyukan Allah kepadanya. (an-Najm: 3)

Individu yang mengerjakan amal kebajikan secara tergopoh-gapah kerana mahu mencapai martabat tertinggi dalam tempoh segera juga mungkin akan terjerumus ke dalam kesilapan beribadat.

Orang yang bersungguh-sungguh beribadat seperti itu biasanya hanya akan mengerjakan ibadatnya pada peringkat awal secara bersungguh-sungguh, kemudian ia mula menurun, malah terhenti langsung beberapa ketika selepas itu.

Selain itu, individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah semata-mata kerana mahu hajatnya dipenuhi Allah SWT, sama ada dari segi kerjaya dan perniagaan, biasanya akan mudah ‘luntur’ dan berhenti mengerjakan ibadat setelah hajatnya tercapai atau dia mula kecewa kerana hajat yang dihasratkannya tidak tercapai dalam masa yang dijangka atau diharapkan.

Akhirnya, individu berkenaan ‘terkulai layu’ meninggalkan matlamat ibadatnya dan tidak kekal istiqamah dalam amal kebajikannya. Ini berbahaya. Syaitan gembira melihat kerenah gopoh-gapah individu seperti ini.

Tindakan tergopoh-gapah juga bahaya kerana ia akan memungkinkan seseorang individu Muslim terjebak memakan dan meminum barangan haram atau daripada sumber haram seperti rasuah. Perkara lain yang turut tergolong dalam tindakan tergopoh-gapah ialah mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau orang lain.

Ini bertepatan firman Allah SWT bermaksud: Dan manusia mendoakan kejahatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan adalah manusia itu bersifat gopoh-gapah. (al-Isra’: 11).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SIFAT KEMURAHAN ALLAH

D i antara nama dan sifat Allah SWT adalah “Rahman”, “Rahim”, "Hannan", "Mannan", "Kareem" yang menunjukkan pa...