Selasa, 27 Ogos 2013

Kemanusiaan Hilang Tanpa Belas Kasihan

Kemanusiaan hilang tanpa belas kasihan -Nik Salida Suhaila
Gambar hiasan 
Penganiayaan, pembunuhan tidak selari dengan misi keamanan Islam

Jenayah dan pembunuhan yang semakin meruncing mutakhir ini cukup membimbangkan serta menggambarkan segelintir masyarakat kini semakin hilang kemanusiaan disebabkan tiada belas kasihan sesama insan.

Bagi umat Islam, perbuatan penganiayaan dan pembunuhan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat iaitu belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, Insya-Allah tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan.

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Riwayat Tabarani)

Bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara yang sebaik-baiknya untuk berakhlak dengan tetangga dan ahli masyarakat. Ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat.” (Surah Al-Anbia’, ayat 107)

Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukanlah mudah, sebab itulah Rasulullah SAW mengajarkan perbuatan yang baik untuk dilakukan kepada orang lain supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu serta disokong oleh sahabat.

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Riwayat Tabarani)

Islam membawa misi keamanan
Dimaksudkan dengan rahmat adalah apa juga perkara yang membawa kebaikan dan Islam merupakan satu-satunya agama yang membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam.

Oleh itu, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana Islam memerintahkan umatnya supaya menghiaskan diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Belas kasihan ini bukan kepada sahabat terdekat saja tetapi kepada alam seluruhnya, lebih-lebih tetangga dan tetangga dalam Islam termasuklah orang yang hampir dengan kita kerana rumahnya berdekatan atau hampir kerana hubungan nasab mahupun agama.

Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan yang menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Riwayat Bukhari)

Walaupun masyarakat di negara Barat lebih berbudi bahasa dan bersopan dalam muamalah sesama insan, penulis tidak menafikan di negara kita masih ramai yang utuh dengan budaya hidup serta pekerti lemah lembut.

Keadaan ini menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji. Malangnya adab dan santun yang sudah bersisa semakin terhakis dengan pelbagai masalah sosial yang mengaibkan.

Di alam maya, ramai yang diberi kunci kebebasan untuk meneroka dunia dan melakukan apa yang mereka suka. Laman sosial juga menjadi bukti ada segolongan yang sering kali tersasar daripada pedoman agama.

Pembulian mental sesama rakan sebaya atau daripada golongan lebih dewasa boleh mengakibatkan risiko kepada mereka yang masih belum cukup matang mengurus tekanan.

Sudahnya berlakulah perubahan sikap secara tiba-tiba, berkasar dengan ibu bapa atau orang yang lebih tua hatta membunuh diri. Mereka yang mengalami tekanan juga akan menjadi risiko kepada orang lain kerana ketidakstabilan mental boleh mengakibatkan kejadian jenayah tidak dirancang.

Masyarakat tak boleh terima kezaliman

Dalam masyarakat kita yang masih mempunyai kasih sayang sesama insan yang tinggi, perbuatan membunuh, menikam, menyembelih dan mencincang manusia adalah satu kezaliman yang tidak dapat diterima sama sekali.

Mujurlah budaya dan cara hidup yang masih menghormati hak manusia lain masih menebal, bukan saja kerana dilindungi undang-undang, tetapi juga kerana nilai murni yang ada. Walau bagaimanapun, setiap ibu bapa tidak boleh berlepas tangan dalam memastikan anak terbiasa dengan keharmonian.

Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, hendaklah tegur dan betulkan kesalahannya dengan lemah lembut dan kasih sayang, bukannya memukul dengan kekerasan atau sehingga mencederakan.

Tahap pendidikan di awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh penuh kasih sayang dan lemah lembut, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar dan nakal. Kekerasan juga menjadikan mereka mudah menzalimi orang lain disebabkan ‘kebiasaan’.

Perlu diingat juga hilangnya kemanusiaan yang semakin membarah dalam dunia ini berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah mereka.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.

Bukannya bermula daripada masalah sosial yang mereka lalui setelah besar panjang. Hakikat ini penting kerana kita tidak mahu generasi baru berasa lali dengan kekerasan dan penganiayaan.

http://epondok.wordpress.com/2013/08/27/kemanusiaan-hilang-tanpa-belas-kasihan/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...