Jumaat, 30 Ogos 2013

Ilmu Dorong Beribadat Hindari Sifat Malas

Ilmu dorong beribadat hindari sifat malas -by epondok -Oleh Nurul Afiah Ab Shukor

Gambar hiasan
Malas sikap negatif yang wajib dihindari bagi mengelakkan daripada kemunduran diri. Namun, ada antara kita mungkin tidak dapat melepaskan diri daripada sikap malas yang keterlaluan. Hakikatnya, malas bukan ajaran islam sebaliknya ia adalah sikap orang munafik.

Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap agama Allah dengan perbuatan yang berpura-pura beriman sedangkan mereka kafir pada batinnya dan Allah tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan diri mereka dalam munafik.
Mereka ini apabila menunaikan solat, berdiri dengan malas, hanya berniat riak untuk menunjukkan perbuatan mereka kepada manusia lain sedangkan tidak mengingati Allah sewaktu mengerjakan solat.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat paling berat orang munafik ialah solat Subuh dan Isyak. Jika mereka mengetahui apakan ganjaran pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang bersolat walaupun dalam keadaan merangkak.”

Menurut Ibn Kathir, amalan paling baik dan paling mulia orang munafik ialah solat. Apabila mereka solat, mereka solat dengan malas kerana tiada niat, tidak beriman dengannya, tidak khusyuk dan tidak memahami maksud solat.

Doa hindari sifat malas

Oleh itu, untuk menghindari sikap malas umat Islam hendaklah menggunakan senjata orang Mukmin iaitu doa. Doa ialah ubat yang paling mujarab dan bermanfaat untuk mengubati semua bentuk ujian serta penyakit.

Nabi ada mengajarkan doa yang berbunyi: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit tua dan kesedihan, dari lemah dan malas, dari bakhil dan penakut, dan kalah dengan hutang dan kekuatan lelaki.” (Riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, lawanlah syaitan dan nafsu yang juga musuh manusia. Syaitan melatih nafsu manusia supaya menjadi malas sama ada malas beribadat atau melakukan tanggungjawab serta amanah yang dipikul.

Sabda Nabi SAW: “Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan sambil syaitan berkata pada setiap ikatan: Malam masih panjang maka tidurlah. Apabila seseorang terjaga dari tidur, menyebut nama Allah, nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan jika ia solat nescaya terlerai semua ikatan. Maka ia bangun pada waktu pagi dalam keadaan rajin dan cergas serta baik keadaannya. Dan sebaliknya jika tidak dilakukan sedemikian untuk melerai ikatan syaitan itu. Sememangnya syaitan sentiasa mencuba untuk menipu daya dan menyebabkan manusia lalai dari perintah Allah.”

Ilmu dorong semangat beribadat

Selain itu, timbalah ilmu sebanyak mungkin kerana ilmu mendorong seseorang rajin dan bersemangat dalam hidupnya. Contohnya, ilmu mengenai fadilat dan kelebihan ibadat menjadikan seseorang itu rajin menunaikan ibadat.

Begitu juga bagi yang mengetahui ilmu fadilat serta kelebihan solat sunat yang juga sunnah Nabi Muhammad akan bersungguh melaksanakannya dengan mengharapkan keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Solat paling berat orang munafik ialah solat Subuh dan Isyak. Jika mereka mengetahui apakan ganjaran pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang bersolat walaupun dalam keadaan merangkak.”

Melihat pada ganjaran yang dimaksudkan dalam sabda Baginda menunjukkan pentingnya ilmu pengetahuan sebagai pendorong untuk melakukan kebaikan dengan keyakinan bakal mendapat ganjaran baik.

Islam itu indah apabila umat Islam menjadikan iman untuk memandu diri serta mencari ilmu pengetahuan untuk memajukan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...