Jumaat, 14 Mac 2014

GANJARAN MENTAATI ALLAH DAN RASUL

Ganjaran mentaati Allah dan Rasul -Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI

ARTIKEL kali ini masih lagi berkaitan dengan natijah mentaati Allah SWT dan Rasulullah SAW. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga keluarga baginda. Sudah pasti mentaati Allah dan Rasul-Nya akan mendapat banyak kelebihan.

Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah, iaitu Nabi-nabi, para siddiqiin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat). (al-Nisa’: 69)

Thauban seorang maula (hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW) adalah seorang yang terlalu cintakan Baginda SAW dan tidak dapat menahan sabar atas kecintaannya itu. Pada suatu hari, beliau telah datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dalam keadaan muka yang berubah kerana sedih.

Baginda bertanya kepadanya: “Apakah sebab yang mengubah air muka engkau?” Thauban menjawab: “Wahai Rasulullah SAW! Aku tidak ditimpa sakit atau terkejut, selain daripada aku tidak dapat melihat engkau sehingga aku menjadi terlalu rindu kepada mu ya Rasulullah sehingga aku dapat bertemu dengan engkau semula.

“Kemudian, aku teringat kepada akhirat, lalu aku takut aku tidak dapat melihat engkau kerana engkau akan diangkat bersama para Nabi sedangkan, sekiranya aku dimasukkan ke dalam syurga aku akan berada di tingkat yang rendah daripada tingkat engkau. Sekiranya aku tidak dapat masuk syurga, maka aku selama-lamanya tidak akan dapat melihat engkau.” Lantas, Allah SWT menurunkan ayat di atas.

Khabar gembira

Ibnu Al-Arabi dalam Ahkam al-Quran menyebut: “Berkenaan sebab turunnya ayat di atas, terdapat banyak riwayat yang menceritakan mengenainya. Begitu pun, riwayat yang paling hampir dengan maksud kesemua riwayat itu ialah riwayat Said bin Jubair yang menyebut: Bahawa seorang lelaki Ansar datang kepada Nabi SAW dalam keadaan berdukacita.

Lalu Nabi SAW bertanya kepadanya: “Mengapa engkau kelihatan bersedih? Beliau menjawab: Wahai Nabi Allah, kami sentiasa berpagi dan berpetang dengan engkau, merenung wajahmu dan duduk bersamamu. Sayangnya esok hari (akhirat) engkau akan diangkat darjat bersama para Nabi, maka kami tidak dapat sampai kepadamu.

Maka Nabi SAW tidak menjawab sedikitpun kenyataan itu. Kemudian datanglah Jibril a.s menurunkan ayat di atas ini. Lantas, Nabi Muhammad SAW mengutus orang supaya menyampaikan khabar gembira tersebut kepada lelaki tersebut.”

Sesiapa yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya akan dikurniakan nikmat Allah SWT. Ibnu Wahb berkata: “Saya pernah mendengar Malik berkata: “Hal yang demikian disebutkan oleh seorang lelaki tatkala Baginda SAW menceritakan tentang Madinah dan kelebihannya. Baginda menyebutkan bahawa akan dibangkitkan dari Madinah umat yang terhormat pada hari kiamat dan para syuhada sekitarnya dalam kalangan mereka yang berperang di peperangan Badar, Uhud dan Khandak. Kemudian Malik membacakan ayat di atas.”

“Imam Malik memaksudkan mereka yang disebutkan dalam firman Allah SWT: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah SWT adalah mereka yang tinggal di Madinah dan sekitarnya. Dengan itu, ayat tersebut menerangkan tentang kelebihan mereka dan kelebihan kota Madinah berbanding tempat-tempat lain seperti Mekah dan selainnya. Kelebihan ini khusus kepada Madinah. Madinah mempunyai pelbagai kelebihan yang melebihi tempat-tempat lain.”

Semoga kita juga meraih ganjaran pahala tatkala mentaati Allah dan Rasul-Nya.

http://epondok.wordpress.com/2014/03/12/ganjaran-mentaati-allah-dan-rasul/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...