Jumaat, 21 Mac 2014

Menangislah Wahai Mata

Menangislah wahai Mata!

ADA orang berkata ‘aku tidak mahu menangis dalam hidup ini’.

Ada pula yang berkata ‘apalah faedahnya menangis?! Ia tidak dapat mengubah apa-apa’. Ada juga yang berkata ‘aku bencikan airmata’.

Ungkapan-ungkapan seumpama ini mungkin dikeluarkan oleh mereka yang berasa tekanan dalam hidup. Namun, hakikatnya dalam hidup ini, insan memerlukan air mata tangisan dalam membentuk peribadi yang halus dan luhur antara dia dengan jiwanya, antara dia dengan ALLAH SWT.

Jenis tangisan
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam Zad al-Ma’ad menyebut tentang jenis-jenis tangisan (al-bukaa). Ada tangisan kasihan dan simpati (ar-rahmah wa ar-ra`fah).

Ada tangisan takut dan gerun (al-khauf wa alkhashyah).

Ada tangisan cinta dan rindu (al-mahabbah wa ash-syauq). Ada tangisan suka dan gembira (al-farh wa as-surur).

Ada tangisan kerana dukacita (al-hazn). Perbezaan antara tangisan dukacita dengan tangisan takut ialah dukacita berkaitan yang sudah berlaku sementara takut berkaitan yang belum berlaku.

Tangisan gembira airmatanya sejuk dan jantung hati sukacita. Tangisan sedih airmatanya panas dan jantung hati pula berdukacita.

Ada pula tangisan tewas dan lemah (al-khaur wa ad-dha’f). Ada pula tangisan munafiq (an-nifaq) di mana mata menangis sedangkan kalbu keras.

Dia menzahirkan kusyuk padahal dialah orang yang paling keras jantung hatinya.

Ada tangisan yang diupah dan dibayar.

Ini seperti tangisan meratapi mayat yang dibayar upahnya. Ada tangisan mengikut (al-muwafaqah) di mana seseorang menangis kerana melihat orang lain menangis. (lihat: Ibn Qayyim al- Jauziyyah, Zad al-Ma’ad 1/184-185. Beirut: Muassasah ar-Risalah).

Tangisan indah
Tangisan kerana takutkan ALLAH atau tangisan kerana merindui ALLAH adalah tangisan yang lahir jiwa yang khusyuk.

Suatu perasaan yang begitu indah yang tidak dapat difahami melainkan mereka yang mendapat kurnia ALLAH untuk matanya menangis kerana rindukan Tuhan, ataupun gerun kepadaNya. Suatu perasaan kudus lagi nikmat yang meliputi roh akan dirasai oleh sesiapa yang ALLAH rezekikannya tangisan jenis ini.

Matanya menangis, jiwanya tenggelam dalam nikmat rindu, cinta dan gerun kepada kebesaran-Nya.

Tidaklah dapat difahami hal ini melainkan mereka yang telah merasainya. Bak kata sebahagian orang sufi “sesiapa yang tidak merasa, dia tidak akan memahaminya”.

Hanya jiwa-jiwa yang hampir dengan ALLAH sahaja yang akan merasai nikmat ini.

Lebih hampir seseorang dengan ALLAH, lebih seringlah zahirnya nikmat ini pada diri seseorang.

Al-Quran pada banyak tempat memuji tangisan ini. Firman ALLAH memuji para rasulNya: (maksudnya) “..apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (ALLAH), mereka segera sujud serta menangis”. (Surah Maryam: 58)

Firman ALLAH memuji orang-orang soleh pula: (maksudnya) ..sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud.

Sambil mereka berkata (dalam sujudnya): “Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana.

Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang al-Quran menambahkan mereka khusyuk” (Surah al-Isra`: 107-109)

Al-Quran juga mengutuk mereka yang keras jiwa mempersenda dan tidak menangis terhadap ayat-ayat ALLAH.

Firman ALLAH: (maksudnya) “maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan ini (al-Quran)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis?”. (Surah al-Najm: 59-60)

Berusaha
Kita hendaklah berusaha agar dapat menangis kerana takut dan juga kerana rindukan ALLAH. Rindukan Tuhan itu suatu nikmat yang amatlah rugi sesiapa yang tidak pernah merasainya. Rindu itu membersihkan jiwa dari kekotoran yang menyalutinya.

Ia adalah ubat kepada segala dukacita dunia. Apabila rindu itu menyelinap masuk ke dalam jiwa, ia bagaikan satu sentapan yang mengeluarkan dunia dari perasaan, yang menjelma ialah lautan kenikmatan rohani yang tidak dapat digambarkan oleh bahasa.

Airmata kusyuk itu amat segar dan menyejukkan jiwa. Nikmat inilah yang disebut oleh para ulama salaf. Nikmat inilah yang selalu dibayangkan oleh golongan sufi yang luhur.

Nikmat inilah yang dirasai oleh sesiapa yang mengikut jalan salafus soleh dengan ikhlas dan mencari hidayah ALLAH.

Setiap insan hendaklah berusaha mencapai keadaan itu. Walaupun ia kadang-kala hanya hadir dalam waktuwaktu tertentu, namun ia adalah amat bermakna untuk jiwa.

Bukan semua orang lunak jiwanya sehingga takut dan rindukan ALLAH.

Dalam hadis, Nabi SAW menyebut tujuh golongan yang mendapat perindungan ALLAH pada hari akhirat kelak, salah satunya: “lelaki yang mengingati ALLAH secara sendirian lalu matanya menangis”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata Abdullah bin ash-Shakhir: “Aku masuk kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW sedang bersolat, dalam dada Baginda bagaikan bekas air yang mendidih kerana menangis" (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dll. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menilainya sahih).

Menangislah
Maka menangislah wahai mata!

Berusahalah menangis untuk mencapai tangisan nikmat itu. Berusahalah menangis untuk mencapai rasa takut kepada ALLAH atas kekurangan diri terhadap hak-hak ALLAH yang kita telah cabul ataupun kurangkan.

Malu kepada ALLAH. Rasa bersalah terhadapNya. Rindukan cintaNya dan gerunkan kebesaranNya. Dalam kalangan salafussoleh ada menyebut: “Menangislah kerana takutkan ALLAH. Jika engkau tidak menangis, berusahalah menangis”. (Zaad al-Ma’ad, 1/185)

Saya suka dengan kisah Salman al-Farisi sebelum beliau meninggal. Ketika dia dalam kesakitan, Sa’ad bin Abi Waqqas menziarahinya. Salman menangis. Sa’ad bertanya: “Apakah yang membuat engkau menangis wahai saudaraku? Tidakkah engkau telah bersahabat dengan Rasulullah SAW.

Tidakkah ini dan itu telah kau lakukan?” Jawab Salman: “Daku tidak menangis kerana salah satu dari dua perkara. Aku tidak menangis kerana cintakan dunia ataupun bencikan akhirat.

Namun daku menangis kerana mengenang Rasulullah SAW telah berjanji denganku satu perjanjian yang mana aku berpendapat aku telah melanggarnya”.

“Apakah yang Rasulullah SAW janji dengan engkau” Tanya Sa’ad. Jawab Salman: “Baginda SAW berjanji bahawa cukuplah seseorang kamu mengambil dunia dengan kadar seorang pengembara.

Daku rasa daku telah melanggarnya”. (Riwayat Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Hadis sahih) Padahal, dalam Sahih Ibn Hibban diriwayatkan Salman meninggal hanya lima belas dirham sahaja yang berbaki dari hartanya.

Kita semua patut menangis dibandingkan Salman al-Farisi sahabi Nabi SAW yang mulia itu. Menangis mengenang diri kita dan kekurangan yang kita lakukan terhadap hak-hak ALLAH.

Menangislah wahai mata! Di sana engkau temui nikmat hubunganmu dengan tuhanmu

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN 
http://www.sinarharian.com.my/rencana/menangislah-wahai-mata-1.262542

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...