Jumaat, 8 April 2011

DENGARKANLAH AZAN ITU, IA MUNGKIN YANG TERAKHIR!

Rencana Al Islam Oktober 2010
Oleh: Norimanah Seman

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar!
Ashhadu an la ilaha illallah, Ashhadu an la ilaha illallah !,
Ashadu anna Muhammadar Rasulullah, Ashadu anna Muhammadar Rasulullah,
Hayya’ala-s-solah, Hayya’ala-s-solah!,
Hayya’alal-falah, Hayya’alal-falah!,
Allahu Akhbar, Allahu Akhbar,
La ilahaillaallah!.

Dengarkanlah azan itu sambil pejamkan mata mu dan kunci rapat mulutmu supaya tidak ada satu perkataan yang keluar. Rasakan apa kesannya. Bukankah seruan suci itu terasa seperti terus menikam ke jantung.

Kemudian di satu sudut yang lain pula…seorang datuk memarahi cucunya tika muazin sedia melaungkan azan. Katanya,”Duduk diam, jangan cakap apa-apa masa azan.” Duduklah dua beradik menanti hingga azan berakhir. Kemudian berjemaah bersama jiran-jiran sekampung. Selesai solat datuk berpesan sekali lagi,” Ingat ya, bila azan jangan bercakap.” Kemudiaan si cucu membalas serentak,”Kenapa atuk?” Datuk menjawab ringkas,” Nanti nak mati tidak pandai mengucap.” Takutnya perasaan ketika itu apabila mendengar alasan atuk.

Soal azan dan tidak boleh bercakap berhenti di situ. Puas dicari jawapannya mengapa tidak boleh bercakap namun tidak ada yang pasti. Apa yang diberikan oleh guru-guru agama, ia sebagai tanda menghormati azan. Pesan atuk, jangan bercakap nanti tidak boleh mengucap, langsung tidak timbul.

Pencarian itu membawa AL ISLAM kepada seorang pengkaji al-Quran dan hadis dari sudut saintifik, Dr. Azhar Sarip. Melalui kajian itu juga satu terapi diperkenalkan iaitu terapi azan.


Dr. Azhar melihat azan dari sudut gelombang otak.
Hasil kajiannya memberangsangkan, kerana azan bukan sekadar seruan solat tetapi lebih dari itu. Azan member impak yang besar di dalam kehidupan manusia. Bahkan sesuatu yang cukup indah, sukar digambarkan dengan kata-kata. Jelasnya, kebanyakan orang Islam tidak perasan, azan boleh member kesan yang besar di dalam kehidupan.

“Saya mengambil azan sebagai asas di dalam kehidupan kerana permulaan manusia melihat dunia dimulakan dengan azan. Banyak peristiwa yang berlaku di sekeliling kita yang memperlihatkan azan itu satu yang ajaib dan indah. Antaranya, kisah salah seorang mangsa yang terselamat dari bencana tsunami Acheh. Mangsa itu melihat ibunya dihanyutkan air, tinggallah dia seorang diri dihanyutkan ombak besar.”

Ketika itu barulah dia teringat pesan emaknya supaya melaungkan azan jika ditimpa musibah. Lantas selesai azan dilaungkan, dia sudah terdampar di atas kapal besar yang dibawa hanyut hingga ke tengah-tengah Bandar Aceh, ujarnya.

Tambahnya lagi, “ Saya menyaksikan satu peristiwa iaitu jiran saya lemas di lombong. Setelah usaha bomba mencarinya menemui jalan buntu lalu dilaungkan azan. Mayat mangsa lemas itu timbul ke permukaan air selesai saja azan. Dari situ saya melihat azan ini adalah suatu yang luar biasa.” Ceritanya.

KENAPA BAYI BARU LAHIR DIAZANKAN?
Bila menyentuh soal azan kebanyakan orang hanya tahu dua perkara iaitu azan adalah seruan penanda masuk waktu solat dan untuk bayi baru lahir. Kenapa bayi baru lahir harus diazankan? Mungkin ada yang menjawab kerana nabi buat begitu, maka ia disunatkan.

Kajian Dr. Azhar bermula dari titik ketika seorang manusia dilahirkan ke dunia iaitu bayi. Azan adalah usaha bapa untuk memasukkan pesanan tentang keagungan Allah terus kepada gelombang bawah sedar atau minda bawah sedar bayi itu. Tujuannya,supaya bayi itu nanti faham apa saja di dalam hidup ini akan kembali kepada kebesaran Allah kemudian kalimah syahadat pula menyatakan kesaksian bahawa Allah itu Esa.


Tambah Dr. Azhar, azan adalah formula besar di dalam hidup. Apabila terdengar laungan ALLAHU AKHBAR ALLAHU AKHBAR! Ia satu kaedah untuk manusia merasai kebesaran Allah dan merasa Allah itu wujud. Di dalam azan itu terletaknya asas sifat 20. Meletakkan rasa cinta dan sayang kepada Allah. Manakala Syahadah, kesaksian kepada Tuhan yang Esa dan Rasulullah pesuruh Allah. Pengertiannya, apabila berpegang kepada sunnahnya maka akan selamat dunia dan akhirat.

“ Kemudian kita melihat Hayya’alassolah, disambut oleh orang yang mendengar azan “ La haula wala quwwata illa billah”. Yang bermaksud “ tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”. Perkataan “ala-s-solah”, maksud ‘al’ adalah the iaitu definite atau ditentukan. Maknanya bila solat, kita harus solat dalam gelombang otak yang tertentu.

Solat kita mesti berada di dalam gelombang theta iaitu gelombang rendah. Begitu juga azan berada di dalam gelombang theta. Gelombang yang rendah , tenang dan zon makbul doa. Sebab itulah apabila azan, dikehendaki diam kerana ketika itulah makbul doa. JANGAN lepaskan peluang untuk meminta dari Allah ketika itu kerana itu lebih baik daripada bercakap kosong ketika azan,” jelasnya.

AZAN STABILKAN GELOMBANG DUNIA
DR. AZHAR menjelaskan, azan yang dilaungkan muazin bukan sekadar untuk menyeru solat tetapi bertindak sebagai penstabil gelombang dunia. Gelombang azan rendah, sedangkan gelombang dunia tinggi. JADI AZAN YANG MENSTABILKANNYA balik supaya dunia menjadi tempat yang selesa untuk dihuni. Andainya suatu hari nanti sudah tidak ada lagi azan dilaungkan, maka gelombang dunia ini akan menjadi semakin tinggi dan macam-macam akan berlaku.

Suatu masa dulu, kajian yang dilakukan mendapati, semua pokok dan alam ini berada pada tahap gelombang alpha. Sebab itu apabila berada di kawasan yang di kelilingi pokok kita akan merasa tenang.
Sekarang keadaan telah berubah apabila pokok-pokok sudah ditebang dan binatang banyak yang pupus menyebabkan manusia berada di dalam gelombang stress. Sebab itulah setiap hari banyak orang yang stress.

Menurutnya lagi, secara asasnya manusia mengeluarkan empat gelombang tanpa gagal setiap hari iaitu gelombang beta, alpha, theta dan delta. Sekarang ini keadaan sudah berubah. Dianggarkan hampir 90 peratus populasi di dunia berada di dalam gelombang beta. Gelombang yang stress, buntu dan segala perkara yang negatif.

Semua perkara ini berlaku kerana orang Islam tidak pernah faham. Allah menyayangi hambaNya. Melalui azan Allah kirimkan rasa sayangnya kerana azan itu terletak di dalam gelombang theta iaitu gelombang makbul doa dan zon ketenangan.

ATURANNYA BEGINI,……………………………………………..
semua manusia berada di dalam gelombang beta iaitu gelombang yang tinggi.
Kemudian apabila masuk saja waktu solat, kita mengambil wuduk masa itu gelombang akan turun ke alpha.

KEMUDIAN APABILA AZAN,………………………………………
gelombang it terus turun kepada gelombang theta. Sebab itulah kita digalakkan solat tepat pada waktunya sewaktu gelombang theta supaya lebih khusyuk.

“Ketika azan juga dikehendaki supaya jangan bercakap, sebaliknya menghayati. Semua itu ada sebabnya. Ia ada kaitan dengan gelombang theta. Sebabnya ketika badan berada di dalam gelombang theta tiga hormon penting iaitu melatonin, endrofin dan serotonin akan dirangsang keluar. Hormon inilah yang mempengaruhi tahap kesihatan mental dan fizikal manusia,” jelasnya.

AZAN TANDA SAYANG ALLAH
Setelah memahami kedudukan azan dari sudut sains, barulah solat akan menjadi lebih khusyuk. Setiap orang mula faham, melakukan solat adalah kerana rasa cinta kepada Allah dan bukan kerana terpaksa.

Menurut Dr. Azhar, Allah terlalu sayangkan hambaNya dan diberi peluang setiap orang menikmati gelombang theta bukan saja pada azan tetapi pada waktu subuh, dhuha dan asar. Itulah zon makbul doa. Kemudian Allah berikan kepada orang Islam untuk duduk selama sebulan di dalam gelombang theta, iaitu pada bulan Ramadan. Sebab itulah orang yang berdoa ketika ia berpuasa, akan dimakbulkan doanya selain dari sudut kesihatannya, memang sudah dibuktikan manfaatnya.

“Azan adalah penyelesai banyak masalah dari penyakit luaran hinggalah rohani dan ketika menghadapi musibah. Sebab itu di dalam Islam apabila ditimpa musibah dianjurkan untuk ucapkan INNALILLAH….iaitu kembali kepada Allah ataupun azan. Ini kerana gelombang rendah mempunyai tenaga yang paling kuat. Orang yang sedang buntu fikirannya akan merasa tenang dan kuat jiwanya untuk menyelesaikan masalah.

Azan itu merangsang otak kanan dan menguatkan jiwa.

“ALLAH tidak berikan sesuatu itu termasuk azan dengan sia-sia atau memusnahkan kita. Ada hikmah di sebaliknya yang perlu dikaji dan ambil berat untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat,” katanya.


SOLAT PADA GELOMBANG THETA
Berbalik semula pada solat yang seharusnya terletak di dalam gelombang theta.
HASIL KAJIAN yang dilakukan mendapati bahawa solat yang berada pada tahap gelombang theta akan menyebabkan TIGA PERKARA. Menurut Dr. Azhar, perkara PERTAMA yang berlaku ialah hormon MELATONIM akan dibebaskan. Hormon itu adalah pengawal segala pengawal atau bertindak sebagai pengawal trafik. Tugasnya mengawal semua benda di dalam badan seperti tidur, mengawal tekanan dan mengoksidasikan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan.

“Secara mudahnya begini. Jika anda kena kanser, itu bermakna ‘pegawai trafik’ tidak pandai mengawal lalu lintas, menyebabkan sel berlanggar sesama sendiri. Melatonim tidak mampu lagi mengawal sel. Sebab itulah apabila orang yang menghidap kanser tahap satu dan dua saya akan suruh mereka amalkan azan dahulu kerana ia akan menurunkan gelombang otak supaya melatonim boleh dikeluarkan.”

Yang KEDUA, ENDROFIN, iaitu morfin semula jadi manusia. Perhatikan pesakit di hospital, jika bertindak ganas, gelisah, kelam kabut dan sakit doktor hanya suntikkan morfin supaya kita tenang dan tidur. Tapi sebenarnya kita sudah ada morfin semula jadi yang dikeluarkan dari otak.

Soalnya kenapa kita tidak boleh keluarkan morfin itu supaya kita jadi tenang?
Kerana solat kita selalu di dalam keadaan lalai dan mengambil mudah soal azan.”


“AKHIR sekali SEROTONIM atau AGEN CERIA.
Jika tidak cukup hormon ini di dalam badan, akan jadi murung, dan boleh membunuh diri. Untuk mengawal rembesan hormon itu, juga boleh dilakukan dengan solat dan azan pada tahap khusyuk.” Jelasnya.
Sambungnya lagi, yang menjadi masalah, semua hormon itu tidak seimbang di dalam badan. Itulah yang menimbulkan pelbagai masalah di dalam hidup termasuk penyakit dan perasaan negatif.

SEBENARNYA ALLAH TELAH BERIKAN CARA UNTUK MENGAWAL SEMUA HORMON DI DALAM BADAN IAITU DENGAN CARA SOLAT DAN PENGHAYATAN AZAN.

Dr.Azhar menyatakan bahawa kebanyakan orang sekarang mendirikan solat di dalam gelombang beta, iaitu melakukanya di dalam keadaan kelam kabut dan lalai. Badan yang berada di dalam gelombang beta iaitu gelombang tinggi, akan menyebabkan stress, tertekan dan kelam kabut.

“HANYA DENGAN SOLAT DAN AZAN SAJA GELOMBANG ITU BOLEH DITURUNKAN KE TAHAP THETA SECARA SEMULA JADI
.”

wallaualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...