Jumaat, 29 April 2011

Kisah Seorang Pemuda Yang Menikahi Wanita “Buta, Tuli, Bisu dan Lumpuh”

Seorang lelaki yang soleh bernama Tsabit bin Ibrahim sedang berjalan di pinggiran kota Kufah. Tiba-tiba dia melihat sebiji epal jatuh keluar pagar sebuah kebun buah-buahan. Melihat epal yang merah ranum itu membuat Tsabit teringin untuk memakannya. Tambahan pula ketika itu panas dan dia kehausan. Tanpa berfikir panjang dipungut dan dimakannyalah buah epal itu. Akan tetapi baru separuh epal itu dimakan, tiba-tiba dia teringat bahawa epal bukan miliknya dan dia belum mendapat izin pemiliknya.

Maka dia segera pergi ke dalam kebun buah-buahan itu untuk menemui pemiliknya dan meminta dihalalkan buah yang telah dimakannya. Di dalam kebun itu dia bertemu dengan seorang lelaki. Lalu dia pun berkata, “Aku sudah makan setengah dari buah epal ini. Aku berharap tuan menghalalkannya”. Orang itu menjawab, “Aku bukan pemilik kebun ini. Aku Khadamnya yang ditugaskan menjaga dan mengurus kebunnya”.

Dengan nada menyesal Tsabit bertanya lagi, “Di mana rumah pemiliknya? Aku akan menemuinya dan minta agar dihalalkan epal yang telah aku makan ini.” Pengurus kebun itu memberitahunya, “Jika engkau ingin pergi ke sana maka engkau harus menempuh perjalanan sehari semalam”.

Tsabit bin Ibrahim bertekad akan pergi menemui tuan pemilik kebun itu. Katanya kepada orang tua itu, “Tidak mengapa. Aku akan tetap pergi menemuinya, meskipun rumahnya jauh. Aku telah memakan epal yang tidak halal bagiku kerana tanpa izin pemiliknya. Bukankah Rasulullah s.a.w. sudah memperingatkan kita melalui sabdanya: “Siapa yang tubuhnya tumbuh dari yang haram, maka ia lebih layak menjadi umpan api neraka”

Tsabit pergi juga ke rumah pemilik kebun itu, dan setiba di sana dia terus mengetuk pintu sambil memberi salam dengan sopan,sambil berkata,” Wahai tuan yang pemurah, saya sudah terlanjur makan setengah dari buah epal tuan yang jatuh ke luar kebun tuan. Kerana itu mahukah tuan menghalalkan apa yang sudah ku makan itu?”

Lelaki tua yang ada di hadapan Tsabit mengamatinya dengan cermat. Lalu dia berkata tiba-tiba, “Tidak, aku tidak boleh menghalalkannya kecuali dengan satu syarat.” Tsabit merasa khawatir dengan syarat itu kerana takut dia tidak dapat memenuhinya. Maka segera dia bertanya, “Apakah syarat itu tuan?” Orang itu menjawab, “Engkau harus mengawini putriku !”

Tsabit bin Ibrahim tidak memahami apa maksud dan tujuan lelaki itu, maka dia berkata, “Apakah kerana hanya aku makan setengah buah epalmu dari kebunmu, aku harus mengkahwini puterimu?”

Pemilik kebun itu tidak mempedulikan pertanyaan Tsabit. Malah dia terus sahaja berkata , “Sebelum pernikahan dilakukan engkau harus tahu dulu kekurangan-kekurangan puteriku itu. Dia seorang yang buta, bisu, dan tuli. Lebih dari itu ia juga seorang yang lumpuh!”

Tsabit amat terkejut dengan keterangan pemilik kebun. Dia berfikir di dalam hatinya, apakah wanita seperti itu patut dia persunting sebagai isteri gara-gara setengah buah epal yang tidak dihalalkan kepadanya? Kemudian pemilik kebun itu menyatakan lagi, “Selain syarat itu aku tidak boleh menghalalkan apa yang telah kau makan !”

Tsabit kemudian menjawab dengan yakin, “Aku akan menerima pinangannya dan perkahwinanya. Aku telah bertekad akan mengadakan pertukaran dengan Allah Rabbul ‘alamin. Untuk itu aku akan memenuhi kewajipan-kewajian dan hak-hakku kepadanya kerana aku amat berharap Allah selalu meredhaiku dan mudah-mudahan aku dapat meningkatkan kebaikan-kebaikanku di sisi Allah Ta’ala”.

Maka pernikahan pun dilaksanakan. Pemilik kebun itu menyediakan dua orang saksi yang akan menyaksikan pernikahan tersebut. Seusai majlis pernikahan, Tsabit dipersilakan masuk menemui isterinya.

Sewaktu Tsabit hendak masuk kamar pengantin, dia berfikir akan tetap mengucapkan salam walaupun isterinya tuli dan bisu, kerana bukankah malaikat Allah yang berkeliaran dalam rumahnya tentu tidak tuli dan bisu juga. Maka iapun mengucapkan salam, “Assalamu”alaikum…”
Tidak disangkanya sama sekali wanita yang ada di hadapannya iaitu isterinya itu menjawab salamnya. Ketika Tsabit masuk hendak menghampiri wanita itu , dia mengulurkan tangan untuk menyambut tangannya. Sekali lagi Tsabit terkejut kerana wanita yang itu menyambut huluran tangannya.

Tsabit merasa hairan. “Ayahnya mengatakan bahawa wanita itu tuli dan bisu tetapi ternyata dia menjawab salamnya dengan baik. Jika demikian bererti wanita yang ada di hadapanku ini dapat mendengar dan tidak bisu. Ayahnya juga mengatakan bahawa dia buta dan lumpuh tetapi ternyata dia menyambut kedatanganku dengan ramah dan mengulurkan tangan dengan mesra pula”, Kata Tsabit dalam hatinya. Tsabit berfikir, mengapa ayahnya menyampaikan berita-berita yang bertentangan dengan yang sebenarnya?

Setelah Tsabit duduk di samping isterinya, dia bertanya, “Ayahmu mengatakan kepadaku bahawa engkau buta. Mengapa?” Wanita itu kemudian berkata, “Ayahku benar, kerana aku tidak pernah melihat apa-apa yang diharamkan Allah”. Tsabit bertanya lagi, “Ayahmu juga mengatakan bahawa engkau tuli, mengapa?” Wanita itu menjawab, “Ayahku benar, kerana aku tidak pernah mahu mendengar berita dan cerita orang yang tidak membuat redha Allah."

Ayahku juga mengatakan kepadamu bahawa aku bisu dan lumpuh, bukan?” Tanya wanita itu kepada Tsabit. Tsabit mengangguk perlahan mengiyakan pertanyaan isterinya. Selanjutnya wanita itu berkata, “Aku dikatakan bisu kerana dalam banyak hal aku hanya menggunakan lidahku untuk menyebut asma Allah Ta’ala saja. Aku juga dikatakan lumpuh kerana kakiku tidak pernah pergi ke tempat-tempat yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah Ta’ala”.

Tsabit amat bahagia mendapat seorang isteri solehah dan wanita yang memelihara dirinya. Dengan penuh syukur dia berkata tentang isterinya, “Ketika kulihat wajahnya… Subhanallah, dia bagaikan bulan purnama di malam yang gelap”.

Tsabit dan isterinya yang solihah dan cantik itu hidup rukun dan berbahagia. Tidak lama kemudian mereka dikurniakan seorang putera yang ilmunya memancarkan hikmah ke seluruh penjuru dunia, Beliau adalah Al Imam Abu Hanifah An Nu’man bin Tsabit.

Penulis: ahmadriyadhmz

1 ulasan:

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...