Isnin, 12 September 2011

BENTUK PERIBADI ISLAM MELALUI TADARUS AL-QURAN



Datuk Harun Taib   
Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan 
umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan
 kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan 
 Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang
 yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam 
bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada 
setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran 
dengan baginda." (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari 
rumah-rumah Allah - mereka membaca kitab Allah dan 
bertadarus di antara mereka - melainkan turun kepada 
 mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat,
 dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala
 dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya."
 (Hadis riwayat Abi Daud).
Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab Aunul Ma'bud
maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca 
al-Quran di antara satu sama lain.
Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang 
diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar 
inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. 
Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah 
yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur 
dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan 
bermanfaat kepada orang lain.
Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak
 akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan 
amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan 
 kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan 
limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada tadarus 
ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang 
istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang 
tidak bertadarus.
Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan
al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan 
 jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. 
Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. 
Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga 
digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya 
menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai 
generasi al-Quran yang unik.
Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi 
kandungan al-Quran merupakan satu penyakit yang 
wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian
 muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan
 dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul:
 "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan
 Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai".
(Al-Furqan: 30).

Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran 
sebagaimana firman Allah s.w.t  di dalam surah al-Jumuah 
ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang
 rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka
 sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,
menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka 
Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka
benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan 
ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila
 alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada
 sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu
 lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar
 al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Abdur
 Rahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman 
jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.
Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu
 amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh 
 umat Islam khususnya para pendokong pejuang
 Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui 
al-Quran itu sendiri.
Wallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SIFAT KEMURAHAN ALLAH

D i antara nama dan sifat Allah SWT adalah “Rahman”, “Rahim”, "Hannan", "Mannan", "Kareem" yang menunjukkan pa...