Isnin, 11 Jun 2012

KEWAJIPAN UMAT TERHADAP AL-QURAN


Gambar hiasan

Risalah dari Prof. Dr. Muhammad Badi’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin

Segala puji hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikutinya dengan baik sehingga hari Kiamat.

Al-Quran adalah perlembagaan yang menyeluruh kepada hukum Islam, sumber yang melimpahkan segala kebaikan dan hikmah ke atas hati para mukmin dan sumber yang paling utama yang mendekatkan hamba kepada Allah SWT.

Dari Ibn Mas’ud r.a dari Nabi saw yang bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya Al-Quran ini adalah “hidangan” dari Allah. Terimalah hidangan ini dengan kamu “memakannya”. Al-Quran ini adalah tali Allah, cahaya yang terang, penyembuhan yang berguna, penjaga kepada orang yang berlindung dengannya dan penyelamat kepada orang yang mengikutinya”. (Al-Hakim)

Al-Quran menghimpunkan usul akidah, perintah-perintah beribadah, asas-asas kemaslahatan masyarakat dan keterangan-keterangan peraturan duniawi. Di dalamnya terkandung perintah dan larangan. Semuanya adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia tanpa membezakan agama, warna kulit, keturunan, bahasa dan kedudukan.

Kewajipan orang Islam terhadap Al-Quran 

Imam Al-Banna telah merumuskan kewajipan muslimin terhadap Al-Quran dengan katanya: “Saya menyakini bahawa kewajipan yang paling utama umat Islam terhadap Al-Quran ada tiga perkara:

Memperbanyakkan membacanya kerana hasil dari pembacaan Al-Quran akan menggiatkan lagi ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Menjadikan Al-Quran sebagai sumber hukum agama dan syariatnya. Melalui Al-Quran segala hukum diambil, digunakan, dihirup dan dipelajari.
Menjadikan Al-Quran sebagai asas kepada hukum dunia, kerana melaluinya dikembangkan lagi asasnya dan dari segala hikmahnya diaplikasi dan dipraktikkan dalam kehidupan.

Al-Quran pada satu ketika dahulu sebagai perhiasaan solat tetapi kini sebagai perhiasaan majlis. Satu ketika dahulu sebagai timbangan keadilan di mahkamah tetapi kini sebagai hiburan yang sia-sia pada musim tertentu. Satu ketika sebagai bahan utama dalam ceramah dan pengajian tetapi kini sebagai barang perhiasan dan tangkal azimat..

Jika anda telah mengetahui hal ini..Ketahuilah bahwa Ikhwan Muslimin sedang berusaha bersungguh-sungguh supaya diri mereka sebagai pihak yang mula-mula sekali kembali kepada Kitab Allah, sentiasa membacanya, mengambil kata-kata para sarjana Islam untuk memahami ayat-ayatnya, meminta manusia melaksanakan hukumnya, mengajak manusia bersama-sama mereka untuk mencapai matlamat ini yang merupakan matlamat yang teragung bagi seorang muslim di dalam hidup..Iaitu meletakkan hak al-Quran sebagai perlembagaan kita dan perlembagaan umat.

Imam As-Syahid Hassan al-Banna pernah berpesan kepada Ikhwan Muslimin dengan katanya: 

“Wahai Ikhwan, anda bukanlah sebuah badan kebajikan atau parti politik, bukan pertubuhan setempat bagi melaksanakan tujuan yang tertentu dan terbatas. Tetapi anda bagaikan ruh baru yang mengalir di dalam jantung umat ini yang dihidupkan oleh al-Quran, suatu cahaya baru yang menyinari alam yang melenyapkan kegelapan kebendaan dengan mengenali Allah, suatu suara yang kuat dan berulang-ulang yang membawa dakwah Rasul saw. Satu fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa anda kini sedang memikul bebanan ini selepas semua manusia meninggalkan tanggungjawab ini”.

Al-Quran terpelihara di dalam dada, tulisan dan amalan

Firman Allah SWT bermaksud: 
“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya”. (Al-Hijr: 9)

Allah SWT telah menurunkan Al-Quran sebagai Kitab yang terakhir diturunkan dari langit supaya menjadi petunjuk kepada manusia sehingga hari Kiamat. Kemudian Allah berjanji untuk memeliharanya dan menjaganya kerana Al-Quran tetap terpelihara dan terjamin dari sebarang perubahan. Firman Allah SWT bermaksud:

“Yang tidak datang kepadanya (Al Quran) kebatilan baik dari depan maupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji”. (Fushilat: 42)

Berdasarkan hakikat ini terbukti pemeliharaan Allah SWT terhadap Al-Quran. 

Dari Yahya bin Aktsam berkata: “Semasa Khalifah al-Ma’mun berada dalam satu majlis yang dihadiri ramai orang termasuk sekumpulan lelaki Yahudi. Seorang lelaki Yahudi telah menyampaikan ucapan dengan kata-kata yang baik. Yahya berkata: “Setelah majlis tamat al-Ma’mun memanggilnya sambil bertanya: “Adakah anda seorang seorang Yahudi? Jawabnya: Ya. Al-Ma’mun bertanya lagi: “Adakah anda telah Islam supaya saya melayanimu dan memberi khidmat terbaik untukmu”. Beliau juga menjanjikan sesuatu. Lantas lelaki Yahudi itu berkata: “Agama saya seperti agama nenek moyang saya!”. Kemudian ia beredar.

Menurut Yahya; Setelah selang setahun lelaki Yahudi itu datang menemui kami dalam keadaan telah Islam. Beliau tentang berbicara ilmu Fiqh dengan begitu baik sekali. Bila majlis selesai Khalifah al-Ma’mun memanggilnya sambil bertanya: “Adakah kita pernah bersua muka?. Jawab lelaki itu: “Tentu”. Lantas al-Ma’mun bertanya lagi: “Apakah sebab anda memeluk agama Islam?”. Cerita lelaki Yahudi itu: “Selepas saya beredar dari majlis tuan saya ingin menguji agama-agama ini. Tentu tuan akan lihat saya sebagai penulis yang baik. Saya telah ambil Taurat, lalu saya tulis tiga helai di mana ada yang saya tambah dan ada saya kurangi. Kemudian saya masuk ke kuil dan mereka membelinya dari saya. Saya telah ambil Injil, lalu saya tulis tiga helai di mana ada yang saya tambah dan ada yang saya kurangi. Kemudia saya masuk ke tempat jualan dan mereka membelinya dari saya. Kemudian saya ambil al-Quran, lalu saya tulis tiga helai di mana ada yang saya tambah dan ada yang saya kurangi. Saya memasukkan dua kertas ke dalamnya dan menutupnya. Tetapi bila mereka dapati terdapat tambahan dan kekurangan, mereka mencampakkannya dan tidak membeli dari saya. Kini saya tahu bahawa Kitab ini terpelihara. Inilah sebab saya memeluk Islam”.

Al-Quran dipelihara dalam tiga bentuk

Al-Quran dihafaz di dada. Inilah yang asal kerana al-Quran diterima secara talaqqi mushafahah (dari mulut ke mulut). Jibril a.s telah membacakan wahyu kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah saw pula membacakan kepada para Sahabat r.a, kemudian para Tabien menerimanya dari para Sahabat. Begitulah silsilah yang bersambungan hingga hari ini dan hingga hari Kiamat. 

Al-Quran dipelihara melalui tulisan. Nabi saw pada ketika turun satu atau beberapa ayat menyuruh penulis wahyu supaya menulis ayat di tempatnya dalam surah tertentu. Lembaran-lembaran ini tercerai-cerai hingga dihimpunkan oleh Khalifah Abu Bakar r.a di dalam satu tempat, kemudian datang Khalifah Uthman r.a selepas itu dengan membukukan dan mengedarkan ke beberapa wilayah.

Al-Quran terpelihara kerana diamalkan. Iaitu menjadikan al-Quran sebagai manhaj hidup muslim seperti individu dalam diri dan keluarganya yang mempraktikkan hukumnya dengan menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, beradab dengan adab dan akhlaknya seperti akhlak Nabi saw. Saidatina Aisyah r.a pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah saw. Lantas Aisyah bertanya: “Adakah anda membaca al-Quran?”. Lalu Sahabat menjawab: “Tentu”. Jelas Aisyah lagi: Sesungguhnya akhlak Nabi saw adalah al-Quran”. (Sahih Muslim)

Di peringkat Negara yang menjadikan Islam sebagai agamanya hendaklah menjadikan Al-Quran sebagai asas undang-undangnya dan sumber syariat yang utama, sebagai neraca keadilannya di mahkamah dan menjadikan Al-Quran antara asas manhaj pendidikan dalam semua peringkat pembelajaran.

Begitu juga wajib bagi sebuah Negara mengetahui bahawa mana-mana fasal dalam perlembagaan yang tidak dicorakkan dari Islam dan menepati hukumnya wajibkah dibuang supaya tiada lagi pertentangan dalam undang-undang bagi sebuah Negara.


Titik tolak yang asasi bagi mencapai perubahan yang diidamkan

Firman Allah SWT bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. (Ar-Ra’d: 11)

Ayat ini adalah titik tolak yang asasi bagi mencapai perubahan yang diidamkan. Melalui ayat ini tercapai kesejahteraan dalam naungan Islam..kerana muslimin generasi awal selama hampir satu perempat kurun telah mengecapi kemenangan ke atas musuh mereka. Sedangkan mereka pada masa itu bukan mempunyai bilangan yang ramai atau kelengkapan yang kuat, tetapi Al-Quran turun melalui Jibril a.s ke dalam lubuk hati yang jujur lagi amanah. Lalu Nabi saw membacakannya kepada para Sahabat sehingga mengalir suatu ruh dan semangat baru sehingga menjadikan mereka suatu makhluk yang lain. Mereka sanggup mengorbankan diri kerana bagi mereka tiada tujuan lain melainkan keredhaan Allah SWT.

Firman Allah bermaksud:
“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya”. (Al-Baqarah: 207)

Al-Quran telah mengubah jiwa para Sahabat. Lantas mereka telah memusnahkan seluruh berhala yang mereka agungkan selama ini. Kini mereka beriman dengan satu Tuhan. Tidak menyembah selain-Nya, tidak tunduk selain-Nya dan tidak takut selain-Nya.

Bagi mereka dunia bukan impian mereka lagi sebaliknya akhirat adalah cita-cita dan harapan mereka dengan berpegang kepada perjanjian ini:

“Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh”. 
(At-Taubah: 111)

Di Gaza terbukti keteguhan dan kemulian ini. Rahsianya yang utama adalah ruh Al-Quran yang mengalir di dalam jiwa-jiwa mereka kerana memperolehi kekuatan daripada Allah, SWT bersenjatakan dengan sifat sabar dan cekal hati yang dihirup daripada al-quran yang sentiasa memperbaharui iman mereka. Melalui iman dan keyakinan ini mereka sama sekali tidak mengiktiraf Israel, tidak takut Amerika, tidak gentar banyak dan kuatnya seruan supaya menyerah kalah. Mereka tidak mengendahkannya. Bahkan mereka terus menuntut hak mereka sepenuhnya, meminta dikembalikan tanahair mereka seluruhnya. Mereka sedikitpun tidak berasa lemah dan putus asa di atas kesusahan dan keperitan yang menimpa mereka di jalan Allah. Alangkah indahnya pendirian mereka ketika ada orang yang mahu membakar satu naskhah Al-Quran yang dicetak di atas kertas dengan mengatakan bahawa mereka mampu mencetak 60,000 naskhah Al-Quran di dada mereka.

Bagaimana mereka tidak mampu melakukannya!!

Al-Quran adalah rahsia kecekalan dan kesabaran mereka, asas keteguhan mereka, sumber kekuatan menghadapi musuh mereka, satu-satunya jalan yang memenangkan mereka terhadap Yahudi, orang yang mengikuti mereka dan orang yang menolong mereka.

Demikianlah kita wajib mengajak orang yang cenderung kepada Al-Quran dan Rasulullah supaya menerima Kitab Allah sebagai hafalan di dada, manhaj di dalam akhlak, payung rumahtangga dan keluarga dan mencontohi Rasulullah dalam ibadah, akhlak, muamalah dan mengikuti jalannya dalam segenap aspek hidup.

Penyakit umat dan penawarnya

Kalau diperhatikan penyakit umat Islam, didapati penyakitnya ialah gemarkan kehidupan dunia, merasa tenang dengannya, selesa dengan suasana yang rosak dan buang masa yang berlebihan dalam hidup. Oleh itu umat tidak merasa gelisah dengan kerosakan, tidak cemas dengan penyimpangan, tidak berani menentang kezaliman yang merebak, tidak mempeduli masalah lain kecuali makanan dan pakaian. Kita perlukan rawatan yang mujarab dan ubat yang berkesan terhadap penyakit ini. Hal ini tidak akan berlaku melainkan dengan pengaruh Al-Quran dan Sirah Nabi sekiranya ada jalan ke dalam hati, kerana kedua-duanya menceritakan pertarungan antara iman dan nifaq, yakin dan ragu, antara yang manfaat yang segera dan negeri akhirat, antara kerehatan tubuh dan kesenangan hati, antara yang hak dan batil, antara keadilan dan kekejaman.

Pertarungan ini telah ditempuh oleh semua nabi pada masanya dan dunia tidak akan selamat melainkan dengan Al-Quran. Ketika itu Al-Quran menjadi satu kurniaan besar bagi kurun pertama dan Islam Berjaya melahirkan suatu dunia baru yang tidak pernah berlaku semenjak dunia silam.

Kesan yang baik dan berkat ini tidak mungkin dapat dicapai di dalam alam realiti melainkan para muslimin memerhatikan makna-makna al-Quran dan mengambil segala hukumnya, mencontohi tindakan nabi mereka dengan menghayati akhlak al-Quran, terkesan di dalam jiwa dan hidup mereka. Dan supaya muslimin mengetahui bahawa kesan Al-Quran di dalam jiwa para mukminin adalah melalui makna-maknanya bukan lagunya dan orang yang membaca serta mengamalkannya. 

Para mukminin menggoncangkan bumi dengan Al-Quran pada hari digegarkan jiwa mereka dengan makna-maknanya, mereka membuka dunia pada hari dibuka hakikat akal mereka, mereka menguasai alam pada hari prinsip-prinsipnya menguasai akhlak dan keinginan mereka. Hanya dengan Al-Quran ini sejarah mampu berulang seperti sirahnya yang pertama. Rasulullah saw menyamakan mukmin yang tidak membaca Al-Quran seumpama tamar yang tiada bau bagi membandingkan mukmin yang membaca Al-Quran mampu memberi kesan kepada orang yang berada di sekitarnya dengan baunya dan bau amalannya yang baik.

Menghayati makna-makna Al-Quran di dalam jiwa, mengubahnya ke dalam realiti yang hidup dan bergerak, mendorong generasi akan datang seperti pemuda di dunia Islam supaya berlumba-lumba menghafaz Al-Quran di dada mereka, menzahirkan kesannya di dalam anggota, tingkah laku, akhlak dan dalam segenap aspek hidup mereka, menyatakan berita gembira tentang hari esok yang gemilang dan masa depan yang menyinar. Justeru orang yang memelihara dan menghafaz Al-Quran sejak zaman kanak-kanaknya tentulah Allah SWT akan memeliharanya, menjadikannya pendokong kebaikan, sumber kebahagiaan kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ketika itu semua orang merasai nikmat keamanan dan kesejahteraan.

Marilah kita menyeru seperti yang dinyatakan Imam al-Banna sejak puluhan tahun lalu dan masih berulang-ulang seruannya di serata pelusuk bumi:

“Wahai Kaum kami, kami memanggil kalian sedangkan Al-Quran di tangan kanan kita dan as-Sunnah di tangan kiri kita, amal para salaf as-soleh yang diikuti oleh sebahagian umat sebagai contoh teladan kita. Kami mengajak kalian kepada Islam, ajaran Islam dan hukum Islam. Seandainya kalian merasakan hal ini sebagai politik, maka inilah politik kami, seandainya orang yang mengajak kalian kepada prinsip ini sebagai politik, maka kami adalah manusia yang paling tulin dalam politik. Seandainya kalian mahu menamakan itu sebagai politik, maka katalah apa sahaja yang kalian inginkan, kerana tidak akan menyusahkan kami apa jua nama bila telah nyata nama dan diketahui matlamat".

Pesan Imam al-Banna lagi: "Agama ini telah tertegak dengan jihad sebelum kalian di atas asas yang kuat daripada iman kepada Allah, zuhud daripada keseronokan dunia yang sementara dan mengutamakan kehidpan akhirat yang kekal, bekorban dengan darah, nyawa dan harta pada jalan membela kebenaran, cintakan mati pada jalan Allah dan berjalan semua itu di atas petunjuk al-Quran. Di atas asas yang kuat inilah kalian mengasaskan kebangkitan, perbaikilah jiwa kalian, tumpukan dakwah kalian dan pimpinlah umat kepada kebaikan. “

Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan Allah pun bersamamu dan dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu”. 
(Muhammad: 35)

Wahai manusia, kita sentiasa bersama Para Sahabat Rasulullah yang pernah mendokong panjinya selepas nabi, kamu angkatlah panjinya sebagaimana para Sahabat mengangkatnya, sebarkanlah sunnahnya sebagaimana para Sahabat menyebarkannya, peliharalah al-Quran sebagaimana para Sahabat memeliharanya, kembangkanlah dakwahnya sebagaimana para Sahabat mengembangkannya dan sebarkanlah rahmat Allah SWT ke seluruh alam. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan Sesungguhnya kamu akan mengetahui (kebenaran) berita Al Quran setelah beberapa waktu lagi”. (Shaad: 88)

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/
http://www.ikhwanonline.com/
www.ikhwanonline.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...