Selasa, 2 April 2013

ADAB BERZIKIR KEPADA ALLAH

ADAB BERZIKIR KEPADA ALLAH
By Ahmad Tajuddin bin Idris al-Manhaji

Gambar hiasan
Di antara DUA syarat sesuatu amalan kebaikan diterima  oleh ALLAH Subhanahu wataala, ialah Pertamanya, IKHLAS kerana ALLAH dan Keduanya dilakukan dengan mencontohi cara Rasulullah SAW. Kedua-dua syarat ini perlaulah terhimpun dalam sesuatu amalan soleh agar tidak ditolak oleh ALLAH .

Jika hanya satu daripada dua syarat ini tidak dipenuhi, maka ia tidak boleh dipanggil amalan soleh.

Kita ambil satu contoh; amalan zikir kepada ALLAH. Zikir adalah satu amalan khusus yang dilakukan  untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Jadi, zikir itu mestilah semata-mata kerana ALLAH bukan bertujuan selain daripada itu.

Lafaz zikir dan kaedah sewaktu berzikir kepada ALLAH itu juga hendaklah sesuai seperti  diajarkan  oleh Nabi SAW sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan baginda. Jika syarat ini dipenuhi, maka amalan ini akan diterima dan menerima ganjaran pahala.

Seperti hadis Nabi SAW; Dari Aisyah RA berkata Rasulullah SAW bersabda; “Sesiapa mengada-adakan yang baru (bidaah) dalam urusan (agama) kami ini, amalan yang bukan bahagian daripadanya; dia tertolak “. ( Riwayat al-Bukhari no. 2550. Muslim no.4586 dan Abu Daud no. 4608)

ZIKIR Berlandas Al-Quran

Sekiranya kita ingin mendekatkan diri dengan ALLAH dengan berzikir hendaklah lafaz zikir diambil seperti yang ALLAH  ajarkan kepada Nabi di dalam al-Quran atau zikir yang Nabi SAW ajarkan kepada sahabat.

Apa-apa zikir yang dikeluarkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah sama ada daripada al-Quran atau hadis Nabi SAW yang sahih, itulah yang menjadi keutamaan untuk diamalkan.

Selain yang datang daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW walaupun kelihatan baik itu hanyalah sangkaan di atas perasaan tanpa neraca ilmu dan kebenaran.

Mana mungkin zikir selain daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW yang lebih utama dan baik. Kadangkala zikir yang direka ini jika dikaji dan diteliti terdapat unsur syirik dan menyalahi manhaj aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Seperti zikir yang ada unsur bertawassul dengan Nabi dan orang soleh yang sudah meninggal dunia. Hal in jelas bercanggah dengan sunah.

Ironinya, kaum Muslimin hari ini lebih suka mengambil zikir yang bukan datang daripada al-Quran  dan sunah. Padahal kalimah zikir yang Nabi ajarkan dan tinggalkan kepada kita semua, jika hendak dihafal dan diamalkan dalam kehidupan seharian pun belum tentu kita dapat menghabiskannya.

Lebih parah lagi hari ini, selain lafaz zikir itu bukan datang daripada Nabi, kaedah dalam  mengamalkannya juga menyanggahi sunah Nabi.

Elak Angkat Suara
Terdapat sebahagian orang Islam yang mendendangkan zikir ini dengan cara dilagukan dan dinyanyikan di atas syubhat nama  qasidah dan nasyid Islami. Sedangkan Nabi, pada sahabat, tabien mahupun ulama mazhab yang empat tidak pernah melakukan sedemikian  apatah lagi menganjurkannya.

Jika kita selusuri perkataan Imam Syafie ketika beliau keluar dari Baghdad, beliau mengatakan: “Aku temui di Baghdad, sesuatu yang disebut sebagai ‘at-Taghbir’ yang direka oleh orang zindiq yang menyibukkan manusia daripada al-Quran” ( Ibnul Jauzi, Talbis Iblis :205 dan majmuk al –Fatawa,11:569 ).

Taghbir adalah dendangan dan nyanyian zikir memuji ALLAH.  Imam Syafie tidak suka dengan amalan taghbir itu kerana ia bidaah lagi mungkar yang direka oleh kelompok sufi dan orang zindik.

Banyak hadis sahih mengajar bagaimana adab dan cara untk berzikir kepada ALLAH.  Di antara adabnya, Nabi melarang umatnya mengangkat suara kuat tatkala berzikir kepada ALLAH.

Seperti kata Abu Musa Al-Asy’ari: “Ketika Rasulullah SAW memerangi atau menuju Khaibar , orang-orang menaiki lembah, lalu mereka meninggikan suara mereka dengan takbir Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Laa ilaaha illa ALLAH  Maka Rasulullah bersabda :”Perlahanlah ! Sesungguhnya kalian tidak menyeru  kepada yang pekak  dan yang tidak ada. Sesungguhnya engkau menyeru (ALLAH) Yang Maha Mendengar dan  Maha Dekat, dan Dia bersamamu.” (Hadis Bukhari dan Muslim).

Menguatkan suara berzikir kepada ALLAH dilarang, inikan pula zikir kepada ALLAH dengan didendangkan, dilagukan dan dinyanyikan berserta alat muzik.

Benar-benar ini adalah satu musibah. Amalan ini benar-benar melalaikan  kaum Muslimin daripada memahami dan mengamalkan zikir yang diajarkan dalam Islam.

Sememangnya manusia akan lalai  dan terpesong daripada landasan ilmu jika nyanyian dijadikan modal untuk menarik manusia.
Wallahua’lam.

Penulis Lulusan Syariahh Fiqh dan Usul (UM)
Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...