Sabtu, 20 April 2013

TOKOH TOKOH ISLAM - Ibn Qayyim

Ibn Bajjah | Ibn Maskawaih | Ibn Haitham | Jabir Ibn Haiyan | Badi'uzzaman Sa'id Nursi | Ibn Rusyd | Al-Ghazali | Al-Farabi | Ibn Tufail | Ibn Qayyim | Al-Biruni | Al-Razi | Ibn Sina | Ibn Khaldun | Malik Ben Nabi
Gambar hiasan
Ibn Qayyim - Menghuraikan falsafah ekonomi Islam

Ibn Qayyim al-Jawziyyah (691/1292 - 751/1350) bukanlah tokoh yang asing dalam kalangan orang Islam, tetapi ramai yang tidak tahu pemikiran dan sumbangannya dalam falsafah ekonomi Islam. Ibn Qayyim banyak membincangkan konsep kekayaan dan kemiskinan, ekonomi dan zakat, konsep faedah, riba al-fadi dan riba al-nasiiah, dan mekanisme pasaran.

Ibn Qayyim atau nama asalnya Shams al-Din Abu 'Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Sa'ad, lahir pada 7 Safar 691H bersamaan 9 Januari 1292M di Damsyik. Beliau meninggal dunia pada tahun 751H/1350M ditempat yang sama. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan. Ayahnya merupakan guru pertama yang mengajar Ibn Qayyim tentang ilmu-ilmu asas Islam termasuk ilmu al-fara'id.

Sebenarnya, beliau telah menuntut pelbagai bidang pengajian dengan beberapa orang ulama terkenal pada waktu remajanya. Antara guru beliau ialah Qadi Sulayman bin Hamzah (711H/1311M), Shaykh Abu Bakr (718H/1318M), al-Majd al-Tunisi (718 H), Abu al-Fath al-Ba'li (709H), al- Saffi al-Hindi (715H), al-Taqi al-Sulayman, Abu Bakr bin 'Abd al-Da'im (718H), Abu Basr bin al-Shirazi (723H), 'Isa al-Mut'im (719H), Isma'il Maktum (716H), dan Ibn Taymiyyah (661 - 728/1263 - 1328).

Antara bidang pengajian yang dipelajari daripada mereka ialah tafsir al-Quran, hadith, usul al-fiqh, dan fiqh. Kesungguhan dan ketekunan Ibn Qayyim mempelajari ilmu dan pelbagai bidang, akhirnya menjadikan beliau terkenal sebagai seorang tokoh dalam bidang fiqh, usul al-fiqh, tafsir, bahasa Arab, ilmu kalam, dan hadith. Malah menurut Ibn 'Imad, Ibn Qayyim merupakan seorang yang alim dalam bidang tasawuf.

Ibn Qayyim sangat terkenal sebagai seorang tokoh ilmuwan pada zamannya dan dapat menguasai pelbagai bidang ilmu. Beliau merupakan salah seorang faqih yang mempunyai autoriti dalam Mazhab Hambali. Ada sesetengah Ulama Sufi menggelarkannya sebagai sufi agong. Beliau juga mempunyai personaliti dan peribadi yang baik yang amat sukar ditandingi oleh orang lain yang semasa dengannya. Ibn Kathir (774H/1373M), salah seorang anak muridnya pernah menyatakan bahawa Ibn Qayyim kuat beribadat dan peribadinya disukai oleh orang ramai pada waktu itu. Antara lain Ibn Kathir menulis, "Aku tidak pernah melihat pada zaman kami ini, orang yang kuat beribadat seperti Ibn Qayyim. Apabila sembahyang, sembahyangnya begitu lama. Beliau memanjang rukuknya dan juga sujudnya."

Selaku seorang ulama yang terkenal, Ibn Qayyim telah didampingi oleh ramai orang yang berguru dan mempelajari pelbagai bidang ilmu dengannya. Antara anak muridnya yang masyhur ialah Ibn Kathir tokoh dalam ilmu hadith dan sejarah, Zayn al-Din Ibn Rajab al- Hambali (795H/1397M) seorang tokoh dalam Mazhab Hambali, dan Ibn Hajar al-'Asqalani (852H/1449M) seorang tokoh hadith yang tidak asing lagi.

Menurut penyelidikan Dr. 'Iwad Allah Jad Hijazi penulisan Ibn Qayyim dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan berjumlah 66 buah. Penulisan itu ada yang berjilid-jilid, ada yang tebal dan ada yang kecil serta ringkas. Dalam bidang tafsir Ibn Qayyim menulis Kitab al'Tibyan fi Iqsam al'Qur'an, Tafsir al Muuawwizatayn, Tafsir Surah al'Fatihah yang terdapat di awal Kitab Madarij al-Salikin, dan lain-lain lagi.

Dalam bidang Hadith, Ibn Qayyim menulis kitab-kitab seperti Tahdhib al-Siman oleh Abu Dawud, al-Wabilal Sayyab min al-Kalam al-Tayyib, dan sebagainya. Dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh beliau menyumbangkan kitab-kitab seperti, Ilam al-Muwaqqi'in 'an Rabb al-'Alarum, al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyysah al-Shar'iyyah, al-Solah wa Ahkam Tariqiha, Tuhfah al-Mawdud biAhkam al-Mawlud, Bayan al-Dalil "An Istighna" al-Musabaqah 'an al-Tahlil, al-Tahlil Fima Yaaill wa Yaarum min Libas al-Harir, dan sebagainya.

Dalam bidang tasawuf Ibn Qayyim menulis yang antaranya, kitab-kitab Madarij al-Salikin, Rawdah. al-Muhibbin wa Nuzhah ai-Mushtaqin, al-Fawa'id li Ibn Qayyim, 'Uddah al-Sabirin wa Dhakhirah al-Shakirin, Taraq al-Hijratayn wa Bab al-Sa'adatayn, dan sebagainya. Dalam bidang kalam dan falsafah Ibn Qayyim menulis beberapa kitab seperti, Shifa' a-'Alil fi Masa'il al-Qada' wa Al-Qadar wa al-hikmah wa al-Ta'lil, Kitab al-Ruh, Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah, dan Miftah dar al-Sa'adah wa Manshur Wilayah al-'Ilm wa al-Iradah.

Dalam bidang sejarah, beliau menulis Kitab Zad al-Ma'ad fi Hady Khayr al-'Ibad. Ibn Qayyim juga menulis al-Tibb al-Nabawi, Talbis Iblis, al-Jawab al-Kafi 'an Lima Sa'ala 'An al-Dawa' al-Shafi, dan lain-lain lagi.

Ibn Qayyim dalam penulisannya juga telah menyentuh beberapa perkara berkenaan dengan falsafah ekonomi Islam iaitu konsep manusia Islam (homo islamicus) dan manusia bukan ekonomi (non homo economicus), konsep keadilan dan nilai-nilai etika dalam ekonomi, aktiviti ekonomi, kerjasama dan pembahagian buruh, pemilikan harta kekayaan oleh individu, dan peranan kerajaan dalam ekonomi.

Dalam hal ini, Ibn Qayyim menggariskan asas kepercayaan Islam bahawa setiap manusia bertanggungjawab membimbing diri sendiri ke arah menjadi hamba Allah yang baik dan Allah S.W.T merupakan sumber pedoman dan petunjuk.

Dalam pengajian ekonomi, manusia digambarkan sebagai makhluk yang sifat, gelagat, dan tindakannya mementingkan diri sendiri, tamak, haloba, dan menjadikan keuntungan sebagai asas penting dalam semua jenis aktiviti ekonomi. Jadi, setiap manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya dan Allah S.W.T menjadi pedoman dan petunjuk ke arah jalan yang betul.

Selain itu, Ibn Qayyim menekankan bahawa hidup di dunia ini merupakan ujian dan cubaan daripada Allah S.W.T. Ujian yang dikenakan kepada manusia itu boleh sama ada dalam bentuk anugerah harta kekayaan ataupun diberikan kehidupan yang susah. Anugerah kekayaan kepada seseorang tidak bermaksud Allah S.W.T sayang kepadanya. Demikian juga ujian kemiskinan tidak bermaksud Allah S.W.T benci kepada seseorang. Harta kekayaan yang dimiliki oleh manusia bukanlah bererti hidup ini penuh dengan kesenangan.

Ibn Qayyim juga ada menyentuh soal keadilan yang merupakan teras semua aspek dalam kehidupan. Menurut Ibn Qayyim, keadilan merupakan objektif dan matlamat utama Syariah. Hal ini demikian adalah kerana Syariah itu mengandungi keadilan, keberkatan, dan kebijaksanaan. Perkara yang bercanggah dengan keadilan akan menukarkan keberkatan dan kebajikan kepada laknat dan kejahatan, dan daripada kebijaksanaan kepada sesuatu yang tidak berfaedah kepada Syariah.

Sehubungan dengan itu Ibn Qayyim menjelaskan nilai-nilai etika yang baik seharusnya diamalkan oleh orang Islam dalam kegiatan ekonomi mereka. Antara nilai etika yang baik ialah kepatuhan kepada Allah SWT, ketaatan

kepada agama, sifat baik, jujur, dan benar. Apabila nilai etika tersebut diamalkan dalam kehidupan seharian terutamanya dalam kegiatan ekonomi, akan menjauhkan nilai-nilai jahat seperti pembohongan, penipuan, dan korupsi.

Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa akibat daripada sifat semula jadi yang suka berbohong akan menyebabkan kejayaan tidak tercapai dalam kehidupan.
Apabila keadaan ini berlaku, kehidupan perekonomian akan cacat termasuk juga aspek-aspek lain dalam kehidupan. Dalam perkataan lain, pembohongan memberi impak yang besar dalam kehidupan orang-orang Islam.

Memandangkan akibat yang besar daripada ketidaktaatan dan kejahatan sosial, Ibn Qayyim ada menulis bahawa kesan-kesan dosa akan membawa kepada tidak baik dan dikutuk. Dosa-dosa ini mencacatkan jasad dan roh manusia yang merosakan kehidupan di dunia ini dan selepas mati.

Sifat-sifat yang negatif seperti pembohongan, penipuan, dan pengeksploitasian serta ketidakjujuran mendorong kepada keadaan yang tidak tenteram dalam kehidupan masyarakat. Akan berlaku huru-hara, kecurigaan, ketidakstabilan, dan kekecewaan dalam kalangan masyarakat. Apabila semua perkara ini berlaku, kegiatan ekonomi akan menguncup.

Sebaliknya nilai-nilai etika yang diamalkan dalam masyarakat akan menyuburkan suasana keyakinan dan jaminan keselamatan dalam masyarakat. Pada masa yang sama, masyarakat akan bekerjasama dalam proses pengeluaran dan kestabilan ekonomi. Dalam perkataan lain pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan akan meningkat, dan masyarakat akan hidup mewah.

Selain itu, Ibn Qayyim menganjurkan campur tangan kerajaan dalam pemilikan harta kekayaan individu jika individu berkenaan menggunakan harta kekayaan berkenaan pada jalan yang bertentangan dengan faedah masyarakat. Dalam hubungan ini, Ibn Qayyim telah memetik sepotong hadith Rasulullah s.a.w. mengenai seorang hamba (harta) yang dimiliki bersama oleh
beberapa rakan kongsi (tuan) yang hendak dibebaskan oleh salah seorang daripada tuannya, sedangkan tuan-tuan yang lain tidak bersetuju dengan pembebasan tersebut.

Dalam kes ini Rasulullah s.a.w. memutuskan harga yang adil dan rakan-rakan kongsi yang lain diminta menerima bahagian masing-masing. Selepas itu, hamba berkenaan telah dibebaskan.

Hadith ini menjadi asas pada Ibn Qayyim dalam menentukan peraturan bahawa sesuatu harta yang tidak boleh dibahagikan dan dimiliki bersama boleh dijual jika salah seorang daripada para pemiliknya berhasrat untuk
menjualnya.

Jelas, beberapa aspek dalam falsafah ekonomi Islam yang dihuraikan oleh Ibn Qayyim tersebut merupakan antara prinsip dan teras ekonomi Islam yang membezakannya dengan falsafah ekonomi konvensional.

http://alhakelantan.tripod.com/tokoh/id9.html


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...