Rabu, 3 April 2013

Solat Satu Penawar

Solat Satu Penawar
Oleh IBRAHIM ABDULLAH


Gambar hiasan
MENGENAI solat sebagai penawar jasmani dan rohani jelas dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abu Hurairah RA bermaksud: Rasulullah SAW melihatku sedangkan aku tidur melingkar kerana sakit perut, lalu Baginda berkata, asykam darda? Aku menjawab, betul wahai Rasulullah SAW. Baginda berkata: “Bangunlah lalu solat, kerana solat adalah ubat."

Dalam kajian mengenai solat sebagai ubat atau penawar bagi perut yang sakit, para ulama mengungkapkan sekurang-kurangnya ada beberapa alasan.

Pertama, urusan Ilahi yang merupakan ibadat. Kedua, urusan jiwa iaitu kerana jiwa yang merasa sakit terhibur dengan bersolat dan berkurangan kesedihannya sebelum timbul kekuatan yang mengatasi rasa sakit.

Perlu diketahui bahawa para tabib yang mahir zaman dahulu melakukan segala usaha untuk memperkuatkan kekuatan jasmani dan rohani.

Kadang-kadang mereka menguatkan dengan makanan, kadang-kadang dengan harapan, kadang-kadang dengan rasa takut, sedangkan solat menghimpun lebih banyak daripada itu. Di dalamnya menimbulkan kepada seseorang hamba rasa takut, khuatir, harapan, malu, cinta dan ingat akhirat yang dapat menguatkan stamina serta melegakan dadanya, lalu dengan itu menjadi tertolaklah penyakit itu.

Menurut Imam az-Zahabi, solat mempunyai manfaat semula jadi iaitu seperti olahraga jiwa dan olahraga tubuh. Ini kerana solat menghimpun antaranya berdiri, rukuk, sujud, ketundukan, perkumpulan, ikhlas, ibadat, merendahkan diri, menghinakan diri dan lain-lain.

Bersamanya bergerak sendi-sendi badan dan kebanyakan organ tubuh menjadi lunak, terutama perut dan usus serta bantuannya yang paling kuat dalam mendorong air seni dan menurunkan makanan dari lambung (perut).

Selain itu, solat berfungsi sebagai penawar dan ubat seperti diungkapkan oleh al-Muwafaq Abdul Latif al-Baghdadi dalam kitab Al-Arabain: “Aku sungguh telah melihat sekumpulan mereka yang mempunyai waktu luang dan kemewahan yang terjaga kesihatannya lalu mencari sebab manfaatnya itu, maka aku mendapati mereka banyak solat dan tahajud."

Al-Baghdadi juga menyatakan alangkah bermanfaatnya sujud untuk penderita keadaan lemah fizikal, alangkah kuatnya bantuan sujud untuk membuka sumbatan hidung, alangkah kuatnya bantuan sujud mematangkan air seni dan menurunkan makanan dari lambung serta usus, dan menggerakkan kotoran yang tertahan di dalamnya serta mengeluarkannya.

Sementara itu, Imam az-Zahabi menyatakan, kebanyakan yang dapat digembirakan oleh solat itu adalah jiwa dan solat dapat menghilangkan kesedihan.

Solat juga dapat memadamkan api amarah, menyebabkan suka kepada kebenaran dan sikap merendah diri kepada sesama manusia, menghaluskan perasaan hati, menganjurkan memberi maaf dan membenci terhadap perkara yang buruk dan bersifat dendam.

Imam az-Zahabi menyatakan lagi, banyak perkara yang bermanfaat didapati dalam solat, iaitu berupa fikiran dan pengaturan yang tepat, jawapan yang benar, membuat seseorang ingat apa yang telah lupa, lalu ia berfikir tentang sumber-sumber perkara dan jalan-jalannya serta kemaslahatan dunia dan akhirat.

Solat juga dapat menjadi saranan muhasabah diri, terutama waktu solat malam (tahajud dan qiamullail), waktu hening sunyi, di mana kekuatan alam rohani amat memberi manfaat bagi seseorang.

Ibnu Qayyim Rahimahullah dalam Al-Musnad berkata, bahawa Nabi SAW apabila bersedih kerana suatu perkara, baginda melalukan solat. Kerana Allah berfirman bermaksud: Ambillah pertolongan daripada kesabaran dan solat.

Menurut Ibnu Qayyim, manfaat solat juga membawa rezeki, menjaga kesihatan, mengusir gangguan, menolak penyakit, memperkuat hati, menyerikan wajah, menyenangkan jiwa, menghilangkan kemalasan, memotivasi organ tubuh. Juga meningkatkan stamina, melapangkan dada, menyuntik gizi pada rohani, menyinari jiwa, memelihara kenikmatan, menghilangkan bencana, membawa berkat, menjauhkan daripada gangguan syaitan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Oleh kerana itu, Ibnu Qayyim menyimpulkan, bahawa solat mempunyai pengaruh yang ajaib sekali dalam menjaga dan memelihara kesihatan jasmani dan rohani seseorang serta dapat mengusir segala bentuk unsur yang membahayakan.

Apabila dua orang yang sama-sama terkena musibah atau diserang penyakit, bala dan cubaan, pasti yang melakukan solat akan merasa lebih ringan dan akibat yang dirasakan juga lebih aman dan selamat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...