Rabu, 31 Julai 2013

Generasi Muda Menjadi Tua Sebelum Waktu

By epondok -Oleh Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

Dunia tanpa sempadan bawa banyak pengaruh negatif diimport

Umat Islam ketika ini melalui dasawarsa kedua abad 21 dengan mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi. Peperangan saudara, pergolakan politik, konflik umat Islam minoriti, bencana alam hinggalah kepada ancaman budaya dan serangan hedonisme yang meruntuhkan moral.

Ditambah pula dengan serangan pemikiran yang menggesa umat Islam berfikiran secara liberal ala Barat. Generasi hari ini memerlukan persiapan rapi untuk menghadapi cabaran luar yang semakin mengelirukan.

Hari ini kita berdepan dengan ketidakyakinan terhadap budaya sendiri. Ramai tidak lagi berbangga dengan adat dan tradisi budaya kita yang terbukti berjaya membentuk umat Melayu di Malaysia menjadi umat yang kental dengan agamanya walaupun selepas lebih 500 tahun dijajah.

Jika persiapan ini tidak diatur dengan baik dan kemas, maka generasi muda akan kehilangan panduan seterusnya hanyut dibawa arus cabaran yang mengganas. Natijahnya, segala bentuk kemungkaran dan keruntuhan moral akan menyelaputi diri mereka.

Mereka akan menjadi apa yang disebutkan al-Quran sebagai Zurriyatan du’afa (zuriat yang lemah), generasi lesu dan tidak berwawasan. Firman Allah SWT: “Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat (generasi ) yang lemah.” (Surah an-Nisa, ayat 9)

Sebaliknya jika kehidupan mereka diasaskan kepada kehidupan beragama yang kukuh, nescaya akan terbina generasi seperti mana diungkapkan oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi sebagai golongan al-jil al-nasr (generasi kemenangan).

Barisan pemuda kukuh iman

Generasi ini dibina oleh kekuatan roh dan jasad, lalu menjadi binaan yang tidak boleh dirungkaikan. Mereka adalah barisan pemuda yang mempunyai kekukuhan iman sambil mendapat petunjuk daripada Ilahi.

Kini, generasi muda yang baru mengenali dunia sudah dihidangkan dengan pelbagai masalah menyebabkan mereka turut terpalit dengan fitnah dunia hingga menyebabkan mereka menjadi tua sebelum waktunya.

Sewajarnya dalam usia ini, generasi muda diberikan ruang, peluang, masa, tenaga dan pendedahan yang baik supaya dapat menghasilkan benih-benih generasi muda yang baik kelak. Malangnya, dunia tanpa sempadan banyak membawa perubahan nilai kepada diri manusia.

Sekali lagi, generasi muda terpengaruh nilai negatif yang diimport. Mereka mengalami skizofrenia iaitu gangguan mental yang mampu memusnahkan tamadun. Suasana ini berlaku ketika mana generasi muda kehilangan paradigma dan keliru antara Barat dan moden lantas dimensi moden yang dipegang diambil daripada acuan Barat.

Lantaran itu, budaya popular yang kini seolah-olah menjadi budaya massa turut mempengaruhi gaya hidup dan pemikiran generasi muda Islam. Budaya ini yang lebih mementingkan gaya dan imej daripada nilai serta makna secara tidak disedari semakin diterima masyarakat yang semakin keliru.

Kesannya, mereka tidak lagi dapat membezakan antara populariti dan asas, imej dan nilai, palsu dan yang benar. Keadaan ini berlaku apabila wabak ketidakpekaan terhadap nilai hidup sebenarnya berleluasa.

Lebih parah, hari ini kita berdepan dengan ketidakyakinan terhadap budaya sendiri. Ramai tidak lagi berbangga dengan adat dan tradisi budaya kita yang terbukti berjaya membentuk umat Melayu di Malaysia menjadi umat yang kental dengan agamanya walaupun selepas lebih 500 tahun dijajah.

Masyarakat beragama, berbudaya ilmu

Umat Islam yang bermartabat adalah masyarakat yang beragama dan berbudaya ilmu. Justeru, generasi muda yang dilahirkan haruslah mempunyai kualiti diri yang cemerlang, cerdas dan berkeperibadian mulia, lantas bangsanya akan menempa kemajuan dan kemakmuran.

Sekiranya tidak ada usaha untuk membimbing dan membentuk generasi abad 21 yang benar-benar mantap keperibadian dan sahsiahnya, maka perancangan yang diatur akan terpinggir dan sekali gus terbengkalai.

Sebagai generasi Islam yang mempunyai tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara, maka nilai Islami harus benar-benar menjiwai kehidupan ini. Selaras dengan tanggungjawab ini, maka generasi muda perlu bijak mengatur agenda yang berencana dan memberi keutamaan.

Setiap pemuda pemudi Islam harus membulatkan iltizam perjuangan untuk membina keunggulan keperibadian dan kepemimpinan ummah.

Abad ini dan mendatang adalah abad generasi muda. Sebagai umat yang mempunyai keyakinan aqidah, pemuda Islam akan mara dengan penuh yakin untuk mengimarahkan muka bumi Allah SWT dan memenuhi tuntutan sebagai khalifah di muka bumi ini.

Justeru, tanggungjawab membina insan seimbang dari segi akal, rohani, jasmani dan emosi adalah keutamaan yang harus diberi perhatian serius. Tanggungjawab mendidik manusia ini tidak harus dijadikan tanggungjawab yang hanya dilaksanakan ketika wujudnya tekanan sosial yang memaksa.

Pelapis kepemimpinan negara

Sebaliknya, pelaksanaan tanggungjawab ini mesti lahir daripada kesedaran mendalam dan semangat jitu. Sebagai generasi pelapis kepemimpinan negara, generasi muda Islam sewajarnya mengimpikan erti kemenangan yang tulen.

Namun, kemenangan itu tidak akan datang dengan sendirinya tanpa mengetahui syarat-syaratnya. Generasi muda Islam perlu akur kemenangan dan kecemerlangan adalah datang daripada Allah SWT.

Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan memberikan kemenangan kepada mereka yang tidak menolong-Nya. Justeru, dalam upaya kita untuk membina generasi cemerlang yang penuh dengan kemenangan, pemuda Islam hendaklah benar-benar menjadi mukmin yang sejati.

http://epondok.wordpress.com/2013/07/25/generasi-muda-menjadi-tua-sebelum-waktu/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...