Isnin, 1 Julai 2013

Pesan Luqman Al-Hakim kepada anak-anaknya..

Pesan Luqman Al-Hakim kepada anak-anaknya..


''Orang Beriman yang dipupuk semangat taqwa akan sentiasa yakin bahawa dalam keadaan apa sekalipun dia tidak akan melakukan perkara yang dilarang oleh ALLAH s.w.t' '

DUNIA ini ibarat lautan dalam. Oleh itu, kita hendaklah bijak untuk melayari atau melalui perjalanannya supaya tidak tenggelam.

Kiasan itu diberikan oleh Luqman Al-Hakim ketika menasihati anaknya supaya bertakwa ketika melayari hidup ini.

Katanya: “Hai anakku! Sesungguhnya dunia ini umpama lautan yang dalam. Ramai manusia yang telah tenggelam dalamnya.

“Oleh itu, jadikanlah ketakwaan kepada ALLAH itu sebagai kapalmu, keimanan itu sebagai muatannya dan tawakal itu pula sebagai layarnya. Mudah-mudahan, engkau akan terselamat. Aku tidak sanggup melihatmu melainkan dalam keadaan yang selamat."

Dalam riwayat lain, Luqman berkata: “Hai anakku! Sesungguhnya dunia ini umpama lautan yang terbentang luas. Ramai manusia yang karam dalamnya.

“Oleh itu, sekiranya engkau mampu menjadikan kapalmu itu daripada keimanan terhadap Allah, persediaanmu itu melalui tawakal dan muatanmu itu pula adalah daripada ketakwaan.

“Dan sekiranya engkau terselamat, maka ia kerana rahmat ALLAH dan sekiranya engkau karam, maka ia adalah kerana dosa-dosamu."

Begitu bernas nasihat Luqman kepada anaknya supaya menjadi seorang beriman dan bertakwa kepada ALLAH.

Kata-katanya mengandungi makna tersurat untuk difikirkan oleh kita semua.

Dalam riwayat lain, Luqman berkata: “Hai anakku! Aku pernah memikul batu-bata, besi dan setiap benda yang berat, sedangkan aku tidak pernah memikul suatu pun yang lebih berat daripada jiran tetangga yang jahat.

“Aku telah merasakan pelbagai kepahitan, sedangkan aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit daripada kefakiran.

“Hai anakku! Janganlah engkau menghantar seorang yang bodoh sebagai utusanmu. Sekiranya engkau tidak memperoleh orang bijaksana, maka engkau sendirilah yang menjadi utusan itu.”

Apakah perbezaan antara majlis pengembumian jenazah dan perkahwinan?

Luqman dalam membuat perbandingan antara kedua-duanya, berpesan kepada anaknya:

“Hai anakku! Hadirilah majlis pengebumian jenazah, tetapi janganlah engkau menghadiri majlis perkahwinan.

“Hal itu kerana pengebumian jenazah itu, akan mengingatkanmu terhadap hari akhirat, manakala majlis perkahwinan itu pula, akan menjadikanmu sukakan dunia.”

Luqman juga berpesan supaya kita bersederhana dan tidak bersikap berlebih-lebih dalam melakukan sesuatu perkara.

Sebabnya, seperti katanya: “Hai anakku! Janganlah engkau bersikap terlalu manis, nescaya engkau akan ditelan dan janganlah pula engkau bersikap terlalu pahit, nescaya engkau akan diluahkan keluar."

Dalam memilih kawan, Luqman berpesan: “Hai anakku! Apabila engkau ingin mempersaudarakan seseorang, maka buatlah dia marah terlebih dulu. Sekiranya dia memaafkanmu sewaktu marahnya, maka ambillah dia sebagai saudaramu. Jika tidak, maka berhati-hatilah terhadapnya."

Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Malik: Luqman telah berkata kepada anaknya: "Hai anakku! Bagaimanakah engkau boleh melambat-lambatkan manusia dengan apa yang mereka janjikan, sedangkan mereka bersegera pergi kepada apa yang tidak mereka janjikan?"

Bercakap mengenai pujian pula, katanya: “Hai anakku! Turunkanlah dirimu pada tingkatan yang sesiapa saja tidak berhajatkan pertolongan daripadamu, sedangkan engkau amat memerlukan daripadanya.

“Hai anakku! Jadilah engkau seorang yang tidak berhajatkan pujian manusia dan tidak juga celaan daripada mereka.

“Nescaya, tenanglah diri daripada kejahatan manusia dan manusia pula akan tenang dari kejahatannya (pujian)."

Kata Luqman lagi: "Hai anakku! Halanglah sesuatu yang keluar dari mulutmu. Kerana sesungguhnya engkau tidak dapat mendiamkan orang yang selamat. Engkau hanya mesti mengatakan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepadamu.

"Hai anakku! Janganlah engkau melewat-lewatkan taubat. Kerana sesungguhnya, kematian itu datang dengan sekelip mata.

“Hai anakku! Berduyun-duyun datang kepada ulama dengan kedua-dua belah lututmu (berjalan kaki) dan janganlah engkau bertengkar dengan mereka (ulama), nescaya mereka akan membencimu.

“Ambillah daripada dunia untuk keperluanmu dan berbelanjalah dengan pencarianmu yang terbaik untuk akhiratmu.

“Janganlah engkau berbelanja sekali gus kerana engkau mempunyai tanggungan. Sebenarnya, di atas leher lelaki itu terletaknya segala bebanan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...