Jumaat, 19 September 2014

RAHSIA ALAM ROH YANG KITA TIDAK PERNAH AMBIL TAHU KEWUJUDANNYA

Sekadar gambar hiasan
Alam roh merupakan titik bermulanya pengembaraan manusia sebelum menempuh alam-alam yang seterusnya. Masih ramai dalam kalangan kita yang tidak pernah ambil tahu akan kewujudan alam roh. Oleh itu, rahsia disebaliknya akan didedahkan untuk kesedaran kita semua. Alam roh merupakan tempat berkumpulnya roh-roh di mana manusia tidak mempunyai jasad. Tidak ada jantina lelaki ataupun perempuan. Bagaimana keadaan kita pada masa itu? Sangat sedikit yang kita ketahui berkenaan dengan alam roh itu. Firman Allah S.W.T:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً

Maksudnya: "Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja." [Surah Al-Isra' ayat 85].

Tetapi apa yang pasti semasa berada di alam roh, manusia sangat rapat dengan Tuhan. Sehinggakan pengakuan ini dicatat di dalam Al-Qur'an. Firman Allah S.W.T:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتَ بِرَبِّكُمْ قَالُواْ بَلَى شَهِدْنَا أَن تَقُولُواْ 
يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ

Maksudnya: "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi." Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini." [Surah Al-A'raf ayat 172].

Pada ketika itu, roh sangat kenal dan mengakui akan keesaan Allah S.W.T sebagai Robb (Tuhan yang menciptanya). Pada ketika itu juga roh telah berjanji untuk menjadi hamba Allah yang patuh. Perjanjian ini termeterai di antara manusia dengan Allah sehinggakan manusia sanggup memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi.

"Walaupun semua makhluk lain menolak untuk memikul amanah ini, tetapi manusia pula sebaliknya dengan menyatakan kesanggupannya untuk memikul amanah tersebut."

Dan kesediaan inilah menyebabkan manusia menjadi pelakar sejarah dalam kehidupan di muka bumi dan memberi impak yang besar serta memberi kesan kepada kehidupannya sendiri. Firman Allah S.W.T:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ 
ظَلُوماً جَهُولاً

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan (jahil)." [Surah Al-Ahzab ayat 72].

Tidak diketahui berapa lama tempoh manusia berada di alam roh. Namun yang pastinya, setiap manusia mengambil giliran masing-masing untuk diturunkan ke alam dunia. Kita pun datang ke bumi dari generasi ke generasi. Sayangnya, pengakuan, perjanjian, kesanggupan dan segala-gala yang berlaku di alam roh seolah-olah sudah dilupakan oleh manusia. Mengapa boleh terjadi hal sedemikian?

Memang logik manusia sudah lupa kerana alam roh itu sudah begitu lama manusia tinggalkan. Sedangkan hal yang berlaku setahun atau sebulan mahupun seminggu yang lalu pun manusia boleh terlupa, inikan pula entah berapa ratus atau ribu tahun sudah manusia tinggalkan alam roh tersebut? Wallahua'lam. Semoga kita dapat ambil pengajaran mengenai kehidupan kita semenjak di alam roh dahulu.

http://biaqpila.blogspot.com/2013/07/rahsia-alam-roh-yang-kita-tidak-pernah.html

http://biaqpila.blogspot.com/2013/07/rahsia-alam-roh-yang-kita-tidak-pernah.html#ixzz3DmWHRzit

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...