Sabtu, 13 September 2014

Tadabbur Surah Al-Alaq penyelesaian masalah

FAZRUL ISMAIL

ZAMAN itu penuh dengan kerosakan. Nabi Muhammad SAW berada dalam satu umat yang dipandang ringan oleh Parsi dan Rom. Umat yang tidak pandai membaca.

Nabi Muhammad SAW diselubungi pelbagai masalah kehidupan sekeliling bumi Makkah. Ada yang menanam anak perempuan hidup-hidup dan ada yang menghambakan wanita. Pesta ibadah di sekitar Kaabah tidak membawa kepada konsep hanif seperti mana berlaku di zaman Nabi Ibrahim lagi.

Nabi Muhammad SAW bermenung. Baginda SAW mengasingkan diri di Gua Hira’. Berulang-alik ke sana, disokong oleh isteri tercinta Saidatina Khadijah. Hingga turun wahyu pertama, iqra’!

Nabi Muhammad SAW tidak pandai membaca. Dibaca lagi: iqra’. Baginda SAW tidak pandai membaca. Lantas dipeluk untuk ke sekian kalinya, lantas Nabi Muhammad SAW mengikut bacaan malaikat Jibrail hingga ayat kelima Surah Al-Alaq. Wahyu itu tidak diletakkan pada urutan pertama dalam mushaf Quran kini tetapi pada urutan nombor 96, antara Surah At-Teen dan Surah Al-Qadr.

Wahyu pertama

Iqra’ disetujui sebagai wahyu pertama untuk menjadi latar betapa dalam Islam, membaca adalah satu asas untuk membina keimanan dan beragama. Bacaan itu bukan sekadar bermaksud membaca tulisan daripada majalah atau buku, tetapi menghimpunkan beberapa perkara hingga menjadi sesuatu yang bermakna. Inilah asas iqra’.

Jika yang dibaca itu ialah B, A, C dan A, maka maknanya ialah baca. Jika yang dibaca itu ialah nombor 1, 2, 3 dan 4, ia boleh menjadi 1234 atau boleh juga menunjukkan pola sesuatu jualan yang berlaku dalam satu bisnes yang diusahakan.

Jika yang dibaca itu dari alam, kita akan nampak matahari, bulan, awan, malam dan siang tidak terjadi secara automatik. Pasti ada yang menyusunnya, seperti artikel ini tersusun rapi bukan secara rawak. Kebarangkaliannya ialah 1 daripada beberapa ribu huruf dan perkataan.

Jika yang dibaca itu daripada mimik muka manusia di sesuatu tempat, maklumat sosial dapat dibaca dengan baik. Itulah kehebatan iqra’. Ia akan menjadi amat hebat apabila dilaksanakan dengan nama Tuhan.

Apabila surah ini diletakkan pada urutan 96 antara Surah At-Teen dan Surah Al-Qadr, ia melonjakkan lagi kehebatan iqra dengan nama Rabb.

Mengapa? Surah At-Teen ada khabar gembira: manusia dicipta sebaik-baik kejadian. Surah Al-Alaq menyeimbangkan inti pati Surah At-Teen bahawa khabar itu tetap akan  gembira apabila khabar amaran disekalikan. Basheer dan Nazeer daripada ALLAH SWT.

Surah Al-Qadr memperincikan apa yang telah dinyatakan dalam Surah Al-Alaq. Dalam Surah Al-Alaq, ALLAH membawakan amaran demi amaran.

Amaran pertama, ALLAH menjadikan manusia daripada segumpal darah. Nabi Muhammad SAW mencari penyelesaian cabaran pelbagai yang ada. Nabi Muhammad SAW memerhati dan bertafakur. Mengasingkan diri untuk mencari penyelesaian. ALLAH memberi penyelesaian dengan amaran pertama: ALLAH menjadikan manusia daripada segumpal darah. Banyak masalah yang ada dalam kehidupan kita dapat diteka jalan penyelesaiannya.

Seorang ayah di rumah boleh meneka bagaimana untuk melonjakkan mutu akademik si anak dengan pelbagai cadangan yang boleh difikirkan atau dibincangkan.

Seorang bos boleh meneka apakah penyelesaian kepada masalah bisnes atau staf yang tidak menunjukkan kerja yang bagus.

Seorang guru boleh meneka apakah kaedah untuk melonjakkan prestasi sekolah. Bagaimana pula dengan seorang individu yang masih tidak bertemu pasangan? Adakah dia mampu meneka penyelesaiannya: seorang pemuda Perak yang dibesarkan di Johor mampu bertemu seorang pemudi Sabah yang tinggal di Pulau Pinang dan pertemuan itu berlaku di US lantas bernikah di Malaysia?

Bukan itu sahaja. Pertemuan itu ditentukan dengan pertemuan-pertemuan lain hingga lahir seorang insan dari segumpal darah. Siapakah yang mampu meneka penyelesaian kepada masalah ini?

Bagi yang sudah bernikah, ini mungkin dipandang remeh. Namun bayangkan mereka yang masih tidak bernikah sampai sekarang.

Bagi mereka yang sudah dikurnia anak, ini mungkin dipandang remeh. Bayangkan mereka yang masih belum dikurniakan anak.

Lahirnya seorang insan daripada segumpal darah itu petanda penyelesaian hebat daripada Yang Maha Menciptakan. Jika yang sekompleks itu mampu dilaksanakan, sukarkah menyelesaikan kemelut dalam diri, keluarga dan masyarakat? Tidak sukar bagi membaca dengan nama Tuhan.

Kedua, amaran mendekati ALLAH Yang Maha Mulia. “Aku tak pastilah kalau penyelesaian ini ok atau tidak.” “Kau buat sahaja,” cadang seorang rakan.
Ubat semua masalah

Ramai akan membuat keputusan untuk memuaskan diri atau orang lain. Dalam ayat ketiga Surah Al-Alaq, ALLAH menekankan perihal penyelesaian yang dibuat perlulah dirujuk kepada Yang Maha Mulia.

Apabila seorang rakyat amat rapat dengan rajanya, pasti si rakyat akan dipandang mulia oleh orang sekeliling. Apabila si hamba itu amat rapat dengan Yang Maha Mulia, pasti Yang Mulia akan memuliakannya.

Firman-Nya: “…Yang paling mulia di sisi ALLAH ialah yang paling bertaqwa.” (Surah Al-Hujurat: 49)
Apakah rahsia menjadi orang mulia? Bertakwa dengan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk.

Apakah kesan kalau tidak mendekati yang Maha Mulia? Seseorang itu akan dibiarkan dengan dirinya untuk menentukan nasibnya yang amat malang!

Penyelesaian masalah sering dikaitkan dengan catatan dan ilmu yang banyak. Catatan dengan pena dan ilmu yang banyak itu bukan datang dengan tiba-tiba, biarpun ramai yang sudah ada SPM, ijazah atau doktor falsafah akan mendabik ini adalah usahanya untuk mengecap ilmu yang ada.

ALLAH SWT menegaskan nikmat yang besar: pena dan ilmu yang diajarkan itu datang daripda ALLAH – Tuhanmu dan Tuhan Yang Maha Mulia. Dua nikmat ini perlu diuruskan dengan baik kerana ia banyak menyebabkan manusia melampai batas serta merasakan diri ‘sudah bagus’.

Sudah tentu kembali kepada ALLAH SWT. Firman-Nya: “(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Al-Alaq: 96)

“Saya tidak pandai baca Quran.”

Dulu saya tidak pandai ilmu kimia. Apabila digembar-gemburkan ilmu ini akan menjadikan saya seorang jurutera kimia yang baik, statusnya tinggi dan akan dapat gaji yang banyak, ia menyebabkan saya bersama rakan-rakan lain yang bertungkus lumus untuk memahami dan menghafaz pelbagai formula.

Quran ini pasti akan menaikkan darjat sesiapa yang membaca, mengkaji, memahami serta memahaminya sampai ke akhirat. Ia boleh bermula dengan mengeja perlahan-lahan, diikuti bacaan dan hafazan.

“Saya tidak pandai bahasa Arab.”

Terjemahan al-Quran yang ada boleh membantu. Ia amat berbaloi untuk diambil masa dan dikaitkan dengan diri untuk memandu kehidupan di atas jalan yang benar. Jalan yang benar ini sifatnya lurus. Jalan paling pendek dalam hidup ialah jalan yang paling lurus.

“Bagaimana kau selesaikan perkara ini?” tanya Ahmad.
“Buat A, B, C, D, E dan F. Bagaimana pula kau?” jawab seorang rakan.
“Aku ikut kaedah A, B dan C sahaja untuk berjaya,” jawab Ali.

“Eh bestnya kalau dapat selalu jalan pintas macam kau, Ali. Aku selalu je kena ikut jalan panjang untuk mendapatkan kejayaan dan ketenangan dalam hidup.”

Itulah manfaat jalan yang lurus. Jalan yang menjimatkan masa dan tidak perlu mengambil risiko yang tinggi untuk berjaya.

Syaratnya? Dapatkan penyelesaian itu daripada Yang Maha Menciptakan.
Baca dengan nama Tuhanmu
Apabila seseorang itu menyelesaikan masalah hidup dengan nama Tuhan, ia beroleh jalan pintas.

Ada petanda yang penting dalam Surah Al-Alaq bagi menunjukkan kita semua sedang membaca dengan nama Tuhan atau menyelesaikan masalah kehidupan dengan asas Ilahi iaitu banyak bersujud kepada ALLAH dan banyak melaksanakan perkara yang mendekatkan diri kepada ALLAH.

Berapa banyak sujud anda hari ini? Apabila sujud wajib sudah dilaksanakan pada tepat masanya, itu tanda anda membaca dengan nama Tuhanmu.

Berapa banyak perkataan dan amalan kebaikan mendekatkan diri kepada ALLAH hari ini? Apabila ia makin banyak, ia melambangkan cara berfikir kita dalam menguruskan hidup adalah berteraskan pedoman Rabbani.

Tahniah! Surah Al-Alaq tetap relevan sebagai pedoman menyelesaikan masalah yang silih berganti dalam diri manusia setiap masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...