Gambar hiasan |
Bermulanya perubahan kehidupan Ibrahim bin Adham apabila pada suatu
malam ketika baginda tertidur di bilik istananya, langit-langit di biliknya
bergerak seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan di atas atap. Ibrahim
terjaga dan berseru: “Siapakah itu?”
“Saya adalah seorang sahabat, untaku hilang, aku sedang mencarinya di atas
atap ini.” Terdengar sahutan dari atas.
“Bodoh, tidak ada orang mencari unta di atas atap!” Ibrahim
menengkingnya.
“Wahai manusia yang lalai, apakah engkau hendak mencari Allah Subhanahu
wata’ala dengan berpakaian sutera dan tidur di alas tilam emas?” jawab suara
itu penuh simbolik.
Kata-kata ini sangat menggetarkan hati Ibrahim. Ia sangat gelisah dan
tidak dapat meneruskan tidurnya sehingga pagi. Seperti kebiasaannya, di sebelah
siang Ibrahim berada di atas singgahsananya untuk mendengar pengaduan dan
masalah rakyat jelata. Tetapi hari itu keadaannya berlainan, dirinya gelisah
dan banyak termenung.
Para menteri, pembesar istana dan rakyat yang hadir merasa hairan
melihat perubahan yang terjadi dengan tiba-tiba kepada raja mereka.
Tiba-tiba masuk seorang lelaki berwajah menakutkan ke dalam ruangan
perjumpaan itu. Tidak seorangpun di antara askar dan pengawal istana yang
berani menanyakan sesuatu dan menghalangnya masuk. Kejadian berlaku begitu
pantas, semua lidah menjadi kelu. Lelaki itu melangkah ke depan Ibrahim Adham.
“Apakah yang engkau inginkan daripada aku?” tanya Ibrahim.
“Aku baru sahaja sampai, bagilah aku rehat dulu”, jawab lelaki itu.
“Ini bukan tempat persinggahan kafilah. Ini istanaku. Lagak engkau
seperti orang gila saja!” Ibrahim menengking.
“Siapa pemilik sebenar istana ini sebelum engkau?” tanya lelaki itu.
“Ayahku!” jawab Ibrahim pendek.
“Sebelum ayahmu?”
“Datukku!”
“Sebelum dia?”
“Datuk kepada datuk-datukku!”
“Ke manakah mereka sekarang ini?’’ tanya lelaki itu.
“Mereka telah meninggalkan dunia ini”, jawab Ibrahim.
“Jika demikian, tidakkah ini sebuah persinggahan yang diduduki oleh
seseorang kemudian ditinggalkannya dan diganti oleh yang lain pula?” kata
lelaki itu.
Tersentak juga hati Ibrahim mendengar kata-kata lelaki itu. Belum sempat
Ibrahim menjawab, lelaki itu mengundur ke belakang dan tiba-tiba ghaib di
tengah orang ramai. Banyak para alim ulama membuat tafsiran sesungguhnya lelaki
itu adalah Nabi Khidhir ‘Alaihissalam yang sengaja datang mengetuk hati raja
Ibrahim bin Adham yang semakin lalai dengan tipu daya dunia.
Kegelisahan Ibrahim semakin menjadi-jadi sejak kejadian tersebut. Ia
dihantui oleh bayangan dan suara lelaki itu sejak peristiwa di istananya.
Akhirnya kerana tidak tahan lagi Ibrahim memerintah pengawalnya: “Persiapkan
kudaku yang terbaik! Aku hendak pergi berburu. Ya, Allah! Bilakah semua ini
akan berakhir?”
Ibrahim bin Adham dan rombongan terus merentasi padang pasir yang luas
saujana mata memandangnya. Baginda memacu kudanya begitu laju sehingga akhirnya
terpisah dengan rombongan tersebut. Dalam mencari jalan keluar baginda terlihat
seekor rusa. Tiba-tiba Ibrahim ghairah hendak memburu rusa itu. Belum sempat
berbuat apa-apa rusa itu berkata kepadanya: “Wahai manusia yang lalai, aku
disuruh oleh Allah Subhanahu wata’ala memburumu. Engkau tidak dapat
menangkapku. Bertaubatlah, untuk inikah engkau diciptakanNya?”
Ibrahim yang di dalam ketakutan itu tiba-tiba terkejut dengan kata-kata
itu. Baginda langsung tidak terfikir selama ini untuk apa baginda dicipta ke
dunia. Sekarang keyakinan serta keimanannya telah tertanam di dalam dadanya.
Seluruh pakaian dan tubuh kudanya basah oleh cucuran air mata penyesalannya
selama ini. Dengan sepenuh hati Ibrahim bertaubat kepada Allah Subhanahu
wata’ala. Dalam keadaan panas terik itu, baginda meninggalkan kudanya dengan
berjalan kaki yang akhirnya baginda bertemu dengan seorang penggembala yang
sedang menjaga sekumpulan kambing-kambingnya.
Tiba-tiba Ibrahim meminta keizinan untuk menyerahkan bajunya yang
bersulam emas serta topinya yang bertatahkan batu-batu permata yang sangat
mahal harganya. Sebaliknya baginda mengenakan pakaian dan topi gembala itu yang
diperbuat daripada kulit dan bulu kambing. Gembala kambing itu melihat kelakuan
Ibrahim itu dengan penuh kehairanan. Semua malaikat menyaksikan perbuatan
Ibrahim itu dengan penuh kekaguman sehingga salah satu malaikat berkata:
“Lihat, betapa megahnya kerajaan yang diterima putera Adham sebelum ini,
akhirnya telah mencampakkan pakaian dunia yang kotor dan menggantinya dengan
jubah kesedaran.”
Dengan berjalan kaki Ibrahim mengembara merentasi gunung dan menyusuri
padang pasir yang luas sambil menginsafi dosa-dosa yang pernah dilakukannya.
Akhirnya sampailah baginda di sebuah gua. Ibrahim yang dulunya seorang raja
yang hebat akhirnya menyendiri dan berkhalwat di dalam gua selama sembilan
tahun. Selama di dalam gua itulah Ibrahim betul-betul mengabdikan dirinya
kepada Allah Subhanahu wata’ala. Setiap hari Khamis baginda ke pekan bernama
Nishapun untuk menjual kayu api. Setelah sembahyang Jumaat baginda pergi
membeli roti dengan wang yang diperolehinya. Roti itu separuh diberikan kepada
pengemis dan separuh lagi untuk berbuka puasa. Demikianlah yang dilakukannya
setiap minggu.
Akhirnya baginda mengambil keputusan keluar dari gua tersebut untuk
merantau lagi merentasi padang pasir yang terbentang luas itu. Baginda tidak
tahu lagi ke mana hendak ditujui. Setiap kali baginda berhenti di sebuah
perkampungan, baginda kumpulkan orang-orang setempat untuk memberitahu betapa
kebesaran Allah terhadap hambaNya dan azab yang akan diterima oleh sesiapa yang
mengingkarinya. Justeru itu banyaklah orang yang akrab dengannya dan ada yang
menjadi muridnya. Baginda mengharungi padang pasir itu empat belas tahun
lamanya. Selama itu pula baginda berdoa dan merendahkan dirinya serta tawaddhu’
kepada Allah Subhanahu wata’ala. Nama Ibrahim pula mula disebut-sebut orang;
dari seorang raja berubah menjadi seorang ahli sufi yang merendah diri.
Pernah dalam perjalanannya baginda diuji. Disebabkan kewara’an baginda
itu ada seorang kaya datang menemuinya untuk mengambil tabarruk ke atas baginda
dengan memberi wang yang sangat banyak kepada Ibrahim. “Terimalah wang ini,
semoga berkah”, katanya kepada Ibrahim.
“Aku tidak mahu menerima sesuatupun daripada pengemis”, jawab Ibrahim.
“Tetapi aku adalah seorang yang kaya”, pintas orang kaya orang itu.
“Apakah engkau masih menginginkan kekayaan yang lebih besar daripada apa
yang telah engkau miliki sekarang ini?” tanya Ibrahim.
“Ya, kenapa tidak?” jawabnya ringkas.
“Simpanlah wang ini kembali, bagi aku, engkau adalah ketua para pengemis
di sini. Bahkan engkau bukan seorang pengemis lagi tetapi seorang yang sangat
miskin dan meminta-minta.” Tegur Ibrahim.
Kata-kata Ibrahim itu membuatkan orang kaya itu tersentak seketika.
Penolakan pemberiannya oleh Ibrahim disertai dengan kata-kata yang sinis lagi
pedas itu turut meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya. Dengan
peristiwa tersebut orang kaya itu bersyukur kepada Allah kerana pertemuan
dengan Ibrahim itu membuatkan dirinya sedar akan tipu daya dunia ini. Beliau
lalai dengan nafsu yang tidak pernah cukup daripada apa yang perolehinya selama
ini.
Suatu ketika sedang Ibrahim bin Adham menjahit jubah buruknya di tepi
sungai Tirgis baginda ditanya oleh sahabatnya: “Engkau telah meninggalkan
kemewahan kerajaan yang besar. Tetapi apakah yang engkau telah perolehi sebagai
imbalannya?”
Disebabkan soalan yang tidak disangka-sangka itu keluar dari mulut
sahabatnya sendiri maka dengan tiba-tiba jarum di tangannya terjatuh ke dalam
sungai itu.
Sambil menunjukkan jarinya ke sungai itu Ibrahim berkata, “Kembalikanlah
jarumku!”
Tiba-tiba seribu ekor ikan mendongakkan kepalanya ke permukaan air.
Masing-masing ikan itu membawa sebatang jarum emas di mulutnya.
Ibrahim berkata: “Aku inginkan jarumku sendiri.”
Seekor ikan kecil yang lemah datang menghantarkan jarum besi kepunyaan
Ibrahim di mulutnya.
“Jarum ini adalah salah satu di antara imbalan-imbalan yang ku perolehi,
kerana meninggalkan kerajaan Balkh. Sedangkan yang lainnya belum tentu untuk
kita, semoga engkau mengerti.” Kata Ibrahim Adham dengan penuh kiasan.
Begitulah kehidupan seorang raja Balkh yang bernama Ibrahim bin Adham
yang luas pemerintahannya dan hidup di dalam kemewahan, tetapi akhirnya
berkelana menjadi ahli sufi yang terkenal. Baginda menemui Allah Subhanahu
wata’ala pada tahun 165H/782M di negeri Persia. Taubat Ibrahim itu merupakan
sebuah kisah yang sangat unik bagi umat Islam yang merintis kehidupan yang penuh
dengan tipu daya di dunia ini. Wallahu ‘alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan