Selasa, 21 Oktober 2025

HAK IBU BAPA DAN ANAK-ANAK


ANTARA YANG DISENTUH DALAM LIVE STREAMING siri ke-6 (Rabu 23/7/25) :

Nabi Muhammad SAW bersabda : “Buatlah kebajikan kepada ibumu, bapamu, saudara perempuanmu dan saudara lelakimu. Kemudian kepada yang lebih dekat kepadamu, lalu kemudian kepada yang lebih dekat kepadamu.” (An-Nasa’i, Ahmad, Al-Hakim)

Malik bin Rabi’ah berkata : Ketika kami berada di samping Rasulullah SAW. tiba-tiba datang seorang lelaki dari kabilah Bani Salmah. Lelaki itu bertanya : “Ya Rasulullah! Adakah tinggal menjadi tanggunganku sesuatu daripada berbuat baik kepada ibu bapaku yang akan aku lakukan untuk kedua-duanya setelah mereka meninggal dunia?”

Nabi SAW menjawab : “Ada, iaitu berdoa (mendoakan mereka), beristighfar (memohonkan) untuk kedua-duanya, melunaskan janji kedua-duanya, memuliakan sahabat kedua-duanya, dan menyambung silaturrahim yang tiada disambungkan kecuali dengan kedua-duanya.” (Abu Dawud, Ibnu Majah dan lain-lain)

Nabi SAW bersabda : “Setiap orang anak itu sama ada lelaki atau perempuan adalah tergadai dengan aqiqahnya, yang disembelihkan pada hari ketujuh (daripada lahirnya) dan dicukurkan rambutnya.” (Turmizi dan lain-lain, katanya sahih)

Seorang lelaki datang kepada Abdullah bin Al-Mubarak lalu dia mengadukan kepadanya tentang keadaan sebahagian anak-anaknya. Abdullah bin Mubarak bertanya : “Adakah engkau mendoakan yang buruk terhadap anak itu?” “Ada,”  jawab orang itu.

Maka Abdullah bin Mubarak menyambung : “Engkau telah merosakkan anak itu.”

Al-Aqra’ bin Habis melihat Nabi saw memeluk anaknya Hasan (kebiasaan orang Arab menyebut keturunannya sebagai anaknya, kerana Hasan ialah cucu baginda). Lalu Al-Aqra’ berkata : “Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak. Tidak seorang daripada mereka yang aku peluk.”

Maka Nabi saw bersabda : “Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi akan orang, nescaya dia tidak akan disayangi orang.” (Bukhari)

Abdullah bin Syaddad berkata : “Sewaktu Rasulullah SAW sedang solat berjemaah (sebagai imam) dengan orang ramai, tiba-tiba datanglah kepadanya Husin (cucunya). Lalu ia (Husin) mengenderai (naik) ke atas leher Rasulullah saw yang sedang bersujud. Nabi SAW melamakan sujud bersama-sama orang ramai itu sehingga mereka menyangka sesuatu telah terjadi.”

“Tatkala Nabi saw sudah menyelesaikan solatnya, orang ramai pun berkata : “Wahai Rasulullah! Engkau telah melamakan sujud hinggakan kami menyangka sesuatu telah terjadi.”

Nabi SAW menjawab : “Anakku (cucuku Husin) telah mengenderai aku. Maka aku tidak suka menyegerakannya sehinggalah dia berpuas hati menunaikan hajatnya.” (An-Nasa’i, Al-Hakim)

Abu Sa’id al-Khudri berkata : “Seorang lelaki berhijrah dari Yaman lalu pergi menemui Rasulullah saw dan ingin berjihad. Lalu Rasulullah saw bertanya : “Adakah ibu bapamu di Yaman?”

“Ada” jawab orang itu.

Maka Nabi saw bertanya pula : “Sudahkah kedua-duanya memberi izin kepada kamu?”

Orang itu menjawab : “Tidak.”

Lalu Nabi saw bersabda : “Kembalilah kepada ibu bapamu. Mintalah izin kedua-duanya. Jika kedua-duanya bersetuju, maka berjihadlah. Tetapi jika tidak, maka buatlah kebajikan kepada kedua-duanya mengikut kesanggupanmu. Sesungguhnya itulah yang sebaik-baiknya untuk kamu bertemu dengan Allah, sesudah tauhid.” (Ahmad, Ibnu Hibban)

Ada seorang lelaki datang kepada Nabi saw memohon pertimbangan untuk pergi ke medan perang. Lalu Rasulullah saw bertanya : “Adakah engkau mempunyai ibu?”

“Ada,” jawab orang itu.

Maka Nabi saw menyambung : “Hendaklah engkau bersama-sama ibumu itu, kerana jannah adalah pada kedua-dua belah kakinya.” (An-Nasa’i, Ibnu Majah, Al-Hakim).

Live streaming channel tele Ilmu2 Imam Al-Ghazali

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HIDAYAH PETUNJUK

إِنَّكَ لَا تَهۡدِی مَنۡ أَحۡبَبۡتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ یَهۡدِی مَن یَشَاۤءُۚ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ "Sesungguhnya engkau (...