Ahad, 18 September 2011

UMAMAH BINTI ABUL ASH Cucu Kesayangan Rasulullah Yang Dirundung Malang

Gambar hiasan
ALANGKAH bertuahnya jika seseorang itu berpeluang mendapat kasih sayang yang sejati daripada junjungan besar Rasulullah SAW. Kasih yang tidak ada bandingannya di dunia ini. Insan yang bertuah itu cucunda kesayangan Baginda iaitu Umamah binti Abul Ash bin Ar-Rabi’. Dia adalah anak kepada Zainab, puteri sulung kesayangan Rasulullah SAW.

Sebagai cucu yang amat disayangi dan dimanja, kepadanya tertumpah segala perhatian. Umamah ditatang bagai minyak yang penuh.
Sebagai bapa dan mentua yang sentiasa mengambil berat tentang hal-hal kekeluargaan. Nabi Muhammad SAW juga menyayangi dan menghormati menantunya Abul Ash, iaitu suami  kepada Zainab dan bapa kepada Umamah.

Abul Ash, seorang suami yang baik dan amat menyayangi isteri dan anak-anak. Pasangan bahagia ini dikurniakan sepasang cahaya mata sentiasa menghangatkan rasa kasih sayang yang abadi.

Bagaimanapun sebelum puas kasih tercurah, Zainab telah kembali ke rahmatullah ketika dalam pelayaran yang terakhir. Setelah  pemergian isteri kesayangan, Abil Ash kembali ke rumahnya dengan penuh kenangan dan kerinduan. Dia sentiasa mengingati dan dibayangi wajah Zainab. Perasaan itu terus menyelimuti hidupnya sehingga akhir hayat.

Kehadiran kedua-dua anak kesayangannya hasil perkongsian hidup bersama Zainab iaitu Ali dan umamah sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan terhadap isteri tercinta yang telah pergi jauh dan tidak mungkin kembali lagi. Sebab itu dia banyak menghabiskan masa bersama mereka.

Perasaan ini bukan sahaja dirasakan oleh Abul Ash seorang, tetapi juga Rasulullah SAW. Sebagai bapa yang sentiasa mendampingi anak-anak. Baginda sedih dengan pemergian Zainab, tetapi semuanya itu diterima dengan reda.

Jika selama ini segala kasih sayang dicurahkan kepada puterinya, Zainab, kini tertumpah kepada Umamah. Baginda amat gembira apabila melayan kerenah cucunya. Hubungan kemesraan baginda dengan Umamah digambarkan  di dalam hadis Bukhari dan Muslim yang meriwayatkan bahawa Baginda kerap mengangkatnya ke atas bahunya ketika Baginda bersolat, dan apabila Baginda ingin sujud, diletakkannya, sehingga selesai dari sujud itu, kemudian diangkatnya Umamah semula.

Terdapat satu riwayat daripada Aisyah R.A. bahawasnya kerajaan Habshah telah menghadiahi Rasulullah SAW loket dari manik, maka Baginda berkata: “Aku akan berikannya kepada salah seorang yang amat kusayangi daripada keluargaku. “Isteri-isteri Baginda yang lain berkata: Tentulah ia akan diberikan kepada puteri Abu Quhafah iaitu Siti Aisyah. Akan tetapi Rasulullah SAW kemudian memanggil Umamah lalu dikalungkan loket itu ke leher cucu kesayangannya itu.

Setelah kematian ibu dan saudara lelakinya, Ali, sekali lagi Umamah diuji dengan ujian yang cukup berat. Dalam usia yang masih muda, dia telah kehilangan insan-insan yang disayanginya dan menjadi tempat berlindung selama ini. Namun sebagai wanita yang beriman, Umamah tabah menghadapi semua itu. Dia pasrah dan bertawakal dengan  takdir.

Ketika ayahnya masih ada. Abul Ash bukan sahaja berperanan sebagai ayah tetapi juga sebagai ibu yang menjadi tempat puteri tunggalnya bermanja.

Apabila Abul Ash meninggal dunia pada tahun ke 12 Hijrah, dia mewasiatkan Umamah yang kini tinggal sebatang kara kepada sepupunya Al-Awwam bin Khuwailid.

Dalam pada itu Fatimah Az-Zahraa’ iaitu isteri Ali bin Abu Talib amat menyayangi Zainab. Ini kerana sejak kecil dia dipelihara  oleh kakaknya dan dilayan seperti anak sendiri. Umamah pula semakin membesar, saling tak tumpah wajah dan perlakuan ibunya. Raut wajah dan tingkah laku anak saudaranya itu sering mengingatkan Fatimah kepada kakak yang amat dihormati dan banyak membantunya selama ini.

Ketika hampir menemui ajal, dia telah berpesan kepada suaminya Ali, supaya mengahwini Umamah, iaitu anak saudaranya sendiri kena pada pendapat Fatimah, Umamah akan menjadi seorang ibu yang pengasih kepada anak-anak dan dapat menjaga kedua-dua orang putera mereka iaitu Al-Hasan dan Al-Husain. Kata-kata tersebut seolah-olah Fatimah Az-Zahraa’ mengetahui bahawa dia tidak akan hidup lama.

Setelah kematian isteri, Ali dan Abu Talib meminang Umamah untuk dijadikan isteri daripada Al-Awwam bin Khuwailid.  Selain itu Ali juga adalah sepupu dan saudara sesama Islam kepada Rasilullah SAW.

Apabila mengahwini anak saudara arwah isterinya, ternyata Ali amat menyayanginya. Kata-kata Fatimah sebelum dia meninggal dunia ternyata benar dan Umamah dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu dengan baik. Dia juga amat menyayangi kedua-dua orang anak tiri yang juga sepupunya dengan penuh sifat keibuan.

Umamah juga menjaga Al-Hasan dengan Al-Husain sama seperti ibunya menjaga Fatimah ketika kecil. Kedudukan umamah ketika menjadi isteri Ali sama seperti kedudukan Aisyah semasa hayat Rasulullah saw. Sebagaimana Nabi Muhammad ikhlas kepada Khadijah yang semasa hayatnya adalah satu-satunya isteri Rasulullah sehingga dia meninggal dunia. Demikian juga keikhlasan Ali kepada Siti Fatimah Az-Zahraa’. Dia tidak berkahwin lain semasa hayat Siti Fatimah sehingga iateri kesayangannya itu meninggal dunia.

Setelah pemergian permata hatinya barulah timbul cinta kepada Umamah dan sebagai suami Ali berusaha memberikan sepenuh perhatian serta kasih sayang kepadanya sebagaimana yang pernah diberikan kepada Siti Fatimah. Namun ingatan dan kenangan lama tetap menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Ali pernah berkata bahawa ada empat perkara yang dia tidak sanggup berpisah dengannya. Dia telah menghitung satu demi satu, antaranya ialah kerana Fatimah berpesan kepadanya supaya dia mengahwini anak saudaranya itu.

Terdapat banyak riwayat yang menceritakan tentang Ali dan Umamah. Ada yang berkata bahawa perkahwinan mereka tidak dikurniakan zuriat dan ada sesetengah pendapat  mengatakan bahawa pasangan ini mempunyai cahaya mata.

Al-Kulaini telah meriwayatkan kepada Abu Jaafar, bahawa di antara anak-anak Ali bin Abu Talib ialah Muhammad bin Ali Al-Ausath, dan ibunya ialah Umamah binti Abul Ash.

Lantaran kerana terlalu sayangkan Umamah, Ali telah menyuruh Mughirah bin Naufal bin Al-Haris,
untuk mengahwini isterinya apabila dia meninggal dunia. Ini kerana Ali terlalu bimbang Mu’awiyah akan mengahwini Umamah secara paksa.

Ali juga berpesan kepada Umamah, katanya,“Aku bimbang kau akan dipinang oleh si Dajal itu (  Mu’awiyah) sesudah aku mati. Jika kau ada hajat kepada lelaki sesudah aku, aku reda Al-Mughirah bin Naufal menjadi teman hidupmu.”

Yang anehnya apa yang diduga oleh Saidina Ali r.a. benar-benar berlaku. Dia telah meninggal dunia kerana dibunuh. Sebaik sahaja tamat edahnya Mu’awiyah telah menulis surat kepada Marwan bin Al-Hakam dan menyuruhnya untuk meminang Umamah untuk dirinya dan dia akan memberikan 100 ribu dinar.

Apabila Marwan bin Hakam datang untuk meminangnya bagi pihak Mu’awiyah, Umamah segera mengutus orang kepada Mughirah bin Naufal memberitahunya bahawa, “Fulan itu telah mengutus orang untuk meminangku, jikalau ada hajat kepadaku, maka hendaklah kau datang segera!”

Al-Mughirah pun datang serta merta untuk meminang Umamah daripada Hasan bin Ali dan kemudian mengahwini wanita budiman itu. Bagaimanapun hasil perkahwinan itu mereka tidak mempunyai zuriat.

Ada suatu riwayat mengenai Umamah, bahawa ketika Ali dibunuh, dia telah memegang kepada Ali yang terkena pedang sambil menangis dan merintih seperti belum ada seorang perempuan yang menangis seperti itu sebelum ini.

Ummi Al-Haitsam Al-Nakha’iyah telah merangkaikan beberapa bait peristiwa:

Menggeletar seluruh tubuhku dan lemah semangatku.
Melihat Umamah yang terpisah dari rakan hidupnya
Laksana orang gila dia tunjukkan kesayangannya
Pabila putus asa dia pun melaungkan suaranya.

Tangisan itu menunjukkan betapa dalamnya cinta terhadap suami yang amat dikasihinya. Tangisan yang datang dari hati yang tulus ikhlas daripada seorang isteri yang kehilangan insan yang amat dicintai dan juga tempat bergantung segala harapan setelah kehilangan ibu, ayah dan abangnya. Kini Umamah sekali lagi ditinggalkan sebatang kara setelah pemergian Ali ke rahmatullah.

Dia juga tetap setia kepada Ali walaupun suaminya telah meninggal dunia dan sentiasa megingati pesanan arwah supaya jangan mengahwini Mu’awiyah, setelah Ali meninggal dunia. Umamah rela menolak pinagan Mu’awiyah, meskipunditawarkan dengan mas kahwin yang tinggi. Untuk mengelakkan dari dipaksa berkahwin dengan Mu’awiyah, dia segara berkahwin dengan Al-Mughirah bin Naufal bin Al-Haris bin Abdul Muttalib, iaitu orang yang menjadi harapan arwah suaminya untuk menjaganya.

Jika tidak kerana pinangan daripada Mu’awiyah yang dianggap musuh kepada suaminya mungkin Umamah akan terus hidup menjanda sebagai buktimkesetiaannya kepada insan yang amat dicintai.  Pada akhir hayatnya, Umamah ditimpa sakit yang teruk sehingga dia tidak boleh berkata-kata. Semasa dia menderita sakit, wanita itu amat tabah menghadapi dugaan.

Bagaimanapun penderitaan itu turut dikongsi bersama kedua-dua anak tirinya yang juga sepupunya. Mereka juga amat menyayangi Umamah seperti ibu sendiri dan mereka sentiasa mengunjunginya ketika sedang terlantar menderita kesakitan.

Ketika itu dia tidak mampu lagi berkata-kata lagi. Apabila Al-hasan dan Al-Husain bercakap dengannya, dia hanya mampu menjawab dengan menggunakan pergerakan kepala.
Umamah akhirnya meninggal dunia dengan dikelilingi oleh anak-anak tiri dan mereka yang menyayanginya.

Wallahua’lam

Petikan :100 Tokoh Wanita Terbilang dan Kisah 85 Kekasih Allah

 

4 ulasan:

  1. Tuan blog.. saya mohon maaf dan mohon perhalusi cerita ni.. mungkin terdapat ada beberapa kesalahan...untuk maklumat lanjut blh tonton.

    https://www.youtube.com/watch?v=mRvzmFV8Ofg&list=PL26EB1EAF4E850BF1

    atau di Anak Cucu Nabi S.A.W Yang Dilupa Dan dipinggirkan 6/12





    BalasPadam
  2. Anda SYI'I ??? Dari penulisan, anda memetik si dajjal al kulaini, periwayat hadits dusta rafidhah.

    BalasPadam

SIFAT KEMURAHAN ALLAH

D i antara nama dan sifat Allah SWT adalah “Rahman”, “Rahim”, "Hannan", "Mannan", "Kareem" yang menunjukkan pa...