Isnin, 26 November 2012

Kisah Hidup Imam Abu Hanifah yang Menakjubkan

Kisah Hidup Imam Abu Hanifah yang Menakjubkan


Gambar hiasan 
Wajahnya tampan dan ceria, fasih bicaranya dan santun tutur katanya. Tidak terlalu tinggi badannya, tidak pula terlalu pendek sehingga indah dipandang mata. Di samping itu, beliau suka berpenampilan rapi, wajahnya ceria dan gemar memakai wangian. Ketika muncul di tengah-tengah manusia, mereka dapat menyedari kedatangannya daripada bau wanginya sebelum melihat orangnya.

Itulah dia Nu’man bin Tsabit Al-Marzuban yang dikenal dengan Abu Hanifah, orang pertama yang meletakkan dasar-dasar fikih dan mengajarkan hikmah-hikmah yang baik.

Abu Hanifah masih merasakan hidup sesaat sebelum berakhirnya khilafah bani Umayah dan awal kekuasaan bani Abasiyah. Beliau hidup pada suatu masa di mana para khalifah dan para gabenor memanjakan para ilmuwan dan ulama hingga rezeki datang kepada mereka dari segala arah tanpa mereka sedari.

Meski pun demikian, Abu Hanifah sentiasa menjaga martabat jiwa dan ilmunya dari semua itu. Sesampainya di istana beliau disambut ramah dengan penuh hormat, dipersilakan duduk di samping khalifah Al-Manshur kemudian khalifah bertanya tentang banyak persoalan berkaitan agama mahupun kehidupan dunia.

Ketika beliau bersiap-siap untuk pulang, Amirul Mukminin menghulurkan sebuah bekas yang di dalamnya terdapat tiga puluh ribu dirham, padahal Al-Manshur dikenal kikir dibanding yang lain. Lalu Abu Hanifah berkata, “Wahai Amirul Mukminin, saya adalah orang asing di Baghdad ini dan tidak memiliki tempat untuk menyimpannya. Maka simpankan dirham itu di baitulmaal, kelak jika saya memerlukannya, saya akan memintanya.” Al-Manshur mengabulkan permohonannya. 

Tidak lama selepas peristiwa itu Abu Hanifah wafat, ternyata di rumahnya terdapat harta pemberian  orang ramai yang jauh lebih besar daripada pemberian Amirul Mukminin.

Tatkala Al-Manshur mendengar berita tersebut, dia berkata, “Semoga Allah merahmati Abu Hanifah. Dia tidak ingin mengambil sesuatu pun daripada kita, dia menolak pemberianku dengan cara halus.”

Ini tidaklah aneh, kerana Abu Hanifah memiliki prinsip bahawa tidak ada yang lebih bersih dan lebih mulia daripada orang yang makan dari hasil tangannya sendiri. Oleh sebab itu, beliau menyediakan waktu khusus untuk berdagang. Beliau berdagang kain dan pakaian, di kota-kota di Iraq. Di samping itu beliau juga memiliki toko (butik ) pakaian yang terkenal dan banyak dikunjungi orang. Mereka merasai kejujuran dalam bermuamalah dan amanah semasa berurusan dengannya. Tidak diragukan lagi bahawa mereka merasakan ketenangan yang tersendiri dari cara muamalah Abu Hanifah, perniagaan beliau maju berkat kurnia Allah hingga banyak keuntungan yang beliau perolehi.

Beliau mendapatkan harta dengan cara yang halal lalu membelanjakan di tempat yang semestinya. Telah menjadi kebiasaan beliau, setiap sampai haul (satu tahun), beliau menghitung keuntungan yang beliau dapat. Lalu mengasingkan sejumlah peruntukan untuk mencukupi keperluannya, selebihnya dibelikan barang-barang untuk diberikan kepada para penghafal Al-Qur’an, ahli hadits, ahli fikih dan murid-muridnya baik berupa makanan ataupun pakaian. Beliau memberikan hal itu sambil berkata, “Ini adalah keuntungan daripada hasil perniagaanku dengan kalian, Allah memudahkannya di tanganku. Demi Allah, aku tidak memberi kalian dengan hartaku sendiri, melainkan kurnia Allah untuk kalian yang diberikan-Nya melalui aku. Pada tiap-tiap rezeki tidak ada suatu kekuatan dari seseorang kecuali dari Allah.”

Berita tentang kedermawanan dan kebijaksanaan Abu Hanifah telah termasyhur di sebelah timur mahupun barat. Terutama di kalangan para sahabat dan orang-orang yang biasa bertemu dengan beliau.

Sebagai contohnya, pernah seorang pelanggannya datang ke butik beliau sambil berkata, “Saya memerlukan baju “khaz”, wahai Abu Hanifah.” Beliau menjawab, “Apa warna yang anda kehendaki?” Dia menjawab, “Yang berwarna ini dan ini.” Beliau berkata, “Bersabarlah sampai saya menemukannya dan akan aku berikan kepada anda.”

Dalam peristiwa yang lain, ada seorang wanita tua yang mencari baju “khaz”, kemudian beliau menunjukkan barang yang dimaksudkannya. Lalu wanita itu berkata, “Saya adalah seorang wanita yang lemah, tidak pula tahu menahu soal harga, sedangkan ini hanyalah keperluan. Maka juallah baju itu dengan harga yang sama ketika anda membelinya, lalu ambillah sedikit untung darinya, kerana saya adalah wanita lemah.”

Abu Hanifah berkata, “Saya membeli baju ini dua potong dalam satu harga. Saya sudah menjual yang sepotong hingga kurang empat dirham saja dari modal saya. Belialah baju ini seharga empat dirham kerana saya tidak ingin mendapatkan laba dari anda.”

Suatu hari beliau mendapatkan pakaian usang dan lusuh yang dipakai oleh seorang yang menghadiri majlisnya. Ketika orang-orang telah beredar dan tak ada seorang pun selain beliau dan laki-laki itu, beliau berkata, “Angkatlah alas sholat itu lalu ambillah sesuatu di bawahnya.” Orang itu mengangkat alas yang dimaksudkan, ternyata ada wang seribu dirham. Abu Hanifah berakta, “Ambillah dan perbaikilah penampilan anda.” Orang itu menjawab, “Saya adalah orang yang mampu. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah melimpahkan nikmat-Nya untuk saya. Saya tidak memerlukannya.” Abu Hanifah berkata, “Jika Allah telah memberikan nikmatNya kepada anda, lantas manakan bekas nikmat yang engkau tunjukkan? Belum sampaikah sabda Nabi saw, “Allah suka melihat bekas-bekas nikmat-Nya atas para hambanya,” Sudah sepatutnya anda memperbaiki penampilan anda agar tidak menyusahkan teman anda.”

Kedermawanan Abu Hanifah dan perlakuan baiknya kepada orang lain mencapai kemuncaknya, hingga setiap kali beliau memberikan belanja kepada keluarganya, beliau juga menginfakkan jumlah yang sama kepada orang-orang yang memerlukan. Setiap kali beliau memakai baju baru, beliau juga membelikan baju-baju untuk orang miskin sama dengan harga bajunya. Jika diletakkan makanan di hadapannya, beliau sisihkan separuhnya untuk diberikan kepada orang-orang fakir.

Diriwayatkan pula bahawa beliau bertekad setiap kali bersumpah kepada Allah di tengah pembicaraannya, beliau akan bersedekah dengan satu dirham perak. Berikutnya ditingkatkan lagi, beliau berjanji untuk bersedekah satu dinar emas setiap kali bersumpah di tengah pembicaraanya. Namun jika sumpahnya menjadi kenyataan, dia sedekah lagi sebanyak satu dinar.

Salah seorang rakan perniagaan Abu Hanifah ialah Hafs bin Abdurrahman. Abu Hanifah biasa mengirimkan kain-kain kepadanya untuk dijual ke kota-kota di Iraq. Pada suatu ketika Abu Hanfiah memberikan barang dagangan yang banyak kepada Hafsh sambil memberitahukan bahawa pada barang tersebut terdapat kecacataan iaitu pada sebahagian daripadanya. Beliau berkata, “Jika anda bermaksud menjualnya, maka beritahukanlah terlebih dahulu akan kecacatan tersebut kepada orang yang hendak membelinya.”

Akhirnya Hafs berhasil menjual seluruh barang-barang tersebut, namun dia lupa memberitahu akan kecacatan pada sebahagian kecil barang-barang tersebut. Dia berusaha mengingat-ingat orang yang telah membeli barang yang ada cacatnya tersebut, namun tidak berhasil. Tatkala Abu Hanifah mengetahui duduk perkaranya, juga tidak mungkin diketahui siapa yang telah membeli barang yang ada cacatnya tersebut, beliau merasa tidak tenang hingga kahirnya beliau sedekahkan seluruh hasil penjualan yang dibawa Hafsh.

Di samping itu, Abu Hanifah juga pandai bergaul. Majlisnya dipenuhi orang dan dia bersusah hati bila ada yang tidak hadir meski dia orang yang memusuhinya. Salah seorang sahabatnya mengisahkan, “Aku mendengar Abdullah bin Mubarak berkata kepada Sufyan Ats-Tsauri, ‘Wahai Abu Abdillah alangkah jauhnya Abu Hanifah dari ghibah. Aku tidak pernah medengarnya menyebutkan satu keburukan pun tentang musuhnya.” Sufyan Ats-Tsauri menjawab, “Abu Hanifah cukup berakal sehingga tidak akan membiarkan kebaikannya lenyap kerana ghibahnya.”

Di antara kegemaran Abu Hanifah adalah memenuhi keperluanan orang yang menarik simpatinya. Sering ada orang yang datang lewat kemudian ikut duduk di majlisnya tanpa sengaja. Ketika dia hendak beranjak pergi, beliau segera menghampirinya dan bertanya tentang keperluannya. Sekiranya orang tersebut memerlukan bantuan, maka Abu Hanifah akan membantunya, sekiranya sakit maka beliau akan memberikan bantuan rawatan dan jika berhutang maka beliau akan membayarkan sehingga terjalinlah hubungan yang baik antara keduanya.

Banyak keutamaan yang dimiliki oleh Abu Hanifah. Beliau juga termasuk orang yang rajin shaum           ( berpuasa ) pada siang hari dan bersolat Tahajud pada malam harinya. Akrab dengan Al-Qur’an dan beristighfar di waktu asar. Ketekunannya dalam beribadah di latar belakangi oleh peristiwa di mana beliau mendatangi suatu kaum lalu mendengar mereka bercerita tentang dirinya. “Orang yang kalian lihat itu tidak pernah tidur malam.” kata mereka. Sebaik mendengar kata-kata mereka itu, Abu Hanifah berkata, “Dugaan orang terhadapku ternyata berbeda dengan apa yang aku kerjakan di sisi Allah. Demi Allah jangan pernah orang-orang mengatakan sesuatu yang tidak aku lakukan. Aku tak akan tidur di atas bantal sejak hari ini hingga bertemu dengan Allah.” katanya pada dirinya sendiri.

Mulai hari itu Abu Hanifah membiasakan seluruh malamnya untuk mengerjakan solat. Setiap kali menjelang malam dan kegelapan menyelimuti alam, ketika semua lambung merebahkan diri. Beliau bangkit mengenakan pakaian yang indah, merapikan janggut dan memakai wangian. Kemudian berdiri di mihrabnya, mengisi malamnya dengan ketaatan kepada Allah, atau membaca beberapa juz dari Al-Qur’an. Setelah itu mengangkat kedua tangan dengan sepenuh harap disertai kerendahan hati. Terkadang beliau mengkhatamkan Al-Qur’an penuh dalam satu rekaat, terkadang pula beliau menghabiskan solat semalam dengan satu ayat saja.

Sebuah riwayat menyebutkan bahawa tatkala solat malam secara berulang-ulang Abu Hanifah membaca membaca firman Allah Ta’ala:“Sebenarnya hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pasti,” (Al-Qamar: 46).

Beliau menangis kerana takut kepada Allah dengan tangisan yang menyayat hati.
Telah diketahui banyak orang selama lebih dari empat puluh tahun beliau melakukan solat Fajar dengan wudhu shalat Isya’. Hingga akhir wafat beliau pernah mengkhatamkan Al-Qur’an sebanyak 7000 kali.

Setiap kali beliau membaca surat Al-Zalzalah, gemetar jasadnya, bergetar hatinya. Dengan memegang janggutnya, beliau berkata, “Wahai yang membalas sebesar dzarrah kebaikan dengan kebaikan dan sebesar dzarrah keburukan dengan keburukan, selamatkanlah hamba-Mu Nu’man dari api neraka dan jauhkan ia dari apa-apa yang bisa mendekatkan dengan neraka, masukkanlah ia ke dalam luasnya rahmat-Mu, ya Arhamarrahimin".

Oleh Muhammad Ismail
http://zilzaal.blogspot.com/2012/02/kisah-hidup-imam-abu-hanifah-yang.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...