Ahad, 25 November 2012

Manis Ukhuwah Berasaskan Iman

Manis ukhuwah berasaskan iman
Posted by epondok . Nik Salida Suhaila
Gambar hiasan
Persahabatan dibina atas semangat tulus ikhlas, cintakan Tuhan

Ikatan persahabatan tulus dan ikhlas berbeza dengan cara sama dilakukan bukan Muslim kerana silaturahim dibina kerana Allah SWT lebih kuat dan teguh. Ia disebabkan iman setiap mukmin kepada Allah SWT disambungkan kepada saudara seagama menjadikan tautan hati dan jiwa, akal dan rohani yang tiada taranya.

Sebab itulah ada persahabatan yang erat dan berpanjangan melebihi hubungan persaudaraan. Setiap mukmin memiliki ikatan hati yang sangat kuat kerana ukhuwah disebabkan cinta kepada Allah SWT.

Mereka saling mengingatkan antara satu sama lain, berkongsi rasa, duka, apatah lagi gembira dan suka. Daripada hubungan persahabatan, manisnya iman dapat dirasa sehingga ada yang berubah pendirian dan sikap untuk lebih menghampiri Penciptanya. 

Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga hal yang apabila ada pada seseorang, nescaya dia akan merasakan manisnya iman; menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain. Dan apabila menyintai seseorang, dia tidak menyintainya melainkan kerana Allah SWT. Dan dia enggan kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia enggan dilemparkan ke neraka.”

Orang yang merasai manisnya iman sukar untuk berkongsi apa yang dirasai dengan orang lain melainkan perasaan sama turut dialami. Nabi Muhammad SAW yang digelar kekasih Allah adalah manusia paling dekat hatinya dengan Allah kerana baginda menyintai Allah melebihi dari yang lainnya.

Baginda sanggup menghadapi apa juga bahaya dan bencana semata-mata untuk mempertahankan agama serta mesej yang dibawa dari Yang Maha Esa.

Umat Islam pula akan merasai manisnya iman dengan menyintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya. Bayangkan jika seseorang wanita menyintai suaminya tanpa berbelah bahagi sehingga sanggup meninggalkan agama, keluarga dan tanah air untuk sentiasa berada di sisi suami.

Itulah tanda cinta yang tiada bandingannya. Situasi serupa juga perlu dirasai jika kita menyintai Allah dan Rasul, sehingga cinta itu tidak terungkap oleh kata-kata, sebaliknya kita akan sentiasa gembira dan tenang apabila mendampingi Allah dan Rasul.

Setiap mukmin yang menjalin persahabatan sesama saudara seagama perlu mengambil kesempatan untuk merasai manisnya iman dengan membina ukhuwah dan menyintai sahabat kerana Allah SWT.

Walaupun tiada di depan mata, silaturahim tetap terbina dengan ikatan hati yang kukuh jika kita sentiasa menghampiri-Nya. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara.” 
(Surah Al-Hujurat, ayat 10)

Kesibukan urusan harian dan komitmen pada keluarga sepatutnya tidak membataskan kita menjalin hubungan persahabatan, tambahan pula kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini memudahkan lagi perhubungan tanpa memerlukan masa serta tenaga yang banyak.

Ada sahabat yang memerlukan kita untuk berkongsi masalah dihadapi dan meminta pertolongan mengatasi kesusahan yang membelenggu. Hubungan erat dan ikhlas tentunya dapat membantu sahabat dalam kesusahan dan memanfaatkan diri kita kepada orang lain.

Jangan pula kita mengambil kesempatan untuk membina hubungan melampaui batasan sepatutnya kerana ada segelintir yang mendakwa menyintai sahabat sehingga sanggup menjalin hubungan songsang yang bertentangan dengan agama dan norma.

Bahkan ada yang meminta cerai dari suami atau menceraikan isteri untuk ‘hidup bersama’ dengan teman dicintai. Mereka mengambil kesempatan atas jantina yang serupa untuk tinggal bersama tanpa menimbulkan syak wasangka tetapi hidup dengan nilai buruk seolah-olah tidak mengetahui akibat dari apa yang dilakukan di akhirat kelak.

Tidak salah menyintai sahabat yang baik, mengasihi dan menyayanginya seperti mana kita dicintai, dikasihi dan disayangi tetapi biarlah kerana Allah SWT, tidak melencong dari landasan agama dan sentiasa saling mengingatkan tentang azab yang pedih.

Bahkan orang yang mengasihi kerana Allah mendapat kemuliaan, kebanggaan dan kehormatan di saat Allah mengumpulkan mereka di hari akhirat dan Allah akan menaungi mereka pada hari itu.

Persahabatan jujur lahir dari hati yang ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa melainkan keredaan Allah SWT. Sahabat sebegini mempunyai hati yang bersih dan rohani yang suci. Mereka tidak terganggu dengan adu domba, umpat keji, hasad dengki dan caci maki.

http://epondok.wordpress.com/2012/11/26/ayat-al-quran-sebagai-penawar-penyakit-kanser/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...