Khamis, 29 Mei 2014

Sains di sebalik Israk dan Mikraj

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Gambar hiasan saja
SABAN tahun tatkala melangkah masuk Rejab, sejarah penting yang berlaku dalam bulan ini antaranya peristiwa pengembaraan dan perjalanan luar biasa Nabi Muhammad SAW untuk menemui ALLAH SWT (Israk dan Mikraj). Terlampau banyak hikmah yang boleh diteladani dalamnya.

Dalam peristiwa yang berlaku usai solat Isyak, Baginda SAW berada di Masjidilharam dibawa ke Masjidil Aqsa yang terletak di Palestin kemudian menaiki buraq terus ke langit ke tujuh, semuanya berlaku dalam tempoh satu malam. Maha Besar ALLAH, Tuhan sekalian alam!

Tahun kesedihan Baginda SAW
Pendakwah, Ustaz Shahrizan Daud menjelaskan, dalam riwayat dan pengkajian kebanyakan ulama sejarah, antara faktor berlakunya peristiwa Israk Mikraj adalah kerana ALLAH berkehendak memujuk kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Ini kerana pada tahun berkenaan juga menjadi tahun kesedihan bagi Rasulullah SAW.  Dalam tahun yang dikenali sebagai aamul hazni (tahun kesedihan), Baginda SAW kehilangan dua insan tersayang dan mempunyai peranan sangat penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu pemergian isteri tercinta, Siti Khadijah binti Khuwailid serta bapa saudara yang memeliharanya semenjak kecil lagi iaitu Abu Talib bin Abdul Mutallib.

“Pemergian kedua-dua insan penting ini berlaku dalam keadaan kehidupan Rasulullah SAW dan golongan sahabatnya penuh dengan tekanan, pemboikotan dan banyak menerima ancaman bunuh daripada golongan kafir Quraisy ketika itu.

“Peristiwa Israk dan Mikraj bukan sahaja sebagai faktor pujukan ALLAH terhadap Rasulullah SAW semata-mata. Sebaliknya, ia juga adalah saat di mana kefarduan ibadat solat lima waktu disuruh ALLAH dan beberapa gambaran simbolik berkaitan azab dan nikmat pada hari akhirat nanti,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, malah peristiwa Israk dan Mikraj itu juga adalah satu ujian kepada golongan sahabat yang pernah beriman dan mengikuti Rasulullah SAW.

Dalam riwayat sejarah yang lain ada menyatakan terdapat sebilangan daripada mereka telah murtad dan keluar daripada agama Islam hasil daripada perjalanan Israk dan Mikraj kerana ketidakpercayaan mereka kepada peristiwa luar biasa yang tidak mampu diterima akal.

Keimanan dan logik akal
“Dalam ruangan Halaqah kali ini, saya cuba mengaitkan peristiwa agung ini dengan faktor keimanan dan logik akal menurut perspektif sains melalui perbincangan saya dengan beberapa ahli sains dan astronomi.

“Antaranya penggiat Astronomi Amatur Malaysia dan pengasas http://www.falakonline.net, Shahrin Ahmad.

“Dapat dilihat perkaitan perjalanan dan kelajuan perjalanan Israk dan Mikraj ini adalah melalui teori kecepatan kelajuan cahaya.

“Dilihat secara umum, teori E=mc² bersumberkan peristiwa Israk dan Mikraj daripada pengkajian pakar fizik iaitu Albert Eistein, beliau mengambil masa kira-kira 12 tahun untuk melengkapkan Teori Relativiti Khas kepada Teori Relativiti Umum.

“Banyak persoalan yang dibangkitkan oleh orang bukan Islam. Hampir tiada langsung yang mempercayainya kerana konsep pengiraan: Halaju cahaya = 300,000 km/s. Buktinya sebagai contoh, cahaya tanpa henti untuk sampai ke penghujung alam semesta yang dapat dilihat hari ini melalui teleskop mengambil masa kira-kira 13.1 bilion tahun,” katanya yang turut bertugas sebagai tenaga pengajar di Usrah Fitrah dan perunding latihan ini.

Beliau menambah, dengan alasan inilah mereka (orang bukan Islam) beranggapan adalah mustahil untuk Nabi Muhammad SAW mengembara dalam hanya satu malam.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia.” (Surah Al-Isra’: 60)

Teguh mempercayainya
Siapalah kita untuk tidak mempercayai peristiwa agung ini. Ia bukan untuk difikirkan dengan menggunakan akal logik semata-mata, malah paling utama, sebagai seorang yang mengaku beriman, sudah pasti kita akan mempercayainya walaupun ia tidak mampu diterima dek akal.

Inilah bukti iman, iaitu antaranya mempercayai perkara yang ghaib dan tidak boleh dilihat dengan mata.

Inilah bukti yang cuba ditunjukkan oleh sahabat Baginda SAW yang sentiasa membenarkan, Saidina Abu Bakar As-Siddiq tatkala kafir Quraisy mengatakan Muhammad ke Masjidil Aqsa dalam tempoh satu malam yang diceritakan kepadanya sebagai satu ejekan dan untuk merendahkan Nabi Muhammad SAW .

Namun apa yang dijawab oleh Abu Bakar As Siddiq, dengan lantang beliau berkata: “Kalaulah nabi Muhammad yang menceritakan perkara ini, jangankan ke Masjidil Aqsa, malah jika lebih jauh daripada itu pun, pasti aku akan mempercayainya”.

Sains & kesahihannya

Sementara itu, Shahrin menerangkan mengenai perkaitan ringkas teori dan peristiwa ini dari segi istilah sains dan kesahihannya antara jisim dan tenaga.

Menurutnya, Teori Relativiti Khas E=mc² adalah sesuatu jisim yang bergerak dengan halaju cahaya, ia akan berubah bentuk menjadi tenaga manakala tenaga yang terhasil ini jika dikembalikan kepada jisim asal, akan terdapat ralat atau kecacatan pada jisim tersebut dengan erti kata lain, bukan dalam keadaan asalnya.

“Supaya lebih  mudah difahami, lihat sebuah bantal berisi kekabu separa padat dan lakukan eksperimen ke atasnya. Kemudian ayunkan selaju mungkin dengan memegang pada satu bahagian dan cuba lihat bagaimana keadaan bahagian yang lain?

Sudah pasti keadaannya akan berubah daripada bentuk asalnya.

“Itulah jika diibaratkan dengan badan manusia. apabila kelajuan disentuh pada permukaan kulit, ia akan berubah mengikut bentuk permukaan yang menyentuhnya,” katanya.

Menurutnya, pada fizikal tubuh dan jasad Nabi Muhammad SAW, tidak terdapat sebarang perubahan walau sedikit pun. Jika dilihat dari segi faktor teori sains fizik, langsung tidak tersenarai faktor lengkap yang menyebabkan kegagalan teori tersebut.

Sebabnya adalah sangat mudah. Ini adalah kerana ALLAH memelihara badan Nabi Muhammad SAW daripada segala kecacatan dan kekurangan.

Persoalan logik ini juga barangkali sesuai jika boleh dikaitkan dengan teori kelajuan cahaya iaitu: With The Speed Of Light, A Person Is No Bound To Time And Space (dengan kelajuan cahaya, seseorang itu tidak akan tertakluk atau terhad kepada masa dan tempat).

http://epondok.wordpress.com/2014/05/29/sains-di-sebalik-israk-dan-mikraj/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...