Isnin, 15 Mei 2017

HARI INI DALAM SEJARAH (HIDS) | 15 MEI 1948 | AN-NAKBAH : MALAPETAKA BESAR

“Sebuah masyarakat yang telah menetap lebih 1,000 tahun di situ telah dimusnahkan, dihalau, dan dipaksa merempat di serata Timur Tengah. 

Rakyat Palestin lari atas sebab yang sama semua pelarian perang lari – untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi anak-anak mereka, juga kerana di sesetengah tempat Israel melakukan jenayah penghapusan etnik.” - Jeremy Bowen, Six Days

Mimpi indah Zionis Yahudi untuk memiliki sebuah negara khusus untuk orang-orang Yahudi akhirnya terlaksana pada malam 14 Mei 1948 setelah lebih setengah abad Theodore Hertzl mengilhamkan idea penubuhan negara Yahudi di Palestin. 

Bumi yang mendapat julukan ‘tanah yang diberkati’ itu kini beralih-tangan kepada Yahudi setelah hampir 1,300 tahun (1) berada di bawah naungan kerajaan Islam; pemerintahan paling lama dan paling cemerlang pernah direkodkan di Palestin.

Mimpi indah Zionis Yahudi ini tidak mungkin terlaksana tanpa operasi penghapusan etnik (ethnic cleansing) dan pembunuhan beramai-ramai (massacre)(2) rakyat awam Palestin oleh tentera gerila Zionis – Haganah, Irgun, Stern Gang (Lehi) dan Palmach melalui satu pelan yang dikenali sebagai ‘Pelan Dalet’. 

Dianggarkan sekurang-kurangnya 750,000 orang rakyat Palestin menjadi pelarian ekoran keganasan Zionis Yahudi ini. Jumlah sebenar korban an-Nakbah pula sehingga hari ini tidak dapat dipastikan (3).

Dengan kata lain, permulaan kegembiraan Zionis Yahudi adalah permulaan derita buat rakyat Palestin. Penderitaan ini setanding – jika tidak lebih teruk, dengan penderitaan masyarakat Yahudi yang hidup bertaburan di seluruh dunia kesan daripada rasisme (anti-semitisme) di Eropah dan holokos semasa Perang Dunia Kedua. Justeru, bagi memperingati penderitaan ini rakyat Palestin mengisytihar 15 Mei (sehari selepas penubuhan Israel) sebagai hari an-Nakba (malapetaka besar/catastrophe).

Malapetaka besar ini masih menghantui rakyat Palestin. Rakyat Palestin masih terus dibunuh dan dibelenggu penjajahan sehingga hari ini. Sejak Disember 2009, kita menyaksikan 3 'massacres' ke atas Gaza. Tebing Barat dikuasai tentera Zionis yang melaksanakan sistem pemerintahan apartheid versi Israel. Masjid al-Aqsa dicemari dan diceroboh hampir setiap hari. Gaza terus dikepung. Pelarian Palestin pula masih dinafikan hak untuk pulang ke kampung halaman. Jumlah mereka kini telah mencecah 7 juta orang!

Hari ini dunia sibuk memperkatakan tentang keperluan mengakhiri konflik Israel-Palestin. Malangnya pemimpin dunia dilihat tunduk kepada tuntutan Zionis supaya rakyat Palestin mengiktiraf kewujudan negara Israel sebagai salah satu daripada syarat perdamaian sedang dalam waktu yang sama tidak ramai yang bersedia menuntut Zionis Yahudi mengakui jenayah an-Nakbah yang ia dilakukan ketika menubuhkan negara mereka. Perbincangan tentang an-Nakbah sebaliknya dilihat sebagai tidak produktif dan ancaman kepada inisiatif damai. Malah, mereka yang membangkitkannya dituduh sebagai anti-semitik!

Perdamaian Israel-Palestin tidak akan dapat dicapai tanpa pengiktirafan ke atas an-Nakbah. An-Nakbah tidak lain dan tidak bukan menuntut kita semua mengiktiraf jenayah yang berlaku ke atas rakyat Palestin agar nasib mereka yang dizalimi benar-benar dapat dibela. An-Nakbah dapat menjelaskan dengan jujur dan komprehensif bentuk ganti-rugi yang berhak mereka peroleh. Hutang an-Nakbah perlu dilangsaikan sebelum sebarang usaha damai akan mendapat sokongan penuh rakyat Palestin. Jika tidak, usaha damai akan hanya tinggal omong kosong politikus populis.

FAKTA NOMBOR AN-NAKBAH
> 78% tanah Palestin dirampas.
> 750,000 penduduk Palestin menjadi pelarian.
> 34 tragedi pembunuhan beramai-ramai direkodkan termasuk di Deir Yassin, Naser al-Din, Beit Daras, Masjid Dahmash dan Dawayma.
> 426 terkorban dalam ‘massacre’ terbesar di Masjid Dahmash, Lydda-Ramlee.
> 530 (91%) perkampungan Arab dimusnahkan.
> 96,500 tentera Zionis menentang 25,000 tentera Arab.
> 20 bulan pertempuran antara tentera Zionis dan tentera Arab (Perang Arab-Israel 1948) pasca penubuhan Israel.

Nota kaki:
~ Pemerintahan Islam di Palestin terhenti sebentar selama 88 tahun (1099-1187) apabila Baitul Makdis dan beberapa kota utama di Palestin berada di bawah pemerintahan Kristian sebelum dikuasai semula oleh Salahuddin al-Ayyubi.
~ Rekod menunjukkan bahawa tentera Zionis telah melakukan sekurang-kurangnya 34 pembunuhan beramai-ramai (massacres) ke atas rakyat awam Palestin pada tahun 1948 sebagai persiapan kepada penubuhan negara Israel.
~ Rekod menunjukkan ‘massacre’ terbesar dilaporkan berlaku di Masjid Dahmash yang mengorbankan 426 rakyat Palestin termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Forwarded from MyCARE-#Nakba1948 #Remem

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...