Isnin, 22 Ogos 2011

BERDOA

Soalan: Biasanya apabila selesai solat dan sebelum solat kita disuruh berdoa kerana doa itu sendiri adalah intisari kepada ibadah, tetapi saya hairan kerana ada orang yang berani mengatakan ianya bidaah dan sesat. Bagaimana pendapat tuan dalam perkara ini?

– Ismail Mukhtar, Gopeng, Perak.

JAWAPAN: Kepada mereka yang sudah biasa dengan sikap suka menyalahkan orang lain dan selalu membuat tuduhan kepada orang lain dengan perkataan tersebut dinasihatkan supaya berhati-hati dalam melemparkan sebarang tuduhan kerana dibimbangi suatu perkara itu ada dalil dan hujahnya sekalipun secara umum atau isyarat atau mafhum sama ada dari hadis atau al-Quran sendiri. Nanti apa pula jadinya dengan apa yang diarah oleh Allah dan Rasul-nya kita katakan perkara itu juga bidaah dan sesat. Tentu cakap mereka seperti itu lebih sesat dan karut lagi.

 Ini kerana sesuatu itu sekalipun ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., tetapi tidak semestinya ia bidaah kerana ia satu perkara yang pernah disuruh dan diarahnya. Sebagai contoh seperti amalan membaca al-Quran di hari kematian untuk keluarga si mati yang berada dalam kesedihan. Kita hari ini senang-senang mengatakan ianya bidaah dan sesat tetapi bagaimana jika al-Quran atau hadis yang mengarahkan kita melakukannya sama juga dengan doa tadi?

Allah s.w.t. berfirman maksudnya: Tuhan kamu telah berfirman berdoalah memohon kepada-Ku akan-Ku perkenankan (sebarang pintamu), sesungguhnya mereka yang menyombong diri dari beribadat kepada-Ku akan masuk neraka dalam keadaan hina dina (Surah Ghafir ayat 60). Arahan tersebut adalah berbentuk  itlak tanpa sebarang qaid bila dan di mana lebih-lebih lagi selesai amalan solat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Doa itu sendiri adalah otak (intisari) kepada ibadah.

Manakala dalam suatu hadis lain Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sungguhnya orang yang paling bakhil itu, mereka yang bakhil untuk memberi salam (keselamatan dan kesejahteraan) dan selemah-lemah manusia ialah mereka yang lemah dari memanjatkan doanya kepada Allah s.w.t., ( Ahmad dan lain-lain). Kata Baihaqi perawinya adalah sahih.

Kita harapkan kalaupun sesuatu itu kurang tepat, cara dan teknikalnya janganlah cepat mengatakan ianya bidaah. Ini kerana ianya boleh diperbaiki dari semasa ke semasa tetapi kenalah memisahkan antara cara dan alat (teknik) dan maqasid (matalamat dan ghayahnya) sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah sendiri apabila ingin membuat teguran kepada sahabatnya Abu Bakar semasa kesilapannya melakukan rukuk di luar saf di belakang barisan jemaah lain. Apa kata baginda terhadap Abu Bakar, Allah menambah kamu semangat (ingin mendapakan fadilat jemaah) sehingga melakukan rukuk di luar saf dan jangan ulangi lagi (amalan salah itu) ( Bukhari).

Demikianlah sepatutnya bagi mereka yang ingin membuat sebarang teguran terhadap mana-mana kumpulan masyarakat dalam amalan agama kita, seperti amalan doa amar makruf mengadakan jamuan dan sebagainya. Sikap berhati-hati itu amat disanjung dalam lslam dan jangan mudah hilang pertimbangan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: hendaklah kamu bercermat dan berhati-hati kerana dengannya, semua perkara akan menjadi baik dan tanpanya segala perkara akan menjadi rosak dan cacat ( Bukhari Muslim).

Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

12 Insan Yang Bertemu Rasulullah saw Dalam Mimpinya

1. Mimpi Tentang Imam Bukhari Rah.a.  Beliau adalah seorang imam terkemuka ahli hadits. Namanya adalah Muhammad bin Ismail Al Bukhari . Ge...